Isteri Aku Nanny!
BAB 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3891

Bacaan






BAB 6

Akibat tergesa-gesa, Aina sekali lagi buat kali keduanya di terlanggar seorang lelaki yang boleh tahan kacaknya. Persis hero Hollywood! Hollywood lah kot. Putih, tinggi, mata coklat, rambut pun coklat! Mesti dia suka makan coklat agaknya. Aina tak perasan bila masa lelaki itu berada betul-betul di belakangnya ketika dia sedang beratur membuat pembayaran di kaunter untuk mengisi perut skuter Hana. 'Orang JB ni, memang hensem-hensem je ke yang tinggal? Yang tak hensem dah pupus ke apa.' Aina mengutip beberapa keping duit syilingnya yang bertaburan di lantai. Lelaki tersebut juga membantunya.

"Maaf encik. Saya betul-betul nak cepat tadi. Sampai tak perasan ada orang beratur di belakang saya", ucap Aina setelah habis mengutip kepingan syiling tersebut.

Lelaki itu seakan terkesima melihat Aina. Datang seseorang berbadan agak gempal tertepis bahunya. Saat itu juga lelaki kacak tadi, tersedar akan tingkah lakunya yang kurang manis merenung anak gadis seperti itu.

"Encik saya minta maaf sekali lagi. Saya minta diri dulu. Takut lewat pula saya ke tempat kerja", jelas Aina buat kedua kalinya sambil membuka langkah untuk terus berlalu.

"Eh takpe-takpe. Saya ok tak ada cedera apa pun. Saya pun salah, sebab berdiri terlalu dekat dengan awak. Owh nak ni duit awak." Lelaki itu menyerahkan syiling Aina yang dikutipnya tadi.

"Terima kasih. Saya pergi dulu. Assalammualaikum."

"Waalaikummussalam. Sekejap! Ni kad saya. Saya harap kita boleh jadi kawan." Kad diserahkan dan Aina tak nak buang masa terus mengambilnya.

Aina membuka 'seat' moto. Diambilnya nozzle lalu disumbat masuk ke mulut skuternya. Sekali lagi dia ditemukan dengan lelaki kacak tadi. Nampaknya lelaki tersebut seperti mahu mengayatnya. Aina mulai rimas.

"Saya tak tahu pun lagi nama awak, saya Zairel Benjamin. Awak?" Sambil dihulur tangan kanannya untuk bersalam.

"Maaf, saya tak salam lelaki. Saya Aina Batrisya. Panggil saje Aina," jujur sungguh pengakuan Aina. Malas dia mahu melayan lelaki gatal, baru seminit dah nak berkenal-kenalan.

Aina menggoncangkan sedikit 'nozzle' tersebut, supaya minyak betul-betul turun mengikut seperti jumlah yang dibayar. Maklumlah sekarang ni, serba serbi mahal. Jadi dia tidak.boleh membazir, setitis minyak yang mengalir umpama setitis peluhnya yang menitis ulang-alik ke tempat kerja.

Zairel yang seolah faham dengan tindak tanduk Aina terus berlalu pergi menuju ke kereta BMW 3 seriesnya berwarna hitam dan nampak sporty itu. Sesuailah dengan gaya dan lagaknya seperti seorang kaki perempuan.

Aina melihat jam di tangan, baru 7.15 pagi. Perutnya sudah berkeroncong melayu asli. Dia harus makan sedikit bagi mengalas perut, yang pastinya bukanlah nasi lemak kegemarannya yang menjadi pilihan. Sepengetahuan dia makan nasi lemak boleh membuat seseorang itu berasa mengantuk. Kalau bukan hari bekerja, dah lama Aina pelahap 2 bungkus nasi lemak. Aina singgah di gerai yang menjual pelbagai jenis kuih berdekatan stesen minyak tersebut.

"Kak, bagi saya popia ni 1, masalodeh ni 2. Berapa ya kak?"

Pon! Pon! Terkejut pelanggan di situ tiba-tiba sahaja ada kereta BMW, meluncur laju betul-betul membelakangi mereka. 'Huh! Jantan ni lagi', Aina terasa bengang. Pintu cermin kereta di tempat pemandu, di turunkan.

"Awak nak number.. please..." pemandu tersebut separa merayu dengan wajah yang ala-ala mintak pelempang dalam drama lelaki melayu kacukan itu. Tak tahu malu langsung, bercakap tak sampai berapa saat dah minta nombor telefon. Dasar lelaki miang!

"Berapa ya kak?" Aina menahan perasaan menyampah dalam hati. Mahu saja disumpah seranahnya mamat tersebut. Mata-mata yang melihat membuat Aina berasa tidak selesa.

"Seringgit dek".

Aina mengeluarkan sekeping 'note' biru, dari pursenya.

"Terima kasih ya, akak jual".

"Sama-sama saya beli ya."

Zairel Benjamin kelihatan masih setia menanti di bahu jalan. Aina buat-buat tak nampak. Terus menekan butang 'start' yang berada di sebelah kanan handle skuternya dan berlalu pergi, tanpa mahu menoleh lagi. BMW tersebut juga terus meluncur laju ke jalan raya.

'Sombong betul. Bukan lawa mana pun,' Zairel mengomel. 'Tapi.. dia nampak cute bila pakai helmet pink ala kura-kura tu. 'Hope to see you soon, Aina Batrisya'.

Aina memarkir skuternya di tempat biasa. Dan seperti biasa juga, dia terpaksa menapak untuk sampai ke kediaman majikannya. 'Dah pukul 7 35 pagi, kalau mamat tu tak ganggu tadi mesti aku dah sampai lebih awal dari sekarang. Kacang hantu betul!'. Hensem tak semestinya laku di mata aku'. Aina geram.

Dia duduk sebentar menghadap air terjun buatan manusia berhadapan kondo tersebut. Dikeluarkan kuih yang dibelinya sebentar tadi. Selesai berdoa, Aina terus mengisi perutnya dengan ketiga-tiga biji kuih yang dibelinya sebentar tadi. Air mineral yang sentiasa ada bersamanya diteguk rakus, pagi yang dingin tidak bisa menyejukkan hatinya yang sedang panas.

"Wah! Sudah ada pas masuk", tegur pengawal keselamatan pondok tersebut.

"Yelah uncle, you larat ke minta hari-hari i punya IC?"

"Sudah kerja saya, mestilah hari-hari mintak IC", senyuman manis diberikan.

"You kerja sama itu Datin Qalsum ka?" Soalnya lagi.

Aina hanya mengangguk. Dia bukanlah sombong, sebenarnya dia mahu cepat mengejar masa.

"Saya pergi dulu ya, bye-bye. Nanti kita berbual lagi, saya nak cepat ni.".

"Okay-okay".

Jejak sahaja kaki ke rumah majikannya, Aina diminta untuk menanti di sofa yang terletak di ruang tamu. Izhan Rayqal berlalu menuju pejabat kecilnya. Sementara menunggu, Mak Cik Piah menyediakan minuman untuknya, kali ni teh o panas.

"Nah, saya nak awak ikut semua yang dah tertulis dalam ni. Semua ni terkandung dalam skop kerja awak sebagai pengasuh. Dan lagi satu, saya dah sediakan 'warning letter' untuk kes awak tempoh hari. Baca dan fahamkan." Tegas sungguh suara Izhan Rayqal ketika ini, kecut perut dibuatnya.

'Dia ni peguam ke apa? Siap ada surat sebut kes lagi.' Aina tersenyum geli hati. Sambil tunduk membaca helaian-helaian yang di maksudkan.

"Gelak sorang-sorang dah kenapa? Awak ada masalah kesihatan ke apa? Mental?" Sakit hati pula si Izhan Rayqal melihat senyuman geli hati si Aina.

"Tak ada apa encik. Saya okay je. Tengah baca apa yang encik bagi berikan pada saya ni." Sambil ditunjukkan kertas-kertas yang berada di tangannya. Namun Izhan Rayqal akui, gadis itu sangat cute di matanya.

"Baca banyak kali. Sampai faham. Lepas tu 'sign' kat bawah tu. Letak sekali IC number'".

"Err.. okay, terima kasih. Saya baca habis dulu. Kemudian saya 'sign'. Kalau sign guna nama pena boleh?" Aina senyum menunjukkan sebaris giginya yang tersusun cantik dan putih itu.

"Tak payah nak beria sangat. Awak bukannya penulis novel nak ada nama pena bagai. 'Sign' je ikut nama awak. Lepas tu pulangkan semula pada saya", ditinggalkan Aina yang masih terkulat-kulat. ‘Aku baru nak berangan-angan bagi autograph kat peminat’.

'Dah macam surat wasiat pun ada nak kena 'sign-sign', aku pengasuh je pun. Bukannya keje dok dalam ofis', Aina mengomel sendirian. Kalau aku dah jadi penulis novel paling berjaya suatu hati nanti, baru dia tahu. Aku nak sign banyak-banyak guna nama pena aku. Aina mula memasang angan.

Diperhatinya satu-satu setiap patah perkataan yang tertulis di situ. Siap ada dwibahasa lagi untuk skop pekerjaan dan surat amarannya ni. Aina lega ada Bahasa Melayu, kalau tidak, mahu berjam-jam baru dia selesai mentelaahnya. Dia tidak mahu ada yang dia terlepas pandang. Selesai membaca ke semuanya, Aina menurunkan tandatangannya dan diletakkan lukisan smiley yang sedang tersenyum. Dilukisnya secomel mungkin, betul-betul di akhir huruf 'A'. Setelah itu dia berdiri menuju ke pejabat mini Izhan Rayqal.

Tok!Tok!

Pintu pejabat di ketuk. Kelihatan Izhan Rayqal tekun menghadap komputer ribanya.

"Ok masuk. Dah sign? Are you clear with your scope of work? As well as the warning letter given to you?", soal Izhan Rayqal dengan speaking Londonnya yang membuat Aina sangat-sangat menyampah dan nak termuntah.

'Apa aku nak jawab ni. Clear tu bukan ke bersih .. bersih kerja? Kerja bersih? Well tu baik, bagi warning letter tu, dia kira dia baik ke? Kan senang cakap je melayu. Aku melayu kot, bukannya mat saleh! Jawab yes je nanti, macam pendek sangat jawapannya.' Aina menguis-nguis kakinya ke karpet yang sedia lembut dan gebu itu. Sekali-kali digarunya pipi sendiri walaupun tidak berasa gatal.

Setelah beberapa saat, lelaki itu bertanya lagi. " Awak dengar atau tidak soalan saya tadi?"

"Ya ya, saya dengar".

"So?" Sambil dijongketkan sedikit bahunya dengan muka yang seakan mengejek Aina.

"Mm..yes". Aina takut-takut nak jawab. Sebenarnya dia tidak takut cuma berasa gugup yang berlebihan. 'Janganlah dia tanya lebih-lebih. Sudahlah english aku pun heartbroken.'

"Okay, awak boleh keluar sekarang. Sekarang dah pukul 9.45 pagi, kalau ikut timetable, sekarang waktu awak mengajar adik saya Matematik. Ajar yang mudah-mudah sahaja mengikut kesesuaian umur dia."

"Baiklah, saya keluar sekarang. Assalammualaikum". 'Apahal lah sejak kerja kat sini aku rasa macam terlalu formal sangat bahasa aku ni.'

‘Akulah pengasuh versi cikgu.’

**********

Aina kelihatan begitu gembira. Dia asyik bernyanyi-nyanyi kecil. Hari ini, dia tidak tertidur lagi. Cuma dia berasa hairan dengan anak asuhannya. Bila ditanya hanya angguk-angguk, takpun geleng kepala. Kadang-kadang nampak macam nak bersuara, tapi macam ditahan-tahan. Tak mungkin Adam bisu. Hati kecil Aina kuat menyatakan yang Adam normal seperti kanak-kanak yang lain.

'Mungkin satu hari nanti, aku akan jumpa jawapan'. Aina tersangatlah mengharap, meskipun baru sahaja beberapa hari bersama Adam, dia terasa begitu dekat sekali. Perasaan ingin tahunya tentang Adam teramat tinggi.

"Mana jugak si Hana ni, time-time gini selalunya dah ada kat rumah," Aina seperti bercakap dengan seseorang. Walhalnya hanya ada dinding dan beberapa aksesori lain sebagai penyeri sesebuah rumah.

"Kau dah kenapa bercakap sorang-sorang? Dah buang tabiat?" Hana muncul dari belakangnya. Dia terlupa nak tutup pintu sebaik sahaja kakinya menjejak ke lantai rumah.

"Haish kau ni pun, bagilah salam. Terkejut beruk aku dibuatnya, beruk pun tak terkejut macam mana aku terkejut tadi". Memang Aina betul-betul punya terkejut, terlompat sedikit ke belakang. Hampir saja jatuh terlentang.

Hana seperti biasa, jejak saja kaki ke dalam rumah, dia pasti akan baring terdampar persis dugong di tengah-tengah ruang tamu sambil kipas dikuatkan hingga ke angka 5! Kuat betul anginnya kali ni. Hana pelik, lalu mengiringkan sedikit badannya ke kiri. Dilihatnya Aina dari tadi asyik menyumbangkan lagu para artis di Malaysia ni. Tak pernah dia lihat Aina sehappy macam hari ni.

"Okay, aku buat semula tapi sambil baring. Assalammualaikum orang di dalam.. Apakah yang terjadi pada dirimu? Apakah saya ketinggalan sesuatu? Sehinggakan orang di dalam berlagu riang?"

"Waalaikummussalam cik dugong. Aku happy tak boleh, aku sedih lagilah tak boleh. Aku saje je hiburkan hati aku ni, seharian terperap kat rumah majikan aku tu, dah macam duduk dalam sangkar. Rasa tak boleh nak bergerak bebas macam orang lain. Dah la sorang-sorang".

"Mula tu aku intailah ikut cermin, kot-kot kau ada beli radio secondhand ke. Sebab sumbang je aku dengar dari luar. Aku pun masuklah dalam, nak tengok radio tu rosak ke apa. Sekali rupanya suara kau! Hahhaha.." Kejam betul bunyinya gelak si Hana. Berdesing telinga si Aina mendengarnya.

Sebenarnya dari dulu lagi suara Aina menjadi igauan di sekolah mereka. Dari cikgu sehinggalah pelajar. Masuk sahaja pertandingan menyanyi, dia mesti johan. Masuk tilawah juga pun begitu, kalau tak johan, naib johan. Belum pernah lagi jatuh tempat ketiga. Hana yang menjadi rakan karibnya ketika itu juga turut mendapat tempias populariti Aina dek suara yang lunak bak buluh perindu itu. Agaknya semasa dia dalam perut emaknya, Mak cik Ani tu selalu makan buluh perindu kot, buat ulam!

"Sikit agaklah. Rosak-rosak suara aku pun, aku pernah juga jadi ketua kumpulan nasyid tau masa kat sekolah kita dulu. No. 1 lagi! Takkan dah lupa kot".

"Yelah. Sekarang kau cerita kat aku, apesal kau suka sangat ni. Menang loteri?" Hana nampaknya terus-terusan nak menyakat.

"Apa pulak menang loteri. Kau ni, ingat yang menang loteri tu je ke yang boleh happy-happy? Diaorang tak tahu, kat sana nanti doklah dalam api."

"Habis tu?"

"Sebenarnya tak ada apa pun. Cuma hari ni, aku lega sikitlah."

"Sebab?"

"Sebab.. hari ni aku langsung tak rasa mengantuk waktu aku jaga si Adam tu. Dan lagi satu, si ego berlagak peguam bombastic tu, kejap je ada kat rumah. Pagi tu je, lepas aku sign surat yang dia bagi, dia terus keluar. Jadi tak adalah mata aku ni sakit, asyik tengok dia ke hulu ke hilir, macam dia sorang je yang sibuk kat dunia ni". Sempat lagi Aina mengutuk Izhan Rayqal.

"Surat apa? Jadi pengasuh pun ada surat?" Hana langsung tak berminat mendengar kisah lelaki yang dimaksudkan teman baiknya tu.

"Eh eh kau ni, mestilah ada. Pengasuh profesional macam aku ni, haruslah ada surat-menyuratkan," Aina menjawab dengan penuh keyakinan dan kewibawaan.

"Kau jangan main-main, Aina. Mana tau surat yang dia suruh sign tu, surat untuk kau jadi kambing hitam ke, tak pun surat buat passport, dia nak suruh kau hantar barang kat luar negara nun. Dia tulis melayu ke omputeh?"

"Dwibahasa. Omputeh ada melayu pun ada." Berat pinggul betul nak melayan bila si Hana yang dah mula ke laut. Bukan main banyak lagi dia melalut!

"Ha lagi satu, dalam tu tak ada pun tulis pasal passport ke, nak gambar ke, tak ada-tak ada", jelas Aina dengan yakin.

"Kau kompem ke? Buatnya ada, tapi kau je yang tak perasaan macam mana? Dia buatkan passport untuk kau, lepas tu dia hantar kau ke luar negara, jual beli organ. Tak pun dia jadikan kau keldai ke. Macam kat TV selalu beritahu tu. Jangan jadi keldai dadah. Kau tak takut?", Hana meniru intonasi suara iklan tersebut.

"Dah..dah.. aku nak mandi. Melayan kau ni, sampai ke tualah aku takkan mandi. Tentang surat tu, sebenarnya bukanlah surat apa pun. Dia cuma tulis apa skop kerja aku, lagi satu dia bagi warning letter sebab aku tertidur, tu je.." Serabut otak Aina diperlakukan Hana.

"Ooo lain kali cakaplah awal-awal. Tak adalah aku susah-susah dok meneka".

Aina terus meninggalkan Hana di ruang tamu. Ada baiknya jika dia mandi bersihkan apa yang patut. Jika ikut perangai Hana, silap-silap esok nak pergi kerja semula baru dia mandi.

'Alamak! Macam mana boleh lupa ambil tadi', Aina bersungut di dalam hati. Harap-harap si Hana tu tak terlelap lagi. Takkan nak keluar dengan keadaan basah-basah macam ni.

"Hana ! Hana!" Aina jerit dari dalam. Kalau jiran sebelah dengar, entah apa yang mereka akan fikir. Anak dara jenis apa lah dok terjerit terlolong.

" Aduh..." Aina tergelincir. Nasib baik sempat berpaut di kabinet dapur. Kalau tak memang esok dia MC lah jawabnya. Silap hari bulan, tak pasal-pasal kena tahan wad. Sakit juga pinggangnya, walaupun tak terhempas tapi sakitnya tetap terasa. Bilik air hanya di sebelah dapur, untuk ke bilik dia perlu melintasi dapur terlebih dahulu. Nasibnya kurang baik petang itu, dia terpijak penutup bekas plastik yang berada di lantai.

Terdengkot-dengkot Aina keluar dari bilik mandi. Nampaknya dia terpaksa batalkan niatnya untuk pergi ke pasar malam. Terpaksalah beli bungkus kat mamak bawah.

**********

"Nah.." Bungkusan diletakkan betul-betul di hadapan Aina yang khusyuk menonton Buletin Utama.

"Terima kasih". Tanpa membuang masa, bungkusan polistrine dibuka. Nasi putih, ayam goreng, sedikit kuah kari dan juga tumis kobis menjadi pilihan mereka berdua malam itu. Manakala minuman awal-awal lagi memang sudah tersedia di peti sejuk mereka, sirap ais menjadi pilihan utama.

"Esok kalau kau tak larat nak pergi kerja, kau beritahu jelah kat Datin tu. Lagi pun macam mana kau nak bawak skuter tu, pinggang lagi, dengan kaki lagi terkehel. Esok aku balik keje kita pergi urut kaki kau tu." Hana bersimpati dengan nasib Aina, memanglah tidak seteruk mana. Tapi jika dibiar melarat boleh jadi bengkak. Lagi pun dia baru je start keje, gaji pertama pun belum sempat lagi nak merasa.

"Sikit je ni. Esok kalau aku tak larat nak bawa Miss Pinky kau tu, aku naiklah teksi. Lagi pun senangkan kat sini nak dapat teksi. Aku takutlah nak ambil MC atau cuti tanpa gaji. Yelah aku baru je masuk kerjakan." Aina sedikit mengeluh, bukannya dia tidak redha dengan apa yang menimpa, cuma dia sedikit ralat. Terasa seperti malang, tak pun rasa macam ada je penghalang untuk dia bangkit memulakan hidup barunya di sini. Aina terus beristighfar. Dia tidak sengaja memikirkan perkara di luar pengetahuannya.

**********

"Menyusahkan betullah kau ni. Ingat tuan puteri ke, nak kena jemput. Aku ada meeting kejap lagi. Tiba-tiba mama suruh ambil kau, datang naik teksi kan senang," Izhan Rayqal berasa Aina Batrisya mahu mempergunakannya, seperti perempuan lain yang dia pernah kenal. Walaupun Datin Qalsum yang beriya-riya meminta agar dia menjemput Aina, tetapi Izhan Rayqal tetap juga dengan pendirian kunonya.

"Saya memang nak naik teksi tadi. Awal-awal lagi saya dah beritahu Datin. Tapi Datin yang larang saya naik teksi. Katanya jalan jem, nanti saya terlewat, dan encik pasti akan marahkan saya." Aina yang sememangnya ratu airmata, sudah menahan sebak dihati. Dia yang menelefon Datin Qalsum memberitahu berkemungkinan dia tidak dapat pergi kerja pada hari ini. Kakinya tidak boleh bergerak terlalu banyak, sakit akibat terseliuh malam tadi, tidak hilang-hilang malahan semakin berdenyut. Sekarang pula ditambah denyut dihatinya.

"Alasanlah. Tadi aku tengok bukan main cat walk lagi kau! Entah-entah kau memang teringin sangat beduaan dengan aku." Jantan tak tahu malu betul, andailah muka kau tu hensem tahap Hithrik Roshan sekali pun, tapi perangai berlagak tahap langit ke tujuh, jangan kau mimpi nak ada isteri, muka elok dah ala-ala wara' gitu, tapi bahasa.. huh! Tak baik pula rasanya membandingkan perangai dengan kewara'kan wajahnya, mm.. tapi bukan ke lebih baik penampilan seiring dengan tingkah laku yang ditonjolkan.

Aina hanya diam membisu. Malas dia mahu bertekak dengan anak majikannya ini. Lebih baik dia menikmati pemandangan di luar tingkap kereta Porsche Cayenne yang dipandu Izhan Rayqal. Kelihatan pelbagai jenis kenderaan sudah memenuhi jalanraya menuju ke destinasi masing-masing. Dan sudah pastinya keadaan menjadi sesak. Itu lebih baik bagi Aina, daripada sesak melawan mulut dengan Izhan Rayqal. Sekali otak pun boleh jem.

Seharian ditempat kerja, hanya tubuhnya sahaja berada di situ. Jiwa dan perasaannya melayang ke Kuala Lumpur. Aina sangat rindu, melihat mereka tertawa sudah membuatkan hidup berasa serba lengkap dan mewah. Namun keadaan memaksa untuk dia berada di sini. Dia teringin suatu hari nanti, mengatakan pada kedua orang tuanya,

"Mak, ayah sebutlah ke mana atau apa sahaja yang mak dan ayah inginkan, insyaAllah pasti Aina tunaikan".

Sekilas Aina teringat ibunya pernah mengatakan, padanya, "Mak, ayah tak nak apa-apa dari Aina, cukuplah jadi anak yang solehah pada kami. Bila kami dah tiada nanti hanya kamu harta yang kami ada. Selebihnya hanya amalan dan sedekah amal jariah. Dan satu je mak dengan ayah minta, bila sudah ada jodoh yang baik untuk kamu, maka terus bawa jumpa mak dan ayah. Kami tak nak tengok lagi kamu bersedih hanya kerana cinta seorang manusia."

"Kamu tahu sebab apa Aina, kami tak nak tengok kamu bersedih lagi?" Ayah menyampuk. Aina menggeleng.

" Sebabnya bila kamu menangis, kamu berduka, kamu sakit, dan kamu tak mampu berbuat apa, kami juga merasakan yang sama nak.." Ya! Satu jam sebelum aku berangkat, itulah kali pertama, aku melihat ayah sangat sayang padaku.

Aina tersentak apabila Adam menggoyang-goyangkan lengannya. Lekas-lekas Aina menyeka airmata di pipinya.

"Ya sayang, Adam nak apa?"

Seperti biasa, Adam hanya menunjukkan kemahuannya dengan menulis di whiteboard putih bersaiz kecil miliknya. Aina hanya tersenyum dan menuruti sahaja kehendak Adam.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku