Isteri Aku Nanny!
BAB 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3518

Bacaan






BAB 8

Punyalah mengantuk tahap maximum infiniti yang tak dapat dibendung-bendung. Jam menunjukkan pukul 7.30 pagi. Aina menarik selimut lebih tinggi, hingga menutupi wajah. Tap! Tiba-tiba terasa seperti ada sesuatu yang tak kena. Ya Allah! Setengah jam je lagi. Mati aku. Aina bingkas bangun, langsung tak ditolehnya si Hana yang masih berdengkur. Nyaris-nyaris dia tersungkur di muka pintu bilik air. Mandi pun tak sempat nak tutup pintu. Siapa je yang nak mengintai. Kelam kabut Aina bersiap-siap. Dia mencapai apa sahaja yang dia rasa paling pantas untuk disarungkan ke badan. Kemeja lengan panjang warna merah, jeans longgar gelap dan instant shawl brand 'Masdira' yang dibelinya secara online juga berwarna sedondon dengan seluar jeansnya.

"Lambat 5 minit hari ini", Izhan Rayqal menegurnya.

Diam. Nasib baik jalan tak sesak, kalau tak bernanah lah telinga aku ni dengar bebel pagi-pagi. Dengar JOHARA pagi di era lagi baik. Aina hanya mampu berbalah di dalam hati.

"Mama! Ni sampai dah budak kampung kesayangan mama ni." Memang dia sengaja memancing kemarahan si Aina. Nak pancing ikan pun, dia bukannya berminat.

Budak kampung? Habis dia tu apa? Beruk kampung yang selalu dok makan tanaman orang. Tak pun siamang! Tak pun yang selalu dok bising pepagi tu Ungka! Yes, hari ni aku dah dapat 1 nama yang sesuai buat kau. Mat Ungka! MU! Kalau tak tahu nanti aku ajar cara nak google. Huh..

"Iz.. apa masalah kamu dengan Aina ni sebenarnya? Kamu nak, mama kawinkan kamu dengan Aina? Macam budak-budak. Kamu tu berpelajaran tinggi, takkanlah menghormati orang pun nak diajar." Sebenarnya Datin Qalsum semakin kagum dengan Aina. Dan dia sudah mula tertarik melihat gadis itu. Ada banyak perkara yang ada pada Aina Batrisya sangat menyenangkan hatinya disudut paling dalam.

"Saya minta maaf datin, saya terlambat hari ni. InsyaAllah lepas ni saya akan cuba pastikan ianya takkan berulang lagi". Aina kesal, andainya dia tidak meeting sehingga larut malam semalam bersama Hana, berkemungkinan besar dia tidak akan lambat pagi ini. Tapi Allah melarang jika dalam hidup banyak sangat berkalau-kalau.

"Tak pe, saya faham. Lagipun JB ni kalau tak sesak memang tak sah. Sama macam KL kan? Hari ni saya dan Iz tak ke pejabat. Cuma Dato' sahaja yang uruskan hal pejabat hari ni. Jadi sementara tu, saya nak minta tolong kamu kemaskan barang-barang Adam masukkan dalam kotak yang dah ada dalam bilik tu. Tinggal sikit sahaja lagi, yang lain-lain semuanya dah ada dalam lori tingkat bawah."

Iz? Oh nama MU tukan Izhan Rayqal. Barulah Aina perasan dalam rumah ni, dia sorang je panggil si MU tu Rayqal. Huh, datin tau aku panggil anak dia lari teruk dari apa yang anak dia gelar aku, mahunya dibuang terus aku kerja.

"Oi budak kampung tunggu apa lagi, pergilah". Terenjat sedikit Aina mendengar suara garau Izhan Rayqal. Lekas-lekas dia berlari anak menuju ke bilik Adam. Nampaknya semua barang dah dipunggah keluar dari almari dan dilonggokkan di atas katil. Tinggal sahaja Aina susun masukkan dalam kotak. Macam makan kacang putih je ni, sekelip mata dah boleh siap. Batang hidung Adam langsung tak kelihatan pagi ini. Ke mana juga budak bertuah tu pergi.

"Datin saya dah siapkan kerja yang datin minta saya buatkan tadi. Hanya yang atas katil sahajakan?"

"Ya-ya betul tu. Terima kasih ya. Aina duduk dulu. Sekejap lagi ada pekerja datang ambil barang-barang ni, kita turun sekali." Datin Qalsum kelihatan sangat sibuk mengemas fail-fail yang berselerakkan di atas meja makan dan juga di meja kopi yang berada betul-betul berhadapan dengan sofa yang dia duduk sekarang.

"Tapi sebenarnya kita nak ke mana ya datin?" Aina kaget melihat banyak sangat kotak-kotak di luar pintu rumah. Adakah lepas ini dia akan kehilangan kerja? Aina sedikit gusar.

TING! Tong!

Siapa pula yang datang? Waktu-waktu macam ini. Kata datin tadi hari ini, mereka tiada urusan pejabat. Rumah sudahlah macam tongkang pecah.

TING! Tong!

"Tak apa datin, biar saya bukakan pintu". Aina berjalan tenang menuju ke arah pintu. Sebaik sahaja daun pintu dikuak, terpacul seorang gadis cantik tinggi lampai dan agak seksi. Penampilannya dah macam artis pun ada, gaun hitam paras peha, sedikit terdedah dibahagian dada. Rambutnya yang membuat gadis itu bertambah seksi, panjang keperangan dan beralun.

"Apa yang kau lambat sangat? Nak buka pintu pun susah ke?" Tak sempat Aina memberikan alasan,

"Aduh!" Aina terjerit kecil apabila bahunya dirempuh dengan kasar.

Muka je lawa, tapi langsung tak ada sivik!

"Mak Long.." Manja sangat suaranya. Siap laga-laga pipi. Nyampah!

"So, what are u doing here Fany?" Datin Qalsum menyoal.

"Kebetulan Fany nak pergi rumah kawan tadi. Tiba-tiba teringat kat mak long, tu yang Fany singgah sekejap". Sempat lagi dia mengerling tajam pada Aina yang sedang duduk di sofa.

"Tu siapa mak long?"

Sekilas lalu Datin Qalsum merenung ke arah Fany. "Owh.. Tu pengasuh baru Adam". Ikutkan mahu sahaja Datin Qalsum menghalau Fany balik. Pagi-pagi lagi dah datang mengganggu. Pakaian dah macam tak cukup kain. Sakit matanya melihat!

"Pergilah duduk sana. Mak long banyak lagi kerja nak buat. Kalau kamu datang nak cari Iz, dia dah keluar beli breakfast". Datin Qalsum masak benar dengan perangai Fany, tujuan utamanya datang bukanlah kerana merindui dirinya tetapi anak sulongnya!

Fany bangun dan merapati Aina. Dia duduk sebelah Aina, seolah-olah ingin berkenalan rapat dengannya. "So u lah pengasuh baru Adam?"

"Erm.. ya, nama saya Aina". Aina menghulurkan tangan sebagai awalan perkenalan mereka. Langsung tak disambut Fany. Aina pantas menurunkan hulurannya tangannya. Buat-buat tiada apa yang berlaku. Walaupun terasa mahu dipijak-pijakkan sahaja si Fany ni, biar dia tahu betapa malunya dia diperlakukan seperti itu.

"Baguslah, pengasuh lebih kurang sama sahaja macam bibik. Memandangkan Mak Cik Piah tu tengah sibuk, aku nak kau yang tengah relax-relax macam permaisuri ni, buatkan aku coklat suam.

Aina serba salah. Memanglah dia pernah masuk ke dapur membantu mak cik Piah, tapi untuk mengambil alih tugasnya, apa pula kata orang tua tu nanti.

"Cepatlah!" Fany meninggikan sedikit suaranya, takut juga jika mak long mendengarnya nanti.

Aina bangun terus ke dapur. Di tenungnya satu-satu botol-botol yang tersusun rapi di rak. Dibukanya pula kabinet dapur. Tapi tak juga jumpa apa yang dicari. 'Aduh macam mana ni, kang bising pula minah tu. Nanti dia kata aku sengaja berehat kat dapur pula,' Aina berbisik kecil.

"Aina pergi ke depan biar Mak Piah buatkan." Sejak bila pula, Mak cik Piah ni menggelar dirinya Mak Piah, selalunya ada mak cik dalam sebutannya.

"Tak apalah mak Piah. Saya tolong. Mak Piah beritahu je pada saya apa saya perlu buat." Mak Piah abaikan sahaja apa yang diperkatakan Aina. Maksudnya mak Piah buat-buat pekak.

"Nah pergi bagi kat Fany tu, nanti dia melenting susah kita". Barulah mak Piah mengeluarkan lunak suaranya.

"Susah?". Aina berlalu tanpa menanti jawapan dari mak Piah.

"Buat air pun berjam". Ada je nak cari punca perempuan ni. Cukup baiklah mak Piah tolong, kalau tak sampai ke esoklah kau kempunan air coklat ni! Fany membawa coklat suam menuju ke arah meja makan.

Izhan Rayqal sudah pun muncul membawa bungkusan plastik putih di tangannya.

"Fany?" Izhan Rayqal buat muka pelik.

"Yes, dear". Fany bangun dari tempat duduknya terus memaut lengan lelaki itu.

Izhan Rayqal tak menunjukkan sebarang reaksi. "So, ada apa u datang sini? Shopping? Jangan kata u sesat pula". Malas sungguh dia mahu melayan si penggoda yang satu ini. Bukannya tahu nak berenggang, depan orang ramai pun dia tak malu menunjukkan kemesraan yang palsu itu. Dia sudah mual dengan sikap Fany, tapi apakan daya mereka sepupu. Nanti apa pula kata pak ngah jika dia tidak melayan Fany baik-baik.

"I datang nak lawat u. U beli apa tu? I nak juga boleh?" Semakin mengada-ngada intonasi suara Fany.

"Erm macam mana ya, i nak beritahu u." Izhan Rayqal buat-buat berfikir.

"Sorry, I've bought just enough for the family. I tak sangka pula u datang pagi-pagi macam ni. Lagi pun cuba u tengok dalam rumah ni, berselerakkan? U pun tahu yang kami nak pindah. Why u mesti datang waktu tengah busy macam ni?" Izhan Rayqal cuba mengawal suaranya agar tidak kedengaran begitu tegang.

"Tapi i tengok macam banyak je u beli tu."

"U ni kan... i just beli tiga bungkus nasi lemak dengan yang ni. Dia menunjukkan 4 keping roti bakar yang masih panas.

"Then.. cukuplah tu untuk kita berempat. U, i, mak long and your little brother. Apa yang tak cukupnya. U kata just enough for the family. So jom breakfast! I pun dah lapar ni."

"Orang selalu kata aura i ni kuat. So kiranya you pun dapat rasa aura i. Sebelum i datang tadi, u mesti dah dapat rasakan?" Fany sengaja menguatkan suaranya lalu memandang sinis pada Aina, yang dari tadi hanya membuat tidak tahu apa yang berlaku sebentar tadi.

Aina naik loya sampai nak termuntah kuning mendengar suara Fany yang buat-buat manja itu. Jika dia teruskan dengan melihat aksi mereka, mahu bertukar Mambang Kuning si Aina. Jadi lebih baik dia baca majalah PEREMPUAN yang sememangnya sedia ada di bawah meja kopi tersebut. Lantak pi kat hang lah perempuan, nak telan dengan sudu, cawan, hatta meja sekali pun, ada aku kisah? Aku elok kat sini, kau yang panas. Aina hanya berani berkata-kata di dalam hati yang sedia membara dan meluat itu.

"Mama makanlah dulu dengan Adam dan Mak Piah. Iz nak keluar sekejap. Aina, awak pun sama, jangan tak makan pula. Nanti pengsan bertambah pula kerja saya nanti."

"You.. nak pergi mana, temanlah i makan sekejap". Pujukan Fany langsung tak melemahkan Izhan Rayqal.

Hampir 2 jam, Izhan Rayqal berada di luar. Melepak di Restoren Murtabak Midin. Berat sungguh hatinya nak pulang ke rumah awal. Biarlah macam tongkang pecah sekali pun. Asalkan dia dapat lari dari sepupunya itu.

Bunyi ketukan pintu dan berselang seli dengan bunyi loceng ditekan beberapa kali, membuatkan semua di dalam rumah saling berpandangan.

"Saya bukakan pintu". Siapalah yang jenis tak reti sabar ni. Pintu solid kayu jati di bukanya. Terjengul muka lelaki yang boleh dikategorikan hensem bagi Aina. Erm.. ingatkan makhluk manalah tadi.

"Buka pintu pun berjanggut." Izhan Raiqal mengomel.

Ish MU ni, tak reti nak berterima kasih langsung. Dia yang keluar berjam-jam, bawalah kunci, tak adalah menyusahkan orang nak duduk bangun semata nak buka pintu untuk dia.

"Kamu ni Iz, cubalah bawa bersabar. Ni tidak, bingit telinga mama ni dengar kamu tekan loceng tak henti-henti. Mengalahkan kena kejar hantu."

Anak sulongnya itu tidak menjawab sepatah pun. Matanya meliar keliling rumah. Macam kena rasuk! Habis setiap bilik dijenguknya. Termasuklah bilik mandi. "Mana gedik girls tu ma?"

"Siapa?"

"Siapa lagi anak pan ngah tulah." Izhan Rayqal mencebik.

Datin Qalsum menarik nafas pendek. "Kamu ni suka hati je bagi gelaran kat dia. Anak bapa saudara kamu tu. Dia dah balik. Tak sampai 10 minit pun. Kamu tak ada terserempak dengan dia ke?"

"Entah. Tak nampak pun." Elok juga tak terserempak, kalau tak memang dia dah jadi lipas kudunglah jawabnya. Berada dekat dengan Fany, umpama menyerahkan diri pada si ulat bulu, kalau kena badan mahu menangis satu minggu menahan gatal.

**********

PERGH!!!! Ini rumah ke istana? Hampir nak terkeluar kedua biji mata Aina. Aina sibuk memerhati rumah banglo tiga tingkat yang tersergam indah di hadapannya. Aina bergerak sedikit, terjengket-jengket kakinya melihat ke belakang. FUIYO!! Ada kolam renang, di tengah-tengahnya terdapat air pancut buatan manusia. Dia betul-betul terpesona. Walaupun hanya sekadar sebagai pemerhati, dia begitu puas sekali. Dialihkan pandangan ke sebelah kanannya, terletak parkir kereta yang agak panjang. Berderet kereta-kereta mewah parkir di situ. Gila ke apa diaorang ni? Dah tak tahu ke mana nak dihalakan duit yang banyak tu agaknya. Sebab tu beli kereta sampai lima biji, harga mahu mencecah sebiji banglo agaknya. Itu belum lagi masuk kereta datin dengan si MU tu. Erm..

"Ehem.. ", suara berdehem tu memang Aina kenal pemiliknya.

"So.. kau nak jadi minah guard ke apa? Dah nak tukar profesion?" Ikutkan hati mahu sahaja Aina hamburkan semuanya yang tersimpan selama hampir sebulan lebih menjadi pengasuh Adam. Tetapi Aina batalkan niatnya. Dia tidak mahu berada sama level dengan Izhan Rayqal, jika dia lakukan perkara yang sama sepertimana Izhan Rayqal lakukan padanya, maka ianya sudah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan jejaka bukan pilihannya itu. Jadi, abaikan!

Aina buat pekak. Dia perlu terima kenyataan, bahawasanya anak majikannya itu seorang yang suka memerli dan langsung tak pandai jaga hati perempuan. Jadi dia malas ambil pusing, lebih baik dia masuk ke dalam perut banglo tersebut. Mana tahu ada yang lebih mengujakan.

Aina mendekati Datin Qalsum yang sedang berdiri sambil memerhati beberapa orang pekerja sedang menurunkan barang-barang dari lori. "Maaf datin, saya mengganggu. Saya cuma nak pastikan ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Begitu tertib sekali Aina bila berhadapan dengan Datin Qalsum. Aina agak kekok bila mahu bercakap dengan orang yang punya pangkat seperti majikannya itu.

"Eh tak apa, kejap lagi kamu cuma tengok-tengokkan Adam tu je. Skuter kamu tu nanti, saya suruh pekerja ni letak kat parking sana tu. Kamu ingat jalan tak? Kalau kurang pasti, nanti saya minta anak saya hantar kamu balik. Kalau dia busy, nanti biar Pak Mat hantarkan". Ha? Tak naklah aku naik satu kereta dengan mamat tu. Nanti ada je dibebelnya, dari bernanah telinga aku ni, aku lebih sanggup sesat dari kena mengadap muka dia.!

"InsyaAllah datin, saya ingat. Lagi pun rasanya tak jauh dari rumah saya. Kalau ada apa-apa nanti saya call kawan saya Hana". Aina cuba meyakinkan Datin Qalsum, walaupun sebenarnya dia sendiri masih keliru dengan lorong yang bermacam jenis nama yang perlu dia lalui. Kalau guna jalan besar, mungkin tiada masalah.

"Baguslah macam tu. Takut juga, esok tak jumpa rumah, kamu terus nak berhenti kerja. Mana pula nanti saya nak cari pengganti." Datin Qalsum tersenyum tenang. "Dah kamu masuk dulu ke dalam. Panas kat luar ni. Minta Mak Piah buatkan minum petang ya." Tidak dapat di sangkal lagi, Datin Qalsum begitu senang dengan kemunculan Aina sebagai pengasuh anak bongsu kesayangannya itu. Jika Aina masih meneruskan pekerjaannya sebagai pengasuh Adam, ini bermakna Aina sudah pecah rekod! Pengasuh paling lama yang mampu bertahan. Alhamdulillah.

"Baik datin, saya masuk dulu".

Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah, Aina sekali lagi terpempan, teruja, terkesima semuanya ada. Sumpah! Memang dia tak pernah masuk ke dalam rumah yang sebegini mewah. Besarnya.. Hanya Tuhan yang tahu, nak kata macam istana, dia sendiri pun belum pernah menjejak kaki ke istana. Aina memberhentikan langkah, memikirkan di mana dia pernah nampak yang seakan-akan seperti dia nampak sekarang. Tiang Roman sebesar-besarnya, siling yang tinggi terdongak. Dilihatnya pula lantai yang dipijak, bersinar, licin tanpa sebarang cela sehingga boleh dibuat cermin muka. Baru Aina teringat, ianya seakan lobi hotel yang pernah dia dan keluarganya menginap. Keluarganya tidaklah terlalu dhaif sehingga hotel pun tidak pernah dijejak, ini kerana setahun sekali mereka pasti akan pergi bercuti. Dengan kelebihan ayahnya sebagai seorang penjawat awam ketika itu, jadi dia dan keluarganya dapat menginap di tempat penginapan yang disediakan pihak kerajaan dengan bayaran yang sangat rendah.

"Aina, nah kamu tolong Mak Piah bawakan ke depan." Talam bewarna chrome itu bertukar tangan. Hidangan karipap yang masih panas dan juga teh o yang masih berasap itu menusuk masuk ke rongga hidungnya. Sempat juga anak mata Aina mengerling ke arah dinding yang ada digantungkan gambar keluarga. Aina berkira-kira, Datin Qalsum dan sebelahnya sudah pasti Dato' Aminuddin, walaupun belum pernah lagi bersua dengan suaminya Datin Qalsum, Aina yakin yang duduk sebelah majikannya itu sudah pasti suaminya. Izhan Rayqal, Adam.. tapi perempuan yang berada di tengah-tengah mereka itu siapa. Fany? Memang jauh sekali bukan. Perempuan di dalam gambar itu manis bertudung, manakalala Fany... Aina mencongak-congak. Seangkatan dengan itu Aina terfikir sesuatu, buat apalah dia sibuk memikirkan perkara yang sudah tentu tiada kena mengena dengannya.

Aina cepat-cepat menuju tempat yang diminta oleh mak Piah. "Datin.. ni hidangan untuk minum .petang Mak Piah dah siapkan tadi."

"Okay terima kasih. Mak Piah mana?" Soal Datin Qalsum kehairanan, kenapa minta Aina yang hantarkan makanan.

"Mak Piah siapkan kerja sikit di dapur." Jawab Aina seolah faham apa yang bermain di fikiran majikannya.

Setelah semuanya selesai, Aina meminta diri untuk pulang. Semakin lama dia di situ, semakin banyak masa dia perlu memandang wajah lelaki kaki sinis itu. Dia bukannya sengaja nak pandang, cuma biji matanya ni tak boleh ditahan-tahan untuk melihat musuhnya itu. Izhan Rayqal pun begitu. Pernah juga sesekali mereka saling berpandangan antara satu sama lain. Dia pelik mengapa lelaki itu suka sangat curi-curi pandang ke arahnya. Bila dekat tak ada pula dia beritahu apa-apa. Izhan Rayqal juga hairan, kenapalah budak kampung tu selalu tertangkap curi-curi pandang ke arahnya. Bila ditenung mulalah kelam kabut kononnya buat kerja lain!

"Terima kasih Aina jagakan Adam sehingga ke hari ini. Harapnya esok jumpa kamu lagi ya," pesan Datin Qalsum sambil melambaikan tangan kepada Aina yang sedang berlalu pergi bersama skuter pinknya.

"Sama-sama". Perlahan sungguh suara Aina. Ditutupi pula dengan helmet yang ditutup rapat cerminnya. Mustahil datin akan mendengar suaranya. Sebenarnya Aina susah hati, lorong manalah dia perlu ikut supaya bertemu dengan jalan besar. Aina meneruskan perjalanannya bersama skuter yang setia.

"Allah.. dah 5 kali aku pusing ni. Apasal tak jumpa-jumpa jalan besar ni."

Ha.. tulah Aina, doalah lagi. Sanggup sesat konon, dari duduk berdua lama dengan si Rayqal tu. Sekarang kau rasakanlah, berkat doa kau dimakbulkan. Aina seolah mendengar suara hati. Ada betulnya juga, tadi dia yang cakap sanggup sesat. La.. ni tanggunglah sendiri. Aina mengeluarkan telefon bimbitnya, lalu menelefon seseorang.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 | Bab 21 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku