Isteri Aku Nanny!
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1779

Bacaan






BAB 10

Bagaikan kilang airmata yang sedang pesat membangun. Sesekali Aina menyeka air matanya menggunakan tapak tangannya. Pedih! Ini kalau orang tengok, mahu dikatanya aku ni Ratu Si Air Mata. Aina sudah tidak dapat tahan lagi. Dia terus berlari menuju ke sinki. Di basuh wajahnya berkali-kali. Apabila terasa lega, barulah dia menutup air yang dibiarkan mengalir ke mata terus ke wajahnya itu. Elok sahaja dia berpaling ke belakang, Hana sudah terpacak betul-betul dihadapannya.

"Kau ni kan, selalu sangat macam ni. Muncul tiba-tiba, lepas tu diam-diam dah terpacak kat belakang aku. Kalau aku ada sakit jantung, dah lama aku jadi arwah." Aina membetulkan kedudukan apronnya.

"Mana taknya asyik terkejut, kau tu dah macam masuk rancangan Master Chef, bukan main fokus lagi kat bawang tu. Aku memang dah lama tercogok kat tepi dinding ni, kau je yang tak perasan. Kau nak masak apa ni? Banyak betul bawang. Patutlah kau asyik soseh-soseh je, aku ingatkan kau menangis sebab rindu jejaka ala cina kau tu." Hana mengejek.

"Kau ni kan suka sangat kenakan aku kan? Aku ingat nak buat sambal tumis ayam, tak pun nasi ayam special, sebab guna ayam kampung."

"Mana kau dapat ayam kampung? Jangan kau nak cakap mak ayah kau bela pula". Hana ni nak kata bijak macam tak bijak, nak kata tak bijak macam tak betul pulak.

"Kau ni agak-agaklah kalau nak meneka pun. Kau ingat bela ayam ni macam kau bela ikan laga ke? Letak dalam akuarium, lepas tu kau bagi makan. Mak aku.. kirim kat pak andak aku, dia balik kampung kat Kuala Kangsar sana tu, kebetulan ada bela ayam kampung, apa lagi mak aku kirimlah sampai 5 ekor." Jelas Aina dengan panjang lebar.

"Habis tu, ada 5 ekor lah tu dalam peti ais kita? Takkanlah kita nak makan ayam kampung je kot. Aku nak juga makan ikan atau lamb ke. Ayam kampung ni bukan ke liat?" Banyak pula si Hana ni membebel, rasa nak diselotep kan je mulut mak neneknya tu.

"Allah.. kau ni pun. Mak aku bagi sekor jelah. Empat ekor lagi tu mak akulah yang punya. Gila ke apa kita nak mengketedarah sampai lima ekor. Ayam tu ada petua kata pilih yang jantan kurang liat, tu kalau tak silap akulah. Takpun rebus dulu sekejap bagi lembut sikit, barulah goreng, kalau nak digoreng." Aina geram sampai terkeluar loghat peraknya.

"Ooooooo." Panjang betul oo nya. Muncung sampai sedepa.

"Aku nak nasi ayam special. Kau buat sedap-sedap tau, kalau tak sedap, aku ngadu kat Zairel cakap kau tak pandai masak. Biar padan muka kau... heheh". Hana sempat memgusik Aina. Sudah lah malas memasak, kerjanya asyik mengusik orang je. Pergilah usik kucing ke, burung ke, aman sikit aku nak memasak. Mood pun tak rosak. Ini asal bercakap je mesti nak kaitkan mamat cina celup tu.

Begitu selera si Hana mengadap Nasi Ayam yang dimasak Aina. Tak pernah dia merasa Nasi Ayam sesedap ini. Pujian yang melambung-lambung dipersembahkan kepada Aina. Semuanya lengkap, ada nasi, sup, sambal kicap, sambal cili yang memang terangkat! Siap ada hirisan tomato, timun berserta salad. Air pula diserahkan bulat-bulat kepada Hana. Dia memilih jus tembikai susu. Hana memang kepakarannya dari dulu adalah membancuh air, tidak kiralah sama ada air buah yang fresh sehinggalah ke teh'o yang sangat mudah tu. Bila mana Hana yang bikin, memang kelainan air tangannya membuat orang teringat-ingat.

"Well... bila aku boleh makan nasi minyak? Nampak gaya macam kau je dulu naik pelamin. Aku jadi pengapit jelah." Hana bersuara, Aina yang sedang meneguk jus tembikai susu, hampir sahaja tersedak. Waktu-waktu macam nilah si Hana ni nak spoilkan mood Aina. Bukan dia tak mahu berkahwin, cuma dia rasa tersangat awal. Kenal pun tak lama, tup-tup dah bagi cincin tanda, maknya pula sibuk merancang majlis tunang.

"Kau boleh tak tengok timing bell sebelum nak tanya? Kalau aku tersedak tadi, jangan kau marah aku pula bila teesembur habis ke muka kau yang cantik tu." Aina sempat seloroh, walaupun dalam fikirannya masih celaru dengan soalan teman baiknya itu.

"Aku.. cuma terfikir, nanti kalau kau dah kahwin mesti aku akan rindukan kau. Tinggallah aku sorang-sorang dalam rumah kecil ni. Rumah mamat tu mesti jauh lagi besar rumah kita ni kan?" Hana mula buat cerita sedih. Nak buat kilang air matalah tu. Siap nak cari operater pengeluaran, Aina pula menjadi mangsa. Yelah, kalau tak Aina siapa pula. Hanya mereka berdua sahaja penghuni rumah tersebut.

"Aku ni lagilah sedih. Rasa sayu sangat nak tinggalkan rumah ni. Dan paling aku sedih mungkin terpaksa tinggalkan kau bila dah kawin nanti. Entah ke manalah dia akan bawa aku lepas kami sah suami isteri nanti. Tak sempat pun aku nak selesaikan plan yang aku dah rancang sejak dari KL lagi. Tak sempat nak laksanakan misi aku dengan kau, nak pergi spa, shopping, jalan-jalan pusing Malaysia." Aina turut merasa apa yang Hana rasakan.

"Dah tahu tarikh nak langsungnya nanti?"

"Belum. Mama papa dia pun, aku tak pernah jumpa lagi." Aina tunduk. Segan dengan Hana. Entah apalah yang bermain di kotak fikiran Hana.

"Patutlah aku tanya tentang rumah dia, kau senyap. Bila nak jumpa?" Hana sekaan mengorek sesuatu.

" Aku tak pasti. Hari tu dia beritahu aku, mama papa dia ke Perth. Sekarang pula ada kat Langkawi. Aku malas nak tanya lebih-lebih. Nanti aku takut dia fikirkan yang bukan-bukan tentang aku pula," sahut Aina.

"Aku rasa kau patut ajak dia jumpa mama papa dia tu, boleh kenal-kenal bakal mentua. Mudahkan kau juga nanti, sekurangnya orang tua dia dah jumpa kau dulu sebelum ikatan seterusnya. Petang ni kau nak keluar dengan dia kan?" Hana cuba menasihati Aina. Dia berharap menjadilah hubungan teman baiknya kali ini. Lebih-lebih lagi Hana sendiri yang beriya-iya suruh Aina menerima kehadiran Zairel. Jadi dia rasa sangat bertanggungjawab seandainya apa-apa berlaku pada temannya itu.

"Itulah kan, petang nanti aku nak tanya dia betul-betul, mana tahu entah-entah dia sendiri yang pandai-pandai buat keputusan nak lamar aku. Mama papa dia tak tahu apa-apa, tak ke naya aku nanti."

Aina memilih memakai baju kurung petang itu. Dan wajahnya dioles ringkas upaya tampak bermaya dan segar. Walaupun hanya menggunakan foudation dan lip balm dari jenama Maybelline, sudah cukup menampakkan wajahnya yang sememangnya natural beauty. Dia sebenarnya malas berjumpa Zairel, dia mahu merehatkan badannya yang terasa lesu. Penat kelmarin pun tidak hilang lagi. Tambahan esok pula dia perlu bekerja awal pagi. Lantaran rindunya kepada Adam, dia mahu keluar awal esok pagi, dan bercadang untuk memasak Nasi Lemak Pandan istimewa untuk anak asuhannya.

"Jadi kita nak ke mana?" Aina terus menyoal setelah masuk ke dalam perut kereta BMW itu.

"Tengok wayang nak?" Aina geleng.

"Ice skating kat sunway piramid?" Geleng lagi.

"Kita lepak tasik,sambil tunggu matahari terbenam, mesti romantis". Terus geleng.

"Habis tu? Ini tak nak. Itu tak mahu. Awak nak pergi mana sebenarnya?" Zairel mula naik angin.

"Boleh tak awak bawa saya pergi jumpa orang tua awak?" Aina mencuba nasib. Harap kali ni, Zairel setuju.

Kereta BMW terus meluncur laju. Tanpa memberi sebarang jawapan, Zairel hanya memandu tanpa sebarang reaksi. Seakan ada yang tidak kena. Akhirnya tiba di satu kawasan perumahan. Di gerbang masuk tertulis Setia Indah. Zairel sempat mengangkat tangan kepada pengawal keselamatan yang berada di dalam pondok. Aina hanya melihat sekeliling. Ada CCTV di tepi pondok pengawal. Aina memandang wajah Zairel dari tepi. Lelaki itu tetap diam. Raut wajahnya tetap serius seperti awalnya tadi. Kali ini, cuping telinga Zairel merah. Dah macam udang kena bakar sahaja.

Kereta diberhentikan di hadapan sebuah rumah yang sederhana besar. Tapi tetap cantik dan tampak mewah. Hanya terdapat sebuah kereta yang tertulis Triton warna putih di garaj. Zairel memarkir keretanya di sebelah kereta Triton tersebut.

"Dah jom turun". Zairel memberi arahan. Aina hanya mengikut sahaja. Dilihatnya di sisi kiri rumah terdapat sebuah kolam ikan dan terdapat air pancut yang terkeluar dari mulut replika ikan agak besar. Aina menjenguk-jenguk ke kolam ikan. Hanya ada 5 ekor ikan. Aina teringat satu drama, dalam drama tu ada juga memasukkan scene kolam ikan. Ya ianya adalah spesis ikan yang sama seperti mana Aina lihat di TV.

"Awak tunggu apa kat situ? Masuk rumah dulu. Nanti saya minta bibik siapkan air untuk awak. Kita tunggu my parents kat dalam. Sekejap lagi diaorang balik.

"Tunggu di luar tak boleh ke?" Aina sedikit gusar.

"Kita tunggu di dalam. Lagipun bibik ada, apa yang awak nak risaukan?" Zairel seakan dapat membaca fikiran teman wanitanya itu. Aina akur.

Zairel dan Aina beriringan masuk ke dalam rumah. Ada tangga yang menghubungkan tingkat atas. Aina kagum dengan hiasan dalamannya. Simple tapi tetap nampak mewah dan gaya golongan elit.

"Bibik! Bibik! Haish .. mana jugalah orang gaji ni. Bibik!" Zairel berteriak memanggil orang gajinya.

"Ya encik, maaf saya lagi didapur." Terang wanita separuh abad itu.

"Maaf,maaf potong gaji baru tahu. Pergi siapkan minum petang cepat. Sekejap lagi mama papa pun dah nak balik, sediakan sekali untu kami berlima.

"Baik, Encik". Bibiknya terus melangkah pergi. Aina yang melihat aksi tersebut seolah tercenggang. Tak sangka pula Zairel melayan orang gajinya dengan cara yang baginya agak kasar dan biadap.

Setengah jam kemudian, orang gaji Zairel keluar dari dapur, menuju ke meja makan. Di tangannya memegang dulang yang di atasnya terhidang kuih seri muka dan juga karipap. Aina bangun untuk membantu, namun Zairel menghalang dengan menunjukkan isyarat tangan kepada Aina. Lagi sekali Aina akur, dia hanya memerhati dari tempat duduknya yang tidak jauh dari meja makan yang agak cantik susunannya. Setelah selesai menghidang kuih-muih di atas meja, bibik Zairel kembali semula, kali ini bersama seteko air panas dan juga beberapa biji cawan.

Dulang yang dipegang bibik diangkat dan dipeluknya ke dada. "Encik, minum petang dah siap. Jemput makan ya". Lalu pergi meninggalkan ruang makan.

"Jom kita minum dulu, semetara tunggu mama dan papa". Tak semena-mena pinggang Aina dirangkul, Aina terenjat. Dia menolak perlahan lingkaran tangan lelaki itu dipinggangnya. Zairel hanya memandang sekilas wajah Aina, terus bangun menuju ke meja makan. Aina membontoti dari belakang. Air dituang oleh Aina. Zairel pula asyik memerhatinya gerak geri Aina sedari tadi.

Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin kereta dari luar rumah. Seorang wanita dan seorang lelaki yang berusia lingkungan pertengahan 50an mungkin, keluar dari perut kereta model Mercedez itu. Aina mengagak mungkin itu mama dan papa Zairel.

Zairel dan Aina berdiri sebaik sahaja, pasangan itu tadi melangkah masuk ke rumah. Tanpa disuruh Aina mendekati pasangan itu, dan menyalami tangan wanita itu. Zairel dari belakang bersuara," Meet my mama, and that handsome man like me is my dad". Aina hanya memberi senyuman manis yang ikhlas untuk lelaki tersebut.

"Panggil je uncle Zaim, ni isteri uncle Puan Salmiey". Encik Zaim Benjamin membalas senyuman Aina. Dia dapat merasakan aura positif yang berada pada gadis yang di bawa Zairel kali ini. Manakala Puan Salmiey hanya mencuka.

" So this gurl yang ke berapa?" Soal Puan Salmiey. Serius benar suara mama Zairel. Zairel yang tidak menjawab hanya memberi isyarat mata agar mamanya mengunci mulut. Papa Zairel hanya menjadi pemerhati.

"Nak diam je ke? Kalau tak ada apa mama dengan papa naik dulu. Panas pula kat sini." Puan Salmiey seakan menyindir. Aina tetap senyap, diam seribu bahasa. Dia tidak tahu bagaimana mahu mula kan perbualan.

"Erm, masih single?" Aina angguk perlahan. Fikirannya sudah menerawang entah kemana. "Tu cincin apa?" Mama Zairel memuncungkan bibirnya ke arah jari runcing Aina.

"Cincin ni Zairel yang beri pada saya semasa kami ke KL rumah makayah saya". Biar dia tahu yang anaknya Zairel Benjamin yang beri. Bukan main sombong lagi. Bukan aku yang terhegeh-hegeh nakkan anak dia ni. Hati Aina menggerutu.

"What?" Terkejut beruk Puan Salmiey mendengar penjelasan Aina Batrisya. "Are you sure with that Zairel Benjamin?" Zairel hanya senyum sebelah. Kurang pasti maksud sebalik senyumannya itu.

"Tapi Zairel dah jumpa family saya, dan kami dah merancang untuk bertunang. Cincin ni sebagai cincin tanda sahaja". Aina cuba mempertahankan. Dia tidak mahu ibunya patah hati nanti, bila mengetahui apa yang dia hadapi sekarang.

"Biarlah dia. Apa nak dihairankan, dah tiba untuk dia serius dengan seseorang. Awak patut bersyukur, ada juga perempuan nakkan anak kita ni". Barulah terdengar suara papa Zairel yang tadinya seolah-olah tidak wujud di situ.

"Tulah awak, asyik biar je. Entah dari mana asal usul perempuan ni, senang-senang je awak kata biar?! Saya tengok air muka pun dah tahu yang dia ni cuma nak kan harta. Tengoklah pakaian atas bawah selekeh. No way! Nanti habis harta anak kita ni dikikisnya."

"Biarlah selekeh di luaran, asal hati tetap punya iman. Daripada pakaian bertatahkan berlian tapi hati umpama syaitan". Aina menyemburkan kata-kata pedas. Ikutkan perasaan mahu sahaja Aina angkat kaki. Tetapi mengenangkan si Zairel dan papanya, Aina tetap di situ.

"Awak tengoklah tu, belum apa-apa lagi dah kurang ajar". Anak mata Puan Salmiey merenung tajam, tepat ke anak mata suaminya, sambil jari telunjuk di halakan ke wajah polos Aina.

"Ha! Kau tu Zairel, perempuan macam ni kau nak buat girlfriend? Sorry to say.. Aku kalau dah mula membenci, sampai bila-bila pun aku akan benci! " Merah padam muka Puan Salmiey, dengan nafas yang turun naik.

"Correction! Harta saya bukan harta si Zairel anak kesayangan awak tu. Awak nak marah-marah ni kenapa. Kenallah dulu budak ni. Jangan nak main sedap mulut je, kalau bercakap tu, tak pernah nak guna akal !" Encik Zaim Benjamin sudah mula panas hati. Pelik sungguh dengan perangai isterinya yang satu ini. Orang tu dah jumpa perempuan elok, yang itu juga nak dijerkah-jerkah tak tentu pasal.

Puan Salmiey mengetap bibirnya yang merah menyala. Mujurlah tempat duduknya jauh sedikit dari tempat duduk Aina. Ditenungnya si Aina, siap buat muka yang paling menjengkelkan. Kalau dekat sudah ditamparnya mulut si Aina yang menyamakan hatinya seperti syaitan. Biar perempuan ni tahu, dia tak layak mendampingi anaknya Zairel sepertimana si Laila gadis kampung berlagak suci, 5 tahun yang lalu.

Hina sungguh terasa diri. Aina dah macam tunggul tak berguna di situ. Menyesal rasanya memaksa Zairel membawanya ke sini. Si Zairel, hanya membisu melihat wajah polos Aina. Langsung tak dipertahankan si Aina yang berusaha menepis segala hinaan. Hanya papanya sahaja yang nampak seolah mempertahankan si Aina. Aku ni bercinta dengan Zairel ke atau bapak si Zairel ni.

Aina memandang Zairel dengan harapan, Zairel akan membawanya pulang.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku