Isteri Aku Nanny!
BAB 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1637

Bacaan






"Mama dari mana ni?" Izhan Rayqal bertanya saat melihat kelibat Datin Qalsum melintasi ruang tamu rumah banglo mereka.

Datin Qalsum senyum lantas menuju ke arah anaknya yang sedang menonton rancangan kartun kegemarannya 'Shrek' pada petang yang hening itu. Anak bujangnya kelihatan santai mengenakan seluar pendek, t-shirt putih pagoda berzip di hadapan sambil berbaring di atas sofa. Andailah orang lain melihat sikap sebenar anaknya yang langsung tak ambil pusing mengenai apa yang dipakainya semasa berada di rumah, pasti tidak percaya itu Izhan Rayqal anak Dato' Aminuddin. Ya lah, di pejabat bukan main lagi gaya dan lagaknya. Di rumah jika di katakan dia supir, pasti orang percaya.

Hampir sahaja Datin Qalsum melepaskan tawanya saat terlihat iPhone 6 plus milik anak terunanya, berada di dalam poket baju yang dipakainya. Tanpa membuang masa, dia melabuhkan duduk di hujung kaki Izhan Rayqal.

"Iz..." sambil tangan mengurut lembut kaki anaknya. Sepantas kilat dia bangun, dan mengalihkan kakinya, dan digantikan kepalanya, baring di atas ribaan Datin Qalsum.

"Ya, ma.. " matanya masih tertancap di skrin televisyen. Jika dibuat kiraan kasar hampir dua puluh lima kali, Izhan Rayqal mengulang menonton rancangan kartun kegemarannya itu. Tanpa jemu. Siap boleh dihafal dialog si keldai dan watak utama iaitu Shrek.

"Adam mana?"

"Ada kat bilik main PSP". Sekilas di renung wajah ibunya yang tersayang, tak lama kemudian beralih semula ke kaca televisyen.

"Macam mana kerja hari ni, everything okay?"

"Sangat okay. Mama jangan risau. Banyak juga projek baru yang masuk. Proposal yang ada pun banyak lagi Iz tak sempat nak luluskan. Nak tunggu papa juga. Sebab papa lebih arif hal yang macam tu." Lembut suara Izhan Rayqal menyapa ke cuping telinga Datin Qalsum.

"Kenapa ma? Sejak akhir ni mama asyik menung je. Mama tak sihat? Atau ada masalah dengan papa?" Izhan Rayqal cuba mengorek rahsia. Dia membetulkan kedudukan, dari posisi baring ke posisi duduk pula. Kepala dilentokkan ke bahu mamanya.

"Dah besar gajah pun nak bermanja lagi".

"Sementara belum kawin ni ma.. Apa salahnya manja-manja dengan ibu sendiri". Pantas di cium pipi kiri Datin Qalsum.

"Thanks sayang.. selalu bagi mama senang hati. Untung mama ada anak-anak yang menyejukkan hati." Sayu sahaja suara Datin Qalsum. Entah apalah yang bermain di fikirkannya saat ini.

"Mama tak jawab lagi soalan Iz... mama okay ke? Mama ada masalah?" Izhan Rayqal terus menekan butang off pada alat kawalan jauh. Melihat wajah ibu lagi besar pahalanya, dari menonton kartun yang hanya menjadi hiburan semata.

"Mama okay. Papa pun okay je. Papa ada kat US. Dia kirim salam kat Iz. Katanya kalau ada apa-apa yang penting terus call papa".

"Waalaikummussalam. Alhamdulillah papa selamat sampai ke US. Yelah dengan keadaan sekarang, nak masuk US tukan susah."

Datin Qalsum hanya mengangguk. Tiba-tiba mak Piah datang membawa dua gelas jus oren.

"Terima kasih mak Piah", sapa Datin Qalsum.

"Habis tu, kalau semua tu bukan, apa yang mama fikirkan?" Izhan Rayqal masih ingin tahu.

Datin Qalsum diam. Memikirkan bagaimana harus dia beritahu pada Izhan Rayqal tentang apa yang menjadi kegusaran dihati dan fikirannya selama ini.

"Iz sukakan Fany?" soal Datin Qalsum tiba-tiba.

Izhan Rayqal tersentak. Tak pernah-pernah ibunya menyoal tentang sepupunya itu.

"Nak kata suka pun tidak. Nak kata tak suka pun tidak. Kenapa mama tanya? Mama nak dia jadi menantu mama ke?" Keruh wajah Izhan Rayqal, sekeruh air sungai yang tercemar.

"Mama cuma tanya, mana tahu Iz sukakan dia. Kalau Iz sukakan dia, mama pun tak berupaya nak menghalang. Kalau Iz cuma anggap dia sebagai sepupu Iz je, mama pun takkan paksa Iz terima dia dalam hidup Iz. Lagi pun berkahwin ni untuk mengembangkan zuriat, kalau Iz pilih Fany, kita cuma memperkembangkan zuriat hanya dikalangan kita sahaja. Tapi mama juga akui, jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Kita merancang, Tuhan jua yang menentukan. Bunyinya memang klishe, tapi ianya tetap boleh diguna pakai." Panjang lebar Datin Qalsum berbicara. Akhirnya terluah juga apa yang tersimpan.

"Tentang Fany mama tak perlu, tahulah Iz handle nanti". Izhan Rayqal begitu yakin dengan jawapannya.

"Cuma... apa yang Iz runsingkan sekarang ni tentang pengasuh kita si Aina Batrisya tu. Peninglah kepala Iz dibuatnya. Contohnya macam baru-baru ni, Iz dah pun register nama dia untuk driving school tu, kelas Bahasa Inggeris yang mama cadangkan tu pun Iz dah registerkan sekali. Boleh pula dia cakap dia tak nak masuk kedua-kedua kelas tu, tak ada kepentingan pun untuk dia katanya. Geram betul Iz rasa masa tu". Adu Izhan Rayqal.

Tersenyum lebar Datin Qalsum mendengar 'report' dari anaknya.

"Samalah dengan Iz kan? Bila mama cakap ada je yang Iz nak bangkang, tak pun Iz diam je, berkurung dalam bilik, dah macam perempuan", tergelak kecil Datin Qalsum terkenangkan pe'el anak terunanya itu.

"Sampai hati mama, samakan Iz dengan budak kampung tu", Izhan Rayqal buat merajuk dengan muka yang mengenen.

Izhan Rayqal termenung seketika. Dia akui budak kampung tu dah banyak berubah. Sudah pandai bermain alat solek di wajah, bijak memilih tona warna yang sesuai. Cantik! Dia senyum sendirian.

"Ha! Mula lah tu.. ", hinggap satu tamparan manja ke peha Izhan Rayqal.

Tersengih-sengih Izhan Rayqal sambil memandang wajah kesayangannya itu.

"Dah jatuh cinta pulak ke dengan budak kampung tu?" Sengaja Datin Qalsum menekan sedikit perkataan budak kampung tu.

"Mana ada... takkanlah.. Iz budak bandar, dia tu nampak kekampungan sangat".

"Yelah tu, jangan nanti kamu yang melutut ke dia sudahlah. Sudahlah mama pun penat ni, nak mandi, bersihkan badan lepas tu siap sedia nak solat Maghrib. Iz pun pergilah siap-siap, nanti Iz imamkan mama".

"Papa tak balik ke?"

Datin Qalsum hanya menggeleng sekilas dan terus berlalu menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas.

**********

Hana menghampiri Aina yang sedang sibuk dengan handphone barunya. Leka sungguh!

"Hoi!" Ditepuk bahu Aina bagi menyedarkannya.

"Opocot!" Nyaris sahaja handphone Aina terlepas dari genggaman. "Kau ni kan memang tak boleh tengok aku senangkan?" Seraya dengan itu Aina memandang sekejap wajah Hana yang buat tak tahu. Dan terus kembali menghadap screen telefon di tangan.

"Kau tu, sejak pakai Samsung Mega, bukan main eksyen lagi kan. 24 jam tak lekang. Kau whatsapp dengan siapa?" Hana menyoal.

"Aku jarang layan whatsapp, aku layan LINE." Sambil menunjukkan dua jari tanda peace.

"Fuh. Berlagak tak hengat!" Hana terus merampas handphone Aina.

"Ini kau kata LINE?" Sambil menunjukkan screen Samsung Mega ke wajah Aina.

Aina menyengih macam kerang busuk. "Alah.. sekali sekala layan Candy Crush apa salahnya. Kau tu tak habis-habis dengan Angry Bird, aku tak pernah angry pun dengan kau". Aina menjelirkan lidah kepada Aina. Lalu merampas semula telefon bimbitnya.

"Aku bosanlah Hana. Kau mana tahu. Nak tengok TV, aku malas nak petik suis. Nak dengar radio, radio pun tak ada. Jadi aku layanlah Candy Crush, sekurangnya aku boleh mintak nyawa kat kawan-kawan facebook aku."

"Patutlah aku selalu nampak kau duk invite aku main Candy Crush ni, nak mintak nyawalah tu kan?". Hana menjongket kedua keningnya yang semulajadi tipis itu berkali-kali.

"Haar. Sementara aku tunggu si Adam tu habis waktu sekolah, aku mainlah Candy Crush ni. Farm Ville aku dah bosan. Dah bertimbun-timbun aku bercucuk tanam. Apa pun tak dapat! Dah tiba masanya aku bersara." Kedua-dua mereka gelak berdekah sampai tak ingat jiran tetangga.

"Kau ber..sara dapat pencen.. tak?" Bersambung deraian mereka berdua sehinggakan mengalir air mata.

Tok ! Tok !

Kedengaran pintu diketuk dari luar. Mereka saling berpandangan. ' Siapa pula yang datang saat-saat macam ni. Isyak pun dah nak masuk' lantas Hana bingkas bangun menuju ke muka pintu. Sebaik sahaja daun pintu terbuka, kelihatan sejambak bunga ros merah dipegang seorang lelaki bertopi dan memakai T-shirt biru muda. Hampir sahaja tak nampak wajah lelaki tersebut kerana jambangan bunga itu menutup keseluruhan wajah pemuda itu.

Sebaik sahaja bunga bertukar tangan, barulah kelihatan wajahnya. Berkulit cerah, ala-ala Izzue Islam pun ada. 'Haish kenapalah ramai sangat lelaki kacak kat dunia ni?' Hana menggelengkan kepala saat terdengar suara garau pemuda itu.

"Cik bunga ni atas nama Aina Batrisya. Cik boleh sign di sini ya". Jelas lelaki itu sambil menghulurkan kertas bersaiz A4 yang dikepilkan di atas sebuah file berwarna merah.

"Okay-okay terima kasih." Hana menghulurkan semula pen dan kertas kepada pemuda itu.

Baru sahaja lelaki itu ingin berlalu, Hana memanggilnya semula.

"Boleh saya tahu, berapa kuntum semua bunga ni?" Sambil jari kanannya menuding ke arah jambangan bunga tersebut dan dipusing-pusingkan.

"100 kuntum cik, kalau tak ada apa-apa saya balik dulu." Pinta lelaki terbabit.

Hana hanya mengangguk. Di ciumnya jambangan bunga itu berkali-kali barulah di berikan kepada tuan empunya.

"Siapa pulaklah bagi bunga malam-malam ni." Aina mengambil kad kecil yang tertulis tiga perkataan keramat itu. I LOVE YOU. Aina membelek-belek. Ada tulisan tangan yang menulis I Miss U more than words. From your beloved, Zairel Benjamin.

Sepantas cahaya mengalahkan cheetah, Aina secara automatik terus mencampak kuntuman-kuntuman ros merah itu ke lantai.

"Asal kau campak?" Soal Hana pelik.

"Aku tak naklah." Aina mencebik.

"Mahal kot ni. Bukan sikit punya duit ni." Hana berkerut dahi sambil tangannya mencapai jambangan bunga itu.

"Kalau kau nak bunga tu, ambillah. Tapi aku minta maaf sebab aku dah campak ke lantai. Aku ingatkan kau tak nak tadi." Aina menunjukkan muka serba salah.

Hana tersenyum girang. "Aku nak, boleh letak dalam pasu kita tu. Mesti wangi nanti rumah ni, bau semula jadi gitu". Hana terus memasukkan air ke dalam pasu jernih berkenaan, dilap sedikit luarannya bagi membuang sisa-sisa habuk. Setelah itu bunga-bunga tersebut di masukkan ke dalam pasu. Di letakkan di atas rak TV.

"Thank you Aina."

"You're most welcome", sambil jari-jemari menari laju di atas screen telefon bimbitnya.

"Wah.. pandai dah speaking. Masuk kelas nanti, mesti kau boleh lawan aku. Macam kacang putih je nanti kau speaking London." Hana senyum simpul.

"Aku nak tanya ni." Hana bersuara.

"Apa dia?"

"Kau memang dah tak suka ke kat mamat BMW tu?"

"Siapa? Zairel ke?" Aina pura-pura tidak kenal.

"Yelah siapa lagi. Si Zairel Benjamin tulah".

"Aku sendiri masih keliru sama ada betul atau tidak keputusan aku pilih dia".

"Asal kau ada pilihan kedua ke?" Hana menyoal lagi. Dia benar-benar ingin tahu.

"Mana ada. Siapalah yang nak kat aku ni. Aku bukannya cantik macam kau, tambah-tambah lagi aku ni nampak selekeh. Pelajaran pun tak ada. Harta lagi lah." Aina melepaskan keluhan pendek. Kini dia tidak lagi mengadap Candy Crush.

"Tak eloklah cakap macam tu. Setiap dari kita ni, dijadikan berpasang-pasangan. Kalau tiada di sini, insyaAllah di sana nanti pasti ada. Kau kena yakin tu. Tentang rupa semua orang dijadikan dengan kelebihan masing-masing. Lagipun cantik ni kan subjektif." Hana berbicara panjang seakan pakar motivasi pula lagaknya.

"Aku tawar hati dah Hana. Puan Salmiey tu memang nampak sangat bencikan aku ni. Relax je dihina aku depan-depan. Zairel pulak langsung tak bersuara. Langsung tak pertahankan aku walau sekelumit pun. Lagi pun kau sendiri tahukan, sejak cinta aku yang putus di tengah jalan dulu, sedikit demi sedikit hati aku ni asyik rasa sangsi je dengan mana-mana lelaki. Keyakinan kat diri sendiri pun macam dah hilang". Akhirnya Aina berkongsi rasa dengan Hana.

"Kau tak boleh lah macam tu. Tak pe suatu hari nanti kita ubah sikit imej kau. Biar terkeluar biji mata orang yang duk hina kau tak cantik selama ni." Hana memeluk erat tubuh Aina dan Aina membalas pelukkannya.

Dia sendiri tak tahu kenapa dia berasa begitu sebak melihat keadaan Aina yang sebegitu.' Kenapalah aku tak pernah sedar yang selama ni kawan aku kehilangan keyakinan diri'. Hana merasakan dirinya langsung tak berguna, selama ini dia fikir Aina Batrisya bahagia dengan apa yang ada sekarang, tapi sebenarnya dia sedang berperang dengan perasaan sendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku