Isteri Aku Nanny!
BAB 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1627

Bacaan






BAB 14

Jam dinding di ruang tamu banglo Datin Qalsum menunjukkan pukul tujuh empat puluh lima pagi. Aina seperti biasa duduk disofa yang menjadi kegemarannya, empuk dan menenggelamkan. Kakinya menguis-nguis permaidani tebal itu, seolah sudah menjadi habit setiap kali telapak kaki mencecah ke situ. Matanya meliar mencari kelibat anak asuhannya.

"Hari ini awak ikut saya pergi office. Adam demam, nanti Mak Piah akan uruskan dia." Izhan Rayqal bersuara sebaik sahaja menuruni anak tangga.

"Tapi kenapa saya perlu ikut Encik sampai ke office? Bukan ke saya cuma ditugaskan mengasuh Adam sahaja?" Dengan berani Aina menyoal.

"Awak ni memang banyak songel ya? Kalau ikut je tak boleh?"

"Boleh tu memang boleh, tapi saya sebagai pekerja berhak untuk tahu apabila ianya diluar skop pekerjaan saya." Aina seakan mencabar kewibawaan majikannya.

"Apa awak ingat saya ni kebulur sangat ke nak try perempuan macam awak? Buang masa tahu tak? Kalau bukan sebab mama saya yang suruh, saya pun tak ingin nak keluar berdua dengan awak. Faham tak budak kampung?" Izhan Rayqal pun dah macam budak-budak.

"Habis tu buat apa saya ikut encik, sedangkan Adam ada di sini?" Aina tak mahu mengalah. Pagi-pagi lagi sudah memulakan perang.

Mereka berdua langsung tidak sedar ada sepasang mata menjadi pemerhati. Datin Qalsum perlahan-lahan mendekati dua manusia yang bagaikan anjing dan kucing itu. Pantang berjumpa ada sahaja yang tidak kena.

"Aina saya yang minta anak saya bawa awak ke office, sebab selepas tu awak perlu attend kelas memandu awak. Esok jam 10 pagi awak ada kelas Bahasa Inggeris. Jadi saya nak ingatkan awak, kedua-dua kelas ini sangat penting untuk awak teruskan berkhidmat dengan kami".

Aina tertunduk segan menahan malu. Silap dia, bukankah lebih baik dia ikut sahaja apa yang diminta Izhan Rayqal. Tak perlu bertikam lidah, bertegang urat.

**********

Bagaikan malaikat lalu, ruang pekerja Jentayu Group Corporation Sdn. Bhd. tiba-tiba sepi tanpa bunyi apabila melihat kelibat Izhan Rayqal dan Aina Batrisya melangkah masuk . Semua mata tertumpu ke arah Aina Batrisya, mereka berdua terus menuju masuk ke bilik pejabat Izhan Rayqal tanpa memandang sesiapa.

"Awak duduk sekejap kat sofa tu, beri saya masa setengah jam untuk selesaikan apa yang patut sebelum kita keluar", Izhan Rayqal memberi arahan tanpa melihat riak wajah Aina yang tergamam melihat hiasan pejabatnya yang tampak serba mewah.

Aina mendapatkan kedudukannya di dalam pejabat tersebut. Mata meliar melihat sekeliling ruang yang ada. Izhan Rayqal kelihatan sangat sibuk membelek beberapa fail dokumen yang harus ditelitinya yang dari semalam tidak terusik. Sesekali dia curi-curi pandang melihat keletah Aina Batrisya, apabila terasa Aina perasan yang dia sedang melihatnya, Izhan Rayqal lekas-lekas mengalihkan pandangan.

Setelah semua fail diteliti dan sudah ditanda tangani beberapa dokumen, Izhan Rayqal menyambung kerjanya di komputer ribanya pula. Aina yang melihat hanya mampu menarik nafas panjang dan sengaja melepaskan kuat sedikit dari biasa. Aina sudah mulai bosan, sekejap berdiri, sekejap duduk.

"Aina Batrisya.. boleh tak awak duduk diam-diam je kat sofa tu? Rimas dibuatnya awak tahu tak? Saya tak boleh nak beri tumpuan, macam mana saya nak siapkan kerja saya ni, kalau awak dah ke hulu ke hilir macam beruk kepanasan." Izhan Rayqal sengaja berkata begitu, dia tergelak kecil di sebalik komputer riba Applenya.

"Saya tak kisah kalau encik nak kata rimas tengok saya, benci ke atau apa-apa, tapi bila melibatkan beruk! Saya memang tak puas hati!" Aina meninggikan sedikit suaranya.

"Habis tu apa lagi yang sesuai kalau bukan beruk? Kalau saya kata cacing kepanasan nanti awak geli pula", Izhan Rayqal menahan tawa sehingga terasa senak diperut melihat tindak balas pekerjanya yang seorang ini.

"Kalau saya beruk, awak tu ungka! Mulut bising. Dah la kata setengah jam, sekarang ni berapa lama lagi saya nak tunggu, saya bukannya body guard awak. Kalau encik rasa lama lagi, saya nak balik dulu. Biarlah jalan kaki sekali pun." Aina mengugut.

"Kejaplah sikit je lagi. Lima minit je lagi". Sambil di angkat sebelah tangannya dan dikembangkan ke lima-lima jari runcing ala-ala gadis sunti itu. "Anyway saya nak tanya, ungka tu apa?" Soalan kali ini membuatkan Aina menelan air liurnya sendiri.

"Kalau nak tahu google lah! Harap je laptop mahal tapi tak tahu nak manfaatkan." Aina buat muka slamberbadak. Padahal dalam hati bagaikan mahu pecah. 'Kalaulah dia tahu macam mana rupa ungka tu, habislah aku, silap hari bulan kena buang kerja. Asallah mulut ni, dah la tak ada insurans.' Aina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Di ambilnya majalah dari meja sudut. Buat-buat baca. Sekali disengkak, ' aduh macam mana pulak aku boleh tak perasan ni majalah kereta'. Aina terpaksa buat-buat berminat dengan majalah dihadapannya.

Pintu bilik pejabat Izhan Rayqal diketuk. Dia berhenti dari menaip. Matanya terus ke arah pintu.

"Masuk", balas Izhan Rayqal sambil menyambung semula kerjanya yang hampir siap.

Idayu melangkah masuk menerusi pintu yang hanya dibuka separuh.

"Dah baca semunya? Dan ada dokumen yang saya letak di meja semalam untuk disign", tanya Idayu yang memaksudkan dokumen-dokumen di depan bosnya.

"Saya dah sign dan teliti semuanya. Awak boleh ambil semula semuanya. Habis penuh meja saya dengan dokumen-dokumen ni. Dan lagi satu bawakan saya minuman panas kecuali kopi. Tanya sekali dia nak minum apa", sambil menuding pen berjenama Parker ke arah Aina Batrisya yang buat tidak tahu itu.

"Ada apa-apa lagi?" Soal Idayu untuk memastikan.

"Nothing at all. Awak boleh keluar sekarang. Thank you."

"Okay. Saya keluar dulu." Setelah mengambil minuman pilihan Aina Batrisya, Idayu berlalu pergi.

Aina hanya memerhati Idayu dari belakang. Sekali lagi soalan yang selalu ditanya kepada dirinya sendiri. 'Apa penduduk JB ni semuanya hanya tinggal yang hensem dan cantik je ke? Yang biasa-biasa macam aku ni dah pupus agaknya'. Aina mengeluh perlahan.

"Sudah berangannya. Jom!" Izhan Rayqal menolak ke belakang sedikit kerusi empuknya. Disusun helaian kertas dengan rapi lalu diletak disisi kiri meja pejabatnya.

Aina bangun malas. Dia langsung tidak memandang kelibat Izhan Rayqal. Lagipun dia tak ada pun berangan. Anak majikannya itu sahaja suka sangat membuat andaian. Tombol pintu dipulas perlahan oleh Izhan Rayqal lalu ditutup tanpa menunggu Aina Batrisya untuk keluar beriringan. Aina yang hampir terlanggar daun pintu sempat membukanya sendiri. Lalu keluar dengan panas hati. Seperti tadi keadaan pejabat menjadi sunyi serta merta.

"Cepatlah sikit jalan tu, dah macam anak itik je, terhegeh-hegeh". Untuk kesekian kalinya Izhan Rayqal sengaja mencari pasal. Di tenungnya Aina seketika yang berada di belakangnya lalu melemparkan senyuman mengena.

Ketika perjalanan ke pintu utama untuk keluar dari pejabat Jentayu Group Corporation Sdn. Bhd. yang diperbuat dari kaca itu, Izhan Rayqal terserempak dengan salah seorang pemegang saham syarikat papanya, Datuk Burhan.

"Papa tak masuk office hari ni, maybe esok baru papa masuk, itu pun pagi dalam jam 9 pagi. Habis meeting dengan Dewana wakil syarikat Lembayung Corporation, papa akan terus terbang ke Penang untuk pantau projek kita di sana." Jelas Izhan Rayqal tanpa dipinta.

"Its okay. Saya datang ni pun nak jumpa Idayu ambil beberapa dokumen yang saya tertinggal kelmarin", mata Datuk Burhan meliar atas bawah melihat Aina Batrisya yang kaku bersebelahan Izhan Rayqal.

"Owh! Perkenalkan Aina Batrisya, pengasuh baru Adam. Buat masa ni hampir 8 bulan lebih jugalah dia dengan kami", sambil melirik tajam ke arah Aina yang masih setia di sebelahnya. Entah kenapa majikannya itu, tak habis-habis nak menjeling tak tentu pasal, jika tak buat jelingan tajam, dia akan mengeluarkan kata-kata sinis yang membuatkan Aina berasa bengang mendengarnya. Mujurlah Aina seorang yang agak penyabar, jika tidak pasti dia sudah menjadi pengasuh yang ke 23 berhenti dek kerana tak tahan dengan sikap anak majikannya itu.

Datuk Burhan terdiam sejenak. Patut tak pernah nampak, rupanya pengasuh. Hmmm, boleh tahan. Tampak seorang yang sopan-santun, wajah keibuan yang menjadi penarik, tidak seperti pengasuh yang sebelum ini, cantik tu cantik tapi nampak dah tak macam seorang pengasuh tapi penggoda kelas 1. Datuk Burhan sempat berkira-kira di dalam hati.

Datuk Burhan selangkah mendekati Aina yang masih kaku namun sempat melemparkan senyuman manis buatnya.

"Hmm, ada ciri-ciri pengasuh yang berjaya ni. Saya ingatkan awak teman wanita si Iz ni, sebab sebelum ni tak pernah nampak pun dia bawa mana-mana perempuan masuk ke dalam pejabat ni. Anyway just call me Abang Burhan. No datuk-datuk okay." Izhan Rayqal yang mendengarnya turut tersentak, tak pernah-pernah orang tua ni berkelakuan sedemikian pada mana-mana pengasuh sebelum ni. Walhalnya pengasuh sebelum ni lebih cantik dan seksi.

Datuk Burhan menghulurkan tangan kanannya untuk berjabat dengan Aina Batrisya namun huluran tangan Datuk Burhan tidak bersambut. Hanya dibalas dengan senyuman.

"Maaf Datuk Burhan saya tak bersalaman dengan lelaki", jelas Aina serba salah. Dan mengundur sedikit ke belakang mahu mengelak dari terus menjadi tumpuan Datuk Burhan serta staf yang lain.

Datuk Burhan hanya senyum tawar. Namun dia akui, hatinya sudah tertarik kepada gadis bernama Aina Batrisya. Dia pasti Aina Batrisya spesis perempuan yang semakin sukar didapati pada akhir zaman ini.

"Baiklah Datuk Burhan kami berdua terpaksa mengundurkan diri." Celah Izhan Rayqal yang tiba-tiba berasa sakit mata dan sakit telinga melihat kejadian yang tak disangkanya itu.

"Okay, hope to see u again Aina Batrisya", Datuk Burhan masih galak melihat Aina yang sudah berjaya menarik hatinya dengan gaya gadis melayu terakhirnya itu.

Mereka berdua terus berlalu pergi.

Masuk sahaja ke dalam perut kereta. Aina berasa hairan.

"Kenapa kita naik kereta ni? Tadikan kereta hitam tu?" Aina bertanya soalan tak masuk akal kepada majikannya yang sememang sedia kaya itu.

"Hitam tu Porsche Cayenne. Sekarang ni BMW M6. Apa masalahnya kalau aku nak bawak kereta apa pun? Kereta aku, aku punya sukalah". Izhan Rayqal tak tentu pasal naik angin.

"Pakai seat bell tu cepat. Kang kena saman aku jugak yang nak kena bayar".

"Tanya pun tak boleh. Orang kaya memang sombong ya Encik Izhan Rayqal?" Soal Aina Batrisya dengan beraninya tanpa mempedulikan apa yang bakal berlaku selepas itu.

"Baik kau diam, kalau tak aku tinggalkan kau kat sini!" Entah apa yang merasuk Izhan Haiqal, kejap okay kejap tidak.

"Hmmm.." Aina Batrisya hanya menurut perintah. Sudahlah dia masih tidak arif lagi dengan kawasan JB ni. Berdiam lebih baik dari ditinggalkan.

"Kau ni agaknya memang orang tua je yang layak untuk kaukan? Tengok lah tadi macam mana. Bukan main gedik lagi kau. Mentang-mentang dia berpangkat Datuk. Nak trylah tu." Akhirnya Izhan Rayqal sekali lagi menuduh Aina tanpa menjaga hati dan perasaannya. Kalau tanya elok-elok bukankah lebih manis.

"Saya gedik? Habis tu Datuk Burhan tu tak gediklah?" Aina separa menengking. Mahu sahaja di jerit pekik di telinga si jantan bodoh sombong di sebelahnya itu mengatakan yang dia tidak gedik.

"Yelah kau lah yang gedik. Takkan aku pula? Lagi pun istilah gedik hanya layak untuk perempuan sahaja. Mana ada lelaki gedik, lainlah kalau lelaki tu, berperangai tak macam lelaki tulen. Tak pun perempuan yang berlagak perkasa, padahal dia tak tahu dia tetap nampak gedik. Huh! " Izhan Rayqal masih mahu menang.

Aina mulai merasakan yang dirinya memang sedang dibenci oleh anak majikannya itu. Dia tidak mahu memanjangkan lagi pertelingkahan antara mereka. Mahu sahaja dia membuka pintu kereta, dan melompat keluar. Biar Izhan Rayqal tahu kebenarannya yang dia bukanlah seorang perempuan seperti yang difikirkannya. Tujuannya ke sini tetap sama. Tiada berubah. Mencari teman lelaki kaya langsung tiada dalam senarai cita-citanya. Aina membuang sendu dengan melihat keluar, hampir waktu lunch, keadaan masih sesak. Terasa sesuatu yang hangat mengalir ke wajahnya, lekas-lekas Aina mengesatnya supaya lelaki di sebelahnya tidak perasan.

"Kita pergi lunch dulu, lepas tu baru aku bawak kau ke Metropolitan Driving tu". Izhan Rayqal membelok ke kanan menuju ke Restoren Melayu Asli. Kereta di berhentikan di petak yang disediakan.

Mereka di sambut dengan senyuman manis dua orang gadis berkebaya pendek. Rambut mereka disanggul kemas.

"Selamat datang Encik Izhan Rayqal dan pasangan. Encik boleh duduk di sana. Sambil beriringan menunjukkan ruang makan yang dimaksudkan. Sebuah dangau atau pondok tanpa kerusi, hanya meja makan yang rendah diperbuat dari buluh. Aina dan Izhan Rayqal duduk bersila secara bertentangan.

"Tadi saya dah hantar pesanan melalui aplikasi 'LINE' ", Izhan Rayqal buat-buat sibuk dengan mengeluarkan iPhonenya sambil menaip sesuatu. Sesekali dia merenung gadis dihadapannya. Wajah Aina diperhati, gadis itu masih menunjukkan wajah hambar. Sesekali dia termenung dan melihat sekeliling. Izhan Rayqal perasan anak mata dan hujung hidung Aina kemerahan. Takkanlah gadis itu menangis hanya kerana menuduhnya gedik!

Izhan Rayqal tidak keruan.

Menu yang dipesan sudah pun sampai. Dia memesan telur dadar, ulam raja dan daun serlum bersama sambal kelapa tempoyak, ikan talapia goreng bersama sambal belacan, tomyam campur dan juga sotong celup tepung. Dia berharap apa yang dipesannya kenalah dengan selera gadis di hadapannya ini. Maklumlah dia kan gadis kampung! Pasti kena dengan seleranya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 | Bab 21 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku