Isteri Aku Nanny!
BAB 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(22 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4253

Bacaan






BAB 16

Aina lagut melayan Adam. Sudah masuk berapa hari Adam buat perangai tak mahu ke sekolah.

Setahu Aina, selama dia menemani Adam di sekolah, Adam nampak selesa bila berada di dalam kelas. Sesekali dia melihat Adam memegang sebuah buku skrap dengan kertas A4 berwarna warni dalamnya. Masih terbayang di ruangan mata Aina, kawan-kawan Adam semuanya penuh dengan gambar keluarga di buku skrap mereka. Tapi Adam, memegang buku skrap yang KOSONG.

"Iz ada?" Sergah satu suara yang mengejut Aina. Nasib baik buku skrap di tangan tidak melayang.

Aina mengangkat muka. Seingatnya perempuan di hadapannya kini, sepupu Izhan Rayqal. Terasa malas mahu menjawab soalan yang diajukan, bukannya tak boleh dicarinya sendiri kelibat si Izhan Rayqal tu, nama pun sepupu. Melihat riak wajah sombong Elisya, naik menyampah pula jadinya. Sudahlah pakaian mengalahkan artis hollywood, dengan rambut perang macam lepas terkena air besi karat. Kenapalah dia boleh jadi macam ni, muka cantik dah, sempurna memang kalah jika dibandingkan dengan dirinya.

"Pekak ke apa you ni? I tanya bos you tu ada ke tak? Dari tadi termenung dah kenapa? Makan gaji buta ke apa you ni? " biadab sungguh mulut Elisya melemparkan kata-kata yang tak masuk akal itu.

Tak sayang mulut agaknya minah ni, sekali aku bagi tamparan anak harimau, mau bisu 44 hari. Aina merungut-rungut di dalam hati. Tanpa dia sedar, dia tersenyum sendirian.

"I tanya ni ! You boleh gelak-gelak pulak. Dasar perempuan sewel, eloklah you jadi pengasuh budak tak masuk akal ni." Sambil ditunjalnya dahi Adam tanpa rasa bersalah.

Aina memeluk sekejap tubuh Adam. Dia berdiri sama tinggi dengan Elisya.

"Ni dah lebih, yang kau tunjal kepala si Adam ni kenapa? Abang dia kau nak! Adik dia kau hina-hina! Tak puas hati sangat kita one by one lah. Budak tak bersalah ni pulak kau nak babitkan. Dia tu yang sewel, elok rambut hitam Tuhan bagi, kau gi rendam dalam air karat.. sebab tu otak kau pun berkarat !" Aina membidas kata-kata Elisya. Dia tak peduli siapa pun yang akan mendengar suara lantangnya.

Mak Piah yang sedari tadi berada di dapur, berlari keluar menuju ke ruang tamu. Memang Mak Piah dengar bunyi bising, tapi difikirkannya mungkin dari drama TV, tetapi sangkaan Mak Piah meleset sama sekali.

"Apa yang kecoh-kecoh ni", anak mata hitam Izhan Rayqal membulat memandang tepat ke arah Aina Batrisya. Entah dari mana munculnya lelaki malaya ni, sesiapa pun tak perasan. Kalau dia keluar lebih awal tadi, pasti tak akan berlaku perang mulut macam sekarang.

Mak Piah pula kembali ke ruang dapur. Mungkin tak mahu pisang berbuah dua kali, maklumlah sebelum ni dah berasap satu dapur. Takut pula nanti berasap satu rumah.

Elisya tersenyum lebar apabila melihat wajah tampan yang berdiri di hadapannya, lengan Izhan Rayqal dipaut tanpa segan silu. Naik meluat Aina melihat tingkah Elisya.

"Sekarang ni you cakap dengan I, you datang sini buat apa?" Sambil tangan Elisya ditolak perlahan dari terus memaut lengannya.

"I nak jumpa youlah, tapi perempuan kuno ni, macam-macam alasan dia bagi", Elisya mereka-reka cerita.

"Alasan apa pulak ni, Aina? Kenapa kau tak bagi dia jumpa aku?" Serius benar bunyinya, seserius wajah bengis yang ditunjukkan.

"Alasan apanya, dah tentu dia sepupu Encik kan? Cari jelah sendiri. Buat apa tanya saya. Lagi pun saya tengah sibuk melayan Adam". Tiba-tiba Aina teringat apa yang berlaku sebentar tadi, langsung di lemparkannya jelingan maut tahap infiniti pada Elisya yang berada betul-betul sebelah Izhan Rayqal.

"Tapi kan lebih mudah, kalau kau beritahu je terus yang aku ada kat tingkat atas. Susah sangat ke nak bercakap seminit dua, ke ada intan permata dalam mulut kau tu?" Izhan Rayqal seakan tetap mahu membela Elisya meskipun sebenarnya dia langsung tidak tahu apa yang berlaku di sebalik kekecohan ini.

"Tulah you, kalau dia beritahu je kat I yang you ada kat atas, tak adalah kecoh macam ni. Sebelum ni dia tak ada, I tanya mama you, elok je mama you beritahu I. Perempuan kuno ni je yang melebih-lebih. Bila I naik angin, dia kata I ni buta ke apa sampai tak nampak dia tengah layan adik you yang bisu ni", adu Elisya sambil melentokkan kepalanya ke bahu Izhan Rayqal. Direnungnya Aina dengan senyuman puas.

Aina hanya memendam rasa melihat drama yang dilakonkan Elisya. Dia tetap cuba menunjukkan sikap tenang walaupun dia dapat melihat kemarahan diwajah Izhan Rayqal. Aina berkira-kira sama ada mahu mempertahankan diri atau pun tidak.

"Dia cakap adik I bisu? Really?" Izhan Rayqal meninggikan suara.

"Saya langsung tak pernah terfikir nak cakap macam tu pada Adam. Kalaulah saya nak menghina dia atau pun saya benci dia, saya tak akan bertahan lama di sini. Saya sayangkan Adam seperti darah daging saya sendiri", Aina berharap dengan penjelasannya yang ringkas itu, boleh difahami tanpa kompromi.

"Hei perempuan tak payah la nak berlakon baik. Kau bertahan pun sebab nak meggatal dengan bakal suami aku ni kan? Aku dah masak sangat dengan perempuan kampung macam kau ni, dah habis kikis harta jantan yang kau perangkap, kau blah! Dasar perempuan taraf rendah! Tak de maruah! " Elisya menambah cerita secukup rasa bersama ayat hina yang melampau.

"Ni dah lebih cik Elisya! Saya dididik oleh mak dan ayah saya penuh dengan adab ketimuran dan agama. Saya bukan semurah tu sampai nak menjual maruah saya semata-mata kerana harta. Saya ada pendirian saya sendiri yang saya pegang. Lainlah cik Elisya tu, depan budak kecik pun nak tunjuk perangai tak senonoh!" Aina menahak sebak yang mencengkam di dada. Sakit betul rasanya apabila menerima hinaan demi hinaan.

Izhan Rayqal hanya mendiamkan diri. Dia sendiri sudah mulai bosan dengan kedua perempuan di hadapannya. Namun dia tetap mahu melihat sejauh manakah sandiwara ini.

"You nak cakap tentang adab dengan I? Habis tadi yang I tanya you, you boleh buat pekak tu kenapa? Bila dah tak tahan dengar I membebel kepala Adam ni yang you tunjal-tunjal." Elisya duduk bertenggung, sambil tangan kanannya mengelus lembut rambut Adam yang turut berdiri sejak dari tadi.

"What the hell?!" Kali ini suara garau milik Izhan Rayqal benar-benar menakutkan. Wajahnya yang tampil bengis bagaikan singa yang kelaparan. Matanya merah berserta dada yang berombak. Tubuh Elisya di tolak rakus ke tepi, hingga menyebabkan perempuan itu jatuh terduduk ke lantai. Izhan Rayqal melangkah laju mendapatkan Aina Batrisya.

Adam kelihatan takut melihat tingkah laku abangnya yang seolah di rasuk. Betis Aina dipegang kuat olehnya. Aina pula kaku bagai terenjat dengan panahan yang menikam kalbunya.

Elisya yang teraduh-aduh dibiarkan.

"Kau memang perempuan tak guna! Selama ni kau cuma berlakon baik depan mama aku. Berlagak alim. Solat tak tinggal konon. Aku benci perempuan kampung, jijik, kotor macam kau ni. Kau lebih hina dari semua perempuan yang aku pernah kenal. Walaupun si Elisya ni rambut karat sekali pun, dia tak pernah berani nak sentuh adik aku. Aku akan pastikan yang kau tak akan lama dalam rumah ni!" Izhan Rayqal menolak bahu Aina sehingga ke tepi dinding ruang tamu. Dia benar-benar hilang akal kali ini.

"Ta... tapi saya tak bersa... " belum sempat Aina menghabiskan kata-kata, Elisya datang menghampiri Izhan Rayqal.

"Sudahlah tu dear... You maafkanlah dia kali ni" rengek Elisya menarik perhatian.

"You ketepi Elisya, I nak balas apa yang dia dah buat pada Adam". Elisya berganjak ke tepi sedikit.

"Hei perempuan kau dengar sini, kau jangan mimpi dapat tarik perhatian aku macam mana kau buat kat mama aku dengan Mak Piah. Kau memang tak akan layak sama sekali walau sebesar zarah sekali pun untuk mendapat tempat di hati aku." Ditunjal-tunjal kepala Aina yang bertudung merah jambu itu sehingga terduduk. Aina yang sudah basah wajahnya, tidak dipedulikan. Esakan Aina langsung tak memberi apa-apa kesan terhadap Izhan Rayqal mahu pun Elisya yang dari tadi setia menjadi penonton.

Adam yang melihat turut mengalirkan air mata tanpa di sedari abangnya. Adam tidak berlama-lama di situ. Dia berlari mendapatkan Mak Piah. Di peluknya tubuh Mak Piah yang separuh abad.

Mak Piah hanya tercengang-cengang kehairanan dengan perilaku Adam. Mak Piah tidak sempat melihat keseluruhan yang berlaku, jadi ada baiknya dia mengambil langkah untuk mengunci mulut sahaja. Kerana diam itu lebih baik dari berkata-kata perkara yang tidak tahu kebenarannya.

Kedengaran deruman kereta Porsche Cayenne masuk ke laman banglo mewah itu. Kelihatan Pak Mat pemandu keluarga Dato' Aminuddin seolah tergesa-gesa memberhentikan kenderaan mewah yang dipandunya tanpa memasuki petak parkir yang disediakan majikannya.

Datin Qalsum keluar dari pintu tempat duduk belakang dengan wajah meradang. Dia mempercepatkan langkahnya.

"Elisya! Kau keluar dari rumah ni! Aku tak nak tengok muka kau lagi kat sini", jerkahan Datin Qalsum benar memeranjatkan Elisya, Izhan Rayqal dan juga Aina Batrisya.

"But.. why mak long? Apa salah Elisya?" Dia cuba mendekati Datin Qalsum, menghulurkan kedua tangannya untuk bersalam. Segera Datin Qalsum menjauhi Elisya dan ditepisnya tangan Elisya yang cuba memegang tangan kanannya.

"Lebih baik kau keluar, sebelum aku panggil pengawal heret kau dari sini!" Kali ini Datin Qalsum benar-benar yakin dengan tindakannya. Elisya mencapai tas tangan LV nya dan terus beredar dari situ. Namun dia sempat mengerling ke arah Aina yang masih terduduk bersandar di tepi dinding.

"Apa semua ni ma? Kenapa mama halau Elisya yang tak bersalah tu? Sepatutnya budak kampung ni yang mama halau." Izhan Rayqal yang tak puas hati dengan tindakan Datin Qalsum cuba menarik Aina bangun sehingga terseret dilantai. Dia tidak peduli air mata yang bercucuran di pipi mulus Aina. Dia menganggap itu semua lakonan semata.

"Kau buat apa ni Iz? Kalau kau nak bela sangat anak Pak Ngah kau tu, kau boleh pergi kejar dia. Jangan kau nak seksa pula si Aina ni", tanpa berlengah Datin Qalsum segera merapati Aina yang sudah tersungkur akibat perbuatan anaknya yang tiada timbang rasa.

Datin Qalsum membantu Aina berdiri dan memimpin Aina duduk di sofa yang berdekatan. Izhan Rayqal yang sakit mata melihat perbuatan ibunya yang mempertahankan orang luar dari anak saudara sendiri, terus mencapai kunci kereta yang tersangkut kemas di rak yang tersedia. Dia mencapai mana-mana sahaja kunci yang sempat dicapai dan terus berlalu meninggalkan Datin Qalsum bersama Aina.

"Kamu nak ke mana Iz?" Tanya Datin Qalsum setelah reda sedikit kemarahannya yang meluap-luap sejak dari pejabat.

"Iz nak keluar. Bukan ke mama yang suruh Iz kejar Elisya?"tanpa menanti jawapan dari Datin Qalsum, Izhan Rayqal terus menuju ke muka pintu. Di berhenti sebentar, dan sempat melihat mamanya beriya-iya memujuk Aina, bertambahlah kebenciannya terhadap Aina Batrisya.

Izhan Rayqal melihat sedetik kunci digenggaman. Dia merengus perlahan. Rupanya kunci kereta Mercedes Benz S-Class Cabriolet yang dicapainya tadi. Sungguh berat hatinya untuk memandu kereta mewahnya yang satu ini. Walaupun bisa mencairkan sesiapa sahaja yang melihatnya, dengan rekaan yang mengekalkan tradisi bukaan bumbung, bagi Izhan Rayqal ianya terlalu eksklusif. Tidak sesuai dengan jiwanya yang sukakan sesuatu yang simple. Namun dia tidak boleh menolak pemberian papanya yang mahukan yang terbaik buat dirinya, memandangkan dia bakal dinobatkan sebagai peneraju Jentayu Group Corporation Sdn Bhd.

Akhirnya dia terpaksa jua memandu kereta tersebut. Memandangkan dia sudah muak dengan sikap orang di dalam rumah itu, yang tak habis-habis mengangkat Aina. Malah Aina dilayan seperti anak sendiri oleh Datin Qalsum. Jika dia masuk.ke rumah agam itu semula, pasti hatinya bertambah parah melihat adegan mamanya bersama budak kampung itu.

Kereta dipandu laju tanpa mengetahui arah tuju yang sepatutnya.

Di hati ini hanya Tuhan yang tahu

Di hati ini aku rindu padamu

Deringan lagu nasyid nyanyian U.N.I.C dari telefon bimbitnya berkumandang. Sudah berapa kali pekerja dipejabatnya mentertawakan Izhan Rayqal kerana lagu nasyid tersebut. Bagi mereka lagu nasyid tersebut sudah lapuk. Masih banyak lagi lagu nasyid yang sedap-sedap boleh dipilih sebagai ringtone, tetapi Izhan Rayqal tidak peduli. Baginya lagu itu terlalu banyak kenangan.

Dia tersenyum sendirian, apabila teringat teman baiknya sendiri memperlinya kerana masih kekal bersama lagu nasyid.

"Apalah kau ni, orang sekarang layan lagu omputeh, yang kau pulak tak habis-habis dengan nasyid, buat malu je kalau orang lain terdengar ringtone kau tu", tempelak Faiz Idham yang merupakan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pekerja di Jentayu Group Corporation Sdn Bhd.

Sekali lagi lamunannya terhenti apabila telefon bimbitnya berdering sekali lagi. Dilihatnya sekejap. Terpampang tulisan Mamaku Sayang di screen telefon, di tekan button merah tanda protes. Merajuk benar dia kali ini, mengalahkan perempuan. Sanggup dia membiarkan panggilan dari ibunya yang mencecah 34 misscall.

"Dik andainya kamu ada masih ada pasti semua ini takkan berlaku. Mesti kita hidup bahagia satu keluarga, tanpa gangguan sesiapa pun. Abang betul-betul tak sangka perempuan yang hampir-hampir membuat abang mempercayai bahawa cinta itu masih ada, telah meragut semua kepercayaan abang pada dia. Sanggup dia buat macam tu pada Adam. Selama ni abang fikir dia betul-betul sayangkan Adam, tapi sebenarnya tidak". Izhan Rayqal sangat merindui anak gadis yang bernama Aisya Syaqila itu.

Izhan Rayqal memberhentikan kereta di R & R Dengkil. Dia sendiri tidak sedar bagaimana dia boleh memandu sejauh itu. Dia menunaikan tuntutan sebagai seorang Muslim. Di hatinya menyesal terlepas solat Asar. Dia memohon ampun dalam doanya. Dia juga terasa berdosa kepada ibu yang melahirkannya.

Dia terkenang kembali apa yang berlaku siang tadi. Kalaulah Elisya tidak datang, pasti dia sendiri pun tidak tahu sampai bila dia dan keluarganya akan ditipu bulat-bulat oleh Aina yang berlagak suci itu. Kedatangan Elisya baginya membawa rahmat, namun jauh disudut hati Izhan Rayqal menyangkal segala perbuatan Aina.


TERIMA KASIH YANG SUDI IKUTI ISTERI AKU NANNY.. INSYAALLAH ISTERI AKU NANNY AKAN DITERBITKAN.. 


PAGE FB : Ayubalqishah Official

INSTAGRAM : Ayubalqishah

GROUP : Ayu N.A.F.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku