Isteri Aku Nanny!
BAB 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1135

Bacaan






BAB 17

Bila difikir-fikirkan semula, tiada guna dia menangisi apa yang terjadi siang tadi. Dilihat wajahnya di cermin yang tertampal di dinding bilik, matanya sudah menjadi sepet. Wajah lesunya disentuh lembut, 'apa salah aku? Aku tak secantik mana pun berbanding dia. Apa yang perempuan tu marahkan sangat'. Aina akui silap dia juga kerana tidak menjawab soalan Elisya, tapi perlukah sehingga begini dia harus menerima pembalasan.

Hana yang tidur disebelahnya direnung, lena betul nampaknya. Sungguh dia beruntung punya teman rapat yang setia. Kekecewaannya sejak dari zaman bercinta hinggalah masuk ke alam pekerjaan, Hanalah yang banyak membantu dia untuk terus bangkit selain mak dan ayahnya.

"Cuba kau cerita kat aku, apa masalah kau ni. Sampai anak mata pun aku dah tak nampak. Kau putus dengan budak Zairel tu ke?" Tempelak Hana Qaisarah dengan keghairahan yang meninggi untuk tahu apa punca temannya menangis sejak pulang dari rumah majikannya.

Aina hanya menggeleng tanda tidak setuju apa yang di perkatakan teman baiknya itu. Dia tidak mampu mengeluarkan suara. Bila mana mahu memulakan bicara, dia akan tetap menangis sehingga suara menjadi serak, setiap butir bicara yang cuba disampaikan langsung tidak dapat difahami.

"Erm.. kalau macam tu kau pergi mandi. Bersihkan diri. Ambil wudhuk, lepas tu solat maghrib. Aku cuti tak dapat nak solat sama. Lepas tu aku nak kau cuba bertenang, istighfar banyak-banyak ingat Allah. Bila rasa dah lega, aku nak kau ceritakan apa sebenarnya yang dah terjadi.

Dengan langkah yang lemah longlai, Aina menurutkan sahaja apa yang dipinta Hana. Selesai mandi dia lihat Hana tiada di ruang tamu. Mungkin keluar pergi beli makan malam. Seusai solat, dia lihat Hana sedang mengeluarkan sesuatu dari paper bag berwarna coklat. Pandangannya kabur akibat matanya yang bengkak, Aina tidak dapat melihat dengan jelas apa yang tertulis pada paper bag tersebut. Dia menghampiri Hana. Barulah dia nampak jelas apa yang dibawa pulang oleh Hana.

Mereka berdua menikmati Nando's yang sememangnya menjadi kegemaran Aina.

"Aku beli 100plus je untuk kau, bagi tenaga sikit. Yang ni aku punya", sambil tangan memegang botol pepsi.

"Yelah, thanks tau. Kaulah sahabat, kaulah teman. Aku tak tahulah kalau kau tak ada sekarang. Entah apalah jadi kat aku, sorang-sorang mengadap masalah yang tak pernah habis."

"Suara pun dah serak. Nanti lepas ni, aku nak kau ceritakan semuanya okay? Jangan ada yang tertinggal". Hana mendesak.

"Okay, aku janji", sambil menyuapkan suapan terakhir ke mulutnya.

Dipengakhiran penuturan Aina menceritakan apa yang terjadi, masih ada sisa air mata yang terbaki. Lekas-lekas dia mengelapnya menggunakan sisi telapak tangan. Dia tidak mahu menangis lagi. Cukuplah sampai di sini sahaja.

"Apa bangsat sangat dia orang ni, mak bapak tak ajar ke apa? Siallah! Ingat bila dah kaya raya boleh buat sesuka hati ke? Aku tak kira, esok pagi-pagi aku nak pergi rumah majikan kau tu. Kejap lagi aku nak blend cili api banyak-banyak, biar mampus dua ekor tu aku kerjakan". Hana betul-betul macam tak sedarkan diri, dengan nafas turun naik.

Aina mengeluh panjang. Dia tidak pernah nampak pun Hana marah sebegini rupa, sehinggakan mengeluarkan kata kesat. Inilah kali pertama Aina melihat dan mendengarnya.

"Kau jangan lah maki-hamun, aku yang dengar ni pun kecut perut. Aku tak pernah dengar kau cakap perkataan tak elok selama kita berkawan. Setakat biasa-biasa tu adalah." Aina kaget sebenarnya. Melihat wajah Hana yang membengis sambil kaki dihempas-hempas ke lantai.

Melihat Hana yang tak keruan dan tidak membalas apa yang Aina cuba sampaikan, Aina memberanikan diri membuka mulut untuk kali kedua.

"Kau kata tadi, nak blend cili api banyak-banyak, kau nak buat apa dengan cili api blend tu? Kau nak buat nasi goreng cili api ke pagi-pagi esok. Kalau betul, aku boleh tolong kau apa yang patut". Aina menelan air liur apabila Hana berhenti memandang wajahnya dengan pandangan yang serius.

"Aduh.. spoillah kau ni", Hana menahan tawanya.

"Aku tak fahamlah kau ni Hana, tadi kau main marah lagi macam kena sampuk aku tengok. Bila aku tanya pasal cili api tu, kau gelak pulak. Kau dah kenapa, demam ke?" Aina merasakan dahi temannya itu menggunakan belakang telapak tangan.

"Cili api tu aku nak sumbat kat mulut dua ekor malaun tu. Si jantan tu aku nak tonyoh kat telinga dengan mata dia. Bagi dia pekak dengan buta sekali senang. Takkanlah dia tak dengar apa yang dah jadi. Kau ngan pompuan tu bukannya bertekak secara berbisik." Sah Hana tak betul, blend cili api semata-mata nak buat benda macam tu, tak ke membazir namanya. Selalunya dialah yang dok nak jimat sangat.

"Bukan ke kau selalu cakap kita jangan membazir pada perkara yang tak sepatutnya?" Aina yang dungu terus menyoal.

"Untuk benda baik cenggini, diberikan kelonggaran", tutur Hana tanpa rasa bersalah.

"Erm.. takkan kau nak buat macam tu kot. Aku rasa tak perlulah, nanti pandai-pandailah aku jauhkan diri dari diaorang. Lagipun Datin Qalsum tu baik sangat dengan aku. Kau tengoklah bulan lepas dia pergi Paris dengan hubby dia, siap belikan aku Longchamp lagi. Mahal pulak tu."

"Yelah..yelah.. dia bagi kau Longchamp kan. Aku ni siapalah dimata kau. Aku hanya mampu bagi kau Nando's ni je", Hana buat muka seposen.

"Kau ni, janganlah fikir bukan-bukan. Bukanlah maksud aku bila bagi barang mahal, diaorang boleh lakukan sesuka hati kat aku. Cuma bagi aku Datin Qalsum tu tak macam pengasuh. Naik segan aku dibuatnya. Tengoklah sekarang ni, siap suruh aku ambil cuti rehat, seminggu pulak tu tapi gaji jalan", Aina cuba memujuk Hana, risau juga dia kalau Hana merajuk pula disebabkan perkara ni.

"Heheh.. aku gurau jelah. Aku faham maksud kau tu. Dah la, lepas makan ni, kita tengok movie larut malam. Cerita James Bond."

"James Bond ke cik Embun..", mereka gelak serentak.

**********

Baru sahaja Aina mahu memejamkan mata, Hana bingkas bangun ke tandas.

"Kenapa kau tak tidur lagi ni? Esokkan kita ada projek. Dah pukul berapa dah ni."Hana mengingatkan tentang apa yang telah mereka rancang untuk esok.

"Ya aku ingat. Dah pukul 3 pagi, aku nak tidurlah ni. Selamat malam". Ucap Aina.

"Pagilah".

Jam loceng di sisi katil Aina yang masih lena, berdering, mengejutkan Aina dalam keadaan tersentak. Aina terus duduk termenung mamai. Jam loceng masih terjerit-jerit menyakitkan telinga Aina Batrisya. Aina ketuk jam tersebut, deringan terus berhenti. Aina mengeliat perlahan. Dilihatnya Hana masih berdengkur, dengan kain batik yang terselak menampakkan betisnya. 'Budak ni, kalau tidur memang tak pernah nak senonoh.'

Aina bangun dengan malas. Akhirnya dia kembali duduk di sisi katil bujangnya, apabila terlihat cahaya ungu merelip-relip di telefon bimbitnya. Dia mencapai Samsung Meganya. Ada icon whatsapp menandakan ada pesanan yang masuk.

"Hye sayang. Jumpa jom? Saya ambil awak pukul 12 tengahari, kita lunch sama. Lepas tu awak cakap je nak pergi mana saya bawakkan." Zairel macam tahu je yang dia sedang berada dalam mood cuti.

'Gila ke apa tengahari rembang ajak keluar. Matahati dok pacak kat kepala.' Omel Aina sendirian. Dikerling jam di telefon bimbitnya sekali lalu. Dia membesarkan matanya, dan digosok-gosok perlahan. 'Ya Allah! Dah pukul dua petang. Aku Zohor pun belum ni' Aina bingkas bangun mendapatkan tuala mandi. Whatsapp yang dihantar Zairel tak dipedulikan. Nanti-nanti sahaja dia reply, solat lagi penting.

Usai solat Zohor, dia mengejutkan Hana yang masih nyenyak di perantauan mimpinya. Hana yang terpisat-pisat ternganga tak percaya. Mana tidaknya, Aina beritahu dah pukul tiga petang. Lantas Aina mengambil keputusan untuk memberitahu pelawaan Zairel yang mahu menjemputnya lunch. Oleh kerana tidak sedap hati, Aina memaksa Zairel supaya membenarkannya membawa Hana sekali dengan alasan mereka sudah berjanji sejak dari malam tadi untuk keluar bersama. Akhirnya Zairel relakan jua walaupun terpaksa.

"Nak lunch apanya, dah pukul 3 dah ni. Belum tunggu aku mandi lagi, bersiap lagi", Hana yang masih mamai menolak ajakan Aina, dia mahu menyambung tidurnya.

"Alah jomlah teman, kan aku dah bagi tau kau, yang aku dapat rasakan something wrong somewhere. Kau kan sayang aku, please..", walaupun bunyinya agak pelik namun Aina mahu juga untuk cuba meniru watak ibu Zoey dalam drama melayu Sindarella.

"Okay-okay tunggu aku siap sat, kang kalau hang tunggu aku sampai berjanggut jangan nak salahkan aku pulak", sempat lagi Hana mengenakan Aina.

"Apa-apa jelah Hana, walau bertanduk sekali pun aku sanggup tunggu", Aina mengangkat tangan seakan mengangkat sumpah.

"Kau jangan nak berlagak sumpah pulak, cekik dek sesumpah baru kau tahu", Hana mencebik terus menutup pintu bilik air tanpa menunggu balasan Aina.

Setelah bersiap-siap mereka terus turun ke bawah. Kedengaran suara lantang Mak Limah memarahi anaknya yang pulang lebih awal dari sekolah agama. Rumah Mak Limah terletak bertentangan dengan rumah yang mereka diami. Sudah acap kali mereka mendengar Mak Limah memarahi Sulaiman anaknya yang mesra di panggil Leman itu.

Leman yang baru darjah tiga itu memang agak degil. Ada sahaja alasan yang dia berikan semata-mata mahu ponteng sekolah. Dia lebih rela duduk dirumah mendengar bebelan ibunya, dari berada di sekolah bersama rakan-rakan yang lain. Kerjanya di rumah hanya terperap di bilik dan tidur. Mintak tolong ke kedai pun payah. Itulah apa yang dicerita Mak Limah mengenai Leman.

Tiba sahaja di anak tangga terakhir, kelihatan Zairel Benjamin berkaca mata hitam Ray Ban sudah menanti mereka berdua, sambil bersandar di BMW 3 seriesnya. Aina yakin sesiapa sahaja melihatnya pasti terpesona dengan perwatakannya yang berambut panjang seakan-akan pelakon Dazrin Kamaruddin.

"Dah lama ke awak tunggu?" Tanya Aina sekadar bermanis mulut.

"Adalah dalam tiga jam setengah, sampai cair dah makeup ni ha", jawab Zairel dengan nada bergurau.

Aina dan Hana hanya tersenyum lebar mendengar jawapan yang diberi Zairel Benjamin.

Ketiga-tiga mereka lesap ke dalam perut BMW hitam tersebut dan terus berlalu dari situ. Kesesakan lalu lintas tidak mendatangkan beban lagi buat mereka. Ini kerana mereka sudah masak dengan keadaan begini, lebih-lebih lagi sudah hampir waktu kemuncak. Waktu-waktu begini, memang bukan waktu yang tepat untuk keluar. Namun segalanya boleh diredah jika hati sendiri mengatakan mahu.

**********

"Zairel tu memang gatal erk? Aku tengok dia asyik nak pegang-pegang kau je. Kau dah tepis pun dia buat tak faham". Hana yang sedari tadi memang tak puas hati dengan Zairel, mana tidaknya, lelaki itu tanpa segan silu memaut pinggang Aina. Bila ditepis, dia pegang pula tangan si Aina siap genggam kemas lagi.

"Tulah pasalnya aku ajak kau sekali. Kau tengok tadi, masa kat kaunter TGV, dia macam sengaja je dekat-dekatkan muka dia yang konon hensem sangat tu kat muka aku. Dah macam nak bercium pulak. Aku ingat adanya kau, dia segan tapi... huh!"

"Sebab tu tadi waktu dalam wayang, aku tengok dia sengaja je lentok kepala dia kat bahu kau. Aku apa lagi, aku ketuk kepala dia guna gelas Fast Furious tu. Tak sia-sia aku pau dia beli satu untuk aku." Hana ketawa lepas.

"Aku ingat lepas ni, aku tak naklah keluar lagi dengan dia. Aku agak dia mesti serik punya keluar bertiga. Lagipun aku dah bagi tau dia tadi, kalau nak jugak keluar sama, wajib bawak kau. Aku tengok berubah terus air muka dia. Ingat aku ni peeempuan murah agaknya. Senang-senang nak touch n go." Aina begitu yakin dengan percakapannya. Dan dia sendiri sudah jenuh menasihati Zairel agar menjaga tingkah lakunya sebagai orang Islam. Jadi ini sahaja jalan yang ada untuk mengelak dari berdua-duaan dengan Zairel.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku