Isteri Aku Nanny!
BAB 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
734

Bacaan






BAB 19

Pagi hari Selasa, hari kedua minggu baru di banglo agam tersebut, Aina Batrisya dinanti oleh Izhan Rayqal di ruang tamu yang menjadi saksi detik yang memalukan buat Aina.

"Sabar sikitlah Iz, kita tunggu je dia datang. Sekejap lagi dia sampailah tu." Pujuk Datin Qalsum pada anak terunanya itu.

Izhan Rayqal kejap-kejap mengerling jam di dinding, kejap-kejap di lihatnya pula jam tangan Kronograf Date OS21 berjenama Biston yang sepadan dengannya yang sukakan gaya kasual. Sesekali dia menghela nafas panjang.

"Assalammualaikum, maaf saya terlambat sikit hari ini", hari ini Aina mengena dress labuh hitam, berbunga biru kecil. Nampak sangat feminin gayanya hari ini.

Serentak salamnya disambut oleh dua beranak yang menantinya sejak tadi. Aina berasa sedikit pelik dengan mereka kali ini. Lebih-lebih lagi lelaki disebalah majikannya itu. Tampak tenang dan santai dengan T-shirt Polo merah putih. Aina masuk ke dalam dengan perasaan ragu-ragu.

"Jom kita breakfast dulu", pelawa Datin Qalsum kepadanya. Aina hanya menurut tanpa membantah.

Makanan dan minuman sudah terhidang. Buat seketikanya, ketiga-tiga mereka menikmati hidangan dalam sepi. Izhan Rayqal kelihatan segan untuk memulakan bicara kerana Aina dari tadi hanya mendiamkan diri dalam keadaan janggal. Walaupun begitu, lelaki yang duduk berhadapan dengannya kini merasakan ada tarikan magnet pada Aina, walaupun dia tidak secantik Elisya atau pun seanggun bekas teman wanitanya Cheryl Rhea gadis kacukan indonesia dan inggeris.

"Iz..", panggil Datin Qalsum seolah memberi hint. Geram pula dia melihat anaknya yang sedari tadi senyap membisu. Tadi sebelum Aina sampai, bukan main tak sabar lagi gelagatnya.

Izhan Rayqal berdehem. Aina buat tak tahu.

"Aina sebenarnya, saya nak minta maaf tentang hari tu. Sa.. saya silap. Saya tak dengar apa penjelasan awak. Saya ikutkan perasaan. Saya harap Aina faham kenapa saya bertindak macam tu, saya terlalu sayangkan Adam Qaulalhaq. Bila saya dapat tahu dari Elisya yang awak bertindak macam tu pada adik saya, saya hilang kawalan." Izhan Rayqal menghembus nafas perlahan. Matanya masih memandang wajah Aina, yang dari tadi hanya tunduk. Dia ingin sangat tahu, apakah yang sedang bermain di fikiran gadis itu mengenai permintaan maafnya.

Aina angkat muka, berderau darah Aina saat matanya bertentangan dengan mata bundar milik Izhan Rayqal. Mereka saling terpaku tanpa berkelip. Tiba-tiba Aina tersedar dari lamunannya, pantas Aina mengalihkan pandangan ke arah ayam goreng yang berdekatan dengan pinggan makannya. Aina mula gelabah.

"Awak masih marahkan saya?" Sebenarnya dia masih belum dapat memaafkan perbuatan lelaki itu tempoh hari. Hatinya masih sakit, dan adakala perasaan benci muncul apabila melihat wajah Izhan Rayqal.

Aina tersenyum tawar.

"Tak perlulah encik minta maaf. Saya dah biasa. Lagi pun saya sedar dengan kedudukan saya sebagai pengasuh. Dan dengan keadaan saya yang serba serbi kekurangan ni, memang orang akan anggap saya suka ambil kesempatan pada kesenangan orang lain. Tapi kalau encik dan datin tak suka saya bekerja di sini lagi, saya boleh pergi." Aina sempat melemparkan kata-kata sinis pada Izhan Rayqal.

Lelaki itu merenung sayu wajah mamanya. Minta simpati mungkin.

"Aina.. kamu tak perlu risau, andai Izhan Rayqal tak sukakan kamu bekerja di sini, saya tetap sukakan kamu selagi kamu tidak melakukan kesalahan yang besar. Lagi pun Adam dah sayangkan kamu. Lagi pun majikan kamu adalah saya, Datin Qalsum bukan anak saya Izhan Rayqal, ingat tu. Selagi saya tak berhentikan kamu, kamu jangan fikir yang bukan-bukan tentang saya," bicara Datin Qalsum dengan nada yang tegas.

"Baik datin, maafkan saya andai ada saya tersalah cakap", Aina yang serba salah angguk faham.

Izhan Rayqal kelihatan tidak senang duduk. Baru sahaja dia mahu membuka mulut, tiba-tiba Adam berlari mendapatkan Aina. Mereka berdakapan sebentar. Izhan Rayqal yang memandang aksi itu, bertambah-tambah rasa bersalahnya.

"Mama, saya naik atas sekejap. Tukar baju. Nak masuk ofis hari ni. Papa pun dah text, beritahu ada meeting dengan klien baru dari Sabah." Izhan Rayqal menarik nafas lega, Dato' Aminuddin tiba tepat pada masanya. Akhirnya dia ada alasan untuk beredar dari situ.

Sekilas dia memandang wajah Aina yang tampak tenang itu, lalu terus menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas.

"Aina..", Datin Qalsum memanggil dengan lembut.

Aina yang sibuk melayan karenah Adam, segera mengalihkan perhatiannya kepada majikannya itu.

"Mulai hari ini, kamu jangan panggil saya datin lagi. Lagi pun lagi beberapa minggu kamu genap setahun bersama keluarga saya." Datin Qalsum menutup matanya sebentar, mengimbas kembali kenangan hari pertama Aina memohon pekerjaan. Riak wajah Aina yang memberi ketenangan itulah, menyebabkan hati Datin Qalsum tergerak untuk memilih Aina sebagai pengasuh Adam.

"Jadi bagaimana saya nak bercakap dengan datin, kalau datin tak bagi saya panggil datin dengan gelaran tu." Soal Aina yang kelihatan sedikit buntu.

"Panggil saja saya Auntie."

"Auntie? Apa pula kata orang lain yang terdengar saya panggil datin dengan panggilan auntie?" Aina lebih senang dengan panggilan datin sebenarnya. Sekurangnya dia masih dapat rasa jurang perbezaan antara mereka.

"Siapa orang lain tu, Aina? Anak saya? Dia langsung tak menghalang. Kalau tentang suami saya, awak tak perlu bimbangkan, sebab dia tak selalu ada dirumah. Selama awak bekerja ni pun, kalau tak silap saya baru sekali kan kamu berjumpa dengan dia? Itu pun langsung tak bercakap." Datin Qalsum mengingatkan Aina. Dia sudah terlanjur sayang pada Aina. Layanan Aina kepada anaknya Adam sangat berbeza jika dibandingkan dengan pengasuh yang terdahulu.

"Ermm.. bagaimana dengan Elisya? Saya tak mahu terus-terusan bergaduh lagi dengan dia. Lagi pun dia anak saudara datin, saya lari ke hujung dunia sekali pun, suatu hari nanti pasti kami akan bertemu juga", ucap Aina yang masih kesal dengan sikap Elisya.

"Elisya yang kamu risaukan? Saya dah masak dengan perangai tak tentu hala dia tu. Jadi tak payahlah kamu berat kepala fikirkan masalah dia. Anak saudara sekali pun, tak bererti dia boleh buat sesuka hati pada orang lain, terutamanya kamu". Datin Qalsum cuba mengingatkan Aina bahawa jika putih dia katakan maka putihlah. Tiada siapa yang boleh menghalang.

"Saya cuba panggil datin, auntie .. insyaAllah", Aina memberi harapan agar Datin Qalsum tidak terus mengharap. Dia berasa kurang selesa, apa pandangan teman-teman datin itu nanti. Elisya.. perempuan tu lagi lah satu masalah yang sangat besar, walaupun Datin Qalsum mengingatkannya agar tidak risau, namun Aina tidak boleh menidakkan perasaannya yang sedar gusar sekarang.

**********

Tentu sahaja ketika ini kekesalan dirasai oleh Izhan Rayqal. Perasaan bersalahnya semakin kuat apabila melihat tingkahlaku dan mendengar jawapan yang diberi Aina Batrisya lewat pagi tadi. Nafas panjang dihela lalu dia menyandarkan dirinya di kerusi empuk di dalam bilik pejabatnya, lalu termenung jauh memikirkan tentang pengasuh adik kesayangannya itu.

"Papa dengar kamu buat hal dengan pengasuh kita tu? Betul ke?" Sengaja Dato' Aminuddin bertanyakan hal yang sememangnya sudah dia ketahui dari awal jalan ceritanya.

"Erm... Iz terlalu percayakan Elisya tu pa.. Iz tak sengaja waktu tu. Yang Iz tahu, Iz terlalu marah sampai Iz sendiri tak dapat nak kawal". Izhan Rayqal cuba mempertahankan dirinya.

"Kamu tak boleh nak salahkan Elisya tu sahaja, sebab kamu sendiri kenal macam mana perangai dia. Takkan kamu tak nampak? Tak tahu nak bandingkan. Sepatutnya Tuhan bagi kita akal untuk berfikir, sebab tu dia terletak di atas kepala otak kita. Lainlah kalau otak kamu tu dah berpindah ke kepala lutut. Sebelum buat sesuatu keputusan, fikir sehabis mungkin guna akal yang waras. Kita ni lelaki, jangan jadi lelaki dayus, senang-senang naik tangan kat orang perempuan". Dato'Aminuddin benar-benar berang, namun sebagai seorang yang profesional, dia bijak mengawal emosi.

"Maafkan Iz papa. Lepas ni, Iz janji ianya takkan berulang lagi".

Dato' Aminuddin keluar dari pejabat anaknya tanpa sebarang kata. Izhan Rayqal menghembus nafas pendek.

Beberapa fail dokumen yang harus diteliti, tidak berusik. Kali ini dia terfikirkan si Elisya pula. Sandiwara yang diwujudkan perempuan itu sangat meyakinkan.

'Macam manalah Pak Ngah handle perangai anak yang macam gitu. Atau selama ni Elisya pura-pura baik depan kedua ibu bapanya?' Untuk kesekian kalinya Izhan Rayqal mengeluh. Andai Elisya di depan matanya sekarang, mahu sahaja dia memperlakukan sebagaimana dia buat pada Aina. Mahu sahaja dia memberi pengajaran kepada sepupunya itu.

Kata-kata papanya sebentar tadi, masih terngiang-ngiang di cuping telinga Izhan Rayqal. Dia akui memang ada benarnya apa yang diperkatakan Dato'Aminuddin.

Kenapalah dia begitu bodoh, tak tahu bandingkan mana kaca, mana permata. Jika sehingga sekarang dia masih merajuk dengan Datin Qalsum dan tidak mahu ambil kisah dengan rakaman CCTV melalui telefon bimbit mamanya, pasti pada saat ini, dia sudah pun menanam benih-benih kebencian pada orang yang tidak bersalah.

'Maafkan aku Aina. Sungguh aku tak menyangka, kau benar-benar sayangkan Adam seperti adik kandung kau sendiri'.

Izhan Rayqal menekup wajahnya. Penyesalan yang tidak diketahui bilakah akan berakhir.

"Apalah kau mahukan Elisya dari aku? Kita tak mungkin akan bersatu. Dari kecik lagi aku dah anggap kau macam adik aku sendiri. Kenapalah kau tak pernah nak berubah?" Izhan Rayqal bicara seorang diri, bagaikan Elisya berada dihadapannya sekarang. Sekiranya ada orang yang terdengar dia bercakap seorang diri di pejabat, sudah pasti dia dicop tidak siuman.

**********

Hujan lebat di luar. Aina yang masih belum pulang ke rumahnya asyik mundar mandir di ruang tamu banglo itu. Teh O panas yang dihidangkan Mak Piah tidak terusik. Dilihatnya jam di dinding, hampir enam petang. Hana pasti risaukan dirinya yang masih belum pulang. Harapan Aina agar Hana faham, mana mungkin dia mahu redah sahaja hujan lebat yang meimpa bumi ketika ini. Jalan raya pasti licin dan bertambah sesak, selalunya lampu isyarat pun selalu sahaja buat hal ketika keadaan darurat begini.

Kelihatan kereta yang dipandu Izhan Rayqal pagi tadi, kini meluncur perlahan di perkarangan banglo tersebut. Aina memerhati dari dalam. Izhan Rayqal berlari menuju ke muka pintu. Apabila Aina perasan yang Izhan Rayqal juga memerhatinya, cepat-cepat dikalihkan pandangannya ke tempat lain.

"Assalammualaikum. Awak tak balik lagi?" Izhan Rayqal cuba mengambil hati Aina, sambil kakinya melangkah perlahan menuju ke ruang tamu. Seperti sudah menjadi ruang kegemaran Aina pula, setiap kali bertembung, Aina pastinya berada di sofa ruang tamu. Jarang sekali dilihat berada di ruangan lain.

"Waalaikummussalam, erm ya. Kalau saya dah balik, kelibat yang encik nampak sekarang tentunya hantu belaan saya, yang saya bawa balik dari kampung", Nampak gayanya Aina masih marahkan Izhan Rayqal.

"Pandai berguraukan. Saya naik dulu, nak mandi. Takut demam pulak kena hujan tadi".

'Ada aku tanya. Kesah pulak aku, kau nak demam ke. Apa ke, huh!' Namun itu hanyalah kata-kata yang mampu diluahkan di dalam hati. Dia masih mampu menggunakan akalnya waras untuk tidak bercakap sesuatu yang boleh mengguriskan hati dan perasaan orang lain. Sekadar bergurau tu biasalah.

Aina hanya melemparkan senyuman pada penerangan Izhan Rayqal. Aina janggal dengan sikap Izhan Rayqal yang tiba-tiba membaik serta merta.

Angin di luar memasuki liang roma Aina. Sekali sekala dia menggosok-gosok lengannya bagi menghilangkan rasa dingin. Aina tergerak untuk melihat tangga yang menghubungkan tingkat atas. Kelihatan Izhan Rayqal sedang menuruni anak tangga. Gayanya yang santai memang menerujakan Aina Batrisya.

"Awak tunggu saya ke?" Lelaki itu memberikan senyuman nakal. Izhan Rayqal memilih T-shirt Polo biru, dan diluarnya disarungkan jaket kulit berwarna coklat gelap. Dan seperti biasa dia memilih untuk berseluar jeans, tapi kali ini warnanya agak lusuh seakan seluar biru yang terkena clorox dan menyebabkan seluarnya bertompok.

"Eh! Taklah saya tengok-tengok kalau Adam turun, tak adalah saya bosan sangat sorang-sorang kat sini." Ikutkan perasaan malu, mahu sahaja Aina menyeludup masuk ke bawah permaidani kegemarannya itu. Bagaimanalah Izhan Rayqal boleh membaca isi hatinya yang memang sedang menanti untuk melihat wajah lelaki melayu terakhir itu.

"Owh, tunggu Adam, ingatkan tunggu saya tadi. Adam ada kat atas, hujan-hujan ni, sedaplah dia berdengkur. Mama saya tak balik lagi?" Izhan Rayqal cuba bermain dengan suasana agar Aina tidak berasa kekok dengannya.

"Oo..tidur, nak dekat Maghrib nanti kejutkanlah dia, lagi pun tak elok tidur waktu Maghrib. Nanti Ummu Subian kacau. Tentang mama encik, dari jam tiga petang tadi dia keluar, sehingga sekarang belum balik lagi, mungkin stuck kat mana-mana".

Izhan Rayqal hanya mengangguk tanda setuju dengan apa yang diperkatakan Aina. Di tangannya terdapat kunci kereta yang di pegang dari tadi. Hujan di luar pula makin lebat.

"Awak nak balik ke? Atau bermalam di sini?" Soalnya tanpa segan lagi kepada gadis di hadapannya.

"Ya macam mana sekali pun, saya perlu balik ke rumah. Hana mesti tengah risaukan saya. Saya nak call pun, handphone dah terpadam. Saya lupa nak charge malam tadi", muka Aina terus bertukar menjadi suram. Kakinya yang dari tadi menguis-nguis permaidani lembut itu, diberhentikan seketika. Air mukanya benar-benar berubah.

"Kalau macam tu, jom saya hantarkan. Cepat ambil barang-barang awak, kita gerak sekarang, sementara belum masuk waktu Maghrib lagi ni. Atau awak nak tunggu Maghrib dulu?", Izhan Rayqal menunjukkan muka serius.

"Erm.. saya rasa saya nak solat Maghrib dulu, takut nanti terlepas maghrib pula. Kalau hujan dah berhenti lepas mahgrib nanti, saya naik skuter je balik. Encik tak perlu hantar", dengan nada yang tegas Aina memberikan jawapan, kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Lebih-lebih lagi, lelaki yang pernah menghinanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku