Isteri Aku Nanny!
BAB 20
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
736

Bacaan






BAB 20

Tepi jalan flat kos rendah kediaman Aina dan sahabat baiknya Hana, dipenuhi dengan kereta-kereta milik penghuni. Manakala Izhan Rayqal dan Aina masih berada di dalam perut kereta Porsche Cayenne yang meluncur perlahan meredah hujan yang masih lebat. Mata mereka sama-sama melilau mencari ruang kosong untuk meletak kereta agar Izhan Rayqal dapat menghantar Aina hingga ke depan kaki tangga menggunakan payung.

"Tak apalah encik, saya boleh lari je. Lagi pun tak jauh mana dah ni. Saya dah biasa", terang Aina yang mengganggu sedikit fokus Izhan Rayqal yang masih terkial-kial mencari ruang kosong.

"Jangan, nanti demam pulak", kata Izhan Rayqal yang terpandang satu ruang di belakang Proton Saga. Izhan Rayqal dengan berhati-hati menghimpit ke tepi sedikit bagi memuatkan keretanya di situ.

"Okay,done!" Ketika ingin mengambil payung di belakang tempat duduk kereta, Izhan Rayqal sempat menoleh sebentar ke arah sisi wajah Aina. Dia terpana melihat bulu mata Aina yang panjang dan melentik. Wajah Aina tampak berseri apabila hanya di simbahi kesamaran cahaya kuning yang datangnya dari lampu jalan yang berdekatan dengan kereta yang sedang mereka naiki.

"Boleh saya keluar sekarang?", Aina yang tersedar dirinya diperhati, cuba mengalih perhatian anak majikannya itu. Takut pula rasanya dihati apabila berdua-duaan begini, tak tentu pasal nanti dituduh berkhalwat pula.

"Sekejap saya ambil payung", lalu dia mencapai payung warna merah, bertulisan Prudential. Tak lama kemudian, dia membuka jaket yang dipakainya dan dihulurkan kepada Aina yang kelihatan mengigil.

"Nah, pakai dulu jaket saya ni", kata Izhan Rayqal yang cuba menunjukkan sikap romantis.

'Nyampah!' Dalam keadaan teragak-agak, Aina menyarungnya ke tubuh. Semerbak bau Acqua Di Gio dari Giorgio Armani menusuk ke rongga pernafasannya. Terasa di buai-buai, melayang dibawa angin hujan yang menerpa.

Dengan lagak ala-ala hero yang sangat gentleman kononnya, Izhan Rayqal membuka pintu kereta. Tempias hujan yang dibawa oleh angin yang agak kuat, sudah pun membasahinya sedikit. Setelah payung dibuka, menuju ke pintu bahagian penumpang hadapan.

"Okay, sekarang awak boleh keluar ya Tuan Puteri", Izhan Rayqal cuba berseloroh.

"Terima kasih, maaflah Tuan Puteri ni banyak menyusahkan encik", geram pula hati Aina bila dipanggil dengan panggilan Tuan Puteri. Tiba-tiba dia teringat saat pertama menumpang kereta anak majikannya itu. Waktu tu, lelaki ini berbeza, marah-marah tak tentu pasal, macam datang bulan. 'Kali ni baik pulak mamat ni, adalah tu!' Gumam hati Aina.

Sebenarnya Aina sedikit terharu dengan keprihatinan Izhan Rayqal. Tidak pernah sekalipun di dalam hidupnya mengalami babak seperti ini. Namun jauh di sudut hatinya, dia berasa tidak betah bila berdekatan dengan mana-mana lelaki pun. Aina cuba mengawal keadaan supaya tidak terhimpit lelaki di sebelahnya. Terasa begitu lama waktu berjalan untuk sampai ke anak tangga.

Berada di bawah payung yang tidak sebesar mana, dengan tidak semena-mena Izhan Rayqal meraih pinggang Aina Batrisya, didekatkan pada tubuhnya agar mereka berdua tidak basah. Aina dapat rasakan kehangatan tubuh Izhan Rayqal, memanaskan kesejukkan dirinya dan degupan jantung Izhan Rayqal juga laju, selaju degupan jantung Aina ketika ini.

"Kita dah sampai, terima kasih ya. Maaf menyusahkan." Mahu sahaja Aina berlari tanpa menoleh lagi, bila terasa-rasa rangkulan di pinggangnya sebentar tadi. Tetapi Aina cuba berlagak tenang. Acuh tak acuh, membetulakan tudung dan dress labuhnya.

"Sama-sama kasih. Saya hantar sampai depan pintu ya. Jom!" Izhan Rayqal menarik sedikit lengan dress yang dipakai Aina dan terus melangkah dari anak tangga pertama ke anak tangga yang kedua.

"Eh! Tak pe-tak pe. Saya boleh naik sendiri. Encik balik dulu, nanti mama encik risaukan encik pula. Saya okay, tengok saya elok je kan? Boleh jalan." Aina menunjukkan aksinya turun naik anak tangga. Diulangnya berkali-kali.

Izhan Rayqal hampir tergelak melihat keletah Aina yang seakan budak kecil itu. Hatinya kini sudah terpaut.

"Ermm.. okaylah kalau awak dah tak bagi saya hantar. Saya balik dulu." Nada suaranya seakan merajuk menanti dipujuk.

Aina terus naik. Baru sahaja sampai ke anak tangga ke lima, terdengar namanya di pekik.

"Aina! Sekejap!" Izhan Rayqal berpatah balik.

"Apa dia?"

"Lepas ni panggil saya Iz je. Tak pun Izhan, kalau awak tak suka boleh panggil saya Rayqal. Tak perlu lagi berencik-encik dengan saya".

"InsyaAllah, jangan lupa guna payung tu. Nanti basah pulak kereta", Aina terus menaiki anak tangga diselangi gelak kecilnya.

'Dah basah rupanya baju aku, macam manalah aku tak perasan. Patutlah sejuk je satu badan. Haish inilah yang dinamakan mandi tak basah', Izhan Rayqal membebel sendirian, sambil tangannya membuka payung menutupi tubuhnya yang sudah sedia basah. Di hati kecilnya dia bernyanyi keriangan.

**********

"Assalammualaikum!" Aina memberi salam sambil mengetuk daun pintu. Hujan diluar masih belum berhenti.

Hana yang tak habis-habis mengadap TV bingkas bangun setelah mendengar suara Aina di luar. Sempat juga dia mencapai towel Aina yang memang sudah disediakan awal-awal lagi di atas kerusi keras mereka.

"Waalaikummussalam, lambat gila kau balik. Naik seriau aku." Belum sempat Aina menjejakkan kaki ke dalam rumah Hana sudah mula bercakap. Jika dibiarkan mau meleret-leret sampai ke esok.

"Kalau ya pun biarlah aku masuk rumah dulu, pekena teh o panas ke dulu", Aina mejawab slamber.

Hana memberi ruang untuk Aina masuk ke dalam rumah. Dia menutup belakang kepala Aina dengan towel yang dipegangnya tadi.

"Kau bukak tudung tu dulu. Nanti sakit kepala jadinya". Hana sempat berpesan, dan terus berlalu ke dapur. Teh O panas sudah tersedia di tangan kanannya bersama setin biskut petak Jacobs.

Aina yang dari tadi berdiri cuba membuka pin tudung, risau juga nanti berkarat pula tudungnya. Walaupun hanya terkena tempias, tudung di kepala tetap berasa lembab. Cuma dress labuh nya sahaja yang agak basah di bahagian bawah. Mungkin terkena becak ketika keluar dari kereta. Sebut tentang kereta, tiba-tiba Aina melihat ke tubuhnya.

"Allah! Aku lupa nak pulangkan balik jaket ni lah. Dialah ni, buat aku sampai jadi lupa nak pulangkan." Aina menuduh seseorang yang menjadi tanda tanya di fikiran Hana.

"Cop-cop, siapa yang hantar kau balik ni? Zairel?" Hana meneka dalam kesamaran.

"Taklah mamat tu yang hantar. Dia yang beria sangat nak hantar aku. Aku on jelah." Aina yang kelihatan gusar menggaru-garu kepalanya yang sememangnya sudah gatal sejak dari dalam kereta lagi. Demi menjaga reputasinya, Aina menahan rasa ingin menggarunya itu ketika berada bersebelahan lelaki melayu terakhir!

"Aduh kau ni, cakaplah mamat mana? Jangan pulak kau beritahu aku, anak majikan kau yang hantar", Hana menunggu reaksi Aina dengan sabar, apabila melihat sahabatnya itu menyeluk saku jaket, dan meraba-raba tubuhnya sendiri.

"Kau dah kenapa? Cari tangan tuan punya jaket ke?" Hana yang penat menanti, akhirnya mengaku kalah. Dia terus leka mengadap telefon bimbitnya. 'Baik aku main games lagi bagus'.

Aina mendekati Hana, dilihat-lihatnya telefon bimbit yang di pegang Hana.

"Kau dah kenapa? Macam kucing hilang anak je. Dengan rambut serabai." Tanya Hana yang masih geram dengan soalannya yang masih tinggal tanda tanya itu.

"Aku cari handphone aku ni. Aduh takkan tinggal dalam kereta dia kot. Tak pun tertinggal kat rumah dia". Aina akhirnya duduk bersila dilantai. Diteguknya air teh dan cicah biskut sekeping.

"Dia tu siapa?" Kali ni Hana memasang tekad. Ditangan sudah memeluk tin biskut kuning itu. Andai Aina masih berdalih, dia nak ketuk kepala Aina bagi elok sikit wayar otaknya.

"La.. kan aku dah cakap Izhan Rayqal lah.. siapa lagi?" Aina seakan tahu perancangan Hana.

"Takkan kau dah berbaik dengan dia kot. Biar betik!" Hana tercengang mendengar nama lelaki yang baru disebut Aina tadi.

"Baik-baik gitu je. Sedangkan Nabi S.A.W. pun ampunkan umat, ini kan aku hamba yang hina. Nanti aku kena ngadap muka dia jugak, ye tak?" Aina kelihatan putus asa mencari telefon bimbit kesayangan nya itu.

"Ayat nak clishe je kau ni", Hana menahan tawa dengan memegang perutnya.

Aina menyengih.

"Jadinya jaket yang kau pakai sekarang tu, jaket mamat tu la ya?"

"Haar. Aku pun tak tau kenapa tetiba dia baik sangat pulak dengan aku", Aina menghela nafas ke tapak tangan, dan digosok kan ke wajah.

"Jangan-jangan baik... ada makna", Hana mengeluarkan jari telunjuk dan diliuk lintukkan menjadi seakan-akan ulat bulu.

"Ulat bulu dah naik daun .... apa boleh buat dah nasib badan", serentak suara mereka menuturkan salah satu dialog yang terdapat di dalam filem Pendekar Bujang Lapuk.

Bergema satu rumah dengan gelak tawa mereka berdua.

"Hujan lebat cenggini, kita gelak sampai pecah gelas pun, bukan sesiapa boleh dengar, ye tak?" Hana mencelah.

"Yelah kot. Eh! Aku nak mandilah. Nak syampoo rambut ni. Dah berdenyut-denyut kepala aku dok pikir manalah aku letak si Mega tu. Purse aku pun sekali lesap". Aina bangun menuju ke bilik mandi.

**********

Denting yang berbunyi dari dinding kamar Izhan Rayqal menandakan sudah pukul 11 malam. Dia termenung di balkoni biliknya, merenung ke langit. Gelap dan kosong. Tiada bulan mahu pun bintang yang begemerlapan. Begitulah hatinya kini.

Sebenarnya sampai sahaja ke rumah, Izhan Rayqal duduk sebentar di ruang tamu. Menyandar di sofa yang menjadi port kegemaran Aina. Dan waktu itulah dia terpandang purse hitam. Berderau darahnya apabila membuka purse tersebut. Ternyata ianya milik Aina Batrisya.Tiada apa yang menarik di dalam purse tersebut, hanya ada wang RM 10, kad pengenalan, lesen motor dan juga handphone kesayangan Aina.

Mulanya berkali-kali juga dia fikir untuk charge phone Aina. Tetapi disebabkan sifat ingin tahu yang terlalu tinggi membuatkan Izhan Rayqal melaksanakan niatnya.

Sayang awak kat mana? Rindulah. ~ Zairel

Hujan lebatlah kat sini, kalau awak ada kan best. Boleh jadi bantal peluk saya. ~ Zairel

Awak marah saya ke? Sorry dear, sebulan dua ni, saya selalu sangat outstation. If awak dah baca wassap yang saya hantar ni.. plz reply.. i miss u.. i need u.. ~ Zairel

Lamunan Izhan Rayqal di balkoni kamar mewahnya terhenti apabila telefon bimbit di atas meja sisi katilnya berbunyi. Serba salah dibuatnya sama ada mahu menjawab panggilan yang datangnya dari Samsung Mega milik Aina. Panggilan pertama tidak dijawab. Akhirnya Izhan Rayqal mengambil keputusan untuk menjawab pada deringan kedua.

"Assalammualaikum." Izhan Rayqal berlagak tuan empunya telefon bimbit.

"Siapa ni? Kenapa handphone Aina ada dekat kau pulak?" Zairel bengang.

"Kot ya pun bro. Jawablah salam tu dulu", Izhan Rayqal juga turut angin dengan kebiadapan Zairel.

"Masalahnya sekarang, Aina mana?" Zairel tetap berdegil. Dia hanya ingin tahu kemana perginya Aina.

"Aku tak nak kau ganggu dia lagi. Dia dengan aku sekarang. Dah tidur". Izhan Rayqal sendiri tidak tahu kenapa dia perlu berbohong. Sepatutnya dia cerita jelah apa sebenarnya yang berlaku. Namun dia melakukan sebaliknya.

Panggilan tiba-tiba dimatikan oleh Zairel. Izhan Rayqal hanya melihat sebentar skrin Samsung Mega tersebut dan melepaskan keluhan panjang. Lalu dia meletakkan semula telefon bimbit Aina ke atas meja sisi katilnya.

Izhan Rayqal menghempaskan badannya ke tilam tebal lagi empuk di kamar mewahnya. Dia memejamkan mata, fikirannya bercelaru. Dia tidak mengerti apa yang di rasakan sekarang. Adakah dia sudah jatuh cinta pada gadis yang pernah di gelarnya sebagai budak kampung itu?

Akhirnya dia terlelap bersama bayangan wajah Aina Batrisya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku