Isteri Aku Nanny!
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1178

Bacaan






BAB 21

Pagi ini, Aina bangun awal. Dia takut tertinggal teksi nanti. Nak hubungi Datin Qalsum atau pun anak lelakinya majikannya itu, nombor telefon mereka semua tercatat di dalam Samsung Meganya.

Zaman sekarang susah nak jumpa seseorang yang hafal nombor telefon seseorang, yelah dulu main catat dalam buku telefon yang ditulis guna tulisan tangan, tak pun dalam satu buku yang dinamakan buku biodata, tapi yang ni untuk budak-budak sekolah.. Bawalah buku tu ke hulu ke hilir, hingga memaksa mereka untuk hafal nombor-nombor penting.

La ni, tekan je kat 'contact' berderet nombor telefon terpampang depan mata. Tinggal nak tekan klik, lepas tu butang hijau untuk call.

Hana ada juga menawarkan pertolongan, untuk minta Taufiq hantarkan Aina ke rumah Datin Qalsum, tetapi seperti biasa Aina menolak sekeras-kerasnya. "Dah la Taufiq tu hensem, nanti kalau aku terjatuh hati kat dia macam mana? Lepas tu pulak dia pun tangkap cintan kat aku, time tu kau jangan nak menangis air mata darah pulak."Tergelak besar Hana mendengarnya. Hana tahu Aina hanya bergurau, dia memang jenis tak suka susahkan orang lain kecuali terpaksa.

Akhirnya, Hana menemani Aina sehingga dia benar-benar sudah masuk ke dalam perut teksi. Mujurlah Hana shift petang, kalau tak termangulah dia seorang diri, menantikan teksi. Elok sahaja sampai di depan pagar, Pak Mat pemandu majikannya baru nak keluar rumah untuk menjemputnya.

"Nah.. macam manalah boleh tertinggal? Nasib baik dalam rumah ni tau. Careless." Sambil senyum simpul, Izhan Rayqal menyerahkan purse bersama telefon bimbit Aina.

"Terima kasih. Sekurangnya hilang dalam rumah ni, masih kat negeri Johor, lainlah kalau hilang kat Sarawak." Aina mengenakan Izhan Rayqal tanpa rasa bersalah.

"Yelah tu. Asal saya bercakap je, ada je awak corner sana sini kan?" Izhan Rayqal meneliti wajah Aina yang tampak berbeza dari sebelum ni. Makin cantik pula. Atau dia sudah jatuh hati pada gadis ini. Kata orang bila kita mencintai seseorang, segalanya tampak indah.

"Erm.. encik tak ke pejabat hari ini?" Aina pelik selama dia bekerja, Izhan Rayqal lebih banyak masanya di rumah dan berkurung di dalam bilik. Makan pun sampai Mak Piah yang hantar sampai ke muka pintu.

"Saya dah pesankan, jangan berencik-encik dengan saya. Panggil Iz je pun boleh. Atau awak nak panggil saya Abang Iz, macam Datuk Burhan tu, bukan ke dia suruh awak panggil dia Abang Burhan. Oopss! ", Izhan Rayqal menangkup mulutnya menggunakan kedua-dua telapak tangan.

"Ermmm.. saya cuba panggil Izhan atau tengoklah macam mana. Tapi kalau Datuk Burhan tu dah taraf ayah saya dah. Tak mampu saya nak panggil abang. Kecualilah kalau Datuk Burhan tu jadi suami saya", Aina berterus-terang.

"Jadi awak ada pasang angan-anganlah ya nak jadi isteri Datuk Burhan? Dia tu duda tau. Kalau awak kawin dengan dia, terus dapat title datin". Terbit rasa cemburu di hati Izhan Rayqal tanpa dia sedari.

"Ke situ pulak melencongnya. Bukan ke saya cakap tadi, Datuk Burhan tu dah macam ayah saya. Entah-entah boleh jadi datuk saya agaknya. Takkanlah saya nak kawin dengan orang yang hampir sebaya dengan ayah saya pulak. Kan?"

Izhan Rayqal angguk tanda setuju.

"Adam mana ya? Dari tadi saya tak nampak pun." Sememangnya dari tadi Aina mencari Adam.

"Adam ikut mama pergi jumpa guru kelas dia. Dah berapa lama Adam tak pergi sekolah. Sekejap lagi baliklah tu." Izhan Rayqal menelan air liur apabila melihat Aina membelek-belek Samsung Meganya.

Aina angkat kepala. Tangan masih memegang telefon bimbitnya.

"Kenapa pandang saya macam tu?" Tanya Aina sambil mengerutkan dahi.

"Saya duduk sini boleh? Sementara tunggu mama balik." Dalam hatinya berdoa agar Aina tak perasan wassap yang dihantar Zairel malam tadi.

"Tiada siapa yang melarang walau di mana pun awak nak duduk, Iz. Lagi pun ni kan rumah awak, kenapa sampai nak minta kebenaran dengan saya?" Aina hairan dengan sikap lelaki itu berlainan benar sejak kebelakangan ini.

"Rindu betul saya dengan dia.." tiba-tiba Aina bersuara, sambil anak matanya masih tertancap pada skrin telefon bimbitnya.

"Siapa? Boyfriend ke?" Izhan Rayqal tanpa berfikir panjang menanyakan soalan yang tak sepatutnya.

"Ha? Boyfriend? Bukanlah, maksud saya Adam. Yelah sejak akhir-akhir ni, masa saya dengan dia macam singkat sangat. Saya ni dah macam makan gaji buta pulak", Aina melepaskan keluhan pendek. Malu pula bila dibuat kira-kira dia lebih banyak berehat di ruang tamu agam itu. Paling tidak pun dia akan bantu Mak Piah di dapur.

"Saya nak tanya sesuatu ni, tapi agak peribadi. Harap awak boleh jawab dengan jujur". Izhan Rayqal mengatur bahasa sebaik mungkin supaya tidak nampak yang dia sedang mengorek rahsia!

"Susah sebenarnya nak jawab soalan ni", Aina membetulkan tudungnya yang tidak senget. Di gosok-gosoknya pula telapak tangannya yang sudah berpeluh.

"Tak pelah, saya just nak tahu je. Bukan apa-apa pun. Saje sembang-sembang santai", sambil itu dia menyelak sehelai demi sehelai surat khabar Metro yang berada di tangannya.

'Sakit ke apa dia ni, tak pasal-pasal nak tahu aku ada boyfriend ke tak. Aku ni yang dok pikir dari azali lagi, dia dah ada girlfriend ke belum, tak pernah pun berjaya keluar soalan macam tu dari mulut aku yang munggil ni'

"Hello! Anybody here?" Terhenti terus lamunan si Aina.

"Here..here.." hampir sahaja Izhan Rayqal nak gelak mendengar jawapan Aina. Tapi tak pelah sekurangnya dia berani menjawab. Akhirnya dia memberi senyuman paling manis buat Aina, supaya Aina tak perasan yang dia sedang menahan tawa.

"So.. jawapannya ada ke tidak?" Izhan Rayqal membuat muka paling comel dihadapan Aina, dengan harapan Aina lekas-lekas bagi jawapan TIDAK!

'Aduh mamat ni. Ni yang buat aku cair ni. Macam mana nak cakap erk. Nak kata ada macam tak logik sebab aku tak pernah pulak melekap je dengan telefon 24jam. Kalau nak kata tak ada si Zairel tu sebenarnya siapa dalam hidup aku. Aduh malangnya aku hari ni'

"Tak pelah kalau tak nak beritahu. Saya naik atas dulu", Izhan Rayqal seakan bosan menanti, padahal dalam hati, tahanlah aku dari naik atas cepat, lepas tu bagi tau aku yang kau tak de boyfriend pun'.

"Erm ok, Iz naiklah, saya nak tolong Mak Piah siapkan makan tengahari." Aina bangun perlahan dari sofa. Terasa sayang nak meninggalkan sofa kegemarannya itu.

Belum habis lagi berdiri, Izhan Rayqal kembali ke tempat duduknya.

"La.. kenapa duduk kat situ balik? Kata nak naik atas, saya nak pergi dapur ni. Rasa tak sedap pulak hati ni, dari tadi tak buat apa-apa" Aina masih cuba berfikiran positif.

"Awak tak jawab lagi soalan saya", kali ini Izhan Rayqal menggunakan kuasa matanya. Mata hitam Izhan Rayqal bersinar-sinar dan dikerlipnya berkali-kali. Terserlahlah anak mata hitamnya yang besar itu meminta simpati. Dah macam kucing merayu mintak ikan pun ada.

Kini Aina betul-betul tak senang duduk. Dia sudah mula gelabah. Tak pernah-pernah anak majikannya ini buat perangai buruk macam tu. Muka dah lawa, gaya dah ada tapi perangai time minta simpati, bukan main lagi.

"Saya sebenarnya tak tahu apa sebenarnya hubungan kami. Dia tak selalu ada dengan saya. Whatsapp, we chat, Line, pun susah sangat-sangat. Selalunya kalau dia nak jumpa saya, dia akan whatsapp saya dulu. Paling koman pun, dia akan sms saya. Call boleh dikira pakai jari. Sebulan ke dua bulan barulah saya dapat dengar khabar berita. Dia ada jumpa mak ayah saya, dan dia dah bagi pun cincin tanda. Walaupun saya sendiri tak tahu apa tu cincin tanda, saya tak pernah tanggalkannya lagi dari jari saya ni, kecuali nak ambil wudhuk." Jelas kekecewaan di wajah Aina Batrisya.

"Mak ayah awak sukakan dia?" Soal Izhan Rayqal lebih lanjut.

"Mak nampak sukakan dia, alasan mak umur saya dah semakin dekat dengan angka tiga puluhan, lagi pula mak tengok, dia nampak boleh menjaga saya dengan apa yang dia ada sekarang.Tapi ayah.. entahlah. Macam tak suka pun ada. Mungkin disebabkan saya ada masa silam, jadi ayah mungkin serik nak bagi saya bercinta lagi dengan mana-mana lelaki." Akhirnya Aina terpaksa juga bercerita.

"Masa silam? Masa silam yang macam mana? Boleh saya tahu?" Makin menjadi-jadi pula sikap ingin tahu si Izhan Rayqal.

"Saya boleh beritahu, tapi bukan sekarang. Insya Allah suatu hari nanti dengan izinNya, lambat laun awak pasti akan tahu", Aina belum bersedia untuk lagi untuk bercerita lanjut.

"Okay, saya akan tunggu", Izhan Rayqal seakan berjanji.

"Terpulang", Aina menjongket bahu, sambil bangun untuk ke dapur.

"Lelaki yang awak maksudkan tu, Zairel?" Izhan Rayqal menutup kelopak matanya sekejap bagi menghilangkan rasa cemas. Hati lelakinya takut juga kalau tiba-tiba Aina mengamuk sakan, bila tahu yang dia sudah pun baca whatsapp yang dihantar Zairel. Dan paling menakutkan, dia telah pun menjawab panggilan telwfon dari Zairel malam tadi.

Aina angguk perlahan, lalu bingkas bangun meninggalkan Izhan Rayqal terkebil-kebil di situ keseorangan. 'Sah! Izhan Rayqal sakit jiwa. Tak pun hilang ingatan. Tak pun saje nak bagi aku fikir yang dia sukakan aku. Lepas tu dia boleh ambil kesempatan nak permainkan perasaan aku. Owh.. no! perkara tu, takkan terjadi sama sekali.'

"Mak Piah masak apa tu? Sedapnya bau.." Aina meghirup udara di dapur yang di penuhi aroma kari ayam Mak Piah.

"Kau ni kan, cuba bagi salam dulu. Ni main terjah je. Kalaulah Mak Piah ni melatah orangnya, entah berapa banyak agaknya senduk, sudip, periuk belanga,pinggan mangkuk Mak Piah pecahkan". Sambil Mak Piah membebel, tangannya laju sahaja memukul manja lengan Aina dengan senduk kari ditangannya.

"Habislah bau kari baju saya ni, Mak Piah... ", Aina menghentak kaki, buat-buat merajuk macam budak kecil.

"Eleh.. mengadakan.. dah-dah duduk je kat depan tu. Biar Mak Piah siapkan makan tengahari nanti. Dah nak siap dah pun ni." Sambil tangan Mak Piah masih ligat mengacau kari ayam.

**********

"Kakak!"

Aina terkesima. Matanya melilau mencari kelibat orang yang memanggilnya. Suara persis budak kecil. Comel. 'Suara bunian ke? Aduh mulut aku la ni, celupar pernah sebut tentang bunian. Matilah aku'. Aina merepek sendirian.

Tiba-tiba baju kurung kuning lembut yang di pakainya, ditarik lembut. Aina menundukkan wajah. Alangkah terkejutnya dia, apabila melihat Adam di sisinya. Didukungnya Adam, memeluknya erat tanpa peduli sesiapa pun di situ. Perlahan-lahan air matanya bercucuran, dan semakin laju.

Dati Qalsum yang berada di muka pintu, turut terkejut dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Mak Piah pula kaku di tepi dinding dapur mewah milik majikannya, di tangan Mak Piah masih menatang dulang yang dipenuhi dengan beberapa gelas dan satu jar Jus Mangga. Hampir sahaja terlepas mendengar apabila mendengar suara yang dirinduinya beberapa tahun yang lalu.

"Sayang, panggil kakak ya?" Aina meletakkan Adam ke bawah semula. Dipimpin tangan Adam menuju ke ruang tamu. Seperti biasa Aina duduk di sofa dan didukungnya Adam kembali, dan di letakkan ke atas ribanya.

Datin Qalsum mendekati mereka berdua. Begitu juga Mak Piah, setelah minuman diletakkan ke atas meja makan hadapan, Mak Piah terus mempercepatkan langkahnya. Kini mereka berempat berkumpul di ruang tamu kegemaran Aina. Masing-masing merenung wajah Adam yang redup.

"Adam sayang.. panggil mama boleh?" Adam hanya membisu tanpa respon.

Aina pula tidak habis-habis memeluk Adam ke dalam dakapannya. Air matanya masih lagi turun mengalir mengenai pipinya namun tidaklah selebat tadi. Sekali sekala Adam menyeka air mata Aina. Entah apalah perasaan Adam ketika itu. Datin Qalsum dan juga Mak Piah turut menangis melihat perlakuan Adam terhadap Aina Batrisya. Adam nampak begitu kasih kepada pengasuhnya.

"Hey! Whats wrong? Why everyone is crying?" Izhan Rayqal turun tangga selaju mungkin.

"Aduh! Apasal karpet ni kat sini pulak ni?" Izhan Rayqal terjelepok jatuh ke lantai, apabila kakinya tersadung pada permaidani yang sememangnya sudah lama berada di hujung anak tangga tersebut. Gayanya tak ubah seperti gadis celup!

Aina tergelak kecil mendengar omelan Izhan Rayqal.

"Tulah bahananya, dalam rumah pun nak speaking konon. Apa dalam rumah ni tak faham Bahasa Melayu ke? Berapa kali dah mama cakap, dalam rumah kalau boleh cakap je bahasa kita. Senang. Aina faham. Mak Piah pun faham." Datin Qalsum memang sudah awal-awal lagi berpesan, apabila berada di dalam rumah, guna sahaja Bahasa Melayu.

"Bukan salah pun kalau nak speakingkan ma?" Izhan Rayqal begitulah perangainya, tetap juga mahu menang walaupun dengan ibunya sendiri.

Bukan apa, Datin Qalsum cuma risau. Jirannya anak Datin Maznah langsung tak faham Bahasa Melayu, semua anak-anaknya belajar di luar negara. Budak si Mikael anak bongsu jirannya itu je yang bersekolah di Malaysia, itu pun bunyi melayunya dah macam orang Jerman, sedangkan dia bersekolah di sekolah kebangsaan. Waktu keluar keputusan SPM Bahasa Melayu pun dia boleh gagal!

"Kalau aku dengar lagi kau speaking tak memasal-masal, aku hempuk kau dengan karpet tu", tiba-tiba Datin Qalsum berubah watak. Terkejut tahap tapir Aina dibuatnya.

'Biar betul, selama ni Datin Qalsum yang aku kenal bukan main lembut lagi. Sekarang ni sekelip mata berubah, saling tak tumpah macam mak aku!'

"Aina.. janganlah terkejut sampai macam tu sekali. Aunty memang macam ni. Kat luar memanglah aunty ni dicop sebagai wanita paling lembut taraf antarabangsa. Tapi sebenarnya diaorang tak tahu, yang auntie sama je macam orang lain. Lagipun keluarga aunty ni agak besar, kami 15 beradik semuanya. Mak memang sangat-sangat riuh. Kalau macam sekarang ni, andailah mak aunty ada di bawah dan aunty ada dekat tingkat atas, suaranya tu boleh dengar sampai ke atas kamu tahu? Bayangkanlah macam mana lantangnya suara mak aunty." Datin Qalsum tersenyum, namun ada air bertakung di tubir matanya.

Aina Batrisya mencuba sehabis mungkin agar tawanya tidak pecah. Dia menahan perutnya menggunakan sebelah tangan. Seriau juga dia, andailah dia lepaskan semua gelak tawanya sekarang, pasti Datin Qalsum, Mak Piah dan juga jejaka melayu terakhir itu, berlari bertempiaran akibat gelaknya yang mengalahkan anak teruna.

"Tak sangka ya.. mak saya pun lebih kurang je. Cuma mak jenis suka membebel jelah. Tidur lepas subuh bebel, masak tak sedap bebel, sidai kain matahari tengah terpacak kat kepala pun bebel.. pendek kata silap sikit bebelnya sampai ke petang membawak sampai ke esok. Tapi walaupun mak macam tu, kasih sayang mak pada saya tetap dapat saya rasakan", Aina mengeluh pendek, jauh disudut hatinya dia amat merindui ke dua orang tuanya.

"Yelah Aina, ibu mana yang tak sayangkan anak ye tak? Sementara ibu kamu masih ada hargailah dia. Tatanglah dia bagai minyak yang penuh. Jangan lupa tanya khabar, orang tua ni bukannya nak duit kita pun, asalkan kita ingat mereka, itu pun sudah cukup. Macam aunty, mak dan abah aunty meninggal sewaktu aunty berumur 26 tahun. Namun aunty bersyukur sempat tunaikan impian diaorang untuk menunaikan umrah dan haji." Kali ini, Aina betul-betul kagum pada Datin Qalsum. Hatinya begitu tabah. Jika dia berada di tempat Datin Qalsum waktu itu, agaknya dia kini sudah ditempatkan di wad orang gila.

Izhan Rayqal yang masih terhencut-hencut, langsung tidak dipedulikan oleh mereka. Soalannya pun dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Namun Izhan Rayqal tidak berkecil hati, dia faham, mungkin Datin Qalsum punya banyak perkara yang nak dikongsikan bersama Aina. Lagipun anak Datin Qalsum yang tinggal kini semuanya lelaki, dia dan Adam. Sudah pasti mamanya mahu bercerita dari hati ke hati sebagai seorang perempuan.

"Erm..auntie Adam dah tertidur ni. Nak saya bawa dia ke bilik?" Tanpa Aina sedari, Adam sudah pun lena dipangkuannya.

"Tak pe, biar Iz yang bawak Adam ke atas. Tadi pun Mak Piah dah urut-urut kaki dia tu. Lelaki kenalah kuat." Datin Qalsum merenung anak terunanya sambil tersenyum puas.

Kesian pula Aina melihat wajah Izhan Rayqal. Tapi apakan daya, Aina terpaksa membiarkan sahaja mereka anak beranak. Simpatinya juga dibuang jauh-jauh.

"Tak pe, kaki saya dah okay dah ni. Sikit je tu tadi, saje je saya gimik lebih" Sempat lagi Izhan Rayqal mengenyitkan matanya kepada Aina.

Bagaikan baru lepas dikejar hantu degupan jantung Aina. Sehinggakan dia rasa seolah mahu luruh jantung dari tangkainya.

'Owh dunia.. inikah salah satu perhiasan untuk kami kaum wanita. Sungguh aku terpana!' Fikiran Aina terbang tinggi tahap infiniti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku