Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 20
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
624

Bacaan






Suasana sepi di dalam kereta Proton Saga hitam berkilat milik Eja. Hanya kedengaran deruman enjin kereta yang meluncur bersama celoteh deejay di radio.

Anisah tidak berkata sepatah pun semenjak mereka tiba di jalan besar menuju ke kelab. Eja pula seakan membiarkan Anisah melayan apa yang menguasai fikirannya. Atau mungkin dia menunggu Anisah membuka mulut.

"Anak-anak akak sihat?" Eja memecah kesunyian dengan keadaan yang terlalu kekok baginya.

"Sihat." Jawab Anisah ringkas.

"Kenapa akak macam ada masalah?" Eja sudah tidak sabar menunggu. Nampaknya dia terpaksa memulakannya.

"Akak pun tak tahu nak mulakan dari mana." Keluh Anisah.

Eja hanya menunggu.

"Ustaz Hairi dah meninggal."

"Innalillah...," suara lirih Eja.

"Eja percaya tak kalau akak beritahu dia diracun madu akak sendiri?"

"Sampai macam tu sekali?! Apa masalah dia kak? Hari tu saya tengok dia okey aje." Eja seperti tidak percaya.

"Dia masih tak dapat lupakan kekasih lama dia. Kekasih lama dia pun ambil kesempatan. Dia ada latar belakang peguam. Sebab tu senang-senang boleh buat rancangan macam ni. Habis harta Ustaz Hairi dia bolot."

"Agaknya dia rasa akak ni kahwin dengan ustaz semata-mata kerana harta agaknya?" Eja cuba meneka.

Anisah tersenyum sinis. "Kalau akak nak kan harta, akak tak cari orang macam ustaz tu. Baik akak cari orang kaya. Sedangkan tawaran Dato' Shah pun akak tolak dulu." Anisah meluahkan perasaan.

Eja terdiam, seolah-olah sedang menyelami perasaan Anisah selepas apa yang melanda kehidupannya.

"Kalau ikut hati akak, tak sanggup nak ke kelab ni. Akak dah agak apa yang Maya dan Dato' Shah nak buat. Akak tak tahulah sama ada tahan ke tak telinga ni."

"Alah, akak buat tak tahu aje. Yang penting akak kerja elok-elok. Ramai pengunjung yang tanya mana akak. Maya tu cemburu sebenarnya."

Anisah tidak menjawab. Dia diam mengumpul kekuatan dalaman, sebagai perisai menghadapi panahan kata-kata yang bakal dilontarkan kepadanya di kelab.

Setibanya di kawasan parkir kelab, Anisah yang kelihatan manis berbaju kurung menapak menuju pintu belakang kelab.

Sedikit pun dia tidak perasan sepasang mata sedang memerhatikannya dari dalam teksi.

***

Nasib nampaknya seperti tidak menyebelahi Anisah. Maya, Zetty dan Anne sedang rancak berbual di bilik persalinan.

"Eh, Anisah!... Apa kau buat kat sini? La... aku ingatkan kau dah jadi perempuan solehah. Pakai purdah, duduk di rumah. Layan suami..." Kata-kata tajam yang menghiris hati Anisah. Menguji kesabarannya.

Anisah tidak menjawab.

"Kenapa? Laki kau tak bagi makan cukup? Atau madu kau tu jenis mengikis harta laki kau?" Kata-kata Maya diikuti tawa sinis mereka bertiga.

"Atau kau sudah bosan dengan hidup sebagai orang baik? Sebab hidup terasa amat membosankan? Hmm..."

"Cukup Maya! Cukup! Aku nak tukar baju. Tolong keluar sekarang." Anisah tidak dapat menanggung beban emosi yang sedang melanda.

"Ish, ish.... jangan kurang ajar Anisah. Ini tempat aku. Kau kena belajar sikit. Dulu kau dah selamat dari mulut buaya. Jangan fikir kau dapat lepas lagi kali kedua.... Bye Anisah." Suara Maya yang hanya beberapa inci dari wajah Anisah, sebelum wanita bertiga meninggalkan bilik itu.

***

Suasana di meja bar sepi buat seketika apabila Anisah selesai bercerita perihal kisah hidup yang baru dialami. Masing-masing tergamam. Yang kedengaran hanya muzik santai dari lantai disko awal malam itu.

"Besar betul dugaan yang kau hadapi Anisah. Selama ni aku rasa beban yang aku tanggung dah cukup berat. Rupa-rupa apa yang kau alami jauh lagi berat." Luahan hati Sofea. Spontan.

"Aku pun rasa macam tu juga. Kalau akulah... entah apa yang aku dah buat sekarang ni." Rachel menambah.

"Teruk betul Farizah tu. Orang macam tu baik kena bunuh saja. Senang. Tak menyusahkan orang lain." Cynthia menambah. Emosinya meluap-luap.

Anisah tidak menjawab.

"Kak Anisah memang kuat. Kalau tak, dia takkan kerja kat sini lagi. Kalau saya agaknya, dah berhari-hari terperap kat rumah. Melayan perasaan." Puji Eja.

"Itu yang kau nampak di luar saja Eja. Dalam ni. Huh!" Akhirnya Anisah bersuara sambil menunjuk ke arah dadanya sendiri.

"Takkan kau tak nak cuba dakwa dia di mahkamah? Takkan nak diam aje?" Sofea bersuara.

"Tak ada gunanya. Ex Farizah tu peguam. Perempuan tu siap sound aku lagi. Kalau bawa ke mahkamah, aku gerenti kalah punya. Buat habis duit aku bayar aje." Keluh Anisah.

"Susah juga macam tu kan?" Sofea baru faham.

"Tau tak apa."

"Tapi kau tak cuba balas dendam dengan perempuan tu ke? Baru padan muka dia!" Emosi Cynthia masih bersisa.

"Kalau aku balas dendam pun, boleh berubah ke nasib aku? Lebih baik aku teruskan hidup. Demi anak-anak." Jawab Aniisah.

"Betul tu kak. Lagipun kami semua happy sebab akak dah kerja semula. Muka Madam Vie tadi pun dah macam lampu spotlight. Berseri-seri nampak akak. Jangan fikir benda yang dah lepas kak. Terus jalan ke depan." Kata Eja sebelum mereka bersurai untuk menjalankan tugas masing-masing malam itu.

***

Sebaik sahaja Anisah masuk ke bilik VIP atas arahan Madam Vie tadi, kedengaran riuh suara lelaki yang ada di situ melihat ketibaan Anisah.

"Anise... long time no see... How are you?" Ucap Dato' Hazman.

Maya yang berada di sisi lelaki itu memandang Anisah dengan renugan yang menjengkelkan.

"Baik," jawab Anisah ringkas. Emosinya bercampur baur ketika itu. Maya menjeling seperti mahu menelannya hidup-hidup. Dari hujung kawasan bersantai itu, Dato' Shah memandang dengan pandangan sinis.

'Kalau aku ikutkan hati, mahu rasanya aku balik sekarang juga. Biar naik teksi pun tak apa.' Hati Anisah membentak.

"Sit, sit ... Maya, bring one fresh orange." Helah Dato' Hazman seperti biasa untuk 'menyingkirkan' Maya buat sementara. Sedangkan Zetty dan Anne masih memerhatikan setiap gerak-geri Anisah.

"Mana you pergi? I rindu pada you. Call pun tak jawab." Bisikan lirih Dato' Hazman sambil memerhatikan leher Anisah. Pandangan itu membuatkan Anisah rasa tidak selesa. Ditambah dengan jelingan Dato' Shah yang sinis dan menjengkelkan.

"Ada projek lain. Sekarang dah habis dah." Anisah menjawab sambil lewa. Dia malas bercerita tentang kisah duka yang sudah diulang cerita beberapa kali.

Sebaik sahaja Maya tiba bersama gelas tinggi berisi jus oren, Dato' Hazman kembali memberi perhatian kepada Maya.

Masa berlalu hinggalah hanya tinggal Anisah dan Dato' Shah yang masih duduk di kerusi santai itu. Beberapa kali Anisah diajak Dato' Hazman dan gengnya menari tetapi dia memberi alasan kurang sihat. Maya hanya tersenyum gembira. Sekurang-kurangnya dia tidak payah melihat saingannya mendapat perhatian di lantai tari.

Dato' Shah yang duduk di hujung kini sudah bangun dan mengambil tempat berhampiran Anisah. Detik-detik yang cuba dielak oleh Anisah akhirnya tiba juga.

"Berani kau kerja di sini semula, selepas apa yang dah berlaku hari tu." Kata-kata Dato' Shah berbau provokasi.

Anisah hanya meneguk liur. Tiada kata yang keluar, walaupun sepatah.

"Ramai perempuan yang aku kenal, yang senasib dengan kau dah tak berani jenguk ke sini lagi. Tapi kau... kau memang tak tahu malu kan? Bermaruah konon? Tapi tergamak jilat ludah yang terpalit di lantai. Jijik!" Lelaki itu membuat serangan psikologi ke atas Anisah.

Anisah masih berdiam. Dadanya berdebar kencang. Tangannya terasa menggigil. Emosinya bercampur baur. Takut. Marah. Malu. Sedih. Semuanya bergelodak dalam jiwanya.

"Kalau tak kerana lelaki bedebah tu, kau dah jadi habuan aku. Mana dia sekarang? Dia dah tinggalkan kau? Atau dia tahu siapa kau sebenarnya? Perempuan jijik dan kotor yang perasan bermaruah?"

Dada Anisah terbakar dengan kata-kata tidak beralas lelaki itu.

"Dia dah mati. Puas hati Dato'?" suara Anisah dengan emosi yang cuba dikawal.

"Ooo... dah mati... padanlah kau terhegeh-hegeh datang ke sini semula. Kasihan..."

Anisah cuba mengawal emosi. Dia tidak mahu ekspresi wajah dan air mata ini mengganggu tugasnya malam ini.

"Anisah, Anisah... Sayang sekali. Kau ada rupa. Kau ada daya tarikan. Tapi kau sia-siakan. Kalau kau terima tawaran aku dulu kau dah hidup senang sekarang ni. Ramai yang inginkan peluang seperti yang kau dapat. Tapi kau? Kau sia-siakan aset yang kau ada, seperti air yang terbazir keluar dari paip. Terbuang begitu saja. Kau jangan lupa, apa yang kau ada ni tak akan berkekalan. Sampai masanya semua akan pudar. Kendur. Geleber. Masa tu nanti baru kau menyesal." Permainan psikologi lelaki itu diteruskan.

"Apa yang Dato' nak sebenarnya ni?" Anisah mula terganggu dengan kata-kata lelaki itu.

"Tawaran aku masih terbuka untuk kau. Apa yang kau nak, semuanya kau akan dapat. Asalkan kau beri apa yang aku nak. Hanya untuk aku, tak ada orang lain. Fikirkan betul-betul Anisah. Peluang ini masih terbuka, asalkan aku belum berubah fikiran. Masa tu nanti jangan kau terhegeh-hegeh pulak."

Entah mengapa kata-kata itu mula meresap ke sanubari Anisah. Seperti racun yang menyelinap ke segenap pembuluh darah dan saluran nadi Anisah.

***

Setelah bertukar semula memakai baju kurung, Anisah berjalan pagi itu menuju ke kereta Eja. Eja sudah pun menunggu bersama deruman enjin yang kedengaran. Hanya menunggu Anisah masuk untuk ia meluncur laju meninggalkan tempat itu.

Anisah mengatur langkah bersama pelbagai perkara yang bermain di fikiran.

"Puan Anisah!" Suara dari belakangnya. Suara yang dia kenal.

Anisah terpegun melihat lelaki berbaju lengan pendek putih berhampiran sebuah teksi.

"Pak Majid ... apa buat kat sini?" Anisah gugup.

"Saya hantar penumpang yang nak ke kawasan ni awal malam tadi. Saya nampak puan. Saya… tak sangka puan kerja di sini."

Anisah serba salah nak menjawab. Dia hanya menguak rambut di sebalik telinga.

"Saya nak pastikan yang saya nampak ni betul-betul puan. Jadi saya dah masuk ke kelab dan nampak puan."

Anisah cemas. Tembelang yang disembunyikan selama ini akhirnya pecah.

"Saya minta tolong Pak Majid rahsiakan perkara ni, boleh? Terutamanya dari anak-anak saya. Dan orang kampung."

"Saya boleh rahsiakan puan. Tak ada masalah. Tapi benda macam ni, lambat laun orang akan tahu juga." Kata-kata Pak Majid penuh makna.

Anisah hilang kata-kata.

"Okeylah puan. Saya minta diri dulu. Dah lama saya menunggu di sini sebab nak pastikan betul apa yang saya nampak. Puan jangan risau, rahsia puan saya akan simpan. Tapi saya harap puan fikirlah baik-baik. Kalau puan nak, saya boleh tolong carikan kerja, asalkan puan tak kerja lagi kat tempat macam ni."

Anisah tertunduk malu dengan kata-kata lelaki itu. Hanya selepas kedengaran hon baru Anisah tersentak dan menuju ke kereta Proton Wira hitam.

***

Setelah rumah sunyi tanpa anak-anak yang sudah ke sekolah, Anisah merebahkan tubuh ke katil. Matanya merenung kosong kipas di siling yang berputar.

Dilema demi dilema dia terpaksa hadapi dalam hidup ini. Sekarang dia terpaksa memikirkan sama ada untuk mengikut nasihat Pak Majid supaya dia meninggalkan kelab dan mencari kerja lain. Mungkin kerja yang akan dicarikan oleh lelaki itu kelak.

Pada masa yang sama dia memikirkan kata-kata Dato' Shah. Dia memiliki apa yang diidamkan oleh ramai wanita, tetapi dia terlalu naif untuk menggunakannya demi kepentingan diri sendiri.

Kata-kata Dato' Shah terngiang-ngiang di telinga.

"Kau ada rupa. Kau ada daya tarikan. Tapi kau sia-siakan. Kalau kau terima tawaran aku dulu kau dah hidup senang sekarang ni."

Satu masa dahulu dia terlalu bersemangat untuk mempertahankan maruah dirinya. Namun apa yang menimpa arwah Ustaz Hairi membuat dia mula berfikir. Apa yang berlaku kepada Farizah membuatkan pendiriannya mula goyah.

'Kenapa orang baik seperti Ustaz Hairi menerima nasib seperti itu? Dan manusia kejam seperti Farizah boleh lepas macam tu saja? Di mana letaknya keadilan dan pembalasan setimpal dalam hidup?!' Anisah seolah-olah mempertikaikan kuasa yang berada di luar pemikiran ceteknya.

'Mungkin dah tiba masanya aku tentukan haluan hidup aku sendiri. Bukan hanya berharapkan pembalasan baik selepas hidup dalam keadaan taat dan mengikut peraturan.'

Sisi gelap Anisah semakin mencengkam nalurinya. Segala nasihat dan pesanan arwah Ustaz Hairi suatu masa dahulu sudah lenyap seperti air yang mengalir keluar dari sinki pemikirannya.

Satu azam baru tertancap dalam jiwa Anisah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku