Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
622

Bacaan






"Dah lama akak menyusahkan Eja. Setiah hari terpaksa ambil dan hantar akak." Anisah memulakan perbualan ketika Proton Saga hitam itu meluncur senja itu.

"Apa ni kak? Eja tak kisah pun. Akak aje yang fikir bukan-bukan."

"Yalah. Eja dah banyak berkorban untuk akak. Takkan sampai bila-bila macam ni."

"Jangan fikir semua tu kak. Saya ikhlas."

"Kalau ada kereta sendiri kan senang. Tak payah menyusahkan orang. Nak bawa anak-anak ke mana-mana pun mudah."

"Bagus juga idea akak tu. Cari kereta second hand pun okey."

"Tapi akak nak kena belajar kereta dulu lah."

"Akak belum ada lesen memandu?"

"Ada."

"Buat apa nak belajar lagi?"

"Akak tak yakin. Dah lama tak pegang stereng. Cuaklah rasanya."

"Oh, kalau macam tu saya boleh tolong. Nanti akak beritahu saya bila akak lapang. Saya bawa akak pergi kelas memandu. Lepas tu kita ke JPJ perbaharui lesen memandu akak. Kat pejabat pos pun boleh. Ada masa lagi nanti kita cari kereta yang sesuai. Yang penting tak membebankan bayar bulan-bulan. Saya ada kawan yang boleh rekomen kereta yang tak banyak maintenance."

"Okey, terima kasih Eja." Anisah tersenyum simpul.

***

Anisah menunggu masa yang sesuai untuk menghampiri Dato' Shah. Apabila lelaki itu berseorangan di kerusi hujung, Anisah duduk di sebelahnya.

"Kenapa duduk sini? Tak puas lagi kena dengan aku?" Dato' Shah berkata-kata tanpa mengendahkan Anisah yang ada di sebelah.

"Rasa tak puas lagi dengar apa yang Dato' dah cakap hari tu." Anisah sekadar mengusik.

"Wah, kau betul-betul tahan telinga ya? Jarang aku jumpa perempuan macam kau."

"Dato' pun apa kurangnya. Licik mengalahkan belut."

"Aku tak pasti sama ada itu satu pujian atau penghinaan." Dato’ Shah tersenyum sinis.

Anisah ketawa kecil.

"Apalah Dato' ni. Bukan sebab itu saya ke sini."

"Habis sebab apa? Sebab kau nak suruh aku hentikan semua kegiatan aku? Supaya aku serah diri dan mengaku segala yang aku pernah buat. Macam tu?"

"Dato', Dato'... makin lama makin geli hati saya dengan perangai Dato'."

"Kalau macam tu, kau beritahu apa yang kau nak sebenarnya?" Dahi Dato' Shah mula berkerut.

"Sebenarnya saya datang sini sebab ada sesuatu yang saya nak beritahu."

"Apa dia?"

"Saya dah fikirkan apa yang Dato' katakan."

"Dan," Dato' Shah kelihatan tidak sabar menunggu.

"Dan saya rasa ada benarnya kata-kata Dato'. Saya selama ni telah menyia-nyiakan apa yang saya ada. Saya terima tawaran Dato'." Kata Anisah sambil memandang tepat ke wajah Dato' Shah.

Senyuman lebar mewarnai wajah lelaki yang biasanya serius itu. Dia lantas menarik lembut bahu Anisah hingga rebah di bahu jantannya.

Sedikit pun Dato' Shah tidak tahu bahawa Anisah sudah mengatur rancangan yang istimewa untuk dirinya.

***

Dato' Shah kelihatan begitu ceria malam itu.

"Anise, order lagi air untuk semua. Malam ni saya belanja." Suara Dato' Shah begitu beria-ia.

"Wah, Shah. Kau betul-betul jolly sakan malam ni." Usik Dato' Hazman.

"Kau ni macam tak fahamlah Man. Buaya dah dapat habuan besar punya. Pucuk dicita ulam mendatang." Suara Mat Dan disambut gamat tawa mereka. Anisah sudah ke bar untuk membuat pesanan.

"Aku jealous dengan kau Shah. Aku aim dulu, kau pulak yang dapat." Usik Dato' Hazman sambil menjeling Maya.

Maya segera menampar manja bahu Dato' Hazman.

"I gurau sayang. You're still my number one." Dato' Hazman mengenyit mata kepada Maya. Bahu jantannya lantas dipaut manja.

"Kau pakai ilmu apa Shah? Selama ni dia jual mahal dengan kau?" Khai mencelah.

"Hehe... itu rahsia. Orang dah berumur macam aku aje yang tahu."

"Oh, sedar jugak kau diri tu dah tua ya? Tapi menggatal bukan main lagi. Pantang nampak dahi licin sikit." Roy mengutuk dengan selamba.

"Tak payahlah kau nak mengata aku macam-macam. Aku tahu kau jealous kan?"

"Huh, tak ada maknanya nak jealous dengan kau." Roy menjawab.

Ketika itu Anisah tiba bersama hidangan air mereka.

"Untuk Shah. Semoga panjang umur dan bertambah muda remaja." Yus mengangkat gelas dan diikuti oleh yang lain.

Dato' Shah memaut bahu Anisah sambil tersengih.

***

Tengah hari itu Dato' Shah datang menjemput Anisah. Kereta Mercedes-Benz hitam menjalar di pekarangan rumah.

"Siapa tu Anisah?" Zaiton melihat dengan wajah terkejut. Tadi dia terkejut setelah melihat cara Anisah berpakaian. Jauh berbeza berbanding penampilan bertudung semasa mula pindah ke rumah itu semula. Sekarang dia begitu berani mengenakan baju pendek sebegitu.

"Ada klien syarikat. Dia ajak makan tengah hari sambil bincang urusan kerja." Anisah berdalih.

"Biar betul kau." Zaiton mula curiga.

"Okeylah Kak Eton. Saya pergi dulu. Nanti kalau Marissa dah balik, biar dia tolong jagakan Suraya." Anisah malas melayan Zaiton.

"Mama pergi dulu sayang," Anisah memagut ciuman ke dahi Suraya.

Zaiton hanya memerhatikan Anisah bersama seribu satu soalan menujah benaknya. Tentang Anisah dan kerjayanya.

***

Anisah dan Dato' Shah seperti pasangan yang dilamun cinta. Puas mereka memanjat pelbagai kedai di KLCC sehingga tangan Anisah sudah tidak mampu menjinjing semua beg dari gedung yang mereka kunjungi. Pelbagai jenis pakaian dan aksesori dari pelbagai butik. Ada juga pakaian atau mainan untuk anak-anak Anisah.

"Susah-susah aje Dato' belikan semua ni untuk Anise." Suara manja Anisah sambil memaut lengan mantap Dato' Shah yang memegang pelbagai beg dengan pelbagai nama gedung di KLCC.

"Tak payah berdato' dengan saya. Panggil abang aje. Untuk Anise sayang, apa-apa pun abang sanggup." Senyuman Dato' Shah menampakkan barisan gigi yang berseri.

Anisah merebahkan pipinya ke bahu lelaki itu dengan manja.

***

"Bila kita dapat bersama, Anise?" Dato' Shah memecahkan kesunyian mereka dalam perjalanan pulang dari KLCC.

"Eh, kita kan dah bersama ni?" Usikan nakal Anisah.

"Hai, buat tak faham pulak sayang ni." Keluh Dato' Shah.

"Sayang fahamlah. Saja nak usik abang." Anisah mengusap manja bahu Dato' Shah. Terus berderau darah lelaki itu.

"Sabarlah bang. Abang kena buktikan cinta abang dulu. Janganlah gelojoh bang...," Suara Anisah persis seorang penggoda.

"Wah, challenging betul ni. Macam adventure pulak." Sindir Dato' Shah.

"Mestilah. Barang baik..." Kata-kata Anisah menyebabkan mereka berdua berderai dengan tawa.

***

Ketika Anisah pulang, anak-anaknya sedang menunggunya dengan wajah yang muram dan masam.

"Hai anak-anak mama. Tengok mama bawakan macam-macam hadiah untuk semua. Yang ni untuk Marissa. Ini untuk Ben. Untuk Umai... Firdaus... Dan yang ini untuk Yaya."

Anisah mengagih-agihkan hadiah yang mahal itu tetapi tiada reaksi teruja daripada anak-anaknya. Padahal telah lama mereka tidak menerima hadiah sebegitu. Semenjak hidup mereka berubah dengan pemergian Jalaludin.

"Kenapa semua ni? Tak suka ke?" Anisah kehairanan.

"Mama, ada kawan kat sekolah kata mama kerja GRO. Betul ke?" Berderau darah Anisah dengan soalan panas Benjamin.

Anisah tergamam.

"Betul ke mama?" Wajah Marissa begitu serius dengan soalan itu.

Anisah rasa dirinya seperti suspek yang sedang disoal siasat.

"Mari sini semua." Anisah memberi isyarat supaya anak-anaknya duduk hampir dengannya.

"Mama lakukan semua ini kerana kamu. Mama tak sanggup kamu semua dalam keadaan susah. Biarlah apa orang kata sekalipun, mama cari rezeki hasil titik peluh mama sendiri."

"Tapi kenapa GRO mama? Tak ada kerja lain ke? Kerja yang tak jijik macam tu?" Selar Benjamin.

"Jijik? Mama cuma kerja sebagai pelayan kelab. Tak lebih dari itu Ben." Anisah cuba membela diri.

"Habis siapa lelaki yang hantar mama dengan kereta Mercedes tadi? Takkan siang pun mama kerja lagi."

Anisah serba-salah dengan soalan Marissa. Dia tidak sangka terpaksa menerangkan kepada mereka dalam keadaan seperti itu.

"Mama tak dapat nak terangkan kepada kamu semua sekarang. Tapi mama nak kamu semua percayakan mama. Mama tak buat kerja-kerja yang tak elok macam yang kamu dengar. Buat apa nak layan kata-kata orang lain. Masa kita susah ada orang yang datang nak tolong kita? Kita yang kena tolong diri kita sendiri. Kita yang kena ubah nasib kita sendiri." Anisah cuba menerangkan.

"Tapi tak boleh ke mama cari kerja lain? Kenapa kerja di kelab? Kami malu kena kata kat sekolah. Tolonglah mama." Marissa merungut.

"Mama memang akan cari kerja lain. Tapi buat masa ni, inilah yang mama termampu. Sekurang-kurangnya mama ada bersama kamu semua masa siang. Tolonglah faham keadaan mama. Mama merayu."

Anak-anaknya terdiam. Seolah-olah sedang cuba memahami dilema yang dihadapi oleh Anisah.

"Mari sini semua. Peluk mama."

Anisah rasa lega kerana dia dapat menenangkan anak-anaknya ketika ini. Tubuh mereka dipeluknya erat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku