Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 22
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
620

Bacaan






Pagi itu Anisah dikejutkan dengan bunyi hon dari pekarangan rumah. Dua buah kereta diparkir di situ. Sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam yang masih berkilat dan belum digunakan.

"Cik Anisah ada?" Suara lelaki yang memakai t-shirt Toyota dan topi dengan logo yang sama.

"Ya saya," Anisah kehairanan.

"Ada penghantaran untuk cik. Tolong sign di sini."

Anisah menurunkan tandatangan di ruang yang ditunjuk lelaki itu.

"Dari siapa ni?" Anisah inginkan kepastian.

"Saya pun tak pasti. Ini kunci kereta cik." Anisah menyambut kunci itu dalam keadaan tergamam.

Sejurus itu telefon bimbitnya berbunyi.

"Helo sayang." Suara Dato' Shah di talian.

"Eh, abang. Awalnya telefon."

"Dah dapat hadiah."

"Kereta Vios hitam ni?"

"Suka tak?"

"Mestilah. Terima kasih bang. Makin bertambah sayang Anise pada abang."

"Abang tak sabar tunggu detik Anise serahkan cinta untuk abang."

"Sabarlah bang. Jangan gelojoh okey."

"Bye sayang. I love you."

"Love you too."

Anisah tersenyum meleret. Segala-galanya berjalan seperti yang dirancang.

***

Zaiton, Rokiah dan Jameah datang ke rumah apabila melihat Toyota Vios hitam di pekarangan rumah Anisah. Nombor pletnya adalah nombor siri terbaru di jalan raya.

"Kau baru beli kereta Anisah?" Tanya Zaiton. Semakin hari, rasa curiga terhadap Anisah semakin ketara. Ditambah pula dengan gosip yang didengar di kampung. Sekarang kereta ini pula.

"Orang hadiahkan." Jawab Anisah selamba.

"Siapa?" Zaiton masih belum puas hati.

"Lelaki yang datang dengan kereta Mercedes semalam tu lah."

"Banyak duit dia hadiahkan Kak Anisah kereta ni. Mesti kaya kan?" Jameah mengamati perinci kereta itu.

"Memanglah. Namanya Dato' Shah."

"Kak Anisah kerja apa sebenarnya ni? Dahlah kami dengar gosip macam-macam. Lepas tu sekarang dah buka tudung. Pakai seksi pulak tu. Hari ni ada orang hadiahkan kereta pulak." Kata-kata Rokiah berbau provokasi menyebabkan Anisah panas telinga.

"Kau ni apahal?! Semua nak ambil tahu. Hidup aku. Aku punya pasal lah!"

Mereka bertiga tergamam dengan jawapan Anisah.

"Kenapa Kak Anisah dah banyak berubah sekarang? Jauh beza dengan masa mula-mula pindah ke sini dulu." Jameah kesal.

"Kau nak tahu sebab apa aku berubah? Sebab aku dah bosan hidup susah. Puas aku cuba jadi orang baik. Tapi apa yang aku dapat? Bertambah susah hidup aku adalah. Aku dah nekad sekarang. Aku akan gunakan apa yang aku ada untuk hidup senang. Aku dah tak sanggup lagi."

Zaiton menekup tangan ke dada sambil menggeleng kesal. "Anisah... bawa mengucap. Takkan cepat sangat kau mengalah. Jangan diikut bujukan syaitan tu."

"Dahlah Kak Eton. Saya dah malas nak bincang hal ni lagi. Biarlah saya buat ikut apa yang saya rasa elok. Saya dah malas nak bertengkar lagi." Kata-kata Anisah jelas menunjukkan perubahan dalam dirinya.

Jiran-jirannya beredar dengan rasa kesal. Anisah yang mereka sangka seorang yang cekal dan tabah rupa-rupanya sudah mula mengalah. Tiada apa yang mampu mereka buat lagi untuk merubah pendiriannya.

***

"Assalamualaikum," suara perempuan dari pekarangan rumah.

"Waalaikumsalam. Lili ya?" Anisah menegur gadis di awal dua puluhan itu.

"Ha'ah." Jawab gadis dengan rambut bertocang yang berdiri di depannya.

"Akak balik awal pagi esok. Kalau ada apa-apa masalah, telefon aje."

Gadis itu mengangguk, “Okey.”

Gadis bernama Lili itu adalah kenalan Eja. Selepas Zaiton menunjukkan sikap dingin semenjak pagi tadi, dia tidak datang untuk menjaga anak-anak Anisah.

Anisah menelefon Eja dalam keadaan terdesak petang tadi.

"Macam mana ni Eja? Anak akak tak ada orang nak jaga. Kalau budak-budak dah ke sekolah esok, siapa nak tengok kan Suraya?" Anisah keresahan.

"Tak apa kak. Nanti saya tolong carikan orang jaga anak akak." Jawab Eja.

Dan Lili adalah jawapan kepada masalahnya itu.

"Tak apa ke Lili bermalam di rumah akak ni?" Anisah cuba memastikan.

"Tak ada masalah kak. Mak ayah saya faham. Lagipun saya belum kerja buat masa ni. Akak janganlah risau."

Anisah tersenyum lega.

***

Anisah memarkir kereta Vios hitam dengan bangga. Kini dia sudah maju setapak dalam merubah hidupnya. Tidak sia-sia dia merubah pendirian. Kini dia berupaya mengecap kesenangan selepas beberapa lama dilanda kepayahan.

Sikapnya di kelab juga sudah ketara perubahannya. Sifat-sifat rendah diri dan malu-malu semasa mula bekerja dulu sudah hilang. Kini dia dengan berani memperagakan tubuhnya dengan pakaian lebih seksi dan berani. Mata-mata yang melihatnya dengan kagum mencambahkan rasa gembira dan bangga dalam hatinya.

Reaksi rakan-rakan sekerja juga mula jelas.

"Aku risaulah dengan kau Anisah. Kenapa mendadak sangat perubahan kau ni?" Sofea melahirkan kerisauannya.

"Jangan takutlah. Aku tahu apa yang aku buat." Anisah menjawab sambil memperelokkan mekap.

"Akak berubah ni disebabkan oleh Dato' Shah ke?" Eja pula bersuara.

"Taklah. Ini imej baru." Dalih Anisah.

"Kau jangan layan sangat orang tua tu. Kau menyesal nanti." Rachel menambah.

"Hish!... Aku bosanlah! Semua nak tegur aku. Aku tahulah apa yang aku buat. Malas aku nak dengar macam-macam nasihat. Rimas!" Tempelak Anisah.

"Kami nak nasihatkan saja Anisah. Jangan sampai kau menyesal di kemudian hari disebabkan sikap kau tu." Cynthia pula menegur sebelum Anisah beredar.

***

Anisah merancang untuk makan tengah hari bersama anak-anak. Pagi itu dia ke pasar mencari bahan-bahan memasak. Hari ini dia ingin memasak masakan istimewa untuk anak-anak, termasuk asam pedas ikan pari kegemaran Benjamin.

'Terasa lega sekarang ni semenjak aku berbaik-baik dengan Dato' Shah. Nampaknya dia masih belum sedar rancangan aku yang sebenar. Hmm.... tunggulah nanti. Selesai dengan lelaki tu, lepas ni dengan Maya pulak.' Senyuman Anisah terukir tanpa dia sedari.

"Kau tengoklah tu. Pakaian bukan main seksi. Sekarang dah ada sugar daddy kau tau. Kereta bukan main berkilat, warna hitam."

"Macam tak percaya kan? Dulu bukan main anggun wanita Melayu terakhir. Sempat pakai tudung sekejap. Lepas tu... hampeh! Semua terbang!"

"Aku rasa dia ni memang jenis perempuan pisau cukur. Sebab tu dua-dua laki dia mati. Hish... selisih!"

Entah mengapa kali ini kata-kata yang Anisah dengar di pasar itu langsung tidak berkesan di hatinya. Malah dia bertambah bangga dengan kata-kata itu sambil melenggokkan pinggul yang bisa membuatkan mata-mata jantan berpaling melihat. Cermin mata hitam yang melorot ke dahi dinaikkan semula ke atas sebelum mengelus-elus rambut penuh gaya.

Segala apa yang berlaku dalam hidupnya menjadikan hatinya keras, apabila sisi gelapnya sudah mula bermaharajalela.

'Ada aku kisah?!' Imbasan kata-kata Farizah bermain di benak Anisah bersama senyuman sinis.

***

"Seronoknya hari ni. Lama tak makan macam ni kan?" Benjamin menyuap nasi bersama ikan pari asam pedas kegemarannya.

Anisah tersenyum lega. Dia berharap Benjamin tidak akan mengungkitkan rasa rindu kepada Dato' Kamarul dan Datin Rafeah.

"Kalau hari-hari macam ni kan best," Firdaus mencelah.

Mahu rasanya Anisah mengalirkan air mata terharu melihat kegembiraan anak-anak yang telah lama terpaksa berkongsi derita bersamanya.

"Umai, Marissa, tambah lauk." Kata Anisah sambil menyuapkan nasi kepada Suraya.

Umairah tidak banyak bercakap, hanya makan dengan berselera.

Marissa nampak kurang bersemangat.

"Kenapa tiba-tiba mama banyak duit macam ni? Sekarang dah ada kereta. Kita makan sedap-sedap." Marissa bersuara.

"Kenapa? Marissa tak suka?" Anisah kehairanan.

"Bukanlah. Marissa sebenarnya..."

"Kenapa Marissa? Apa yang tak kena ni?"

"Marissa dah tak tahanlah mama. Macam-macam kawan-kawan kat sekolah cerita pasal mama. Kata dia orang mama kerja GRO lah. Jadi perempuan simpananlah. Sakit telinga Marissa ni. Nak belajar pun susah nak tumpukan perhatian."

"Peduli apa yang orang cakap. Mereka tu cemburu sebenarnya."

"Tapi kalau tak ada angin, takkan pokok bergoyang mama."

Anisah terkedu dengan kata-kata Marissa.

Nalurinya bercelaru ketika ini. Sisi gelap dan sisi terangnya bertarung setelah apa yang berlaku.

***

Petang itu Anisah berbaring sambil merenung kosong siling.

'Apa yang aku dah lakukan ni? Kerana mengikut perasaan aku dah rosakkan hubungan dengan mereka yang ada di sekeliling aku. Dengan Kak Eton. Dengan Rokiah. Dengan Jameah. Dengan kawan-kawan di kelab. Anak-anak pula terpaksa menanggung malu di sekolah, akibat perbuatan aku.' Anisah giat menyelar dirinya sendiri.

'Perkara buruk yang aku nampak dalam Leha dan Farizah, sekarang dah meresap dalam diri aku. Aku rasa aku pun dah jadi macam dia orang. Kenapa aku cepat sangat menyerah kalah? Kenapa aku gagal pujuk hati ini supaya terus menanti ketentuan Tuhan dengan sabar? Mungkin sinar akan tiba juga akhirnya kalau aku bersabar sedikit lagi.'

Anisah mengalih pandangan ke luar tingkap.

'Tapi dah terlambat sekarang. Macam mana aku nak meminta maaf dengan jiran-jiran dan kawan-kawan aku? Masing-masing cuba nak menjauhkan diri dari aku sekarang ni. Macam mana aku nak mengadap muka mereka?' Rasa bersalah menghantui Anisah.

'Ah! Aku tak boleh berlembut buat masa ni. Aku ada misi yang perlu diselesaikan. Setelah berjaya nanti baru mereka akan tahu kena aku berubah secara mendadak. Aku kena sudahkan apa yang aku mulakan.'

Anisah cuba melelapkan mata, sebelum bersiap sedia untuk berjaga semalaman di kelab. Tiba-tiba dia teringat sesuatu, lalu dia terus mencapai telefon bimbit.

"Helo Pak Majid."



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku