Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 23
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
610

Bacaan






"Kenapa ni bang? Nampak macam tak ceria aje?" Anisah memerhatikan Dato' Shah yang kelihatan sugul semasa Mercedes-Benz sedang meluncur di jalan raya.

"Nak buat macam mana, dah nasib badan." Keluh Dato' Shah.

"Lain macam bunyinya tu. Merajuk ya?" Anisah tersenyum nakal.

"Mahu tak merajuk. Dah lama merindukan bulan, tapi ia bersembunyi di balik awan. Tak timbul-timbul."

"Agaknya bulan tu menunggu nyanyian merdu pungguk baru ia nak muncul."

"Usahkan menyanyi. Orkestra pun dah mengiring nyanyian pungguk."

"Hmm... kalau macam tu, mungkin bulan tak suka dengan muzik orkestra. Mungkin ia sukakan lagu pop rock. Atau mungkin R&B."

"Hai... cerewet betul bulan ni kan? Tersiksa pungguk dibuatnya. Macam menunggu buah yang tak gugur-gugur. Entah bilalah baru terubat rindu pungguk ni?"

"Alah... suruhlah pungguk tu sabar sikit lagi. Tak lama lagi muncullah bulan tu."

"Masalahnya pungguk dah penat menunggu. Takut kalau kena tunggu lagi, mati beraganlah dia..."

Anisah tersenyum denga kiasan Dato' Shah. Dia menyentuh lembut tangan jantan Dato' Shah sambil mengelus-elus dengan jemarinya.

"Beritahu pungguk, bulan dah buat keputusan untuk keluar."

"Ya? Bila?"

"Lepas ni." Jelingan menggoda Anisah membuatkan jantung Dato' Shah berdegup kencang.

"Kita nak ke mana sayang?" Tanya Dato' Shah.

"Kita pergi ke tempat yang istimewa untuk detik yang istimewa."

"Kejap. Abang teka. Ke hotel?"

"Bukan."

"Ke apartment abang?"

"Bukan juga."

"Hmm... susah juga ya. Hah! Bercuti ke Langkawi?"

"Agak-agaklah abang ni. Habis anak-anak Anise nak letak mana? Nak bawa sekali boleh."

"Eh, jangan jangan!"

"Hah, tahu pun."

"Habis kat mana?"

"Abang ingat tak tempat yang abang bawa Anise dulu?" Suara Anisah persis seorang penggoda.

"Kat tepi jalan tu? Siang siang macam ni?"

"Hmm... Kenapa? Abang tak nak?" Anisah mengelus dada Dato' Shah dengan manja.

"Kalau itu yang Anise nak, abang okey aje."

Anisah sedar permainan yang sedang dia pertaruhkan ini terlalu bahaya. Dari banyak segi dia boleh tersilap langkah dan menjebakkan diri dalam bala yang tidak disangka-sangka.

Tetapi azam yang tidak pernah padam ini menyebabkan dia teruskan apa yang dirancang, walaupun adakala ia seperti api lilin yang ditiup angin. Hampir-hampir terpadam.

Masa sudah semakin suntuk. Dia semakin hampir dengan lokasi yang meninggalkan kenangan hitam ketika dia hampir-hampir dicabul oleh lelaki yang berada di sebelahnya sekarang.

"Abang hairanlah."

"Hairan? Kenapa?"

"Dalam banyak tempat yang ada, kenapa Anise pilih tempat ni?"

Anisah mencari alasan dalam masa yang terlalu singkat. "Hajat abang kan tak kesampaian di sini. Jadi Anisah beri peluang untuk abang menyambung apa yang tertinggal hari tu."

"Macam tahu-tahu Anise ni kan? Tempat ni memang banyak kenangan bagi abang. Ramai perawan yang telah tunduk kepada abang di sini. Di sinilah tempat abang tunjukkan kehebatan abang." Dato' Shah mendabik dada.

"Hebat betul abang ni kan?"

"Hebat-hebat abang pun, abang tumpas di tangan Anise. Anise adalah satu-satunya yang gagal abang takluki."

"Tapi Anise menyerah kalah hari ni. Bermakna, abang masih berkuasa kan?"

Dato' Shah ketawa kecil dengan suara yang garau dan dalam. Dia menghampiri Anisah seolah-olah ingin menghidu leher wanita itu.

"Kenapa Anise nampak tensed ni?" Dato' Shah perasan keadaan Anisah.

"Entahlah. Agaknya sebab kat luar ni terang. Rasa macam orang nampak apa yang kita buat dalam ni."

"Yang itu Anise jangan risau. Abang dah tinted semua cermin kereta ni. Walau ada orang cuba mengintai, tak ada sesiapa nampak apa yang kita buat."

"Wow! Hebat sungguh abang ni. Macam kasanova." Suara lunak Anisah.

Tubuh Anisah terasa merinding apabila lelaki itu semakin rapat dengan lehernya hingga terasa kumisnya yang menggesel lehernya. Anisah cuba menahan rasa geli dan resah memikirkan apa yang bakal menimpanya kelak.

Dato' Shah sudah melabuhkan lengan blaus Anisah hingga menampakkan bahu dan pangkal lengannya. Lelaki itu melihat bahagian yang terdedah seperti pakar kulinari yang mengamati hidangan eksotik.

Anisah sedar itu adalah masa yang sesuai.

"Maaf Dato' saya tak boleh teruskan. Saya tak boleh terima Dato'." Kata-kata Anisah menyebabkan Dato' Shah tergamam.

"Apa ni? Tadi kata boleh. Sekarang dah tak boleh pulak? Keliru saya dibuatnya."

"Sebenarnya aku sengaja nak kenakan kau. Buaya macam kau memang sepatutnya dah lama diajar!" Intonasi Anisah berubah dengan mendadak.

Anisah keluar dalam keadaan baju yang sudah terlorot menampakkan bahunya. Dia mencampakkan diri ke tanah. Dalam keadaan terjelepuk dia merayu dengan lantang.

"Tolong Dato'! Jangan apa-apakan saya." Suara Anisah seperti dalam ketakutan yang amat sangat. Tangan Anisah menggigil sambil ditekup ke dada. Gigil yang sengaja dibuat-buat seperti emosi yang sedang ditunjukkan.

"Kau memang kurang ajar! Semua ni adalah semata-mata rancangan kau untuk permainkan perasaan aku. Kau lupa apa yang aku dah buat pada kau dulu?"

Dato' Shah menempeleng muka Anisah diikuti tangisan Anisah yang hampir meraung.

"Sekarang aku tak kira. Sama ada kau nak atau tidak, hari ini kau akan jadi habuan aku."

Dia menarik tangan Anisah dan memaksanya masuk ke dalam kereta. Tetapi rancangannya terbantut.

"Hoi! Kau ingat kau dah jantan sangat sampai tergamak layan perempuan macam tu." Suara lelaki dari kawasan berpokok yang lengang.

"Kau siapa nak masuk campur? Ini hal aku! Kau menyibuk apahal?" Dato' Shah berang.

Anisah sudah terduduk di kerusi dalam keadaan meraung bersama rambut yang kusut masai. Dia menghesot keluar dan meninggalkan kereta ketika kedua lelaki itu sedang bergelut.

Tidak lama kemudian datang seorang lagi lelaki dari balik pokok. Apabila Dato' Shah melihat dirinya dalam bahaya dengan pertarungan dua lawan satu, dia segera masuk ke dalam kereta dan beredar dengan terburu-buru.

Anisah bangkit sambil membetulkan baju dan meluruskan rambut yang berserabut. "Macam mana? Dapat clear shot?"

"Dapat. Siap dengan close up sekali. Memang jelas muka Dato' tu. Tapi jangan risau. Muka Cik Anisah kami akan cuba sembunyikan, supaya orang ramai tak kenal." Suara lelaki dengan kamera video di tangan.

"Kali ni memang tak boleh lepaslah Dato' tu. Kalau keluar dalam media memang dia tak boleh buat apa-apa lagi." Suara lelaki yang ada bersama lelaki dengan kamera video. Lelaki yang bergelut dengan Dato' Shah dalam drama lakonan dan arahan Anisah.

Kemudian muncul seorang lagi lelaki dari lokasi kedua lelaki tadi.

"Ish ish... Hebat sungguh lakonan puan. Saya mula-mulanya cuak jugak. Tapi semuanya dah selesai." Kata Pak Majid.

"Saya pun sebenarnya dah menggigil Pak Majid. Tapi saya kuatkan semangat. Kata-kata penghinaan dia kepada saya yang jadikan semangat saya kuat. Kalau tak, hmm... tak tahulah apa yang dah jadi."

"Saya akan pastikan video ni jadi bahan berita arus perdana. Berakhirlah kegiatan Dato' tu selama ni."

Anisah tersenyum lega. Dia dapat bernafas dengan bebas.

***

Dato' Shah diberkas selepas laporan kejadian itu dibuat di balai polis. Video itu telah mendapat liputan arus perdana menyebabkan ia tidak dapat diselesaikan di bawah meja seperti biasa.

"Tahniah puan," suara Pak Majid di telefon selepas berita itu diumumkan.

"Terima kasih. Semuanya atas pertolongan Pak Majid dapatkan pemberita tu."

"Memang dia orang tu dah lama tahu kes Dato' Shah ni. Tapi tak ada bukti. Apa puan nak buat lepas ni?"

"Saya nak cuba hubungi semua yang pernah bekerja di kelab tempat saya bekerja dan jadi mangsa Dato’ Shah. Lepas tu saya nak pujuk dia orang buat laporan di balai polis. Sebagai bukti kukuh kegiatan lelaki tu selama ni."

"Berani betul puan. Saya tak sangka puan ni adalah orang yang pernah saya kenal semasa arwah masih hidup."

"Entahlah Pak Majid. Saya sendiri pun tak percaya saya berani buat semua ni. Agaknya apa yang menimpa saya selama ni membuatkan saya terfikir. Saya tak nak tengok orang yang senasib dengan saya jadi mangsa. Sekurang-kurangnya nasib mereka terbela ... Helo? Pak Majid?" Anisah fikir talian telah terputus kerana Pak Majid tidak bersuara.

"Ya, puan. Saya masih ada di sini. Saya sebenarnya terharu dengan perubahan dalam diri puan. Apa yang puan alami membuatkan puan jadi berani. Tapi jangan berani sangat puan. Saya takut ada yang jadikan puan sasaran nanti."

"Jangan risau Pak Majid. Saya tahu apa yang saya buat." Anisah begitu yakin.

Mungkin terlalu yakin.

***

Anisah berbaring sambil memikirkan apa yang telah berlaku. Rancangannya untuk membalas dendam ke atas Dato' Shah sudah berjaya. Lelaki itu telah masuk ke dalam perangkap seperti yang dirancang.

Apa yang dirancang berjaya. Dia dapat rasakan segala-galanya berjalan lancar. Terlalu lancar. Jauh di sudut hatinya ada rasa cuak dengan kejayaan yang dikecapi.

'Tidak semudah itu untuk memastikan Dato' Shah menerima balasan yang setimpal. Sudah banyak kali dia lolos. Dan tidak mustahil dia mungkin lolos lagi, walaupun dengan bukti kukuh seperti itu. Tapi aku harus cuba. Sampai bila aku harus membiarkan manusia seperti itu bebas bermaharajalela tanpa dibendung. Sekurang-kurang dia akan teragak-agak untuk meneruskan rancangan jahatnya kepada mangsa lain di masa akan datang.'

Anisah cuba menyedapkan hatinya.

'Ada satu lagi rancangan yang perlu aku laksanakan selepas ini.'

Anisah cuba merehatkan minda untuk projek yang seterusnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku