Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 24
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
609

Bacaan






Anisah melangkah masuk ke kelab dengan semangat baru hari ini. Kejayaan memerangkap Dato' Shah hingga lelaki itu diberkas memberikan sensasi baru dalam dirinya. Walaupun hakikatnya masih ada satu lagi perkara yang perlu dibereskan, sebelum dia boleh rasa benar-benar puas hati.

Ketika dia menuju ke bar, Eja dan rakan-rakan sedang duduk di sudut meja kegemaran mereka. Mereka tidak mempedulikan Anisah. Mungkin kerana cara dia melayan mereka tempoh hari.

"Okeylah, aku minta maaf. Aku tak patut cakap macam tu dulu."

Namun masih tiada respons dengan kata-kata Anisah.

"Korang nak suruh aku buat apa? Melutut? Merayu? Macam tu?"

"Setakat merayu buat apa. Kalau belanja makan bagus juga." Kata-kata Sofea bersama senyuman di bibir.

"Aku sebenarnya stres hari tu. Semua dah dengar berita terkini?"

"Pasal Dato' Shah kena tangkap? Mestilah dah tahu." Jawab Rachel.

"Akhirnya kan? Dah lama aku geram dengan lelaki tu. Baru padan muka dia." Cynthia beremosi.

"Kau tahu siapa yang menyebabkan dia tertangkap?" Anisah tersenyum sinis.

"Kau?!... Kau yang rancang semua ni?" Anisah mengangguk dengan soalan Cynthia.

Cynthia segera menghulurkan salam kepada Anisah. "Tahniah. Semenjak kau kerja sini, aku memang dah agak akan ada perubahan di kelab ni. Tak sangka betul kau boleh tumpaskan lelaki tu."

"Jangan gembira sangat. Dia tu Dato' Shah. Entah apalah yang dibuat lepas ni. Jangan terlalu cepat puas hati." Eja mencelah.

"Aku pun fikir macam yang Eja cakap tadi. Tapi sekurang-kurang dah ada yang buat sesuatu. Harap-harap semua mangsa yang ada dalam contact list yang Madam Vie bagi aku akan setuju beri kenyataan. Biar nasib mereka terbela."

Masing-masing hanya memerhatikan Anisah tanpa berkata apa-apa. Perubahan mendadak Anisah yang sukar dijangka membuatkan mereka kehairanan, teruja dan risau pada masa yang sama.

***

VIP Lounge hari kelihatan lompang tanpa Dato' Shah. Namun kemeriahan mereka yang ada tidak terkurang walau sedikitpun.

Anisah dan Maya mengepit Dato' Hazman.

"Maya, tolong order second round untuk semua." Lelaki itu dengan taktik biasanya.

Maya bangun tanpa membantah atau menunjukkan mimik muka bengang. Mungkin di hadapan lelaki itu. Atau mungkin dia tahu Zetty dan Anne ada di situ untuk memerhatikan gerak-geri Anisah dan kekasihnya.

"Terasa lain bila Shah dah tak ada. Kalau tak mesti dia yang duduk di sofa hujung tu. Itu territory dia." Dato' Hazman bersuara sambil bersandar.

Anisah hanya berdiam diri.

"Tak sangka video dia keluar TV. Tapi tak nampak pulak siapa perempuan yang jadi mangsa tu. Gambar dah dikaburkan." Rakan Dato’ Hazman mencelah.

Anisah tidak pasti bagaimana ingin menyampuk perbualan itu.

"Sebenarnya kami dah lama tahu cerita dia ni. Tapi bila orang tegur atau nasihat, dia buat tak kisah. After all he is Dato' Shah." Dato' Hazman tersenyum sambil memandang Anisah.

"Nak buat macam mana kan? Life must go on." Kata-kata Dato' Hazman mengakhiri perbualan mereka tentang perkara itu.

Anisah rasa lega. Sekurang-kurangnya identiti mangsa itu masih dirahsiakan dan tiada siapa yang tahu dia terlibat. Setakat ini.

***

Fasa kedua Anisah nampaknya boleh diteruskan. Pagi itu dia menghubungi Dato' Hazman.

"Eh, Anise. Mimpi apa call saya?"

"Tak ada apa. Cuma... I bosanlah. Dato' Shah dah tak ada. Kalau tak, boleh keluar dengan dia hari ni."

"Apa kaitan dengan saya?" Susah Anisah ingin mengagak kata-kata lelaki itu. Mungkin sekadar memancing Anisah dengan 'jual mahal'.

"Alah, Dato' ni buat tak fahamlah... Anise nak ajak Dato' keluar. Itupun kalau tak keberatan."

"Kan saya dah kata dulu. Janganlah berdato' dengan saya. Panggil Hazman atau Man aje."

"Panggil sayang tak boleh?" Gurauan berani Anisah. Nakal.

"Boleh. Apa salahnya." Dato' Hazman ketawa kecil. "Itulah... dulu saya ajak keluar, Anise jual mahal. Kata nak call tapi sampai sekarang baru nak call."

"Dulu lain..." Suara Anisah manja.

"Saya faham. Dulu ada Dato' Shah kan? Tapi Anise punya pasal, jadi nombor dua pun tak apa."

"Nakal lah you Hazman."

"Nanti saya jemput Anise di rumah."

"Eh, tak payah. Kita jumpa di Heritage Kopitiam pukul dua belas."

"Okey, kita jumpa di sana. Bye." Suara Dato' Hazman menamatkan perbualan mereka.

Anisah tersenyum sinis selepas panggilan ditamatkan, "Sekarang giliran kau pula Maya."

***

Setelah beberapa minit bertemu Dato' Hazman di Heritage Kopitiam, Anisah mula menjalankan 'jarum'nya.

"Kenapa ni? Nampak resah aje?" Dahi Dato' Hazman berkerut.

Anisah mengukir senyum, dengan lakonan seolah-olah cuba menyembunyikan perasaannya. "Eh, tak ada apa-apa."

"Tak payahlah berselindung. Saya tahu ada yang tak kena kan?"

Anisah meneruskan dramanya.

"Bukan apa. Anise sebenarnya serba salah nak keluar dengan Man. Sebab..." Anisah seolah-olah takut untuk memberitahu hal sebenar.

"Sebab Maya?" Telahan Dato' Hazman dibalas dengan anggukan Anisah.

"Kenapa nak risaukan dia? Dia sekadar teman di kelab itu saja."

"Tapi dia beria-ia nak Man terima dia. Kasihan dia kalau dia tahu cinta dia tak berbalas."

"Sebenarnya dia yang terhegeh-hegeh nak saya terima dia. Dah berapa ramai perempuan baru di kelab yang hilang lepas saya cuba tackle. Mungkin itu semua kerja Si Maya." Keluh Dato' Hazman.

'Dato' Hazman tak tahu atau berpura-pura tak tahu rancangan Maya dan Dato' Shah ni?' Anisah cuba mengagak.

"Lepas Anise berhenti dulu pun saya dapat agak itu semua kerja Si Maya. Bila Anise masuk semula, saya terkejut. Semenjak itu saya nampak ada sesuatu yang luar biasa pada Anise."

'Kau belum tahu apa rancangan aku,' Anisah melayan fikiran.

"Maksudnya antara Man dan Maya tak ada apa-apalah ya?" Anisah bersuara manja.

"Tak. Malam nanti kalau dia buat hal biar Man cakap dengan dia. Face to face."

Anisah tersenyum meleret. Hatinya melonjak gembira.

***

Malam itu Anisah begitu intim bersama Dato' Hazman. Tangannya memaut lengan lelaki itu tanpa rasa segan silu atau teragak-agak. Berlainan sekali berbanding malam-malam sebelumnya, ketika Maya ada di situ.

Wajah Maya yang jelita hilang serinya malam itu. Melihat Anisah bersama Dato' Hazman dalam keadaan begitu mencetus gelora dalam jiwanya.

Setelah Anisah dan Dato' Hazman meninggalkan lantai tari, Maya menarik tangan Anisah. Dato' Hazman sedang menuju ke tempat melepak di sofa tanpa mengetahui drama yang sedang tercetus itu.

"Apa kena dengan kau hah?! Depan mata aku pun kau berani tackle Hazman."

"Kau tanya aku? Aku yang patut tanya kau. Kenapa depan klien kau nak cari pasal dengan aku?" Anisah cuba melepaskan genggaman Maya.

"Kenapa? Kau rasa dah hebat sangat sebab Shah dah tak ada? Kau jangan nak cari pasal dengan aku." Maya menggetap bibir.

"Yang kau nak marah-marah ni apasal? Apa hubungan kau dengan Hazman?" Anisah cuba memprovokasi Maya.

Maya sudah hilang sabar. Tangannya dihayun untuk menampar Anisah, tetapi dihalang oleh Dato' Hazman.

"Apa kena dengan you Maya?!" Lelaki itu membentak.

"Perempuan jahanam ni nak menggatal dengan you. Mestilah I marah." Maya menjawab.

Drama itu diperhatikan dengan rasa puas hati oleh Anisah bersama kening yang menjengkit.

"You nak marah apasal? Ada syarat-syarat mengatakan I kena layan you sorang saja di kelab ni? Ada?"

Maya tergamam. "I ingat... kita..."

"Kita tak ada apa-apa hubungan Maya. You hanya pelayan kelab. Dan I klien di sini. Itu saja. Faham?! Jom Anise." Suara Dato' Hazman sambil memimpin tangan Anisah meninggalkan Maya terpaku di situ.

Anisah sempat menjeling Maya dengan pandangan sinis.

Air mata Maya tidak dapat ditahan lagi. Dia meluru meninggalkan VIP lounge. Dia terus meninggalkan kelab yang masih dipenuhi pengunjung.

***

"Maya dah berhenti?!" Anisah hampir terbeliak semasa dia bersama rakan-rakan lain melepak di meja bar. Pengunjung kelab sudah ramai meninggalkan tempat itu.

"Lepas kena dump dengan Dato' Hazman depan orang ramai tadi." Eja menambah.

"Aku dah nampak sinar harapan di Nirvana Night Life ni. Terima kasih kepada kau." Sofea pula berkata.

"Aku?" Anisah pura-pura terkejut.

"Yalah. Semenjak kau datang macam-macam dah terjadi di kelab ni. Engkau ni macam bintang yang menunjukkan jalan keluar dalam kegelapan." Sofea mengusik Anisah.

"Sudah. Jangan puji lebih-lebih. Nanti Anise jalan pun tak jejak. Silap haribulan kembang sampai sendat baju tu nanti." Rachel berseloroh.

***

Anisah baru melangkah keluar melalui pintu belakang apabila dia terdengar namanya dipanggil.

"Anise!" Suara Zetty. Dia dan Anne menghampiri Anisah dalam keadaan tergesa-gesa.

Anisah tidak berkata apa-apa.

'Entah apalah pulak ni?' Hatinya merungut.

"Kami nak ucapkan terima kasih." Kata Zetty.

"Terima kasih? Apasal?"

"Kami dah lama tak setuju dengan Maya. Bila dia dah berhenti baru lega rasanya. Esok kau join kami ya? Tak syoklah kalau kami berdua aje. Macam tak meriah." Pelawa Anne.

Anisah tersenyum. Kemudian dia mengangguk.

***

Ruang menerima tetamu di pusat tahanan itu agak lengang ketika itu. Hanya sebuah meja sahaja yang sedang digunakan. Dari jauh pengawal memerhatikan mereka yang sedang duduk di situ.

"Dia tu dah melampau!" Dato' Shah beremosi.

"Takkan kita nak biarkan dia lepas macam tu aje?" Maya tidak puas hati.

"Aku tak boleh buat apa-apa. Aku ada kat dalam. Kau boleh. Kau aturkan rancangan untuk ajar dia." Dato' Shah merendahkan suara sambil menjeling kepada pengawal yang ada di situ. Lelaki itu berdiri tercegat tanpa menghiraukan perbualan mereka berdua.

“Aku? Apa yang aku boleh buat?” Maya kurang pasti.

"Kau cuba hubungi Lee. Dia boleh aturkan rancangan untuk kau. Kau ada nombor dia kan?" Dato’ Shah merenung tepat ke muka Maya.

Maya mengangguk.

"Aku takkan dapat tidur dengan aman dalam ni selagi perempuan tu belum terima balasan atas apa yang dia dah buat." Dato' Shah bersuara sambil giginya digetap. Kuat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku