Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Prolog
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2906

Bacaan






Panorama ibu kota ketika mentari sudah mula berlabuh sungguh indah. Lembayung senja menghiasi kanvas langit ibu kota, bersama kemilau cahaya menyinari bangunan KLCC yang menceracak bagaikan dua jari menunjuk ke langit tanpa jemu.

Ibu kota Kuala Lumpur sememangnya penuh dengan kejutan buat mereka yang setia menghuni dan mencari nafkah di atas dadanya, sebagaimana panorama menjelang malam ini. Begitu juga dengan cuaca yang sukar dijangka oleh warga ibu kota.

Sudah agak lama Kuala Lumpur dilanda ribut pada waktu petang, walaupun matahari sering menampakkan diri pada waktu pagi. Ada warga kota yang tidak henti menunggu dengan penuh harapan agar hari akan terus cerah hingga ke petang, tetapi ternyata mereka hampa hingga hampir-hampir berputus asa.

Namun penantian mereka ternyata tidak sia-sia apabila hari ini tiada hujan hingga ke petang dan kini sudah beransur malam.

Dari tingkap ruang makan di hotel Sri Mahligai, suasana senja di langit Kuala Lumpur terlalu indah bagaikan lukisan pemandangan hidup yang memenuhi seluruh ruang tingkap kaca di situ. Sebuah lukisan dengan pancarona menghiasi langit dan bangunan KLCC yang megah dengan cahaya lampu yang menghiasi struktur berkembar itu di tengah-tengah kota raya.

Panorama itu sungguh menggamit perasaan mereka yang berada di dewan bankuet di tingkat lima hotel Sri Mahligai. Begitu juga dengan Anisah yang sedang duduk di meja berhampiran tingkap. Dia bagaikan terpukau dengan pemandangan di waktu senja sebegitu. Panorama itu begitu tepat dengan keindahan hatinya ketika itu.

Melihat panorama indah KLCC berlatarkan kota metropolitan Kuala Lumpur, hati Anisah bagai dibuai dengan keasyikan. Namun jauh di sudut hatinya ada perasaan yang mengulit diri hingga resah dan tidak keruan. Ada rasa yang mengaitkan dirinya dengan keindahan pada waktu senja itu.

'Walaupun langit begitu indah ketika ini, hakikatnya semuanya akan lenyap apabila tiba waktu malam, dan tiada siapa dapat menghalang suria daripada berlabuh di ufuk. Ia akur dengan kitaran yang telah ditakdirkan, dan akan kembali menerangi seiisi alam dengan sinarnya esok dan kitaran itu tidak akan berubah hingga hari-hari yang seterusnya.' Refleksi Anisah.

Rasa resah itu terus menghantui Anisah sebelum dia disentak oleh suara garau yang amat dikenalinya.

"Cantik pemandangan pada waktu senja begini kan? Siapa sangka ciptaan Tuhan dan ciptaan manusia boleh bergabung menghasilkan pemandangan yang luar biasa seperti ini. Tapi bagi abang, walau bagaimana cantik sekalipun pemandangan di luar, ia tidak dapat menandingi kecantikan wanita yang berada di hadapan abang sekarang ini. Wanita yang setia bersama abang setiap masa, ketika susah dan senang, sihat dan sakit, suka dan duka."

"Abang! Bila abang sampai?" Anisah terkejut dan teruja pada masa yang sama melihat lelaki tampan bertubuh tinggi lampai dan segak berbaju kot hitam berdiri beberapa kaki dari meja tempat dia sedang duduk.

"Sudah beberapa minit. Abang pun sedang terpukau dengan kecantikan wanita di hadapan abang, sebagaimana dia terpukau dengan keindahan panorama Kuala Lumpur." Suara Jalaludin sambil tersenyum dengan matanya galak memandang Anisah membuatkan dia tersipu-sipu.

"Pandai abang bergurau." Suara Anisah yang begitu terkesan dengan pujian lelaki yang menyerikan hidupnya semenjak lima belas tahun yang lepas.

"Abang tak pernah bergurau bila bercerita tentang kecantikan Anisah. Abang ikhlas sebagaimana aslinya kecantikan jambak bunga gladioli ini." Ujar Jalaludin sambil menghulurkan sejambak bunga kuning yang mekar bersama tangkai yang panjang dan hijau, yang sebelum ini disembunyikan di belakangnya. "Hadiah sempena hari ulangtahun perkahwinan kita yang ke lima belas."

Anisah hilang kata-kata melihat jambangan bunga yang diikat reben merah itu. Ia menambahkan lagi suasana indah ketika malam baru mula berlabuh ketika itu. Ikatan bunga gladioli kuning itu disambut dengan rasa terharu dan gembira.

"Terima kasih bang. Suka Anisah melihat bunga ni. Gladioli? Tak pernah Anisah dengar nama tu." Anisah bersuara sambil khusuk membelek kelopak sehelai bunga dengan jemarinya.

"Bunga gladioli ini adalah simbol keutuhan cinta kita bersama mahligai yang telah lima belas tahun kita tegakkan, walaupun dibakar mentari terik atau dihentam ribut dan badai." Ujar lelaki sawo matang yang baru melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapanan dengan Anisah.

"Gladioli adalah kata jamak. Kalau sekuntum dipanggil gladiolus. Itu dalam istilah bahasa Inggeris." Jalaludin menjawab sambil asyik memerhatikan isterinya mengamati bunga yang belum pernah dilihat atau pegang itu. Senyum yang diukir di bibir lelaki itu tidak menggambarkan kerisauan dan rasa gusar yang melanda hatinya ketika itu.

"Bunga ini adalah lambang keteguhan cinta abang pada Anisah, hingga ke akhir nafas abang." Kata-kata Jalaludin mengakhiri penerangan yang dibuat.

Jalaludin asyik memandang Anisah pada waktu itu. Kejelitaan semulajadi Anisah tambah menyerlah dengan rambut yang disanggul bersama subang berlian yang bergemerlapan. Rona baju merah gabungan kain renda London dan sifon menaikkan seri wajah dan penampilan wanita yang telah menjadi isterinya selama lima belas tahun yang lepas.

Dia tertarik pada wanita itu pada pandangan pertama semasa pertemuan mereka suatu masa dahulu. Semakin hari dia melihat Anisah semakin ayu dan jelita, walaupun selepas melahirkan lima orang cahaya mata mereka berdua.

Anisah pandai mengekalkan kecantikan wajah dan tubuhnya. Dalam kesibukan menjaga dan membesarkan anak-anak mereka, Anisah tidak leka meluangkan masa untuk mendandan dirinya.

Melihat kejelitaan Anisah menimbulkan keresahan di hati Jalaludin. Perasaan cintanya pada Anisah membuatkan dia terlalu risau sekiranya sesuatu akan berlaku menyebabkan mereka tidak dapat bersama lagi. Masalah yang terbeban di benaknya menambahkan kusut fikiran.

"Sudah lama sayang menunggu abang?" Jalaludin memecah kesunyian dirinya yang lama khayal memerhatikan kecantikan Anisah ketika wanita itu asyik membelek jambangan bunga yang baru dihulurkan.

"Belum sampai setengah jam. Pak Majid terus ambil Anisah lepas abang telefon dia tadi." Jawab Anisah.

"Abang yang terlambat keluar dari lapangan terbang, ada masalah sehingga kami ditahan sebelum boleh turun dari kapal terbang."

"Kenapa Anisah lihat abang macam tak ceria macam selalu. Ada masalah semasa abang di Sabah?" Tebak Anisah sambil membaca raut wajah Jalaludin.

"Abang ada perselisihan dengan rakan kongsi perniagaan abang. Dia mahu buat sesuatu yang melanggar prinsip kami semasa mula-mula menubuhkan syarikat dulu." Anisah mendengar dengan penuh khusyuk penerangan itu.

"Maksud abang, Rafiq?" Tanya Anisah. Jalaludin hanya mengangguk

"Siapa lagi rakan kongsi abang kalau bukan dia. Mana ada orang lain lagi. Keadaan ekonomi agak gawat sekarang. Dia mahu melabur dalam perniagaan baru yang dia mahu ceburi. Abang bangkang, sebab perniagaan itu agak tinggi risikonya. Abang minta dia sediakan proposal, tapi dia mengelak. Abang syak dia terlibat dengan satu skim haram." Jawapan Jalaludin yang menerangkan punca kegusarannya malam itu.

"Abang takut dia akan bertindak lebih agresif, sebab abang bantah kemahuan dia." Jalaludin mengakhiri penerangan. Kerisauan juga sudah mula menular ke dasar hati Anisah.

"Jika ditakdirkan sesuatu berlaku kepada abang, agak-agaknya Anisah sudah bersedia?" Kata-kata Jalaludin menyebabkan Anisah memandangnya dengan mata yang tajam.

"Apa abang merepek pada hari istimewa kita ini?!" Anisah bagai tersentap dengan kata-kata itu. "Kenapa abang bercerita tentang kematian?"

Jalaludin dapat lihat wajah Anisah berubah dengan kata-katanya itu. "Maut itu satu kepastian Anisah. Sama ada kita sedia atau tidak, ia akan tiba tanpa terlebih atau terkurang walau sesaat sekalipun. Lebih baik kita buat persiapan sebelum ia tiba, daripada kita terkapai-kapai mencari dahan untuk berpegang apabila ia datang."

"Anisah tahu. Tapi kenapa kita perlu berbincang tentangnya pada malam sebegini?"

Jalaludin hanya berdiam diri. Dia sedar Anisah belum bersedia untuk menerima kenyataan itu walaupun pahit. Itu menambahkan lagi kegusaran yang bersarang di dalam hatinya.

"Bagaimana kalau ditakdirkan abang sudah tiada lagi esok?" Suara Jalaludin bagai tamparan yang hinggap di pipi naluri Anisah. Jalaludin sedar itu hanya merosakkan suasana malam itu, tetapi Anisah perlu menerima hakikat itu.

"Anisah minta tolong, abang. Janganlah bangkitkan isu kematian pada malam ini." Jalaludin terpaksa akur dengan kemahuan Anisah, walaupun ada perkara yang mahu disampaikan secara halus kepada wanita itu.

Jalaludin memang sudah kenal benar dengan sikap Anisah. Dia sudah sebati dibesarkan dalam kesenangan, walaupun dia tidak datang dari golongan berada. Anisah tidak suka memikirkan tentang kesusahan. Segala urusan kewangan dikendalikan oleh Jalaludin.

Malam sudah pun berlabuh ketika mereka mula menikmati juadah makan malam mereka. Hanya cahaya lampu di KLCC dan bangunan di ibu kota memancar di kelam malam itu. Taburan bintang dan wajah bulan juga menghiasi gelap malam.

"Anak-anak semua sihat?" Jalaludin memecah kesunyian mereka malam itu. Sedikit-sebanyak Anisah dipengaruhi emosi dengan isu yang dibangkitkan tadi. Naluri Jalaludin menyebabkan dia menyentuh isu itu. Dia dapat rasakan masa semakin suntuk dan dia perlu menyedarkan Anisah. Jalaludin terpaksa akur dengan Anisah. Mahu atau tidak, dia terpaksa menukar topik perbualan mereka pada malam yang cukup istimewa bagi mereka berdua.

"Sihat. Cuma Yaya dengan kerenah dia seperti selalu." Anisah menjawab.

"Suraya? Kenapa dengan dia?" Tanya Jalaludin.

"Akhir-akhir ni dia selalu marah-marah. Doktor pakar sindrom Down sudah beritahu Anisah cara hadapi masalah macam tu."

"Jadi apa masalahnya?" Tanya Jalaludin sebelum menyisip air dari gelas.

"Dia mahukan perhatian. Abang tentu tahu bagaimana nakalnya hero abang si Benjamin. Ada saja idea dia untuk menyakat Marissa, Umairah dan Firdaus. Bila tumpuan saya lari kepada abang dan kakak dia, Yaya mulalah buat hal. Abang pula dah seminggu tak balik rumah." Jalaludin hanya tersenyum mendengar penerangan Anisah.

"Abang terpaksa, Anisah. Perniagaan ni perlu dipantau. Abang tak berani serahkan bulat-bulat kepada Rafiq. Tak tahulah apa yang akan dibuatnya nanti. Dia sudah banyak berubah sekarang. Dulu masa mula-mula tubuhkan syarikat dia seorang yang dedikasi dan bekerja keras. Tapi semenjak syarikat mula terkenal selepas anugerah E50, dia mula ambil enteng hal perniagaan. Bila abang minta laporan kewangan, lama baru dia siapkan. Abang risau kalau-kalau dia ada rancangan lain yang abang tak tahu." Anisah sedar Jalaludin sudah mula mencurigai rakan kongsi perniagaannya.

"Selepas ni abang akan ke pejabat sebentar untuk selesaikan urusan kerja sebelum balik rumah. Rindu rasanya sudah lama tak jumpa anak-anak kita. Lepas ni Pak Majid akan hantar Anisah balik. Abang akan ke pejabat naik teksi. Abang akan pandu kereta syarikat balik ke rumah." Kata-kata Jalaludin sebelum mereka bersurai malam itu.

"Sempena malam yang istimewa ini, abang nak ucapkan kepada Anisah, Selamat hari ulangtahun perkahwinan kita yang ke lima belas." Itulah ayat terakhir yang dilafazkan oleh Jalaludin di telinga Anisah pada malam itu.

Juga kata-kata terakhir yang dilafazkan buat selama-lamanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku