Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 1 : Kehilangan
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1012

Bacaan






Bab 1 : Kehilangan

Kawasan berumput di pekarangan rumah di Dastar Perdana itu sudah dipenuhi kenderaan pelbagai jenis. Ramai juga yang kelihatan berdiri menunggu di luar, sebagaimana ramai yang ada di dalam rumah.

Kelihatan seperti ada keramaian di rumah mewah berwarna putih dengan atap genting kelabu itu. Satu bahagian dinding rumah itu dikhaskan dengan hiasan batu berwarna coklat, sama seperti warna pintu dan rangka tingkap. Pagar hitam dengan motif berkerawang paku-pakis itu sudah terbuka luas seolah-olah meraikan tetamu untuk masuk dan keluar dengan mudah.

Namun suasana tidak meriah bersama gelak tawa atau hidangan jamuan dan muzik yang menjadi halwa telinga. Wajah-wajah mereka yang ada di luar mengukirkan kesuraman dan suasana yang hening dan syahdu.

Ada juga yang sedang asyik dengan perbualan, seolah-olah ada perbincangan hangat tentang gosip yang baru mereka dengar.

“Muda lagi Si Jalaludin dah jadi arwah.”

“Kemalangan. Kereta syarikat.”

“Ya? Pelik!”

“Bagaimana dia boleh mati mengejut?”

“Brek tak berfungsi. Ada yang kata kena sabotaj. Dah masuk kes polis.”

“Ada sesiapa yang disyaki terlibat?”

“Tak tahulah. Mungkin dah dirancang agaknya.”

“Tapi siapalah yang sanggup buat macam tu ya?”

“Aku pun tak tahu.”

“Kasihan betul isteri dia. Anak dahlah lima orang, ada seorang down syndrome.”

“Tapi tak apalah. Dia tinggalkan harta banyak macam ni. Kalau sehelai sepinggang lainlah. Rumah dah macam istana. Bukan tempat sembarangan, di Dastar Perdana pulak tu!”

“Kalau aku jadi isteri dia, senang hati aku. Boleh kahwin lain.”

“Apalah kau ni! Jenazah belum dikebumikan lagi, kau dah cakap bukan-bukan.”

Antara perbualan di luar yang rancak kedengaran, sedangkan di dalam suasana bening bersama alunan bacaan surah Yasin.

Ruang dalam rumah begitu eksklusif dengan kertas dinding bertekstur dengan warna putih bercorak timbul. Lekuk-lekuknya jelas apabila terkena pancaran lampu kecil halogen putih di siling. Warna putih kertas dinding sama seperti bahan lantai kayu putih yang meliputi kawasan itu, tanpa memerlukan permaidani bagi mengelakkan rasa sejuk apabila duduk di lantai simen.

Rona putih dan coklat mendominasi ruang itu bersama perabut kayu kontemporari dan bingkai hiasan dinding yang menyerikan ruang itu. Sofa dengan fabrik baldu coklat muda dan putih memberikan sentuhan mewah kepada hiasan dalaman di ruang tamu.

Ruang tamu yang luas telah dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian hadapan telah dilapangkan setelah meja kopi dialihkan bagi menjadi tempat kaum Adam duduk berhampiran tubuh yang sudah berselubung putih. Sebuah rak terbuka yang besar mengasingkan ruang hadapan dan belakang tanpa menutup pandangan dan cahaya dari bahagian hadapan atau belakang.

Perhatian para tamu tidak lagi tertumpu kepada kehebatan hiasan dalaman rumah itu. Mereka sibuk membaca atau mendengar alunan bacaan Yasin buat bekalan roh arwah yang masih belum disempurnakan, sebelum jasad itu didakap debu tanah asal kejadiannya.

Benjamin dan Firdaus duduk di sisi tubuh ayah mereka yang sudah tidak bernafas dan berdenyut nadi lagi. Kesugulan jelas tampak pada wajah budak berumur sepuluh dan lapan tahun itu. Marissa berusia tiga tahun lebih tua daripada Benjamin manakala Umairah lebih tua setahun daripada Firdaus. Usia Suraya pula sudah pun menjejaki tujuh tahun.

Anisah duduk bersama kaum hawa yang lain di belakang bersama Marissa, Umairah dan Suraya. Ada yang khusyuk membaca Yasin dan ada yang hanya berdiam. Bunga-bunga putih yang menjadi hiasan di meja bulat di sudut ruang itu seperti menambah keheningan suasana suram yang menguasai ruang dalam rumah itu.

Kebanyakan yang hadir adalah handai taulan Jalaludin. Ibu dan ayah Jalaludin turut hadir bersama adiknya yang ditemani suami. Keluarga Anisah yag hadir hanyalah ibu dan dua orang kakak tirinya.

Anisah hanya memerhatikan Datin Rafeah yang duduk di sudut lain. Boleh dikira berapa kali wanita itu menjejakkan ke rumah ini selama hayat anaknya, Jalaludin. Setiap kali wanita itu hadir ke rumah ini, rumah ini akan terasa seperti neraka pada Anisah.

‘Astaghfirullah...’ Lekas-lekas Anisah menepis ingatan yang singgah di benaknya.

Datuk Kamarul dan adik Jalaludin, Kamariah tidak seperti itu, walaupun mereka hanya berdiam diri dengan kata-kata atau perbuatan Datin Rafeah.

Berlainan dengan ibu tiri dan kakak-kakak tiri Anisah. Mereka semakin mesra dengan Anisah semenjak perkahwinannya dengan Jalaludin.

Kata-kata arwah ayahnya adakala menghantui benak Anisah.

“Lebih baik kita biasakan diri kita dengan kesusahan semasa kita berada dalam kesenangan. Kerana kita belum tahu bila kesenangan itu akan berakhir, dan jangan pada masa ia berakhir baru kita terkapai-kapai mencari dahan. Bimbang kita akan tenggelam ke dasar air sebelum sempat mencari tempat berpaut.”

Kata-kata itu terlalu berharga bagi Anisah. Tetapi kebahagiaan dan kesenangan semasa berada di samping Jalaludin membuatkan dia terbuai lena hingga mengkhayalkan naluri.

Hanya kini Anisah tersedar daripada lena itu. Naluri juga mengatakan bahawa ini hanyalah permulaan, walaupun dia cuba menyakinkan diri bahawa semua pahit-getir ini akan berakhir tidak lama lagi.

***

Hujan renyai yang tipis turun di kawasan perkuburan bagaikan renjisan air yang singgah di wajah dan tubuh para hadirin yang menghadiri majlis pengkebumian itu. Pohon-pohon kemboja dan cempaka mengisi ruang antara batu-batu nesan yang berceracak di merata tempat.

Sebatang pohon beringin kelihatan tegap berdiri di sudut kawasan perkuburan itu. Jauh daripada penglihatan dan pendengaran mereka yang ada di situ, beberapa ekor anak burung riuh berdecip di celah-celah dahan dan ranting yang tersembunyi lantaran kelaparan. Telah lama ibu burung tidak pulang untuk menyuapkan cacing atau ulat ke mulut mereka. Sememangnya ibu burung tidak akan pulang lagi selepas menjadi habuan seekor helang yang menyambarnya dalam perjalanan pulang ke sarang. Maut umpama satu kepastian kepada anak-anak burung tanpa ada sesiapa yang akan memberi mereka habuan buat penghapus kebuluran.

Anisah dan anak-anaknya kelihatan tenang duduk bersila dan bertimpuh di sebelah longgokan tanah yang baru saja dikambus, umpama batas untuk menanam sayuran.

Air mata menitis di tubir mereka kecuali anak lelaki sulungnya yang bernama Benjamin dan anak bongsunya Suraya. Benjamin yang lincah dan nakal kini hanya duduk berdiam diri, bisu tanpa kata-kata atau aksi menyakat adik-beradik yang lain. Suraya masih terpinga-pinga melihat orang ramai yang hadir di kawasan yang terlalu asing baginya itu.

Pohon-pohon kemboja yang ditanam di pinggiran tanah perkuburan itu mengharum dengan aroma yang dibawa angin, bersama dedaun kering yang berterbangan. Dedaun yang satu masa dahulu hijau dan segar, kini rapuh menyentuh bumi. Dedaun kering itu gemerisik dan hancur apabila dipijak oleh mereka yang tiba, hanya menunggu masa untuk peroi menjadi tanah yang basah ketika hujan dan ditiup angin sebagai debu ketika hari telah kering.

Wakil yang dijemput kini akan membaca talkin sambil didengar oleh mereka yang hadir. Satu upacara ironik dan penuh makna kerana hakikatnya bacaan untuk si mati itu ditujukan kepada merka yang masih bernafas bagi menyedari hakikat hidup masing-masing.

Setelah dimulakan dengan ucapan memuji Tuhan, wakil itu memulakan bacaan.

"Maha Suci Tuhan yang bersifat dengan baqa dan qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

"Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup. Ingatlah! Bahawa sekalian makhluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Dialah Tuhan yang Maha Besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala."

Para hadirin bertafakur mendengar setiap bait-bait yang menusuk kalbu itu.


"Wahai Jalaludin bin Rafeah, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

“Ingatlah wahai Jalaludin bin Rafeah, apabila datang kepada kamu dua orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu bersusah hati dan terkejut. Ketahuilah wahai Jalaludin bin Rafeah, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu makhluk Allah Taala, sebagaimana kamu juga makhluk Allah Taala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu."

Hanya rembesan airmata menuruni tubir mata Anisah mendengar nama arwah suaminya disebut dalam bacaan talkin itu.

"Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat kamu? Siapakah saudara kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?" Bertubi-tubi soalan yang dibacakan oleh pembaca talkin.

"Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang serta dengan lidah yang fasih, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati. Hendaklah kamu jawab begini. Allah Taala Tuhanku, Muhammad nabiku, Islam agamaku, Kitab suci al-Quran ikutanku, Baitullah itu kiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap La'ilaha'illallah Muhammadurrasulullah".

Suasana hening dan syahdu meliputi kawasan itu semasa talkin dibacakan.


"Wahai Jalaludin bin Rafeah, tetapkanlah hatimu. Inilah suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh. Sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

"Insaflah wahai Jalaludin bin Rafeah, bahawa mati ini adalah benar. Soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar. Kebangkitan dari kubur dan adalah benar. Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar. Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar. Minum dari telaga Kausar adalah benar. Syurga dan neraka adalah benar. Bahawa hari Kiamat tetap akan ada. Begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang yang berada di dalam kubur.

"Akhir sekali kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kepada kamu yang berada di sisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu."

Panjang lebar bacaan talkin sebelum diakhiri dengan doa buat arwah yang telah pergi.

Usai majlis pengkebumian dan ketika hadirin mula bersurai, Anisah dan anak-anaknya duduk menghadap ke kubur. Anisah mahu bersama jasad suaminya buat kali terakhir, walaupun dia hanya melihat tanah yang masih basah dengan siraman air mawar bersama taburan bunga.

“Sabarlah Anisah. Ini semua dugaan buat kau nak.” Ucap Salbiah, ibu tiri Anisah semasa mereka yang ada sudah beransur meninggalkan tanah perkuburan.

“Kalau ada apa-apa, telefon kami. Kami akan datang bantu kau.” Tambah Orkid, kakak tirinya yang sulung sambil mengusap lembut bahu Anisah.

“Jangan terlalu melayan perasaan Anisah. Anak-anak perlukan bimbingan dan perangsang kau. Tabahkan hati Anisah. ” Kakak tirinya yang bernama Dahlia pula bersuara, sebelum mereka bertiga meninggalkan tempat itu.

Sedikitpun tidak Anisah sangka bahawa makan malam semalam adalah kali terakhir dia bersama lelaki yang telah menemani hidupnya dan anak-anak selama lima belas tahun. Kata-kata lelaki itu semalam rupa-rupanya adalah gambaran bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya. Dia telah terlibat di dalam kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat selepas malam tadi.

Kini Anisah terpaksa menggalas sendirian tanggungjawab membesarkan lima orang anak mereka. Anisah dapat rasakan perjalanan yang getir menunggunya tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi.

Anisah memandang kosong pusara Jalaludin, sebagaimana kosongnya hatinya yang dilanda gusar dan gundah. Dia dapat rasa kehilangan yang terlalu dalam. Sedalam hatinya yang gersang dan kontang setelah dahan yang dia tumpang berpaut selama ini telah patah secara tiba-tiba, tanpa sempat dia membuat persediaan. Kini dia jatuh terjelepuk di tanah, terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini.

Fikirannya melayan sambil menatap tanah yang masih merah dan basah.

‘Pada mulanya Anisah ingin berkata sampai hati abang kerana tinggalkan Anisah dan anak-anak, tapi Anisah sedar ini semua bukan kehendak abang. Kalaulah semalam Anisah tahu kata-kata abang adalah amaran buat Anisah, tentu Anisah tak akan bertindak macam tu.’ Anisah beremosi dalam diam.

‘Anisah rasa terkilan tak dapat ucapkan selamat tinggal kepada abang semalam. Kalaulah Anisah tahu bang.... Kalaulah Anisah tahu pertemuan kita semalam adalah pertemuan kita yang terakhir....’ Rasa sebak menghimpit dada Anisah. Matanya hangat bersama air yang sudahpun melimpah.

‘Pada siapa lagi Anisah nak mengadu sekarang bang? Selama ni pada bahu abanglah tempat Anisah bersandar. Pada abanglah Anisah luahkan segala masalah yang berbuku dalam hati dan benak Anisah.’ Air mata Anisah yang mengalir hangat diperhatikan oleh Suraya.

‘Abang pergi pada saat kami perlukan bimbingan abang. Anisah selalu berangan-angan abang akan bersama Anisah melihat Marissa diijabkabul dan bersanding di atas pelamin. Kemudian kita ke London bersama untuk hadiri majlis konvokesyen Benjamin. Anisah juga bayangkan Anisah sentiasa berada di samping abang semasa anak-anak kita membawa pulang berita gembira tentang pelajaran mereka yang cemerlang.’ Anisah menyeka airmata yang sudah berhamburan keluar.

‘Tapi sekarang semuanya tinggal angan-angan Anisah. Anisah tak dapat bayangkan bagaimana Anisah akan hadapinya bila saat itu tiba nanti. Bila Marissa diijabkabulkan dan bersanding. Abang tiada di sisi Anisah.’ Dadanya terasa dihimpit sayu yang amat menyakitkan.

‘Bagaimana Anisah nak hadapi semua ni bang? Bagaimana Anisah akan kawal perasaan nanti? Bila Anisah toleh ke sebelah, abang sudah tiada di sisi Anisah.’ Anisah terasa seperti mahu meraung sekuat-kuat hatinya, akibat perasaan yang benar-benar mencengkam jiwanya.

Tetapi dia harus kuat. Dia perlu tabah demi anak-anak. Anak-anak yang sudah kehilangan seorang ayah yang sepatutnya ada bersama mereka untuk menghadapi saat-saat indah, pahit dan mencabar dalam hidup. Seorang ayah yang akan memberi semangat ketika mereka lemah. Seorang ayah yang akan berkongsi kegembiraan bersama mereka. Dan seorang ayah yang akan menghulurkan tangan ketika mereka terjatuh.

‘Dan aku juga perlukan bahu seorang suami untuk aku sandarkan segala kegusaran hati ini. Untuk aku rangkul ketika hati ini berbunga dengan kegembiraan. Tapi sekarang....’

Perasaan ini sudah tidak mampu dibendung lagi.

“Jom kita balik.” Suara Anisah yang cuba mengatasi kepedihan yang meramas hatinya sebelum dia membuat sesuatu di luar kawarasannya.

‘Selamat tinggal bang. Semoga abang sentiasa berada di dalam perlindungan Tuhan.’ Bisik hati Anisah sambil menyentuh batu nisan yang masih putih bersih.

Pak Majid sudah menunggu di sebelah Mercedes-Benz hitam kelas R yang menjadi pengangkutan mereka sekeluarga ke mana-mana. Semasa Jalaludin ada, dia akan duduk di hadapan. Anisah dan anak-anak perempuan yang lain akan duduk di tengah. Benjamin dan Firdaus akan duduk di bahagian belakang. Peluang itu akan digunakan oleh Benjamin untuk mengusik kakak dan adiknya.

Kenangan yang singgah itu hanya menambahkan pedih di hatinya yang telahpun parah.

Tidak jauh dari kereta itu ada sebuah lagi kereta Mercedes-Benz hitam yang Anisah kenal. Melihat Anisah dan anak-anaknya menuju keluar dari kawasan tanah perkuburan, mereka yang berada di dalamnya keluar.

“Anisah!” Suara Datin Rafeah sambil menuju ke arah Anisah dan anak-anaknya.

“Aku memang dah agak Jalaludin buat kesilapan kerana bernikah dengan perempuan pembawa malang macam kau!” Suara Datin Rafeah tanpa menghiraukan cucu-cucunya yang ada di situ. Datuk Kamarul tidak berbuat apa-apa untuk menahan isterinya yang tega mengeluarkan kata-kata yang lancang. Kamariah hanya melihat Anisah dengan perasaan simpati. Suaminya memalingkan wajah kerana tidak sanggup melihat Anisah dihamburkan kata-kata sebegitu pada hari dia kehilangan orang tersayang.

“Semenjak kau kahwin dengan anak aku, aku dah agak nasib dia akan jadi macam ini. Entah-entah kau yang rancang semua ini untuk bolot harta dia. Bukan begitu?” Mata Datin Rafeah seperti mahu menelan Anisah.

“Astaghfirullahalazim. Tergamak mak cakap macam tu pada saya. Ini semua dah takdir Mak. Allah lebih sayangkan dia, sebab itu dia dipanggil kembali lebih awal.” Anisah menjawab dengan suara sebak.

“Bercakap memanglah senang. Kau ingat kau boleh sembunyikan rancangan jahat kau tu daripada aku. Dasar perempuan tak tahu malu!” Hati Anisah bagai dicucuk-cucuk dengan kata-kata ibu mertuanya yang tidak beralas.

“Kau dengar sini baik-baik. Kalau kau tersilap langkah, aku akan pastikan kau menyesal seumur hidup. Kau boleh buat macam tu pada anak aku, tapi bukan pada anak-anak Jalaludin, keturunan aku. Jangan harap kau akan dapat hak penjagaan kalau kau buat hidup mereka menderita. Pada masa tu aku akan pastikan kau tak akan dapat menjenguk mereka lagi walaupun sesaat. Masa tu baru puas hati aku dengan perbuatan perempuan hina macam kau!” Kata Datin Rafeah seperti meninggalkan mereka.

Datuk Kamarul tidak berkata apa-apa. Dalam keadaan serba salah dia juga meninggalkan tempat itu. Anisah masih belum mengerti kenapa Datuk Kamarul bersifat sedemikian. Adakah kerana terlalu sayangkan isterinya hingga tidak sanggup menegur perbuatannya yang salah? Atau dia juga merupakan salah seorang mangsa lelaki yang dikawal oleh isteri? Mungkin Anisah tidak akan tahu jawapannya sampai bila-bila.

“Sabarlah Kak Anisah. Yah minta maaf bagi pihak mak.” Suara Kamariah dengan nada sayu dan. Wajahnya menampakkan rasa belas terhadap apa yang sedang Anisah lalui. Anisah tidak berkata apa-apa. Dia hanya mampu memberikan satu senyuman yang tawar.

Anisah melangkah lemah menuju kereta bersama anak-anaknya. Sudahlah dia kesedihan setelah kehilangan Jalaludin, kini dia terpaksa menahan kepedihan akibat kata-kata ibu mertuanya sendiri.

‘Ya Allah. Aku benar-benar memohon kekuatan untuk hadapi semua ini.’ Rintih Anisah ketika mereka meninggalkan kawasan tanah perkuburan bersama Mercedes-Benz kelas R hitam yang dipandu oleh Pak Majid.

***

“Ben!” Anisah memanggil anaknya yang sedang duduk di tangga sambil merenung keluar. Belum pernah Anisah lihat anak lelakinya bertabiat seperti itu. Biasanya akan kedengaran riuh suaranya menyakat seorang demi seorang kakak dan adik-adiknya, membuatkan suara Anisah lantang bergema memarahinya. Seolah-olah yang duduk di situ adalah budak yang menyerupai Benjamin, tetapi bukan dia.

“Mari makan Ben. Nanti lauk sejuk. Mak masak asam pedas kegemaran Ben.” Pujuk Anisah sambil menuju ke tempat Benjamin duduk. Benjamin tidak menjawab, sebaliknya dia terus melemparkan pandangan kosong ke luar. Melihat keadaan anaknya itu, Anisah melabuhkan punggung di tangga bersebelahan budak itu.

“Kenapa papa tinggalkan kita mama? Kenapa tak tunggu sampai kami semua dah besar dan pandai berdikari?” Suara Benjamin, masih memandang keluar.

“Perkara macam tu bukan bergantung pada kehendak kita Ben. Bukan sesuatu yang boleh kita buat pilihan atau keputusan mengikut kemahuan kita. Bukan keputusan mama, bukan keputusan papa, bukan keputusan Ben, dan bukan keputusan sesiapa saja. Itu keputusan yang dibuat oleh Tuhan.” Anisah cuba memberi jawapan sehikmah mungkin.

“Tapi kenapa Tuhan ambil nyawa papa cepat sangat. Rasa belum puas kami semua berada bersama papa. Sekarang dia dah tak ada lagi mama.” Benjamin beremosi. Anisah mengusap belakang badan anaknya.

“Itulah namanya hidup. Setiap orang ada perjalanan hidupnya sendiri. Tak ada dua orang yang sama perjalanan hidup masing-masing, walaupun mereka dilahirkan kembar dengan rupa yang sama.” Giliran Anisah pula melemparkan pandangan ke luar, memerhatikan sayup laman hijau di sekeliling rumah mereka. Sesekali ada burung ciak melompat-lompat di hamparan hijau sambil melihat sekeliling dan mencari habuan yang tersembunyi di celah daunan rumput.

“Bukan kita yang tentukan perjalanan hidup kita. Dalam setiap kelebihan yang kita ada, ada sesuatu yang perlu kita tunaikan. Dalan kekurangan yang kita ada, ada cabaran yang akan menjadikan kita lebih tabah.” Sambung Anisah memberi semangat kepada Ben, walhal semangatnya juga sudah nipis menghadapi dugaan mengejut yang singgah tanpa sempat dia membuat persiapan itu.

“Kenapa perlu kita hadapi semua ini? Kenapa kita tak boleh hidup dalam keadaan aman dan senang sentiasa. Kenapa perlu kita lalui kesusahan seperti ini?” Anisah termenung mendengar soalan Ben. Walaupun dia menjawab soalan anaknya, tetapi kata-kata yang diucapkan juga adalah nasihat yang amat diperlukanoleh dirinya sendiri dalam keadaan seperti itu.

“Kerana di sini bukan tempat kita. Di sini kita adalah hamba yang diuji oleh Tuhan, untuk tahu sejauh mana kemampuan kita. Sejauh mana kita layak menjadi hamba di sisi-Nya. Untuk kita menjadi jiran-jiran para kekasih-Nya di sana nanti, di alam Akhirat.”

“Bagaimana kalau Ben tak mampu hadapi semua ini mama? Macam mana kalau Ben marah dengan Tuhan? Sampai Ben langgar semua perintah Dia nanti?” Soalan Ben telus.

Anisah tidak mampu menjawab. Sememangnya jawapan yang perlu diberikan itu senang, tetapi dia memikirkan sesuatu. Dia memikirkan bagaimana jika dia diletakkan dalam situasi seperti yang dikatakan oleh Benjamin. Adakah dia mampu bersabar dengan segala ujian yang diberi Tuhan, walau berat mana sekalipun? Adakah dia akan marah dan memberontak dengan kesukaran yang dihadapi hingga melakukan sesuatu diluar batas keteguhan imannya?

Agak lama baru Anisah menjawab. “Tuhan tahu kemampuan kita. Dia tidak akan bebankan kita dengan sesuatu yang lebih daripada kemampuan. Dia tahu kita akan berjaya sekiranya kita lalui semua dengan sabar dan tabah.” Kata-kata Anisah dalam suasana yang syahdu itu, walaupun hatinya bergelodak dengan kerisauan yang tidak terucap.

‘Adakah aku akan berjaya menghadapi semua dugaan yang di beri Tuhan? Adakah aku akan menjadi semakin dekat atau semakin jauh dari-Nya nanti?’ Anisah mempertikaikan kemampuan dirinya.

Akhirnya anak-beranak berdua itu melayan perasaan sambil memerhatikan ciak yang bebas melompat di atas rumput tanpa gangguan, membiarkan ahli keluarga yang lain makan tanpa kehadiran mereka.

***

Anisah duduk di sudut rumah memerhatikan gelagat anak-anaknya. Marissa tidak menunjukkan sebarang perubahan pada dirinya. Dia tidak menunjukkan kesedihan pada raut wajahnya walaupun sesekali air mata yang mengalir segera diseka. Seperti biasa dia melayan sambil memerhatikan tingkah-laku adik-adiknya. Jika ada yang tidak kena pada pandangan matanya, akan ditegur.

‘Marissa memang seorang anak yang tabah. Melihat kekuatannya membuatkan aku rasa bertambah kuat untuk menghadapi dugaan ini.’ Bisik Anisah sambil memerhatikan Umairah yang giat menenangkan Firdaus yang menangis teresak-esak.

Anisah tahu Umairah memang seorang yang pandai mengambil hati. Tetapi dalam pada itu dia juga seorang yang mudah merajuk. Firdaus pula tidak banyak bercakap, tetapi dia sering mengejutkan mereka dengan kata-kata yang bijaksana atau perbuatan yang mengujakan.

Suraya seperti berada di dalam dunianya sendiri.

‘Kaulah permata mama Yaya. Saat kau lahir mama sedar ada kejaiban di alam hidup mama, biarpun apa tanggapan dan kata-kata orang lain terhadap kamu.’ Ujar Anisah sambil tersenyum sendirian.

‘Kamu semua adalah kekuatan hidup Mama untuk mengharung dugaan hidup yang melanda kita ketika ini. Kerana kamu semua, mama akan memaksa diri mama untuk tabah. Kita akan lalui semua ini bersama-sama, biar apapun yang terjadi.’ Kata-kata semangat yang Anisah tancapkan ke dalam hatinya.

***

Jam sudah melepasi waktu tengah malam, tetapi Anisah masih duduk di meja makan melayan perasaan. Anak-anaknya semua sudah masuk tidur. Dia keseorangan merenung jambangan bunga gladioli yang terletak di atas meja. Batangnya yang tebal dan panjang direndam di dalam pasu tinggi kristal jernih, menampakkan batang-batang hijau yang teguh berdiri. Kembang kuning itu memiliki enam kelopak, tiga di dalam dan tiga di luar.

Itulah hadiah terakhir Jalaludin, menandakan berakhirnya detik-detik mereka bersama mengharung badai dan mengecapi nikmat perkahwinan selama lima belas tahun. Bersama mahligai yang mereka pertahankan itu, telah lahir lima orang cahaya mata penyejuk hati.

Bagi Jalaludin, jambangan bunga gladioli ini adalah lambang kesetiaan dan keteguhan cinta mereka berdua. Tetapi bagi Anisah, ia adalah amanat yang diserahkan oleh Jalaludin kepadanya bersama maksud tersirat yang dalam. Bahawa Anisah perlu tabah menghadapi mengharungi semua kepayahan ini, sebagaimana tegaknya batang-batang yang memegang kelopak kembang di hujungnya. Tanpa batang-batang yang teguh itu seri kelopak kuning itu tidak akan terserlah apabila ia rebah menyembah bumi.

Anisah terdengar rintihan halus pada malam itu yang datang dari tepi tangga yang terlindung dan gelap. Tempat yang sama semasa dia duduk bersama Benjamin siang tadi. Anisah menggagahkan diri menuju ke situ sambil mengintai untuk melihat pemilik suara itu. Rintihanya halus, sayu dan menggambarkan kesedihan yang cuba ditahan-tahan.

Anisah lihat satu tubuh sedang duduk sambil memeluk lutut dan teresak-esak, hanya diterangi simbahan suram cahaya lampu dari luar. Sebagaimana dia dengan Benjamin, Anisah duduk di sebelah tubuh itu. Dia lantas mendakapnya perlahan-lahan.

“Marissa belum tidur lagi?” Suara lirih Anisah. Soalannya tidak berjawab oleh remaja yang masih teresak-esak itu. Anisah tahu Marissa cuba untuk mengawal kesedihan yang sudah melimpah keluar dari benteng yang cuba dibendungnya.

“Perasaan sedih adalah sesuatu yang lumrah Marissa. Ia bukan bermaksud kita lemah. Malah ia mungkin akan memberikan kita kekuatan baru. Meluahkannya adalah perkara yang sihat.” Ujar Anisah sambil mengusap lembut belakang Marissa.

Ketika itu Marissa mendakap Anisah dan meraung semahu-mahu hatinya dengan nada yang sayu dan pilu.

“Kenapa papa pergi terlalu cepat mama? Marissa rasa belum puas ada papa di sisi Marissa. Marissa rindu pada papa, mama! Marissa rindu!” Suaranya sambil melepaskan tangisan yang lantang. Benjamin, Umairah, Firdaus dan Suraya telahpun berdiri di tepi tangga apabila mendengar suara tangisan yang kuat.

“Sabarlah Marissa. Sudah takdir Tuhan memanggil papa kembali lebih awal daripada kita semua. Kita tak boleh biarkan perasaan ini menguasai kita sayang. Kita kena terima hakikat ini dan jalani hidup seperti biasa. Sehinggalah kita dapat terima ketentuan Tuhan seadanya.” Anisah sendiri sudah mula digenangi air mata, hanya menunggu masa untuk ia menitis.

“Kita tak hadapi kesukaran ini bersendirian. Kita ada keluarga kita. Mama, kamu dan adik-adik yang lain. Kita akan hadapi semua ini bersama-sama.” Suara sebak Anisah.

Adik-adik Marissa turun mendapatkan mereka berdua. Dalam kesuraman cahaya di tingkap, mereka berpelukan bersama dada yang sebak dan rembesan yang tidak kunjung surut.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku