Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 2 : Wasiat
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
897

Bacaan






Pagi-pagi lagi Pak Majid sudah tiba di rumah mewah di Dastar Perdana itu bersama hidangan sarapan yang dipesan oleh Anisah.

“Pak Majid tak minum dulu. Nanti saya ambilkan kopi.” Pelawa Anisah.

“Eh, tak payahlah puan. Lagipun nak ke pejabat sebentar lagi. Peguam nak ke sini untuk bincangkan hal wasiat arwah Encik Jalaludin.” Jawab Pak Majid.

“Janganlah macam tu Pak Majid. Arwah suami dulu pun selalu ajak Pak Majid minum. Pak Majid tunggu di sini. Nanti saya ambilkan kopi.” Anisah bersungguh-sungguh.

Tidak lama kemudian Anisah tiba bersama kopi dan kuih di anjung yang dikhaskan untuk para tamu bersantai di luar rumah.

“Saya segan betul dengan puan dan arwah Encik Jalaludin. Saya ni pemandu saja, tapi dilayan macam kawan-kawan.” Suara Pak Majid penuh rendah diri.

“Kenapa nak dibezakan? Arwah selalu pesan dengan saya dulu. Hidup ni macam kitaran roda. Ada masa kita naik, ada masa turun. Jangan masa kita turun baru nak buat baik dengan semua orang. Saya akan ingat pesanan arwah sampai bila-bila.” Jawab Anisah.

“Saya memang kagum dengan arwah. Dengan puan pun sama. Jarang saya tengok isteri orang berada macam puan ni ambil tahu urusan rumahtangga. Pembantu rumah pun datang beberapa kali seminggu saja untuk bantu puan. Anak-anak semua makan masakan air tangan puan sendiri.”

“Entahlah. Saya sebenarnya rasa bersalah kalau serahkan semuanya pada orang lain. Takut saya yang tak tahu nak buat apa di rumah nanti.” Jawab Anisah beralas.

“Saya betul-betul rasa kehilangan bila arwah dah tak ada.” Kata Pak Majid selepas menyisip kopi.

“Saya dah kenal dia semenjak dia bujang lagi. Orangnya memang tak pernah berkira dengan saya. Dia ambil saya bekerja masa saya tengah susah dulu. Tengah sesak. Masa tu saya dan orang rumah memang tengah kesempitan sebab ekonomi gawat. Selepas bekerja dengan dia, alhamdulillah rezeki murah.” Sambung Pak Majid lagi.

“Bermakna Pak Majid memang dah lama kenal arwah suami saya.” Anisah sedar dia hanya mengetahui banyak perkara selepas ketiadaan suaminya.

“Memang puan. Sebelum Syarikat Ikatan Waja ditubuhkan lagi. Masa tu saya jadi pengawal sekuriti di syarikat arwah bekerja. Kalau ada masalah memang dia selalu berkongsi dengan saya. Macam kawan rapat.” Pak Majid bercerita sambil tersenyum, seolah-olah mengenang detik-detik gembira bersama Jalaludin.

“Dia selalu bercerita dengan saya tentang syarikat yang dia bina bersama Encik Rafiq. Encik Jalaludin berkepakaran di bidang kejuruteraan. Encik Rafiq memang mahir bidang kewangan. Dia financial controller di syarikat yang sama dengan arwah suami puan. Gabungan mereka berdua memang mantap. Encik Jalaludin dapatkan klien. Encik Rafiq rangka strategi untuk syarikat. Sampai mereka berdua dapat Anugerah Enterprise 50.” Penerangan Pak Majid menyebabkan Anisah teringat tentang Anugerah E50 yang disebut oleh arwah suaminya tempoh hari.

“Agaknya dah memang rezeki mereka berdua. Syarikat makin maju dan terkenal.” Pak Majid berhenti lagi untuk menyisip kopi.

“Pak Majid tau tentang masalah arwah suami saya dengan rakan kongsi dia?” Anisah cuba mengorek rahsia.

“Ada juga dia bercerita dengan saya. Kadang-kadang melalui perbualan telefon arwah dengan Encik Rafiq dan pekerja syarikat saya dapat baca apa yang sedang berlaku.” Jawab Pak Majid.

“Apa sebenarnya yang dah berlaku?” Tanya Anisah.

“Selepas syarikat jadi terkenal dan maju, Encik Rafiq mula selesa dengan keadaan. Dia rasa berpuas hati dengan kejayaan syarikat. Sedangkan dalam bisnes ada masa kita naik, ada masa kita turun. Keselesaan itu yang menyebabkan dia mula mengabaikan syarikat. Tinggal Encik Jalaludin seorang bertungkus-lumus mempertahan kredibiliti syarikat.” Pak Majid menerangkan seperti seorang pemerhati yang mahir tentang perniagaan.

“Tapi semenjak beberapa bulan lepas keadaan ekonomi mula goncang. Syarikat perlukan modal yang banyak untuk terus bertahan. Rafiq mengabaikan tugas sampai syarikat tak cukup modal pusingan. Bila terdesak dia nak dapatkan hasil segera dengan melabur dalam skim haram. Encik Jalaludin tak setuju. Ini kes beberapa bulan lepas. Semenjak tu saya dengar mereka berdua dah tak berapa ngam. Pekerja syarikat pun dah macam ada dua puak. Satu bela Encik Jalaludin, satu lagi menyebelahi Encik Rafiq. Tapi saya tak sangka sampai boleh jadi macam ni.” Suara Pak Majid dengan nada kesal.

“Pak Majid rasa ada kemungkinan tak Rafiq terlibat dalam kes kemalangan maut suami saya?” Tanya Anisah.

“Itu saya tak berani tuduh. Tapi daripada bukti yang ada, memang menuju ke arah itu.” Jawapan Pak Majid menyebabkan Anisah termenung.

“Saya rasa tanggungjawab puan besar kalau terpaksa ambil alih tugas arwah suami puan. Puan perlu berhati-hati.” Jawapan Pak Majid seperti nasihat bercampur amaran kepada Anisah.

“Eh, saya kena ke ofis. Nak jemput peguam datang ke sini.” Kata-kata Pak Majid sebelum menghabiskan kopi di cawan.

Usai Pak Majid meninggalkan pekarangan rumah, Anisah terus duduk termenung di situ. Legasi yang ditinggalkan oleh Jalaludin amat besar untuk dipikulnya.

‘Adakah mampu aku melalui semua ini?’ Anisah tenggelam dalam refleksinya.

***

Pak Majid tiba di rumah dengan Mercedez-Benz kelas R berwarna hitam. Seorang lelaki kelihatan segak dengan kemeja lengan panjang putih bertali leher dan berkaca mata.

Anisah dan lelaki itu duduk di ruang tamu. Anisah mengamati wajah lelaki itu yang kelihatan muram seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya Adnan, peguam syarikat Ikatan Waja. Saya ditugaskan ke sini untuk membacakan wasiat arwah Encik Jalaludin kepada puan.” Lelaki itu memulakan bicara selepas mengeluarkan dokumen dari dalam beg bimbitnya.

“Saya sebenarnya datang dengan berita baik dan berita buruk. Tapi saya mulakan dengan berita baik dulu.” Suara peguam itu menimbulkan kemusykilan di hati Anisah.

‘Tak ada berita buruk yang lebih besar lagi daripada kematian suami aku.’ Bisik hati kecil Anisah.

Peguam itu mula membacakan surat wasiat tentang pembahagian harta kepada Anisah dan anak-anaknya. Tentang rumah dan segala aset yang ada.

‘Kenapa peguam ni baca sambil lewa seperti terpaksa?’ Hati Anisah berteka-teki.

“Sekarang sampai kepada berita buruk.” Kata-kata peguam itu yang menambah debar di dadanya.

‘Ya Allah. Berikan aku kekuatan untuk hadapi semua ini.’ Anisah berdoa dalam diam.

“Ada berlaku penyelewengan dalam syarikat. Antaranya pemindahan wang daripada akaun Encik Jalaludin ke satu akaun lain dan pemindahan aset syarikat kepada nama Encik Rafiq. Encik Rafiq sekarang telah hilang entah ke mana. Begitu juga orang bawahan yang dipercayai bersekongkol dengan dia. Kali terakhir Encik Rafiq dilihat adalah di lapangan terbang KLIA. Dia ke luar negara berdasarkan maklumat yang saya dengar. Akaun atas namanya dalam negara juga sudah ditutup. Begitu juga akaun-akaun yang digunakan untuk melobi harta syarikat.” Anisah seperti bermimpi mendengar penerangan peguam itu.

“Syarikat sekarang dalam keadaan gawat dan mungkin akan dibubarkan. Segala harta syarikat akan dibekukan dan akan digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutang yang ada.” Kata-kata peguam bernama Adnan itu menyebabkan tubuh Anisah longlai. Dia tergamam seketika, tidak mampu bersuara.

“Takkan tak ada satu sen pun untuk kami sekeluarga? Bagaimana dengan tuntutan insurans?” Anisah bersuara selepas semangatnya pulih kembali.

“Kes kemalangan sekarang sudah jadi kes polis kerana dipercayai kemalangan ini disengajakan. Pihak insurans memang akan berhati-hati sebelum memenuhi tuntutan seperti ini. Mungkin puan akan dapat wang itu atau mungkin tidak. Kalau dapat pun mungkin lambat lagi.” Kata-kata peguam itu seperti mahu menyedapkan hati Anisah.

‘Mungkin memang tipis harapan aku untuk dapat wang insurans ini.’ Hati Anisah gelisah.

“Mustahil tak ada satupun yang ditinggalkan untuk kami?” Tanya Anisah.

“Kalau melalui syarikat memang tak ada. Kalau adapun mungkin akaun persendirian Encik Jalaludin.” Jawapan peguam itu menambahkan kegusaran hati Anisah.

Ketika itu timbul rasa menyesal kerana tidak mengendahkan hal ini semasa Jalaludin masih ada. Selama ini dia menyerahkan urusan bulat-bulat kepada suaminya. Langsung dia tidak terfikir perkara seperti mungkin akan berlaku.

“Rumah ni bagaimana?” Tanya Anisah lagi.

“Saya khuatir tiada insurans yang dibuat atas rumah ini jika berlaku perkara seperti ini. Jika rumah ini tak mampu dibayar ansuran bulanannya, ia akan disita. Saya cadangkan puan tinggalkan rumah ini sebelum terlambat.”

Rasa cemas menghurung Anisah. Ketakutan dan kekalutan berbaur bersama tubuh yang menggigil. Air matanya hanya menunggu masa untuk tumpah.

‘Apa yang sedang berlaku pada hidup aku sekarang. Mula-mula aku kehilangan suami. Sekarang aku kehilangan segala hasil pencarian arwah. Ya Allah, berat sungguh dugaanmu.’ Anisah beremosi.

Anisah terlantar di sofa selepas peguam meninggalkan rumah bersama berita yang amat getir untuk ditelan.

‘Bagaimana akan kusampaikan berita ini kepada Marissa, Benjamin dan anak-anak aku yang lain? Mampukah mereka menerima hakikat bahawa kehidupan kami sedang menempuh badai gelora yang terlalu menggila? Mampukah kami melalui semua ini sehingga malapetaka ini reda? Bilakah ia akan reda? Adakah ia akan reda?’ Hati Anisah diracun was-was bagai lalat menghurung bangkai.

***

Setelah peguam Adnan beredar, Anisah mengatur rancangan untuk dia dan anak-anak. Dia perlu mencari tempat lain sebelum rumah ini disita oleh pihak bank.

Anisah sudah bernekad. Walau apapun yang terjadi, dia tidak akan melibatkan ibu dan bapa mertuanya. Tindakan melibatkan mereka hanya mengundang padah. Jika tersilap langkah, dia akan hilang hak penjagaan ke atas anak-anaknya selama perkongsian hidup bersama Jalaludin.

Anisah membuat keputusan menelefon ibu tirinya.

“Assalamualaikum mak.” Ucap Anisah.

“Waalaikumsalam. Ada apa Anisah?” Suara lembut Salbiah, ibu tirinya di talian.

“Mak, Anisah ada masalah. Syarikat arwah Abang Jalaludin kena seleweng. Habis wang dan harta dia kena tipu.” Kata-kata Anisah penuh pengharapan.

“Kenapa sampai macam tu sekali?”

“Saya syak ini semua kerja rakan kongsi dia, Si Rafiq. Duit dalam akaun bank semua dah lesap. Rumah ni pun Anisah tak tahu macam mana nak bayar sekarang ni.” Suara Anisah sebak.

“Habis kau tak ada simpanan kecemasan? Takkanlah tak ada.”

“Saya silap dulu mak. Semua saya serah pada Abang Jalaludin. Menyesal saya tak ambil tahu hal ni semua.”

“Jadi apa kau nak buat sekarang?” Tanya Salbiah.

“Anisah nak minta izin untuk kami berenam tinggal dengan mak. Sambil tu saya akan usaha jualkan apa yang patut untuk kegunaan kami.” Suara Anisah memohon belas simpati.

Salbiah berdiam diri. Kemudian dia berkata, “Nanti mak bincang dengan kakak-kakak kau.”

Selang setengah jam kemudian Anisah menerima panggilan daripada ibu tirinya. Apa yang didengar langsung tidak pernah terjangkau oleh pemikirannya yang waras.

“Anisah, Anisah. Tak sangka nasib kau jadi macam ni ya? Aku dah lama tunggu peluang nak cakap dengan kau macam ni. Tapi kemewahan yang kau dapat lepas kahwin dengan Jalaludin dulu menyebabkan aku tutup mulut. Untuk jaga kepentingan aku.” Kata-kata Salbiah membuatkan Anisah terkedu.

“Kau tahu kenapa aku kahwin dengan bapak kau? Apa lagi kalau bukan kerana harta dia. Bila dia dah mati semua harta dia serahkan pada aku. Harta atas nama kau pun aku dah tukar pada nama kami bertiga.” Kaki Anisah terasa lemah dengan perubahan mendadak pada ibu tirinya.

“Selepas kau kahwin dengan lelaki kaya macam Jalaludin, kau ingat kami senang hati. Kami sebenarnya mencari peluang untuk tumpang senang dengan kekayaan yang kau ada. Tapi sekarang semuanya sia-sia. Kau jangan haraplah aku akan serahkan sesenpun pada kau dan anak-anak kau. Membazir harta aku saja.”

“Sampai hati mak cakap macam tu.” Air mata sudah berjuraian di mata Anisah.

Tidak cukup dengan itu, kakak-kakak tiri Anisah turut mengambil peluang berbicara dengannya.

“Kau nak tahu Anisah. Aku dulu cemburu dengan kau. Aku hairan tengok perempuan macam kau boleh kahwin dengan lelaki tampan dan kaya macam Jalaludin tu. Tapi sekarang aku puas hati dengan nasib kau ni. Agaknya Tuhan makbulkan permintaan aku.” Sindir Orkid sambil tertawa sinis. Selama ini dia begitu bermanis muka dengan Anisah.

“Aku minta maaf Anisah. Untuk aku berkongsi rumah dengan kau dan anak-anak kau, memang jauh panggang dari api. Terutamanya anak kau yang down syndrome tu. Iiih, tak tergamak aku.” Tambah Dahlia.

Anisah tidak dapat menahan perasaan lagi. Usai meletakkan telefon ke gagang. Dia meraung dalan tangisan semahu hatinya.

‘Sampai hati mak dan kakak cakap macam tu dengan aku. Selama ni aku sangka benar-benarlah hati mereka tulus dan mulia. Rupa-rupanya itu semua hanya lakonan sandiwara.’ Anisah terjelepuk di lantai ketika itu bersama mata yang sudah merah dan bengkak.

***

Petang itu Pak Majid datang ke rumah. Mata Anisah masih lagi bengkak kerana melayan tangisan yang terlalu lama.

“Saya bersimpati atas nasib puan.” Pak Majid memulakan bicara.

“Tak payah berpuan-puan lagi dengan saya Pak Majid. Saya dah tak ada apa-apa lagi sekarang ni. Rumah ni pun tak lama lagi akan kena tarik oleh pihak bank. Ke mana saya dan anak-anak nak bawa diri pun saya tak tahu.” Suara Anisah sudah mula berubah akibat sebak yang mencengkam dada. Air mata yang tiris diseka dalam esak.

Pak Majid menarik nafas dalam. Mungkin dia dapat rasakan penderitaan yang sedang dialami oleh isteri bekas majikannya.

“Walaupun arwah dah tak ada dan andai kata saya tak bekerja dengan puan lagi, saya tetap akan ambil tanggungjawab atas puan sekeluarga. Inilah saja cara untuk saya membalas jasa arwah kepada saya dulu. Saya dapat rasa apa yang puan rasa sekarang. Dan saya tahu perasaan bila orang lain tak ambil endah masalah saya. Pada masa tu dulu hanya Encik Jalaludin saja yang sanggup duduk dan mendengar masalah saya. Sekarang giliran saya pula buat benda yang sama. Walaupun bukan pada dia, tapi pada orang yang dia kasihi. Selagi mampu saya akan cuba bantu Puan Anisah.” Kata-kata Pak Majid membuatkan air mata Anisah mengalir makin deras.

“Saya ingat macam nilah puan. Apa kata puan selesaikan segala urusan yang ada dalam rumah ni. Bila dah sedia, puan pindah saja ke rumah pusaka saya di kampung. Rumah tu harta peninggalan arwah ibu dan ayah saya. Adik-beradik semua dah ada rumah sendiri, jadi rumah tu terbiar kosong. Keadaannya agak uzur sikit. Tapi kalau dibersihkan, bolehlah jadi tempat berteduh puan sekeluarga.”

“Eh, Pak Majid tak boleh buat macam tu. Itu rumah pusaka, kena bincang dengan adik-beradik dulu.” Anisah serba salah.

“Tentang itu puan jangan risau. Saya tahu bagaimana nak ambil hati adik-beradik saya nanti.” Jawapan Pak Majid penuh keyakinan.

Anisah dapat lihat ada sinar mentari mengintai dari celah-celah awan gelap ketika badai sedang menggila ini.

***

Anisah duduk termenung sendirian malam itu ketika anak-anaknya telah pun tidur. Dia duduk di tangga merenung bulan bersama samar cahaya yang disimbah dalam kesunyian malam. Kesamaran cahaya mencelah menerusi tingkap, sebagaimana samarnya masa depan yang sukar dijangka ini. Detik-detik yang dilalui akhir-akhir ini rupa-rupanya adalah peralihan besar dalam hidupnya. Perjalanan bersama lima orang cahaya mata yang berada di sisinya.

Pelbagai peristiwa siang tadi bermain di retina matanya seperti siaran televisyen yang datang dan pergi tanpa perlu dia menukar siaran. Dia hanya membiarkan ia singgah dan berlalu bersama dada yang sempit terhimpit dan air mata yang mengalir tanpa disedari kehadirannya.

Kini tiada kepastian lagi dalam hidup Anisah. Dia hanya berharap jiwanya benar-benar kuat untuk menghadapi semua ini. Dia perlu tabah demi anak-anak yang terkapai-kapai mencari dahan untuk berpaut di saat seperti ini.

“Ya Allah. Berilah aku ketabahan menghadapi semua dugaan ini.” Suara lirih Anisah bersama mata yang masih merah membengkak.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku