Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 3: Perubahan
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
750

Bacaan






Anisah melemparkan pandangan ke luar tingkap teksi yang dinaiki. Pelbagai rentetan peristiwa bermain di fikiran seperti putaran filem yang ditayangkan di skrin panggung. Putaran itu sepantas gerakan pemandangan di luar yang silih berganti dengan kelajuan kereta yang dipandu oleh Pak Majid.

Dengan hati yang berat dia telah melepaskan banyak harta peninggalan arwah Jalaludin yang merakam nostalgia dalam kehidupannya. Dia hampir menitiskan air mata apabila terpaksa menggadaikan hampir kesemua barang kemas yang dihadiahkan oleh Jalaludin. Hanya cincin perkahwinan mereka dan beberapa barang kemas lain yang menyimpan memori yang kuat antara mereka berdua masih dipertahankan oleh Anisah. Kenangan yang akan diabadikan hingga ke generasi anak cucunya kelak.

Mercedez-Benz kelas R telah diserahkan kembali. Rumah di Dastar Perdana telah ditinggalkan kosong. Namun Anisah masih menyimpan sekelumit harapan agar sesuatu akan berlaku supaya rumah dan kereta itu akan kembali menjadi milik mereka. Dia berharap akan tiba satu berita yang mengatakan dia bukan ditinggalkan sehelai sepinggang begini. Dia masih berharap keadaan akan kembali menjadi seperti dahulu.

Sebenarnya sukar untuk Anisah terima hakikat kehidupan yang sedang ditempuh sekarang ini bersama anak-anak.

‘Oh Tuhan. Apakah kesilapan yang telah aku perbuat sehingga aku diberi ujian sebegini? Adakah selama ini aku mengkufuri nikmat yang telah Engkau beri? Atau ini sekadar ujian untuk menaikkan kedudukanku di sisi-Mu? Aku takut ya Allah, sekiranya aku tidak mampu bertahan dalam kesabaran. Aku takut aku akan semakin jauh daripada-Mu.’ Hati Anisah beremosi. Apabila dia terasa air mata mula tiris, lekas-lekas diseka.

Walaupun pahit, dia terpaksa menelan semua ini sebagai cabaran hidup. Masih dia ingat bagaimana dia melewati segenap inci ruang di rumah di Dastar Perdana pagi tadi buat kali terakhir. Apabila melihat kamar peraduan dia dan Jalaludin, kenangan indah mereka berdua tergambar. Masih dia terbayang saat Marissa lahir ke dunia dan tempat tidurnya yang diletakkan di sudut bilik itu. Begitu juga memori kelahiran Benjamin, Umairah, Firdaus dan Suraya. Mereka adalah legasi yang ditinggalkan oleh Jalaludin dalam hidup Anisah.

Sambil menuruni tangga pagi tadi, dia terbayang peristiwa Benjamin terjatuh hingga patah tangannya. Kenakalan anak keduanya itu masih kekal hingga kini. Dia gemar menyakat adik-beradik yang lain hingga gamat suasana rumah ini dengan riuh tawa dan tangis mereka.

Dengan tidak semena-mena Anisah terbayang peristiwa yang mungkin akan berlaku sekiranya Jalaludin masih ada lagi. Dia terbayang majlis perkahwinan Marissa, Benjamin dan anak-anak yang lain. Dia terbayang bagaimana dia dan Jalaludin melihat Marissa disandingkan dan mesra saling suap-menyuap bersama suaminya semasa makan berdamai. Dia terbayang kelahiran cucu-cucu mereka berdua dan rumah ini gamat ketika mereka semua berkumpul di hari raya dan hari cuti.

Tetapi itu semua adalah impian yang tidak mungkin akan tercapai. Jalaludin sudah tiada lagi dan rumah ini bukan milik mereka lagi. Anisah tidak dapat menahan sebak, dan air mata yang berjuraian dibiarkan tidak diseka. Dia duduk di tangga sambil pandangan dilemparkan jauh ke luar. Entah apa yang dilihat dia tidak sedar, hanya melayan perasaan hiba yang tidak kunjung surut.

“Jauh puan termenung,” tegur Pak Majid yang duduk di sebelahnya. Air mata yang bersisa diseka bersama mata yang masih hangat dan kepedihan yang masih terasa di hati. Mungkin lelaki itu tidak mahu dia terlalu melayan perasaan. Mungkin dengan perbualan ini dia akan dapat menepis memori yang menggamit rasa sempit yang mencengkam jiwanya.

Anisah cuba senyum, tetapi hambar. “Saya sedang fikirkan masa depan saya dan anak-anak.” Itulah sahaja perkataan yang mampu dilahirkan oleh Anisah dalam keadaan sebegitu.

“Tak payahlah terlalu difikirkan puan. Takut nanti mengganggu kesihatan pula. Lalukan saja dengan rasa reda. Tangani masalah yang datang satu persatu. Fikiran manusia pun ada tahap kemampuannya juga.” Nasihat Pak Majid yang jelas menunjukkan kematangannya menghadapi kehidupan. Mungkin apa yang telah dilalui dahulu menjadikan dia seorang yang hikmah dan penuh kebijaksanaan.

‘Betul kata Pak Majid. Aku tak boleh terlalu memikirkan semua ini. Banyak lagi yang perlu aku tempuh, dan aku perlu hadapi dengan jiwa yang tenang dan akal yang waras. Demi anak-anak aku.’ Bisk hati Anisah. Rasa sempit di dada sudah mula hilang dan dia sudah mula terasa lapang.

“Jauh ke lagi rumah tu Pak Majid?” Suara Marissa dari belakang. Panggilan ‘Pak Majid’ telah menjadi kebiasaan mereka sekeluarga dan gelaran itu bukannya melambangkan perbezaan umur antara mereka.

“Eh, takkan Marissa tak ingat. Hari tu kan kita dah pergi ke rumah tu. Masa kita cuci rumah tu.” Pak Majid mengingatkan Marissa.

“Nak ingat macam mana Pak Majid. Marissa kan membuta hari tu.” Usik Benjamin.

“Jaga sikit mulut kau tu Ben!” Marissa tidak boleh menerima kata-kata Benjamin.

“Dah termalulah tu!” Ejek Benjamin sambil menjelir ke arah Marissa.

Marissa segera menggenggam penumbuk untuk dilepaskan ke bahu Benjamin, tetapi rancangannya terbantut apabila Anisah bersuara.

“Marissa, Ben, kamu berdua tak habis-habis bergaduh. Tanah pusara papa masih merah lagi, kamu berdua dah berkelahi semula. Cuba tunjuk tauladan baik pada adik-adik kamu. Pada siapa lagi mama nak harapkan kalau bukan kamu berdua. Tolonglah.”

Benjamin sempat menjeling Marissa yang melemparkan pandangan tajam padanya, dan dengan segera dibalas dengan jeliran. Anisah yang melihat hanya menggeleng. Pada masa yang sama dia sempat memerhatikan wajah-wajah Umairah, Firdaus dan Suraya. Rasa hiba menguasai dirinya dengan tiba-tiba.

‘Kasihan mama tengok kamu semua. Pada usia semuda ini kamu terpaksa hidup tanpa seorang ayah untuk memandu perjalanan hidup kamu semua. Mama akan cuba sedaya upaya menggalas tugas itu selagi mama mampu.’ Bisik hati Anisah. Dengan segera pandangannya dikalih ke hadapan sebelum ada air yang tiris dari tubir matanya.

“Kebetulan rumah pusaka tu terletak tak jauh dari jalan besar, jadi mudahlah puan nak ke mana-mana dengan bas. Sekolah menengah dan sekolah rendah pun tak jauh, jadi budak-budak ni boleh jalan kaki.” Pak Majid cuba menghidupkan semula perbualan mereka selepas kerenah Marissa dan Benjamin.

“Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya dalam kepayahan kami ni ada juga perkara yang dimudahkan Tuhan.” Jawab Anisah.

“Betul tu puan. Dia tahu kemampuan kita.” Jawab Pak Majid.

“Puan dah fikir nak dapatkan kerja di mana nanti?” Tanya Pak Majid.

“Saya pun tak tahulah Pak Majid. Saya dah lama tinggalkan dunia pekerjaan ni. Entah apa kerja yang sesuai, saya pun tak tahu. Lagipun kalau saya bekerja macam mana nak jaga Suraya.” Jawab Anisah telus.

“Puan jangan bimbang. Nanti adalah jalannya tu, insya-Allah.” Pak Majid cuba menenangkan Anisah.

“Apa kata kalau mama berniaga kuih?” Dengan tiba-tiba terpacul kata-kata dari mulut Firdaus, anaknya yang pendiam. Budak itu memang selalu mengejutkan mereka dengan idea dan keletahnya.

“Ha’ah mama. Mama kan pandai buat nasi lemak. Apa kata mama jual nasi lemak. Tentu ramai orang suka.” Tambah Umairah.

‘Boleh tahan juga bergeliga otak anak-anak aku ni.’ Bisik hati Anisah.

“Saya sokong cadangan tu puan. Lagipun saya dah rasa nasi lemak puan dulu. Memang special. Nanti saya tolong carikan tapak yang sesuai untuk buat tempat berjual.” Kata-kata Pak Majid membuatkan Anisah rasa lega. Sedikit demi sedikit jalan sudah terbuka untuk dirinya dan anak-anak.

“Kalau puan ada masa nanti saya bawa ke pasar dan kedai runcit Taukeh Wong. Mungkin dia boleh benarkan puan ambil barang dulu. Bila dah dapat untung untuk dibuat modal pusingan nanti baru bayar pada dia.” Pak Majid memberi cadangan.

“Nantilah saya fikir dulu macam mana.” Jawab Anisah.

Tidak lama kemudian mereka tiba ke rumah pusaka keluarga Pak Majid.

“Puan dan anak-anak duduklah berehat dulu sementara tunggu lori sampai. Saya nak ke pekan sekejap cari barang dapur. Nanti saya tanya kawan saya untuk dapatkan perkakas buat tapak niaga puan. Saya cuba dapatkan khemah, meja dan kerusi.” Kata-kata Pak Majid.

“Menyusahkan Pak Majid saja kami ni.” Anisah rasa bersalah.

“Kan saya dah beritahu puan dulu, inilah saja cara untuk saya balas jasa arwah Encik Jalaludin. Puan anggap saja ini sebagai cara saya bayar hutang pada arwah suami puan.” Jawab Pak Majid seperti berseloroh, tetapi besar maknanya. Anisah hanya tersenyum mendengarnya.

Anisah kagum dengan Pak Majid. Semasa ada arwah, dia menjalankan tugas dengan jujur. Dia memang seorang yang setia dan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Sifat itu semakin jelas setelah kematian Jalaludin. Ini menunjukkan dia menjalankan tugas dengan ikhlas, bukan semata-mata untuk mengampu atau kerana ada kepentingan sendiri. Anisah benar-benar terharu. Dia terharu dengan keluhuran budi Pak Majid dan pertolongan yang dihulurkan dalam keadaan sebegini.

***

“Assalamualaikum.”

Kedengaran suara wanita dari anjung rumah. Anisah bergegas keluar dan dilihatnya tiga orang wanita sedang berada di pekarangan rumahnya.

“Waalaikumsalam.” Jawab Anisah.

“Minta maaflah ya kalau kami mengganggu. Kami tinggal berjiran dengan rumah ni. Saja nak jenguk siapa yang baru pindah ke sini.” Wanita yang berserkup kepala memulakan bicara. Antara mereka bertiga, dialah yang paling berusia dan mungkin juga lebih tua daripada Anisah.

“Naiklah. Tapi rumah bersepah lagi. Baru sekejap tadi lori sampai hantar barang.” Anisah mempelawa mereka bertiga.

Jauh di hati Anisah timbul kerisauan sekiranya mereka bertiga ini jenis yang suka membawa mulut. Pastinya kisah dia dan anak-anak akan dijaja di seluruh kampung. Selepas apa yang berlaku antara dia dan keluarga tirinya, Anisah terasa sukar untuk mempercayai orang yang baru dikenali. Dia bimbang jika firasatnya tersalah lagi.

“Nama akak Zaiton. Tapi orang kampung ni biasa panggil Kak Eton aje. Rumah akak sebelah rumah ni.” Wanita itu memulakan bicara.

“Yang ini Rokiah. Dia tinggal berdepan dengan akak. Orang biasa panggil dia Kiah.” Sambung wanita itu sambil merujuk kepada seorang wanita yang montel dengan wajah yang berseri setelah disolek.

“Yang ini pulak Jameah. Orang biasa panggil dia Meah. Rumah dia bersebelahan dengan rumah akak.” Zaiton bersungguh-sungguh memperkenalkan jiran-jiran Anisah.

“Saya Anisah.” Jawab Anisah ringkas. Dia tahu lambat laun dia terpaksa menceritakan dengan panjang lebar tentang dirinya.

“Dah lama rumah ni kosong. Bila tengok ada orang pindah rasa seronok pulak.” Kata Zaiton.

“Kenapa duduk rumah ni? Dah tak ada rumah lain lagi nak disewa ke?” Soalan yang terpacul dari mulut Rokiah.

“Kau ni Kiah. Cakap tu biarlah beralas sikit.” Zaiton menegur Rokiah.

“Minta maaf ya Anisah. Si Kiah ni mulut dia memang macam tu. Sebab tu dia ni dah masuk kategori andalusia. Orang takut dengan mulut dia.” Zaiton menjeling ke arah Rokiah. Dengan segera Rokiah mencebik bibir.

“Tak apalah kak. Memang saya faham benar kalau ada orang rasa pelik tengok kami macam ni. Nak buat macam mana kak. Dah memang nasib kami. Dahlah suami saya mati kemalangan sebab ada orang dengki. Harta pencarian dia habis semuanya diseleweng sampai syarikat nak tutup.” Jawab Anisah dengan telus dan selamba.

Wajah Rokiah terus berubah, seperti bersalah dengan soalannya tadi.

“Saya minta maaf Kak Anisah. Saya tak sangka sampai macam tu sekali.” Suara Rokiah.

“Hah! Itulah kau. Lain kali sebelum bercakap fikir dulu. Bukan main tembak semacam aje!” Sergah Zaiton.

“Tak kisahlah kak. Saya tak ambil hati pun. Saya sebenarnya terhutang budi dengan Pak Majid sebab beri kami tumpang di rumah ni. Kalau tak, tak tahulah apa ikhtiar saya.” Jawab Anisah.

“Kau jangan susah hati Anisah. Kalau kau ada apa-apa masalah, kau jumpa akak. Apa yang akak boleh tolong, akak tolong.” Tambah Zaiton.

“Ramai juga anak Kak Anisah. Berapa orang semuanya?” Tanya Jameah yang membisu sejak tadi.

“Lima orang. Ada seorang tu namanya Suraya. Dia menghidap down syndrome.” Suara Anisah sambil berpaling ke arah anak-anaknya yang sedang membelek barang-barang yang dibawa oleh lori tadi.

“Akak kagum dengan kau. Tabah betul kau hadapi semua ni.” Kata Zaiton.

“Mahu tak mahu saya terpaksa hadapi kak. Walau apapun terjadi saya tak boleh mengalah. Demi budak-budak ni.” Jawab Anisah. Suaranya sudah mula sebak.

“Saya ke dapur sekejap buat air.” Anisah seperti membuat alasan untuk mengelakkan dirinya daripada berderai dengan tangisan di depan tetamu yang ada.

“Eh, tak apa. Kami pun dah nak balik ni. Akak pesan satu aje. Kau kena kuatkan semangat. Kami bertiga akan cuba bantu setakat yang kami mampu.”

Kata-kata Zaiton itu sudah cukup melapangkan dada Anisah yang sempit. Selepas Pak Majid, dia ada tiga kawan baru yang sanggup berkongsi masalah dengannya.

Setelah mereka bertiga beredar, Anisah mengesat air mata yang tumpah dengan lengan baju.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku