Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 5 : Lelaki itu
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
735

Bacaan






Anisah berjalan kaki sambil menjinjing beg plastik di kiri dan kanan tangan yang penuh berisi nasi lemak. Di sebelah kanan nasi lemak ikan bilis manakala di sebelah kiri nasi lemak kerang.

Semasa rancangan awal dia ingin meminta Pak Majid menghantarkan nasi lemak ke warung Wak Leman, tetapi lelaki itu ada masalah keluarga yang perlu dibereskan. Kemudian dia merancang ingin meminta tolong Rokiah, tetapi pagi-pagi lagi wanita itu telah menghilang entah ke mana.

Harapan seterusnya disandarkan pada Zaiton.

“Akak minta maaf Anisah. Bukan tak nak tolong, tapi kereta akak dah meragam sejak semalam. Kak Eton dah minta anak buah tolong tengok apa masalahnya, tapi dia ada hal semalam. Hari ni baru dia dapat datang katanya.” Jawab Zaiton apabila Anisah meminta tolong pagi itu.

‘Apa lagi ikhtiar aku? Anak-anak dah mula sekolah semuanya. Kalau aku hantar sendiri boleh juga. Lagipun warung Wak Leman bukannya jauh sangat. Cuma tangan mungkin lenguh sikit menjinjing nasi lemak ni. Nanti aku minta tolong Kak Eton atau Meah tolong jaga Suraya.’ Anisah membuat rancangan setelah semua yang dirancang tidak berhasil pagi tadi.

‘Mujurlah Suraya nampaknya serasi dengan Kak Eton dan Meah. Sekurang-kurangnya panjang sikit langkah aku jika ada apa-apa urusan.’ Bisik hati Anisah sambil menjinjing beg. Pada awalnya agak ringan, tetapi makin lama seolah-olah muatannya bertambah dan lenguh mula terasa pada bahu dan lengan.

Beban di dadanya sudah mula surut semenjak akhir-akhir ini. Kehilangan Jalaludin akan meninggalkan lompang yang besar di hatinya. Hidupnya sudah tidak sama seperti dahulu lagi. Perjalanan yang dilalui kini adalah sesuatu yang merubah hidupnya secara menyeluruh.

Kini anak-anak adalah sumber kekuatan Anisah. Dia perlu ketepikan kepentingannya demi membesarkan mereka sama seperti anak-anak orang lain, walau apapun masalah dan beban yang terpaksa ditanggung.

Namun hakikatnya jauh di sudut hati masih ada tersimpan perasaan untuk bersama seseorang yang dapat mendengar rintihan dan keluhan hati dengan segala apa yang dia telah lalui. Buat masa ini dia ada Pak Majid, Zaiton, Rokiah dan Jameah, tetapi dia perlukan seseorang lebih daripada itu. Dia inginkan seorang lelaki yang dapat berkongsi tawa dan tangisan dalam apa jua keadaan. Di saat itu rindu pada Jalaludin mula menginap di sudut paling dalam hatinya. Tetapi tiada apa yang dapat dilakukan agar lelaki itu kembali ke dalam hidupnya.

Sejurus itu Anisah terdengar deruman motosikal dari belakangnya. Bunyi itu asalnya kuat, tetapi semakin lama semakin perlahan apabila menghampirinya. Akhirnya bunyi itu berada betul-betul di sisinya.

“Nak ke mana?” Suara lelaki yang kedengaran.

Anisah terasa gugup. Dia masih asing lagi dengan penduduk di kampung ini. Dia belum kenal hati budi ramai penduduk di sini, termasuk lelaki yang berada di sebelahnya. Rasa risau datang menjengah dalam keadaan yang lengang itu. Hanya mereka berdua yang ada di situ.

“Saya nak ke warung Wak Leman. Nak hantar nasi lemak.” Jawab Anisah. Dia cuba menyembunyikan rasa gementar yang ada.

“Mari saya tolong hantarkan. Kebetulan saya pun nak lalu ke situ juga.” Pelawa lelaki itu.

Anisah cemas. Bagaimana kalau itu sekadar helah untuk melakukan sesuatu yang buruk pada dirinya.

“Tak apalah encik. Saya boleh jalan kaki aje. Lama-lama sampailah. Lagipun bukan jauh sangat warung Wak Leman tu.” Jawab Anisah.

Anisah sempat memerhatikan lelaki itu. Rambutnya tidak pendek dan kemas, tetapi tersisir elok. Wajahnya agak cerah, tidak putih melepak dan tidak sawa matang. Misai dan jambang nipisnya kemas, walaupun tidak dicukur. Dia berbaju kemeja dan seluar yang agak lusuh, walaupun tiada kesan kotor seperti orang yang balik dari kebun.

Anisah serba salah. Menolak pelawaan lelaki ini mungkin akan menyebabkan dia dikatakan sombong. Selepas ini entah apa pula yang akan dilakukan lelaki ini sekiranya dendam sudah mula menguasai.

Sebaliknya dia sedar dia masih baru di kampung ini. Dia belum kenal lelaki ini dan dia tidak tahu niat sebenarnya. Entah apa pula tanggapan orang kampung sekiranya dia dilihat bersama lelaki itu. Tambahan pula janda seperti dirinya memang mudah dipandang serong oleh orang lain.

“Saya faham awak takut kalau saya apa-apakan awak kan? Niat saya ikhlas nak menolong. Lagipun ramai pelanggan warung yang bising kalau nasi lemak ni lambat sampai. Mari.” Suara lelaki itu sambil menghulurkan tangan untuk mencapai beg plastik berisi nasi lemak di tangan Anisah.

Hati Anisah masih berbelah bagi apabila dia menyerahkan beg plastik di tangan. Rasa bersalah teruk menghurung hatinya apabila dia membonceng motosikal sambil kedua belah kakinya di hadapkan ke satu sisi. Dia berpegang kuat pada pemegang di motosikal. Walau apapun berlaku dia tidak akan berpaut pada bahu atau pinggang lelaki ini. Dia perlu mengelakkan fitnah sedaya yang termampu.

‘Kau naik motosikal ni pun dah boleh jadi sebab fitnah.’ Rasa bersalah teruk menyelar Anisah.

Setibanya di depan warung Wak leman, Anisah turun sambil menjinjing beg plastik menuju ke warung. Lelaki yang menghantar Anisah ke warung telah pun berlalu.

‘Eh, aku terlupa tanya nama lelaki tu!’ Anisah baru sedar kesilapannya kerana terlalu risau memikirkan hal lain tadi.

Hampir sepuluh orang lelaki duduk di warung itu sambil bersarapan. Mata mereka terpaku pada Anisah seperti memerhatikan sang ratu berjalan di depan mereka selepas turun dari kayangan.

“Weeeewiiit!”

“Aduh... manisnya...”

“Hai cik adik. Boleh berkenalan?”

Antara suara-suara ‘sumbang’ yang didengar Anisah semasa di warung.

Usai berurusan dengan pelayan di kedai, Anisah meninggalkan warung dengan segera. Rasa lemas dilihat dan dilayan sebegitu menyebabkan keresahan timbul.

“Boleh saya tolong hantarkan?” Usikan atau pelawaan seorang lelaki yang ada di situ.

“Tak apa. Saya jalan kaki saja. Rumah dekat.” Dengan segera Anisah menolak pelawaan itu.

“Janganlah tolak pelawaan saya cik adik. Nanti kecil hati saya.” Usikan lelaki itu lagi.

Rasa menyesal mula datang apabila dia berhadapan situasi seperti itu.

‘Kenapalah aku mengada-ngada nak ke warung berjalan kaki? Ini bukan kampung aku.’ Bisik hati Anisah.

“Marilah saya hantarkan. Marilah...” Pujuk lelaki itu lagi menyebabkan rasa seriau di hati Anisah.

Anisah sudah berada di luar warung, tetapi lelaki itu masih tegar berada di sisi cuba memujuk untuk menghantar Anisah.

Dalam keadaan itu, lelaki yang menghantar Anisah ke warung tadi sudah pun tiba di tepi jalan dengan motosikal yang ditunggang tadi. Anisah fikirkan lelaki itu telah pun beredar. Rupa-rupanya dia kembali semula.

“Dah tak payah kau nak susah-susah hantar dia. Biar aku yang hantarkan.” Jawab lelaki itu. Lelaki yang beria-ia ingin menghantar Anisah pulang tadi masuk ke warung semula dengan rasa hampa.

“Terima kasih encik sebab tolong saya. Saya dah tak tahu nak buat apa lagi. Macam nak paksa saya pulak ikut dia.” Jawab Anisah dengan nada cemas.

“Sebab tu saya nak tolong awak tadi. Saya dah kenal lelaki kat sini. Semua macam buaya. Apatah lagi bila nampak perempuan yang cantik manis macam awak ni. Tah payah berencik-encik dengan saya. Panggil Bang Karim aje.” Jawab lelaki itu sambil tersenyum.

“Saya Anisah.”

“Anisah. Sedap nama tu. Eh, jomlah naik.” Jawab lelaki bernama Karim.

***

Anisah pulang ketika Suraya sedang lena tidur di ruang tamu sambil ditemani oleh Jameah.

Tidak lama selepas Anisah tiba, Zaiton dan Rokiah berkunjung ke rumah itu. Mungkin mereka ternampak Anisah dihantar ke rumah dengan motosikal oleh seorang lelaki.

“Terima kasihlah Meah sebab tolong jagakan Suraya. Kalau tak, tak tahulah apa lagi ikhtiar akak.” Suara Anisah sambil membawa sepiring biskut bersama air teh kosong.

“Tak apalah kak. Saya memang suka dengan budak-budak, cuba belum ada rezeki menimang cahaya mata sendiri.” Jawab Jameah.

“Kau tak suruh ke suami kau tu cari kerja lain? Kalau dah balik seminggu sekali lambatlah dapat cahaya mata sendiri.” Celah Zaiton dengan selamba.

“Ke situ pulak akak ni. Ini masalah belum ada rezeki, bukan sebab tu.” Jawab Jameah sambil mengelus rambut Suraya yang sedang tidur.

“Eleh, Kak Eton bolehlah cakap. Dia tu dah menopause.” Usik Rokiah dengan selamba.

“Amboi sedapnya mulut kau. Menopause aku pun anak ada dua orang, dah besar-besar pun. Sorang di Johor. Sorang di Sabah. Kau apa tahu? Anak sorang pun belum ada lagi!” Zaiton tersentap dengan usikan Rokiah. Seperti biasa Rokiah mencebik bibir tanda protes.

“Kiah ke mana pagi tadi? Akak nak ajak ke warung hantar nasi lemak. Terpaksa akak jalan kaki sebab tak ada orang nak tolong hantar.” Anisah cuba mengubah topik perbualan hangat mereka.

“Dia kalau hilang pagi-pagi tu, kau tak payahlah tanya. Jawapannya dia ke kedai surat khabar di bandar cari majalah K-pop berdepop dia tu.” Usik Zaiton.

‘Tak habis-habis dia orang berdua ni bertekak.’ Keluh Anisah dalam diam.

“Mestilah kak. Majalah tu dahlah mahal, tak banyak pulak tu. Kalau lambat memang melepaslah!” Jawab Rokiah selamba cuba membela diri.

“Apa hebat sangat artis Korea ni? Cuba cerita sikit, akak nak dengar.” Jameah mencelah.

“Apa hebatnya? Takkanlah Kak Meah tak perasan. Muka lelaki Korea semua handsome. Putih melepak. Bibir dia orang lawa-lawa. Kalau senyum, aduh...” Jawab Rokiah seperti dilanda angau.

“Sebab tu kau membujang sampai sekarang. Nak cari lelaki putih melepak mata kecik macam tu? Lelaki kat kampung ni semua macam bulan gerhana sebab banyak kerja kebun.” Sindir Zaiton.

“Saya minat pun tak boleh ke? Untuk pengetahuan akak, ayah saya tu yang cerewet cari menantu. Saya yang jadi mangsanya.” Rokiah melepas geram.

“Siapa yang hantar Kak Anisah tadi?” Jameah pula mengubah topik. Mungkin dia melihat dari tingkap tetapi tidak sempat melihat orangnya.

“Katanya nama dia Karim.” Jawab Anisah.

Mendengar nama itu mereka bertiga bertukar-tukar jelingan, seolah-olah ada sesuatu dengan nama itu.

“Kenapa ni Kak Eton? Ada yang tak kena ke?” Tanya Anisah.

“Akak malas cakap banyak. Cuma akak nasihatkan kau jauhkan diri daripada lelaki tak guna tu.” Jawab Zaiton.

“Cuba terang sikit kak. Saya tak fahamlah.” Anisah keliru.

“Untuk pengetahuan Kak Anisah, dia tu suka buat kacau kat kampung ni. Habis semua anak dara, bini orang, janda, semua dia goda. Dia tu licik orangnya.” Celah Rokiah.

“Yang menyakitkan hati tu, bukan dia yang dipersalahkan, tapi mangsa-mangsa dia. Seolah-olah orang lain yang menggatal dengan Si Karim. Macamlah handsome sangat muka tu.” Tambah Jameah. Daripada nada suaranya, dia juga menyimpan kemarahan terhadap lelaki itu.

“Ini semua kerja bini Si Karim dengan geng dialah. Pasal buat mulut dan bawa mulut serah aje pada dia orang tu.” Zaiton pula meluahkan perasaannya.

“Siapa bini Karim?” Tanya Anisah.

“Kau pun kenal perempuan berlagak tu. Kalau bercakap dia saja yang bagus. Kalau puji laki dia, mahu nak termuntah dibuatnya. Macamlah laki dia tu malaikat. Padahal penyengat!” Rokiah bersuara.

“Siapa dia?”

“Zaleha.” Jawab Zaiton.

“Leha Va Va Voom.” Celah Rokiah.

Sekarang baru Anisah faham. Karim dan Zaleha rupa-rupanya suami isteri.

‘Tentu ini semua ada kaitan dengan kawan dia Si Mah Letop.’ Hati Anisah membuat deduksi.

“Saya nasihatkan akak, jauhkan diri daripada dia orang tu. Kalau dah jadi buah mulut orang, memang sengsara hidup.” Tambah Jameah seperti dia pernah mengalaminya.

Anisah terdiam. Rasa menyesal mula menghurung diri, tetapi semuanya sudah berlaku.

***

“Astaghfirullahalazim. Apa dah jadi Ben?” Suara Anisah di pekarangan rumah apabila melihat keadaan anak lelakinya. Mulutnya berdarah dengan baju kotor dan tidak terurus.

“Abang bergaduh tadi kat sekolah, mama.” Jawab Umairah.

“Diamlah Umairah! Kan abang kata jangan cakap apa-apa.” Benjamin menjegilkan mata pada Umairah.

“Ceritakan lagi Umairah.” Arah Anisah. Benjamin masih menjegilkan mata menyebabkan Umairah serba salah.

“Baik kamu beritahu Umairah. Kalau tidak mama akan hukum kamu sama seperti mama hukum Abang Ben.” Ugut Anisah.

“Umairah.” Suara Benjamin seperti menyuruh budak perempuan itu berpegang pada janji mereka.

Umairah tunduk dan berdiam diri. Akhirnya dia bersuara.

“Tadi ada budak buli Firdaus kat sekolah. Lepas sekolah Umairah beritahu Abang Ben budak yang kacau Firdaus. Lepas tu abang pergi cari budak tu. Budak tu kata kami semua anak yatim. Dia kata papa mati sebab dah jelak tengok muka kami semua. Abang Ben marah, lepas tu dia orang pun bertumbuk.” Jawab Umairah telus. Benjamin menggeleng kesal.

Anisah terdiam. Sungguhpun Benjamin suka mengusik adik-adiknya, tetapi dia cukup pantang sekiranya ada orang lain yang cuba menyakiti mereka.

“Dahlah. Kamu semua tukar baju, lepas tu kita makan.” Jawab Anisah.

“Habis, mama tak hukum kami?” Soal Benjamin naif.

“Kamu nak kena hukum ke?” Soal Anisah semula. Benjamin menggeleng

Anisah hanya tersenyum sambil mengusap rambut Benjamin.

“Dah, pergi masuk.” Suara Anisah.

Anisah termenung seketika di tangga mengenangkan nasibnya sekeluarga. Manusia akan tega mengeluarkan kata-kata penghinaan kepada insan seperti mereka. Itu adalah lumrah kerana hakikatnya mulut tempayan boleh ditutup, tetapi tidak begitu dengan mulut manusia. Sama ada mahu atau tidak, mereka terpaksa menambahkan kecekalan menanggung dugaan seperti ini.

Tiba-tiba rasa risau timbul di dada Anisah apabila mengenangkan peristiwa dia menumpang motosikal Karim pagi tadi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku