Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 10 Jerangkap
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
816

Bacaan






"Dah lama datuk tunggu?" Sapa Anisah sebaik sahaja dia tiba di kafe tempat pertemuan dengan Datuk Shah. Anisah ke bandar menaiki teksi yang menjemputnya dari rumah.

"Anisah punya pasal, tunggu lama mana pun tak apa." Usik Datuk Shah.

"Pandai bergurau ya datuk ni," kata Anisah yang hanya dibalas dengan senyum meleret lelaki itu.

"Betul. Bila saya nampak Anisah tak terasa masa berjalan." Jawab lelaki itu bersungguh-sungguh.

"Apa rancangan datuk hari ni?" Anisah mengubah topik.

"Saya nak minta tolong Anisah pilihkan hadiah yang sesuai untuk anak saya. Saya pun tak pasti nak belikan apa. Tapi sebelum tu kita minum dulu. Anisah nak minum apa?" Kata Datuk Shah. Ketika itu pelayan baru sahaja tiba.

"Tak kisah, apa-apa pun boleh."

"Kapucino dua," pesan Datuk Shah kepada pelayan kafe.

"Datuk tentu lebih tahu cita rasa anak datuk. Saya cuma boleh tolong pilih yang sesuai saja." Kata Anisah sambil menunggu pesanan tiba.

"Biasanya mak dia yang pilihkan. Tapi semenjak kami berpisah, saya terpaksa ambil tahu. Lagipun bukan selalu dapat peluang dapat jumpa anak saya." Keluh lelaki itu.

"Nak buat macam mana datuk. Ada perkara yang berlaku bukan dengan kehendak kita. Dari satu segi kita senasib, datuk. Kita kehilangan teman di sisi kita, cuba datuk masih lagi ada insan itu. Saya dah kehilangan dia buat selama-lamanya. Walau apapun terjadi, kita kena besarkan anak-anak kita dengan baik, tak kira apa dugaan yang terpaksa kita harungi." Suara Anisah penuh penghayatan.

"Saya dah pernah kata dulu, dan saya tak teragak-agak untuk kata sekali lagi. Awak terlalu cantik untuk jadi perempuan pelayan kelab. Agak-agaknya siapalah yang beruntung untuk dapat wanita macam awak ni. Saya kagum." Puji Datuk Shah.

"Cukup-cukuplah tu datuk. Saya takut saya tak boleh tidur malam nanti dengan pujian datuk tu."

"Saya kata apa yang betul Anisah." Kata Datuk Shah sambil merenung Anisah tajam hingga dia jadi tidak tentu arah. Mujurlah pelayan datang bersama dua cawan kapucino untuk menyelamatkan Anisah daripada rasa kekok itu.

***

"Saya kena singgah isi minyak sekejap," kata Datuk Shah apabila kereta Mercedez keemasan itu meluncur meninggalkan kawasan parkir pusat membeli belah.

Setelah berkunjung ke beberapa buah gedung, mereka membuat keputusan untuk membelikan sebuah tablet mini Samsung untuk anak perempuan Datuk Shah yang gemarkan gajet. Sarung berwarna pastel yang agak feminin dipilih oleh Anisah untuk gadis remaja itu. Datuk Shah setuju dengan pilihan Anisah kerana memang kena dengan minat anak gadisnya.

Anisah asyik memikirkan tentang Datuk Shah semasa lelaki itu meninggalkan kereta untuk mengisi minyak. Ketika itu juga kenangan bersama arwah Jalaludin datang menyinggah tanpa disangka-sangka.

'Anisah rindu detik-detik bahagia kita dulu bang. Kasih abang tiba dalam hidup Anisah seperti embun, sekejap saja walaupun ia suci dan bening. Kalau abang ada, Anisah tak perlu lalui semua ini. Anisah terpaksa bang, demi anak-anak kita.' Anisah mengelamun sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap.

'Sebagaimana kasih yang abang curahkan pada Anisah, begitulah juga kasih Anisah pada anak-anak kita. Anisah akan jadi seperti tangkai teguh kuntuman gladioli yang akan membesarkan mereka menjadi insan yang berguna. Anisah janji bang, kasih Anisah suci seperti embun dan teguh seperti gladioli. Itu janji Anisah.'

Riiiiing!

Anisah tersentak dengan nada dering telefon yang bergema di dalam kereta Mercedez itu. Dia tidak perasan telefon Datuk Shah tercicir di kerusi pemandu semasa lelaki itu meninggalkan kereta.

Riiiiing!

Bunyi itu menjentik-jentik naluri Anisah untuk melihat siapa pemanggilnya.

Riiiiing!

Akhirnya Anisah mengintai di skrin untuk melihat. Dahinya berkerut melihat nama yang terpapar.

"Maya? Apa hal dia call Datuk Shah?" Anisah berbisik sendirian.

Bunyi itu telah terhenti tetapi Anisah masih cuba membuat deduksi.

Tidak lama kemudian Datuk Shah kembali tanpa menyedari ada panggilan yang telah masuk. Telefon itu terus dimasukkan ke dalam kocek seluarnya.

"Kita singgah makan tengah hari dulu sebelum saya hantar Anisah balik. Boleh?" Kata-kata Datuk Shah hanya dibalas dengan anggukan Anisah.

***

"Kenapa Anisah senyap saja?" Datuk Shah dapat cam perubahan pada diri Anisah.

"Tak ada apa-apalah datuk." Anisah cuma mengukir senyum dalam gelodak perasaannya.

Riiiiing!

Telefon Datuk Shah berbunyi lagi. Anisah mengamati reaksi Datuk Shah ketika memandang skrin telefon.

"Saya nak jawab telefon ni sekejap. Hal bisnes," suara lelaki itu sambil dia bangkit untuk meninggalkan meja itu.

"Saya pun nak ke bilik air sekejap." Anisah meminta diri.

Tandas perempuan berada tidak jauh dari tempat Datuk Shah berbual di telefon. Anisah menggunakan peluang itu untuk mencuri dengar perbualan.

"Baguslah idea you Maya .... Hehe, I memang tahu rancangan you semua mesti jadi punya .... Sekarang dah masuk fasa kedua. Lepas ni makan besarlah I .... Itu pasti, you mesti dapat habuan you macam biasa .... Okey, bye."

'Apa deal Maya dengan Datuk Shah ni? Adakah aku yang jadi bahan perbualan mereka berdua?' Rasa cuak mula singgah di hati Anisah.

***

Anisah cuba menyembunyikan rasa curiga yang mula bersarang. Dia berlagak tenang semasa menjamah hidangan tengah hari. Tetapi dia tidak seramah seperti sebelum ini dan senyuman yang diukirkan juga tawar dan hambar. Dia bertekad ingin memerhati sejauh mana lakonan drama Datuk Shah, sekiranya ini semua adalah rancangannya bersama Maya.

"Apa kata lepas ni saya bawa Anisah pergi bersiar-siar. Saya betul-betul ingin kenal Anisah dengan lebih mendalam." Suara Datuk Shah selepas selesai makan tengah mereka.

"Kita nak ke mana datuk?"

"Ke mana-mana saja. Mungkin ke taman, tepi tasik, atau kalau Anisah tak keberatan ke rumah saya pun boleh."

"Jadi inilah rancangan datuk dan Maya ya?" Kata-kata Anisah membuatkan air muka Datuk Shah berubah.

"Err... apa Anisah cakap ni? Saya tak faham?"

"Dah, tak payah berlakonlah datuk. Saya tahu Maya ada call datuk masa dalam kereta tadi. Saya pun dengar perbualan datuk dengan dia tadi."

"Eh, itu tentang hal lain Anisah. Janganlah macam ni sayang."

"Sayang? Sejak bila datuk mula panggil saya sayang ni?"

"Eh, err... janganlah macam ni Anisah. Saya ..."

"Dahlah datuk. Tak payah berlakon lagi. Saya tak sangka datuk sanggup gunakan nama anak datuk semata-mata untuk ajak saya keluar."

"Saya memang ikhlas nak ajak Anisah keluar."

"Saya dah tak tahu sama ada datuk bercakap benar atau tidak. Saya minta diri dulu. Tak payah datuk hantar saya. Saya boleh balik sendiri naik teksi."

"Jangan buat saya macam ni Anisah. Saya tahu saya dah buat awak rasa curiga. Tapi sebenarnya saya memang ingin jadikan awak teman saya. Saya ikhlas."

"Saya minta diri datuk."

"Anisah. Saya minta maaf. Sekurang-kurangnya awak berilah saya peluang untuk hantar awak balik. Saya akan terangkan apa yang dirancang oleh Maya semasa perjalanan. Please Anisah, saya merayu..."

Anisah serba salah. Akhirnya dia setuju dihantar pulang oleh Datuk Shah.

***

Datuk Shah memberhentikan kereta di kawasan yang lengang dan sunyi.

"Saya akan ceritakan apa yang Maya dah lakukan pada pelayan-pelayan kelab Nirvana sebelum ni. Rancangan yang sama dah dirancang untuk awak juga." Kata-kata Datuk Shah setelah dia mematikan enjin kereta. Anisah sudah tidak sabar mendengar taktik yang dirancang oleh Maya selama ini.

Anisah menunggu Datuk Shah memulakan cerita, tetapi lelaki itu galak memerhatikan suasana di sekeliling kawasan itu dengan gaya yang amat mencurigakan.

"Ceritalah cepat datuk." Anisah sudah hilang sabar.

"Ceritanya macam ni..." Kata Datuk Shah memulakan cerita.

Ketika itu tangan jantannya yang kasar menangkap tangan Anisah.

"Apa ni datuk?" Anisah kaget.

"Buat apa saya ceritakan kalau saya boleh tunjukkan pada awak," kata-kata lelaki itu dengan suara yang dalam.

Anisah dapat rasakan gejolak nafsu lelaki itu yang tergambar pada matanya yang tajam merenung wajah dan tubuh Anisah.

"Saya bukan perempuan macam yang datuk sangkakan." Anisah cuba mengelak.

"Saya memang sukakan awak, bukan macam pelayan-pelayan kelab yang pernah saya sentuh. Kenapa awak nak susah-susah cari rezeki untuk anak-anak awak? Kalau awak ikut kemahuan saya, saya akan beri apa-apa yang awak nak. Rumah? Kereta? Modal niaga? Semua saya boleh beri." Suara Datuk Shah berbisik di telinga Anisah. Dia begitu rapat sehingga hidung menyentuh rambut Anisah dan menghidunya penuh ghairah.

"Saya tak akan gadaikan maruah saya semata-mata untuk itu semua datuk. Biarlah saya bersusah payah, asalkan ia halal."

"Tak payahlah kau nak bangga sangat pasal maruah kau tu. Kalau dah sanggup jadi pelayan kelab memanglah jenis perempuan murahan."

Kata-kata hinaan Datuk Shah membangkitkan kemarahan Anisah hingga timbul keberanian Anisah untuk membalas. Dengan tidak memikirkan apa-apa lagi, beg tangan digunakan untuk menghentak kepala lelaki itu bertalu-talu dengan segala kudrat yang ada.

Kesakitan menyebabkan Datuk Shah melepaskan Anisah dan memegang kepalanya. Peluang itu digunakan Anisah untuk membuka pintu dan terus keluar. Dalam keadaan lutut yang lemah dia cuma mengatur langkah dengan laju meninggalkan kereta.

Baru beberapa meter dia lari, kereta Mercedez berwarna keemasan sudah berada di sebelahnya. Datuk Shah keluar dan menggenggam erat lengan Anisah hingga terasa pedih. Dia menarik Anisah ke kereta tanpa rasa belas.

"Tolong!" Anisah mengumpul suara dan melepaskannya dengan kuat semampu yang mungkin dalam keadaan yang membuatkan dia menggigil dingin.

"Tolooo..." Suara Anisah sebelum mulutnya ditekup oleh Datuk Shah.

"Diam! Kalau kau tak mahu anak-anak kau jadi yatim piatu!" Ugut lelaki itu tanpa rasa simpati.

Anisah sudah masuk semula ke dalam kereta. Belum sempat pintu ditutup, kedengaran suara tidak jauh dari situ.

"Hoi! Buat apa tu hah?!" Suara lelaki yang sedang menunggang motosikal. Dengan pantas dia berhenti dan menuju ke arah mereka berdua.

"Kau jangan sibuk! Ini urusan aku!" Sergah Datuk Shah.

"Lepaskan perempuan tu. Kalau tak aku laporkan pada polis." Ugut lelaki yang baru tiba.

Tanpa membuang masa Datuk Shah cuba melepaskan penumbuk, tetapi dielak. Mereka bergelut buat seketika sebelum Datuk Shah dibelasah bertalu-talu. Anisah menggunakan peluang itu untuk lari dan berselindung di balik sebatang pokok.

Datuk Shah teruk dibelasah hingga dia membuat keputusan untuk lari meninggalkan tempat itu. Kereta Mercedez berwarna keemasan dipecut laju meninggalkan lelaki bermotor.

"Cik tak apa-apa?" Tanya lelaki yang masih memakai helmet.

Anisah tidak mampu bersuara. Dia hanya mampu mengangguk dengan tubuh yang masih dingin dan menggigil.

***

Anisah dapat rasa tubuhnya sudah mula hangat dan mula tenang selepas menyisip kopi panas di warong. Lelaki yang menyelamatkannya juga duduk bersama, tetapi dia tidak memerhatikan Anisah. Bukan seperti kebanyakan lelaki yang Anisah jumpa. Mereka tidak melepaskan peluang untuk memerhatikan kecantikan wajah dan tubuh Anisah tanpa segan silu.

"Terima kasih encik... sebab selamatkan saya." Suara Anisah selepas semangatnya sudah mula pulih. Ketika itu baru lelaki itu memerhatikannya.

"Itu tanggung jawab saya. Cik dalam kesusahan, saya kena tolong." Jawab lelaki itu.

"Saya Anisah." Anisah memperkenalkan diri.

"Saya Hairi. Kebetulan saya balik dari sekolah tadi."

"Cikgu?" Tanya Anisah

"Ya."

"Cikgu ajar subjek apa?" Anisah sudah mula mesra selepas berbual dengan lelaki itu.

"Pendidikan Islam."

"Oh, ustaz ya?" Kata-kata Anisah dibalas dengan anggukan.

"Kenapa dengan lelaki tadi tu?" Tanya Ustaz Hairi.

"Salah saya. tersilap langkah. Senang sangat percaya dengan orang." Jawab Anisah.

"Cik Anisah kerja di mana?"

"Pelayan kelab malam." Jawab Anisah telus walaupun ada rasa serba salah menjawab seperti itu di hadapan lelaki semulia Ustaz Hairi.

"Maafkan saya. Saya bukan nak adili Cik Anisah berdasarkan kerjaya cik. Tapi... Cik Anisah tak terfikir nak cari kerja lain? Maksud saya..." Kata-kata Ustaz Hairi penuh hikmah dan beralas.

"Saya faham. Memang itu tanggapan biasa pada perempuan macam saya. Ini semua bukan pilihan saya. Saya dah pernah cuba cari rezeki dengan berniaga nasi lemak, tapi macam-macam kata dilemparkan pada janda macam saya. Ada yang tergamak tuduh saya yang bunuh suami saya sendiri. Ustaz Hairi boleh bayangkan macam mana perasaan saya?"

Lelaki itu hanya mendiamkan diri dengan soalan Anisah. Agak lama baru dia mula bersuara.

"Tuhan beri kita mulut, tapi ada juga manusia yang lupa mulut ni bukannya boleh digunakan sesuka hati. Sampai masa semua akan dipertimbangkan baik dan buruk yang dilakukan dengannya. Begitu juga diri kita ni. Perjalanan hidup kita adalah dugaan dalam cara yang berlainan. mengikut keadaan masing-masing." Kata-kata Ustaz Hairi penuh nasihat.

Entah kenapa Anisah dapat rasakan kesan dalam hatinya dengan kata-kata itu. Sudah lama dia tidak mendengar kata-kata yang mampu memberikannya semangat untuk menjalani hidup yang penuh ranjau ini.

"Tuhan tak berikan kesusahan dalam hidup kita dengan sia-sia. Jika betul perjalanan hidup yang kita pilih, semua itu akan menghasilkan kejayaan. Kalau bukan di sini, dalam hidup yang satu lagi."

Rasa syahdu mula memenuhi ruang dada Anisah. Mahu rasanya dia menitiskan air mata dengan perasaan yang hadir, tetapi dia cuba menahan emosi yang berubah secara mendadak.

"Terima kasih ustaz. Kata-kata ustaz sangat berharga bagi saya."

"Sama-sama. Cik Anisah nak saya hantar balik ke rumah?"

"Tak apa. Saya rasa saya boleh balik sendiri naik teksi."

Dalam perjalanan pulang Anisah masih dihantui peristiwa yang baru berlaku. Dan dengan tidak semena-mena wajah Ustaz Hairi asyik terbayang di matanya. Setiap kali wajah itu hadir, ada rasa nyaman yang memenuhi dadanya.

Anisah tersenyum.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku