Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 12 : Keputusan
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
809

Bacaan






Pagi-pagi lagi Anisah sudah menyapu laman. Semenjak dia mula bekerja pada waktu malam, keadaan rumah tidak berapa terurus. Daun-daun kering sudah mula berselerak di tanah. Begitu juga dengan keadaan anak-anaknya di sekolah.

'Bukan mudah untuk aku hadapi semua ni bersendirian. Mana nak fikir cari sumber pendapatan, nak fikir anak-anak aku lagi. Kalaulah...' Minda Anisah menerawang semasa dia sedang menyapu sampah. Lekas-lekas ditepis apabila perasaan itu muncul lagi.

'Kenapa aku masih lagi terlalu mengharap kehadiran seorang lelaki di sisi? Semua adalah dugaan supaya aku tabah menjalani kehidupan. Aku tidak boleh terlalu mengharapkan perkara yang belum tentu akan jadi kenyataan. Mungkin hingga akhir hayat aku ia tak akan jadi kenyataan.' Anisah cuba mengentalkan semangat yang mula rapuh.

"Rajin Kak Anisah menyapu pagi-pagi ni," suara Rokiah menegur dari tepi jalan.

"Inilah dia penangan kalau semua akak nak ambil tahu, Kiah. Bila dah sibuk bekerja malam, tak sempat nak capai semua." Jawab Anisah sambil terus mengumpulkan daun-daun kering yang bertaburan.

"Sebut pasal kerja, akak tak kerja ke malam tadi?" Tanya Rokiah.

"Mana kau tahu akak tak kerja?" Usik Anisah.

"Yalah, biasanya masa ni kan akak berehat." Jawab Rokiah tersipu-sipu. Mungkin dia tersedar lagaknya seperti seorang yang busy body.

"Memang akak tak kerja pun. Dah berhenti." Jawab Anisah selamba.

"Dah berhenti? Kenapa kak?" Suara Rokiah terkejut.

"Ada hal sikit. Lagipun susah juga kerja malam ni. Waktu siang nak kejar semua, sampai tak cukup masa nak rehat. Kau tengoklah laman ni. Kalau akak tak sapu, alamatnya bertimbunlah daun-daun ni." Dalih Anisah.

"Betul jugak tu." Jawab Rokiah.

Anisah baru sahaja hendak mula menyapu semula apabila Rokiah menyambung perbualan mereka.

""Eh, Kak Anisah. Semalam saya ke bandar. Saya dengar ada gosip baru pasal akak." Kata-kata Rokiah membuatkan jantung Anisah terhenti berdegup buat seketika.

'Alamak! Orang dah tahu ke aku kerja di kelab malam?!' Hati Anisah tersedik.

"Ada orang nampak ada lelaki hantar akak naik kereta Proton Wira putih. Betul ke kak?" Gaya Rokiah seperti baru sahaja mendengar gosip panas.

"Memang ada. Tapi sampai jalan besar tu aje. Dia cikgu sekolah. Bukan ada apa-apa pun." Jawab Anisah. Dia rasa lega kerana rahsia dia bekerja di kelab masih belum pecah.

"Akak kenal dia ke?" Soalan Rokiah membuatkan Anisah rasa tidak keruan.

"Akak pergi sekolah sebab nak bincang hal Ben di sekolah. Masa balik tu ada orang nampak akak berjalan kaki sorang-sorang. Agaknya sebab dia kesian, itu yang dia tumpangkan." Helah Anisah.

"Oh..." Jawab Rokiah. Anisah terus menyapu dengan harapan Rokiah tidak membangkitkan hal itu lagi.

'Jangan-jangan Si Kiah ni dah syak apa-apa? Tak adalah... perasaan aku aje.' Anisah cuba menyedapkan hati.

"Okeylah kak. Saya pergi dulu. Nak cari majalah K-pop saya." Kata Rokiah sebelum mengangkat kaki untuk beredar.

"Kau ni Kiah. Tak habis-habis dengan demam K-pop kau tu."

"Hehe. Biasalah kak."

Anisah hanya menggeleng sambil melihat gadis gebu itu beredar dengan skuter.

Anisah mula menyapu semula. Selang beberapa minit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Nombor yang belum pernah dilihat terpapar di skrin.

"Assalamualaikum Cik Anisah," suara lelaki yang amat dikenali oleh Anisah.

"Waalaikumsalam. Ustaz Hairi ya?" Anisah ingin memastikan.

"Ya saya."

"Macam mana ustaz dapat nombor telefon saya?"

"Kan saya dah kata Cikgu Zain tu kawan saya. Dia yang bagi nombor ni. Tapi lama juga saya pujuk baru dia bagi. Nanti orang kata dia tak profesional pulak."

"Ada apa hal penting Ustaz Hairi telefon saya?"

"Tak ada apa. Cuma... err... saya ingat saya nak jumpa Cik Anisah petang nanti lepas sekolah. Boleh?"

Anisah serba salah. Semalam lelaki itu sanggup patah balik semata-mata untuk menghantar Anisah pulang. Hari ini dia mengajak Anisah keluar pula.

"Bolehlah. Tapi sekejap saja sebab saya ada perkara nak uruskan di rumah." Anisah berdalih walaupun tiada apa urusan yang penting petang itu.

"Okey. Cik Anisah jumpa saya di warung tempat kita minum dulu, pukul tiga petang ni. Jumpa di sana ya?"

"Okey. Assalamualaikum ustaz."

"Waalaikumsalam." Suara Ustaz Hairi mengakhiri perbualan mereka.

'Apa cerita Ustaz Hairi ni? Beria-ia nak jumpa aku.' Hati Anisah berbisik dalam keliru.

***

Petang itu Anisah tiba di tempat pertemuan yang dijanjikan bersama Ustaz Hairi.

Sedang dia asyik mengelamun, satu suara menyentaknya dari belakang. "Dah lama tunggu?"

"Eh, ustaz. Buat saya terkejut aje." Kata-kata Anisah sambil mengurut dada.

"Saya minta maaf Cik Anisah. Sebenarnya saya nak ajak Cik Anisah ke restoran di depan tu. Ada hal yang saya nak bincangkan. Tak sedaplah kalau bincang di sini."

Anisah akur.

"Nampak macam ada hal penting yang ustaz nak bincangkan ni." Usik Anisah setelah mereka sudah memilih tempat duduk di restoran.

"Bukan apa, saya saja nak ambil peluang untuk kenal Cik Anisah dengan lebih dekat."

"Kalau ustaz nak kenal saya dengan lebih dekat, mula-mula sekali jangan panggil saya Cik Anisah. Panggil saya..."

"Puan Anisah?" Ustaz Hairi berseloroh sambil senyum menampakkan barisan giginya yang putih berseri.

Anisah tersipu-sipu. "Bukan, Anisah saja cukup."

Sejurus itu pelayan restoran tiba dan mengambil pesanan.

"Ustaz ni beria-ia nak tahu tentang diri saya, sedangkan saya langsung tak tahu apa-apa tentang diri ustaz." Kata Anisah setelah pelayan beredar.

"Kalau Anisah nak tahu tentang diri saya, mula-mula sekali jangan panggil saya ustaz, panggil saya Hairi saja." Kata-kata lelaki itu seperti memulangkan paku buah keras membuatkan Anisah tersenyum.

"Seperti yang Anisah dah tahu, saya mengajar di sekolah yang ada di bandar ni. Saya dah berumahtangga tapi belum ada cahaya mata lagi. Saya..."

"Isteri Hairi tak marah ke kita jumpa macam ni?" Anisah mencantas kata-kata Ustaz Hairi.

"Dia dah tahu."

"Dah tahu? Apa kata dia?"

"Memang saya akan ceritakan pada Anisah nanti. Tapi sebelum tu saya harap Anisah dapat dengar penerangan saya dulu."

Anisah mendengar kata-kata yang dilafazkan lelaki bernama Ustaz Hairi itu dengan teliti.

"Terus terang saya katakan saya mula terpikat dengan Anisah masa kita mula-mula jumpa dulu. Tapi masa tu saya cuba tepis perasaan ni sebab saya tahu ini semua godaan syaitan sebab Anisah memang seorang yang cantik dan pakaian Anisah masa tu pun..." Kata-kata Ustaz Hairi menyebabkan Anisah tunduk membisu.

"Setelah saya pulang ke rumah, saya masih teringat-ingat pada Anisah. Saya jadi resah malam tu, tak boleh tidur. Akhirnya saya bangun dan solat hajat dua rakaat. Saya minta pada Tuhan supaya buangkan perasaan ini atau tunjukkan jalan yang terbaik untuk saya. Esoknya saya ada urusan yang perlu diselesaikan di sekolah berhampiran kampung Anisah tinggal. Saya langsung tak sangka akan dapat jumpa Anisah lagi. Ketika itu saya teringat permintaan saya pada Tuhan."

"Jadi apa kaitannya dengan semua ini?" Anisah masih belum dapat menangkap maksud di sebalik cerita Ustaz Hairi.

"Bila saya dapat tahu Cikgu Zain tahu tentang keluarga Anisah, saya terus jumpa dia. Saya tanya latar belakang keluarga Anisah. Mula-mula dia berat nak beritahu sebab maklumat ni bukan boleh diberi sembarangan. Tapi bila dia lihat saya bersungguh-sungguh nak tahu, akhirnya dia beritahu juga."

Ketika itu pesanan mereka dihantar oleh pelayan.

"Saya tahu Anisah terpaksa hidup susah selepas kematian arwah suami Anisah dan terpaksa menanggung lima orang anak termasuk seorang anak down syndrome. Ini semua gara-gara manusia tak berhati perut yang sanggup memusnahkan hidup orang lain. Dengan belas ihsan seorang pekerja yang berhati mulia, Anisah dapat menumpang di rumah pusaka peninggalan keluarganya."

Anisah terasa sebak apabila kisah silamnya diungkit semula.

"Setelah saya tahu latar belakang hidup Anisah, saya mula sedar kenapa kita diketemukan." Kata-kata Ustaz Hairi menyebabkan Anisah memandang tepat ke wajah lelaki itu.

"Saya yakin pertemuan kita ni memang termaktub dalam perancangan Tuhan. Saya mula sedar saya diberi peluang ini untuk mengambil tanggungjawab yang besar. Walaupun pada mulanya saya sangka saya tertarik pada Anisah kerana kecantikan, kini saya sedar ada sebab yang lebih besar lagi."

"Tapi ustaz kan dah berkahwin?"

"Lama juga saya memikirkan tentang Anisah dan anak-anak selepas saya berjumpa dengan Cikgu Zain. Kemudian saya nyatakan hasrat ini pada isteri saya, Farizah. Nampaknya dia tak membantah. Saya inginkan kepastian bahawa tindakan saya ini benar-benar tulus dan bukan berpandukan nafsu. Atas sebab itu saya buat solat istikharah malam tadi. Dan pagi tadi hati saya digerakkan untuk berjumpa dengan Anisah."

"Tapi anak saya ramai Hairi. Saya tak nak menyusahkan Hairi suami isteri."

"Saya tak dapat janjikan kehidupan yang mewah kepada Anisah dan anak-anak. Tapi saya boleh berjanji yang kita akan hadapi segalanya bersama-sama selagi masih ada hayat Hairi. Susah senang kita hadapi bersama-sama, sebagai satu keluarga."

"Hairi tak rasa semua ni agak terburu-buru? Lagipun kita kan baru kenal?" Anisah cuba berdalih.

"Kemampuan kita berfikir memang terhad. Dalam banyak perkara kita kena minta pertolongan daripada Dia. Dia Maha Mengetahui segala-galanya. Atas sebab itulah..." kata-kata Ustaz Hairi sambil mengeluarkan kotak baldu berwarna merah dari dalam koceknya. Kotak itu dibuka dan diletakkan di atas meja berhadapan dengan Anisah.

Anisah tergamam melihat kilauan permata pada cincin di atas meja.

"Saya..." Anisah sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi selain perkataan itu.

"Saya faham. Saya tak paksa Anisah buat keputusan sekarang. Cuma saya minta Anisah simpan cincin ni. Bila dah buat keputusan nanti, kita jumpa lagi. Kalau Anisah nak pulangkan cincin ini pun saya akan terima dengan hati yang terbuka. Mungkin bukan ditakdirkan jodoh kita."

Anisah langsung tidak menduga perjalanan hidupnya akan membawanya kepada situasi sebegitu.

***

Anisah duduk di pangkin bersama Zaiton, Rokiah dan Jameah. Matahari sudah mula menghampiri kaki langit sebagai isyarat mengundur diri pada hari itu.

"Dah lama kita tak duduk macam ni kan? Yalah, semenjak Kak Anisah mula kerja malam." Kata Jameah sambil mereka bersantai.

Anisah berdiam diri. Fikirannya kusut memikirkan keputusan besar yang perlu dibuat dalam hidup ketika ini.

"Dah jangan dirisaukan sangat Anisah. Nanti adalah peluang kerja lain. Sekurang-kurangnya kau dah ada pengalaman bekerja walaupun sekejap." Zaiton cuba menyedapkan hati Anisah, walaupun sangkaannya jauh tersasar. Bukan perkara itu yang merisaukan Anisah.

"Susah-susah kita buat ajelah bisnes kak." Rokiah mencelah.

"Ish kau ni. Nak bagi cadangan tu agak-agaklah." Jawab Zaiton.

"Itulah Kak Eton, tak ada wawasan. Zaman sekarang ni macam-macam bisnes kita boleh buat dari rumah. Bisnes online boleh. Perusahan kecil-kecilan pun boleh. Sama ada kita nak atau tak aje." Rokiah berhujah.

"Kalau kau terror sangat, cuba kau bagi idea sikit." Cabar Zaiton.

"Kalau untuk kita berempat, kita boleh buat niaga kerepek. Kita mula sikit-sikit, lepas tu kita boleh kembangkan kepada niaga kuih raya. Kuih tat ke, Mama Carries ke, kek lapis Sarawak ke..."

"Amboi-amboi jauhnya wawasan kau ya? Termampu ke kita semua ni? Nak jual kat mana?" Zaiton mencantas kata-kata Rokiah.

"Bahagian pemasaran serahkan pada saya, saya memang..." Rokiah bersuara penuh semangat.

"Shhh.. Kau jangan cakap kuat-kuat Kiah. Nanti minah bertiga tu dengar karang habis dihebohkan satu kampung." Suara Jameah sambil memuncungkan bibir ke arah tiga orang wanita yang sedang berlenggang di tepi jalan. Melihat mereka sedang asyik berbual di pangkin, wanita bertiga itu pun singgah.

"Wah, wah! Bukan main hebat bercerita pasal bisnes ya? Yalah dengar cerita ada orang tu dah ada orang sponsor. Dah ada sugar daddy!" Sindir Zaleha.

"Apa kau merepek ni Leha? Datang dahlah tak bagi salam. Menyampuk tak tentu pasal." Tegur Zaiton.

"Bukan merepek. Ini cerita betul. Tak dapat orang kaya, dapat yang naik kereta Proton Wira putih pun jadilah. Dah terdesak...." Sindiran tajam Zaleha. Mahu rasanya Anisah bangun dan menampar muka perempuan itu, tetapi dia masih mampu menahan sabar.

"Kak Leha ni tak habis-habis bawak mulut pasal Kak Anisah kan? Kenapa? Kak Leha jealous ya tengok dia lagi lawa daripada Kak Leha? Yalah jalan Kak Leha pun macam model tak habis belajar." Sindir Rokiah.

"Sekurang-kurangnya aku ada potongan. Bukan macam kau! Jomlah, buang masa aje kita layan orang macam ni." Kata-kata Zaleha sebelum dia berlalu meninggalkan pekarangan rumah Anisah bersama Normah dan Kalsom.

"Pergilah! Kami tak ajak pun!" Rokiah cuba memprovokasi lagi.

"Sabarlah Kak Anisah," Jameah cuba menyedapkan hati Anisah sambil mengusap bahunya.

***

Malam itu selepas makan malam, Anisah duduk di sofa sambil memerhatikan anak-anaknya sibuk menyiapkan kerja sekolah masing-masing. Suraya duduk di sampingnya.

"Mama ada perkara sikit nak bincang dengan kamu semua." Suara Anisah menyebabkan anak-anaknya menoleh.

"Apa pendapat kamu semua kalau ada yang menggantikan tempat arwah papa?"

"Mama nak kawin lagi ke?" Tanya Marissa tanpa berselindung.

"Tak adalah... mama cuma tanya pendapat kamu saja." Anisah berdalih.

"Umairah suka."

"Firdaus pun." Jawab budak berdua yang memang banyak persamaan dalam keputusan mereka. Seperti kembar tidak seiras yang berlainan tarikh lahir mereka.

"Ben tak suka." Jawab Benjamin tegas.

"Kenapa Ben tak suka?" Tanya Anisah.

"Kalau dia tak suka dengan kami semua macam mana? Habis kami kena dera nanti."

"Betul jugak kan?" Firdaus menyampuk.

"Yang itu kamu jangan risau. Mama akan pastikan dia tak buat macam tu." Jawab Anisah.

"Mama ni macam dah ada calon aje." Tebak Marissa.

"Eh, mana ada. Mama cakap aje. Takkan tak boleh?"

"Ya ni. Marissa tengok muka mama macam berseri-seri." Usik Marissa.

Anisah tersipu-sipu. Rupa-rupanya budak-budak ini tidak senaif yang disangka.

"Betul ke kata Kak Marissa tu mama?" Umairah menyampuk.

Anisah mengangguk. "Sebab tu mama tanya kamu semua dulu. Mama tak mahu buat keputusan tanpa berbincang dengan kamu."

"Kami tak kisah. Asalkan dia ambil berat pasal kami semua. Bukan jenis yang mendera macam kata Ben. Semuanya terpulang pada mama. Mama buatlah apa yang baik." Jawab Marissa penuh kematangan.

"Yeh! Yeh! Ada papa baru!" Sorak Umairah dan Firdaus dengan naif serentak sebelum Marissa menyuruh mereka diam. Benjamin hanya mendiamkan diri.

"Ben macam mana?" Tanya Anisah.

"Terpulanglah pada mama," jawabnya lesu. Bukan seperti Benjamin yang biasanya penuh bersemangat.

Anisah melemparkan pandangan ke langit malam. Bintang bertaburan dengan kerlipan yang memukau. Kegelapan langit umpama fikiran Anisah yang masih kabur dalam membuat keputusan. Dia masih mencari sinar yang akan membantunya membuat keputusan. Ia bukan berkaitan dirinya sendiri, tetapi anak-anak juga. Kesilapan yang dibuat mungkin akan menyebabkan kecelakaan menimpa mereka berlima juga.

'Apa harus Anisah buat bang?' Bisik hati Anisah sambil matanya asyik memerhatikan kerlipan bintang malam.

***

Ustaz Hairi sudah pun berada di restoran ketika Anisah tiba. Wajahnya kelihatan seperti seseorang yang sedang menunggu keputusan hakim dijatuhkan di mahkamah. Keresahan jelas terbayang di wajah lelaki itu.

Anisah duduk, cuba menunjukkan sisi yang tenang walaupun jiwanya bergelora dengan keputusan yang telah dibuat. Dia mengeluarkan kotak kecil berbaldu merah dan meletakkan di atas meja.

"Anisah minta maaf Hairi." Kata Anisah sambil melihat wajah Ustaz Hairi yang penuh rasa kecewa.

"Tak mengapa. Mungkin bukan jodoh kita berdua." Kata lelaki itu sambil mencapai kotak.

"Bukalah kotak tu." Kata-kata Anisah membuatkan dahi Ustaz Hairi berkerut. Dengan berdebar-debar dia membuka kotak itu. Isinya kosong.

"Kosong?" Katanya. Ketika itu dia melihat Anisah mengelus rambutnya di telinga. Sebentuk cincin menghiasi jari Anisah. Cincin permata yang dihadiahkan. Anisah tersenyum nakal.

"Jadi... maksudnya... Anisah terima?" Ustaz Hairi masih keliru. Dia baru tersedar gaya Anisah yang agak pelik semasa masuk ke restoran. Rupa-rupanya dia cuba menyembunyikan cincin yang sudah pun tersarung di jari.

Anisah mengangguk.

"Alhamdulillah," suara Ustaz Hairi. Dia juga tersenyum. Senyuman itu jelas menampakkan barisan gigi yang putih berseri.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku