Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 14 Madu
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
812

Bacaan






"Ben, bacakan doa makan." Suara Ustaz Hairi yang diapit oleh Anisah dan Farizah.

Tanpa membantah Benjamin menadah tangan sambil mulutnya kumat-kamit membaca doa itu. Ahli keluarga yang lain turut menadah tangan. Usai membaca doa mereka mula menjamah juadah yang terhidang. Lauk ayam masak lemak cili api, sayur kangkung goreng dan sambal belacan menjadi santapan mereka sekeluarga termasuk hirisan buah-buahan.

"Makan buah dulu. Sunnah nabi makan buah dulu sebelum makan." Pesan Ustaz Hairi. Setelah menjamah buah-buahan, mereka mula makan nasi dengan lauk-lauk yang terhidang.

"Sedap masakan Kak Anisah ni kan bang?" puji Farizah.

"Memang sedap. Masakan Farizah pun sedap juga." Pujian Ustaz Hairi membuatkan Farizah tersenyum.

Anisah memerhatikan anak-anaknya yang sedang duduk bersila dan bertimpuh mengadap makanan yang terhidang. Rasa terharu memenuhi dadanya. Langsung tidak dia jangka keadaan keluarganya boleh berubah dalam sekelip mata.

"Abang dah uruskan bas sekolah. Mulai esok dah boleh naik bas ke sekolah." Ustaz Hairi memberitahu Anisah.

"Marissa boleh naik sekali sebab sekolah menengah dengan sekolah rendah tak jauh sangat. Cikgu Zain nasihatkan tak payah pindah sekolah dulu. Cuma nanti kena siap awal sikit. Kalau dulu boleh jalan kaki ke sekolah. Tapi sekarang bas kena ambil ramai budak-budak lain." Katanya sambil memandang ke arah Marissa dan adik-adiknya. Marissa hanya mengangguk. Adik-adiknya mengadap makanan dengan penuh selera.

Anisah hairan melihat Farizah yang begitu tenang menghadapi perubahan dalam hidupnya bersama Ustaz Hairi.

'Aku belum pernah tengok perempuan yang begitu tenang. Dia tak pernah menunjukkan rasa benci atau cemburu terhadap aku dan anak-anak, termasuk Suraya. Memang hebat perempuan seperti Farizah ni.' Hati Anisah berbicara sambil dia menyuap makanan.

"Anisah ada lesen memandu?" Tanya Ustaz Hairi.

"Ada. Tapi dah lama tak memandu." Jawab Anisah.

"Ada masa boleh praktis dengan Farizah. Dia memang cekap memandu." Puji Ustaz Hairi.

"Boleh. Nanti siang saya ajar." Jawab Farizah ringkas.

"Oh, ada satu hal lagi. Terlupa abang nak beritahu. Mulai lusa abang akan ke Johor Bahru. Ada seminar."

"Berapa lama abang di sana?" Tanya Farizah.

"Tiga hari. Selama abang tak ada ni janganlah rindu abang pulak ya?" Usik Ustaz Hairi.

"Rindu memanglah rindu. Tapi rindu Kak Anisah mesti lagi teruk. Pengantin barulah katakan." Farizah mengambil peluang mengusik Anisah. Anisah tidak mampu berkata apa-apa. Dia tersipu-sipu dan cuba menyembunyi rasa segan dengan senyuman.

Usai makan malam, Marissa dan adik-adiknya menolong mengemas saprah dan menghantar pinggan mangkuk ke dapur. Anisah dan Farizah membasuh pinggan di sinki sambil berbual. Ustaz Hairi sedang melayan kerenah Suraya di ruang tamu.

"Akak betul-betul berterima kasih dengan Farizah sebab terima akak sekeluarga."

"Tak ada masalah kak. Dah memang jodoh akak dengan suami saya."

"Itu betul. Tapi Farizah ada hak bersuara kalau tak mampu. Yalah, bukan mudah hidup bermadu ni." Anisah menyuarakan pendapatnya. Dia cuba menguji untuk mengetahui tahap perasaan Farizah yang sebenar.

"Saya tahu. Saya yang beritahu kesediaan saya untuk bermadu. Bukannya dia paksa saya pun." Jawab Farizah selamba.

"Kalaulah ramai wanita macam Farizah ni, bahagia lelaki-lelaki di Malaysia ni," usik Anisah.

"Orang lelaki memang suka. Tapi jangan sampai ambil kesempatan dengan perempuan macam kita ni. Mentang-mentanglah kita tak berapa berkira, jangan sampai pijak kepala pulak kan?" Gurauan Farizah membuatkan Anisah tersengih.

***

Ustaz Hairi pergi ke sekolah menaiki motor pagi itu. Awal-awal lagi bas sekolah telah sampai untuk menghantar Marissa, Benjamin, Umairah dan Firdaus ke sekolah masing-masing.

Anisah menunggu Farizah mempelawanya menaiki kereta.

'Kalau dah mahir memandu semula, boleh juga aku berjalan-jalan ke bandar. Duduk terperap di rumah saja pun membosankan.' Hati Anisah berdetik dengan rancangannya.

Pagi itu Farizah sudah berdandan. Penampilannya agak berbeza daripada selalu semasa dia bersama Ustaz Hairi. Wajahnya juga sudah dihias dengan mekap walaupun tudung masih dipakai.

"Nak ke mana Farizah?" Tanya Anisah. Suraya sedang lelap di ribanya.

"Saya nak ke bandar kejap. Jumpa kawan." Jawab Farizah selamba.

"Akak baru berangan nak berlatih memandu dengan Farizah."

"Alamak!... Farizah terlupalah. Tak apa, nanti lain kali Farizah ajar akak ya. Ada hal penting nak jumpa kawan ni." Farizah berdalih.

Anisah hanya mengangguk dengan rasa keliru. Keliru dengan keadaan Farizah yang tergesa-gesa meninggalkan rumah bersama penampilan yang amat berlainan.

***

Malam itu giliran Anisah bersama Ustaz Hairi.

"Macam mana abang kenal denga Farizah?" Anisah cuba mengorek rahsia tentang madunya.

"Wah... betul-betul prihatin Anisah dengan madu ya?" Usik Ustaz Hairi.

"Saja. Anisah boleh tanya dia, tapi Anisah nak dengar dari perspektif abang."

"Dia tu berasal dari keluarga orang senang. Ayah dia boleh dikatakan warak juga. Abang selalu jumpa dia masa ke masjid. Tiba-tiba satu hari dia datang jumpa abang dan ajak ke rumah. Rupa-rupanya dia nak jodohkan abang dengan anak dia. Katanya Farizah ni liar sikit, jadi dia minta abang didik jadikan anak dia isteri yang baik."

"Habis apa kata abang?" Anisah sudah tidak sabar menunggu jawapan.

"Abang kata abang tak boleh buat keputusan dulu. Tapi dia desak juga. Katanya dia takut anak dia hanyut dengan kawan-kawan yang tak menentu. Bila dah kahwin dengan lelaki macam abang, dia harapkan Farizah dapat berubah. Abang kata abang boleh cuba, tapi hidayah ni di tangan Tuhan. Sedangkan seorang ayah pun tak boleh wariskan iman, inikan lagi seorang suami dengan isteri dia. Lepas dah berfikir dan minta petunjuk, akhirnya abang buat keputusan untuk bersetuju."

Anisah mendengar dengan teliti. Sambil itu dia cuba membuat pertalian kisah itu dengan sikap Farizah siang tadi. Madunya keluar rumah dan pulang sebelum Ustaz Hairi tiba di rumah. Anisah membuat keputusan untuk merahsiakan dahulu apa yang dilihat siang tadi. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan.

***

Sudah dua hari Ustaz Hairi berpergian untuk menghadiri seminar di Johor Bahru. Anisah sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan di rumah baru bersama suami dan madunya. Namun ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

Anisah semakin resah. Perubahan pada Farizah semakin ketara. Jika dulu dia hanya keluar selama beberapa jam, tetapi kini sudah berlarutan hingga malam. Anisah membuat keputusan menunggu Farizah pulang malam itu. Dia tidak boleh membiarkan keadaan itu berterusan. Dia ingin cuba menasihati Farizah.

Hampir jam 12.30 malam baru Farizah pulang ke rumah.

"Farizah ke mana?" Tanya Anisah sambil duduk di sofa ruang tamu.

"Keluar jumpa kawan. Seronok berbual tak sedar masa dah lewat."

Dalih Farizah.

"Farizah duduklah berbual dengan akak. Ada perkara akak nak cakapkan ni." Anisah cuba meminta masa Farizah.

"Tak apalah kak. Lain kali aje. Saya dah penat ni. Lagipun belum mandi."

Melihat Farizah enggan diajak berbincang, Anisah terus menegurnya.

"Tak elok balik malam-malam, Farizah. Nanti apa pula kata orang tengok isteri macam kamu keluar masa suami tak ada. Lagipun suami kamu tu ustaz."

"Wah... baru beberapa hari duduk rumah ni dah pandai nak nasihatkan orang." Sindir Farizah.

"Dah jadi tanggungjawab akak nasihatkan kamu. Lagipun kita kan tinggal sebumbung, kena ambil tahu hal satu sama lain."

"Kau ingat aku nak sangat ke tinggal sebumbung dengan kau?! Kalau tak kerana laki aku beria-ia nak kahwin sangat dengan kau, tak inginlah aku!" Nada suara Farizah berubah secara mendadak.

"Tapi kenapa tak berterus-terang dengan dia sebelum dia berkahwin dengan akak?"

"Kau cakap memang senang, sebab bukan kau yang ada di tempat aku!"

"Akak minta maaf. Kalau disebabkan akak Farizah jadi macam ni. Tapi..."

"Ah! Sudahlah! Buang masa aku melayan kau. Baik aku masuk tidur lagi bagus!"

Anisah ditinggalkan terpinga-pinga di ruang tamu oleh Farizah.

'Kenapalah sampai jadi macam ni? Kalaulah aku tak terima lamaran Ustaz Hairi, tentu Farizah tak jadi macam ni.' Anisah menyelar dirinya sendiri.

Anisah sukar melelapkan mata malam itu. Hanya setelah dinihari baru dia dapat tidur dengan lena.

***

Anisah tersentak ketika dia terdengar anak-anaknya sedang bersiap untuk ke sekolah. Dia bingkas bangun untuk ke dapur.

'Tak bersarapanlah anak-anak aku hari ni!' Bisik hatinya ketika keluar dari bilik.

Dia terkejut apabila melihat Farizah berada di dapur sedang menyediakan sarapan pagi.

"Eh, awalnya Farizah bangun." Suara Anisah membuatkan Farizah berpaling.

"Farizah terbangun awal tadi. Bila tengok akak tak ada kat dapur, Farizah pun ambil alih tugas akak. Kesian pulak tengok budak-budak ni ke sekolah tak bersarapan."

"Terima kasihlah Farizah."

"Alah, bukan susah sangat pun." Jawab Farizah.

Anisah masih serba-salah apabila dia mengenangkan peristiwa yang berlaku antara dia dan Farizah malam tadi. Tapi dia enggan membangkitkan hal itu di depan anak-anaknya.

"Cepatlah sarapan. Nanti bas dah sampai tak sempat pulak." kata Anisah sambil menuang air untuk anak-anaknya.

***

Pagi itu Anisah sedang memasak di dapur apabila Farizah masuk ke dapur.

"Akak masak apa?" Tanya Farizah.

"Ketam masak sambal." Jawab Anisah sambil menggaulkan ketam dengan sambal cili yang sudah mula 'menyengau' baunya.

"Mesti sedap ni kan kak?" Puji Farizah.

"Belum rasa lagi dah kata sedap." Sindir Anisah.

"Saya tahu, akak masak mesti sedap punya."

Anisah hanya senyum dengan pujian Farizah.

"Kak, sebenarnya saya ada hal nak cakap dengan akak ni."

"Apa dia? Cakaplah."

"Kak, saya minta maaf dengan kata-kata saya malam tadi. Kepala saya tengah serabut, itu yang jadi kurang ajar semacam."

"Akak faham. Akak pun tak patut tegur kamu macam tu malam tadi."

"Kak, saya ada satu permintaan lagi ni."

"Apa lagi?"

"Kalau Abang Hairi balik, akak jangan ceritakan saya keluar malam pada dia ya? Kalau boleh akak janganlah cerita saya keluar masa dia tak ada."

"Eh, mana boleh! Dia suami. Dia berhak tahu tu semua. Lagipun kalau jadi apa-apa pada kamu, dia bertanggungjawab."

"Alah... tolonglah kak. Nanti kalau dah sampai masa sesuai, saya beritahulah dia." Pujuk Farizah.

"Hai... macam-macamlah kamu ni Farizah. Eh, ketam dah masak ni. Kamu tak nak rasa ke?"

"Tak apalah kak. Lagipun saya nak keluar."

"Nak keluar lagi? Hari ni kan Abang Hairi balik dari JB." Anisah mengingatkan.

"Akak jangan risau. Saya akan balik rumah sebelum Abang Hairi sampai. Okey kak. Saya nak pergi bersiap."

Anisah rasa lega. Sekurang-kurangnya Farizah sudah mula meluahkan isi hatinya. Tetapi perbuatannya yang suka keluar tanpa pengetahuan suami membuatkan dia rasa risau dan curiga.

'Apa yang dibuat Si Farizah ni sebenarnya? Sampai bila aku nak merahsiakan daripada Hairi? Kalau dia dapat tahu aku merahsiakan perkara ni macam mana?' Rasa bersalah mula menghantui fikirannya.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku