Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 17 : Parah
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
733

Bacaan






Anisah banyak termenung di rumah semenjak mendengar penerangan doktor berkenaan keadaan Ustaz Hairi. Pelbagai andaian mula menujah benaknya hingga adakala menyesakkan hingga berdenyut kepala dibuatnya.

Jika tidak kerana Suraya dan anak-anak lain yang perlu ke sekolah, sudah tentu Anisah akan sentiasa berada bersama Ustaz Hairi di hospital untuk menemaninya. Semakin hari dia semakin risau akan keadaan lelaki itu. Keadaannya tidak menunjukkan dia semakin pulih. Wajahnya semakin cekung dan beratnya semakin susut. Hanya doa yang mampu dipanjatkan bersama pengharapan agar lelaki itu akan segera pulih.

Farizah semakin jarang berada di rumah. Apabila dia pulang dia akan terus berkurung dan keluar tanpa berbual panjang dengan Anisah

Tengah hari itu Anisah sempat berjumpa dengan Farizah sebelum dia keluar seperti biasa.

"Bila Farizah nak ke hospital jumpa Hairi? Kesian dia. Bila akak jumpa dia, mesti dia akan tanya. Farizah mana?"

Farizah serba salah hendak menjawab. Anisah dapat rasakan pergolakan dalam jiwa wanita itu, cuma dia tidak dapat mengagak apa yang sedang bersarang di fikirannya.

"Nanti saya akan pergilah kak."

"Dari dulu itulah jawapan kamu. Sampai bila? Sampai dia dah tak ada lagi?" Anisah cuba membendung kemarahan dengan sikap Farizah terhadap suaminya, tetapi sedikit sebanyak perasaan itu telah melimpah keluar.

"Kalau saya ke hospital pun apa yang boleh saya buat? Boleh saya putarkan masa hingga detik kami mula hidup berdua? Atau mungkin balik semula pada masa saya belum berkahwin dengan dia." Jawapan Farizah. Dingin.

"Kau ni tak ubah macam budak-budak yang hidup dalam alam dongengan dia sendiri. Yang tak tahu membezakan khayalan dan realiti. Sampai bila baru kau nak terima hakikat kehidupan yang sebenar? Yang lepas tak boleh diulang. Apa yang kita hadapi kena diteruskan, walaupun pahit!" Anisah cuba menyedarkan Farizah.

"Memang saya yang pilih untuk tidak menerima realiti kehidupan ini, kak. Sebab ia terlalu pahit dan sukar saya telan. Walaupun saya terpaksa berada di awangan antara fantasi dan realiti kehidupan saya."

"Pergilah jumpa Hairi. Mungkin kau akan sedar realiti kehidupan sebenar. Hadapilah cabaran, jangan terlalu mengikut emosi kau Farizah." Anisah masih belum berputus asa.

"Heh! Akak memang tak akan faham perasaan saya. Tak ada sesiapa akan faham perasaan saya ini termasuk Hairi. Saya sanggup buat apa saja kak, asalkan saya dapat lupakan realiti hidup saya yang pahit ini. Akak faham tak? Apa saja!" Farizah beremosi sebelum meluru keluar.

"Farizah!... Farizah!" Panggilan Anisah tidak diendahkan lagi. Hanya kedengaran deruman kereta meninggalkan pekarangan rumah.

Anisah mula sedar betapa kacaunya jiwa Farizah. Semakin hari keadaannya semakin parah, sebagaimana keadaan Ustaz Hairi ketika ini.

***

"Abang..." Suara halus Anisah sambil mengusap ubun-ubun Ustaz Hairi. Wajah lelaki itu semakin cekung dan menjemput sayu. Setiap kali menatap wajah lelaki itu, terasa seperti air mata ingin melimpah keluar. Tetapi dia cuba sedaya upaya menahan.

"Farizah mana?" Suara lirih Ustaz Hairi yang menambah kesayuan hati Anisah. Mahu rasanya dia memaksa Farizah agar berjumpa dengan suaminya sendiri walaupun dia terpaksa mengheret tangan Farizah dengan kasar.

Anisah sudah tidak mampu membendung ombak perasaannya. Air matanya tumpah. Soalan lelaki itu dibiarkan tidak berjawab.

"Abang jangan banyak berfikir. Abang berehatlah supaya cepat sembuh. Anak-anak semua dah rindu nak bersama abang di rumah. Mereka rindu nak solat jemaah dan makan bersama abang macam selalu. Abang cepatlah sembuh ya?" Suara Anisah sebak, namun senyuman terus diukirkan walaupun dengan paksa.

"Anisah..."

"Ya bang"

"Kalau ditakdirkan abang pergi..."

"Abang! Jangan cakap macam tu!" Anisah tidak dapat menahan rasa yang berbuku di dalam dada. Dengan serta-merta kenangan semasa perbualan terakhir bersama Jalaludin kembali singgah di benak. Seperti panahan petir yang membakar rentung naluri wanitanya.

Air matanya menghambur keluar. Sakit di dalam dada mencucuk-cucuk hingga merenggut perasaannya dan sukar dikawal.

"Terima hakikat Anisah... Inilah namanya dunia yang manusia kejar seharian dan semalaman. Sebagaimana besar jelaan mimpi dan keinginan kita sekalipun, tiada siapa dapat menyangkal ketibaan maut... Ia sentiasa menanti dan memerhati kita saban hari. Hanya menunggu detik dan ketika yang tepat, untuk menjemput kita pergi." Suara Ustaz Hairi tersekat-sekat. Mungkin menahan kesakitan atau nafasnya sudah semakin payah.

"Abang..." Raungan Anisah bersama dada yang terhincut-hincut. Dia enggan menerima hakikat bahawa Ustaz Hairi mungkin akan pergi meninggalkannya seperti Jalaludin.

"Siapa kita Anisah?... Siapa kita untuk menidakkan semua ini? Berlapang dada... Terimalah dengan hati yang terbuka." Ustaz Hairi mengatur ayat dalam kesakitan di dada yang jelas tergambar di wajahnya.

Anisah cuba menyerap setiap kata-kata hikmat Ustaz Hairi dan mengawal emosinya. Dia cuba. Sesungguhnya dia benar-benar mencuba.

"Abang tak mampu tinggalkan mahligai istana buat Anisah dan anak-anak. Abang tak mampu anugerahkan legasi yang dapat diwarisi turun-temurun buat Anisah. Malah abang tidak mampu memberikan apa yang Anisah dan anak-anak inginkan selama kita bersama."

"Tak bang. Abang telah berikan Anisah kebahagian. Anisah dahagakan kasih sayang seorang suami, dan abang telah penuhi hasrat Anisah. Anisah bahagia bersama abang." Anisah menyeka air mata yang masih bersisa.

"Abang harap kalau ditakdirkan abang sudah tiada lagi nanti, abang harap Anisah akan teruskan hidup bersama Farizah dan anak-anak. Rumah itu dan segala harta peninggalan abang adalah milik bersama Anisah dan Farizah. Berbaik-baiklah dengan dia. Jangan biar hawa nafsu dan sifat tamak menguasai hingga hidup di dunia ini jadi porak peranda." Nasihat Ustaz Hairi penuh makna.

"Insya-Allah bang." Anisah cuba menenangkan dirinya.

***

Anisah pulang lebih awal daripada biasa. Ustaz Hairi dinasihatkan oleh doktor agar banyak berehat. Setelah diberikan ubat, lelaki itu terlantar tenang dalam lena.

Farizah sudah pun berada di rumah ketika Anisah pulang. Kereta Proton Wira putih diparkir di pekarangan rumah. Anisah masih belum nampak kelibat Farizah di dalam rumah. Cuma pintu bilik agak renggang dan Anisah dapat dengar dengan jelas perbualan Farizah di telefon.

'Dengan siapa Si Farizah ni berbual?' Sedik hati Anisah sambil dia menguruskan Suraya setibanya dia di rumah.

Bukan kebiasaan Anisah mendengar perbualan orang lain. Tambahan pula dia tidak pernah memikirkan yang bukan-bukan tentang Farizah. Dia memikirkan tentu itu panggilan rakan yang biasa ditemui.

"Sabarlah sayang. Sampai masa nanti kita jumpa lagi ya?" Kata-kata Farizah bagai menyentap nalurinya sebagai seorang isteri.

'Astaghfirullahal'azim... sayang?...' Anisah memegang dada dalam keadaan yang amat terkejut.

"You jangan gelojoh okey... Yalah, I pun sayang kat you... I really miss you, walaupun kita baru lepas bersama... Nakal lah you ni... Gatal betul you ni... Tak naklah, I segan... Okey, muah!... puas hati..." 

Lutut Anisah terasa longlai. Dia berpaut pada dinding. Jika tidak sudah tentu dia akan terjelepuk ke lantai.

"Bye bye sayang... see you tonight... I can't wait!" 

Anisah segera mengumpul kudrat yang ada. Dia perlu beredar sebelum Farizah sedar dia mengintip perbualannya di telefon tadi.

"Ya Allah, apalah bala yang dah melanda rumah ni sekarang?..." Anisah jadi tidak tentu arah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku