Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 18 : Kehilangan
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
853

Bacaan






Anisah tidak tentu arah ketika menuju ke wad Ustaz Hairi. Hatinya berkecamuk. Fikirannya bercelaru. Sukar untuk dia pastikan punca perasaan ini.

'Kenapa aku rasa macam ni? Adakah disebabkan apa yang aku dengar semasa Farizah di telefon? Atau kerana keadaan Ustaz Hairi semakin tenat?'

Ustaz Hairi kelihatan begitu tenang menunggu Anisah. Wajahnya berseri-seri.

"Dah lama abang bangun?"

"Lama juga. Tapi bila nampak Anisah, tak rasa pun masa berlalu."

Anisah tidak pasti sama ada keadaan Ustaz Hairi sepatutnya membuatkan dia rasa lega atau semakin risau.

"Anisah boleh tolong potongkan buah pir? Teringin abang nak makan."

Tanpa membantah atau berlengah Anisah memotong dan menyuapkan buah seperti yang Ustaz Hairi inginkan. Lelaki itu makan dengan begitu berselera sekali. Hati Anisah semakin berdebar-debar.

"Syukur rasanya bila Anisah tengok abang semakin sihat. Mudah-mudahan abang cepat sembuh."

"Insya-Allah, abang akan pulang tak lama lagi. Anak-anak semua apa khabar?"

"Alhamdulillah. Mereka semua tak sabar tunggu kepulangan abang."

"Anisah jagalah mereka semua baik-baik. Abang kagum dengan ketabahan Anisah hadapi semuanya seorang diri dulu. Anisah adalah contoh kepada ibu-ibu tunggal bahawa kepayahan bukan penghalang. Dalam apa juga kesusahan, jangan lupa Tuhan. Semuanya datang dari Dia dan semuanya berlaku bukan dengan sia-sia."

"Insya-Allah Anisah akan ingat pesanan abang tu."

"Abang minta maaf pada Anisah atas segala kekurangan abang sepanjang menjadi suami Anisah."

Anisah mula rasa serba salah dengan kata-kata lelaki itu.

"Anisah pun sama bang. Banyak kekurangan Anisah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Segala makan minum Anisah minta halalkan ya bang?"

Ustaz Hairi mengangguk.

"Kirim salam pada Farizah. Pesan pada dia abang minta maaf atas segala salah dan silap abang pada dia. Segala kesalahan dia pada abang dah pun abang maafkan."

Air mata Anisah mula tiris.

"Abang harap dia akan cepat sedar sebelum masa menjadi penghalang kepada segalanya. Abang doakan semoga dia tak jadi mangsa kepada dunia yang terlalu pandai menipu manusia seperti kita."

Air mata Anisah semakin deras turun.

"Masa abang sudah semakin hampir. Abang tahu. Abang dapat rasakannya. Anisah jagalah diri baik-baik."

"Anisah akan terus berada di sini bersama abang. Biarlah sehingga saat-saat akhir kita akan bersama."

"Tak perlu Anisah. Perjalanan Anisah masih jauh bersama anak-anak. Begitu juga Farizah. Buatlah keputusan yang betul. Jangan biarkan nafsu dan iblis mempengaruhi setiap keputusan yang dibuat."

Anisah menyeka air mata yang semakin galak tumpah. Dia tidak bisa membendungnya lagi.

"Perjalanan seterusnya perlu abang lalui seorang diri. Selepas ini abang akan keseorangan menghadapi setiap perhentian yang ada. Pesan pada anak-anak supaya menghantar bingkisan buat abang dalam doa dan amalan. Abang tak ada zuriat sendiri yang dapat mendoakan abang di sana nanti. Mereka sajalah harapan abang."

Dada Anisah sudah berombak-ombak menahan hiba. Suraya hanya memerhatikan ibunya dengan wajah yang terpinga-pinga.

"Jagalah Suraya baik-baik. Sekurang-kurangnya sudah ada dalam keluarga kita seorang ahli syurga."

"Insya-Allah bang." Mata Anisah sudah bengkak merah.

Anisah tidak dapat menahan perasaan yang bergelora di dada. Dia memberikan lelaki itu satu pelukan erat. Tubuh yang dahulunya berisi dan tegap, kini hanya umpama rangka yang dibaluti kulit. Lesu dan lemah.

"Jika diizinkan-Nya, kita akan bersama lagi di sana kelak." Pesan Ustaz Hairi.

***

Ustaz Hairi selamat menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.12 pagi. Dia mengalami sesak nafas. Pihak hospital cuba mengembalikan keadaannya seperti biasa, tetapi rohnya telah dipanggil untuk pergi buat selama-lamanya.

Jenazahnya selamat dikebumikan sebelum Zohor. Punca kematiannya masih kekal misteri walaupun tanda-tanda sakit jantung begitu ketara sekali.

Anisah dan anak-anaknya berada di pusara buat kali kedua selepas pemergian Jalaludin dahulu. Kesedihan lama seperti dijemput kembali lantaran pemergian Ustaz Hairi.

Farizah juga ada di situ. Raungan tangisannya begitu hiba dan sayu, seperti sebuah babak dalam drama televisyen. Hanya Anisah sahaja yang tahu drama yang dilakonkan oleh perempuan itu. Hanya dia sahaja yang tahu hakikat sebenar perempuan yang tidak pernah menjenguk muka walaupun sekali untuk bertemu arwah suaminya di hospital.

Kata-kata Ustaz Hairi semasa kali terakhir mereka bertemu di hospital bermain di fikiran Anisah.

"Insya-Allah bang. Anisah akan cuba laksanakan semua pesanan dan permintaan abang. Anisah balik dulu." Kata-katanya lirih sebelum dia meninggalkan pusara Ustaz Hairi yang masih basah dengan siraman air mawar.

Suasana di dalam kereta Proton Wira putih sunyi sepi sepanjang perjalanan pulang ke rumah.

***

Petang itu seorang peguam tiba ke rumah untuk pembacaan wasiat.

"Saya Feroz, wakil arwah yang ditugaskan membaca wasiat." Kata-kata lelaki itu sambil mengeluarkan dokumen dari dalam beg bimbitnya.

Anisah dan anak-anaknya ada di situ bersama Farizah. Anisah mendengar dengan teliti. Setiap harta peninggalan Ustaz Hairi disebutkan satu persatu, tetapi keputusan yang dinyatakan dalam wasiat itu amat mengejutkannya. Segala pembahagian hanya dibuat kepada Farizah.

"Mustahil. Takkan tak ada satupun yang diserahkan kepada kami anak beranak?" Anisah bersuara setelah selesai majlis.

"Saya minta maaf puan. Saya hanya menjalankan tugas. Apa yang tertulis di dalam wasiat ini, itulah yang saya bacakan." Jawab lelaki itu. Farizah menjeling Anisah dengan wajah dan senyuman yang sinis.

"Saya dengar dari mulut arwah sendiri tentang hasrat dia. Memang tak sama dengan isi wasiat ni!" Protes Anisah.

"Saya minta maaf puan. Dah tak ada yang boleh saya buat sekarang. Segalanya dah termaktub dalam surat ni." Kata lelaki itu sambil mengemas beg bimbitnya.

Anisah tidak berganjak dari tempat dia duduk selepas peguam bernama Feroz itu meninggalkan rumah. Dari celah langsir dia memerhatikan Farizah yang mengiringi lelaki itu ke kereta.

Apa yang dilihat cukup memeranjatkan. Walaupun tanpa suara yang didengar dia dapat mengagak drama yang sedang berlangsung bukan di kaca televisyen. Peguam itu cuba merangkul pinggang Farizah ,tetapi ditepis sambil Farizah melihat ke rumah. Tepisan tangannya bukan dalam keadaan marah, tetapi manja. Mereka kelihatan begitu intim bersama.

'Adakah lelaki ini yang aku dengar sedang berbual dengan Farizah di telefon?'

Pelbagai telahan mula singgah di fikiran. Tentang Ustaz Hairi. Tentang perbualan telefon Farizah dengan kekasihnya. Tentang wasiat yang baru dibacakan tadi.

'Ya Allah! Benarkah apa yang aku fikirkan ini?' Anisah meletakkan tangan ke dada, dalam kekeliruan dan kejutan yang amat tidak dijangka.

***

Lama Anisah hanyut dalam lamunannya. Dia menunggu-nunggu masa yang sesuai untuk berbicara dengan Farizah. Sudah beberapa kali perempuan itu mengelak daripada duduk bersama dengannya.

Anisah menunggu di ruang tamu. Peluang yang dinanti-nantikan tiba semasa Farizah ingin meninggalkan rumah. Farizah seolah-olah bukan Farizah yang dahulu. Dia sudah tidak bertudung lagi. Wajahnya sudah disolek indah, walaupun hakikatnya kubur Ustaz Hairi masih merah lagi.

"Farizah, boleh akak bincang dengan kau sekejap?" Kata-kata Anisah disambut dengan riak wajah yang penuh bosan oleh Farizah.

"Cakaplah cepat! Saya dah lambat ni!" Suaranya dengan kasar.

"Ada beberapa perkara yang akak nak cakap dengan kau. Duduklah dulu."

Farizah melabuhkan punggung dengan kasar.

"Arwah sempat kirim salam sebelum dia pergi. Dia minta maaf atas segala kesalahan dia pada Farizah. Begitu juga kesalahan kau pada dia."

"Baguslah kalau macam tu." Jawab Farizah selamba sambil mengelus rambutnya yang dilihat melalui cermin alat mekap.

"Dia berharap supaya kau cepat berubah sebelum terlambat. Dia doakan supaya kau tak terpedaya dengan dunia ni. Akak cuma sampaikan apa yang dia cakap."

"Yalah tu... Entah-entah akak yang buat cerita..." Sindiran sinis Farizah.

"Terpulanglah pada kau nak percaya atau tidak. Cuma... ada beberapa perkara yang buat akak musykil." Anisah memulakan provokasi kepada Farizah.

"Apa dia?"

"Akak hairanlah. Akak sempat jumpa doktor masa arwah sakit dulu. Katanya arwah menunjukkan tanda sakit jantung, tapi badan dia sihat walafiat."

"Alah... biasalah tu, sakit jantung ni menyerang bukan kira faktor kesihatan atau usia."

"Betul juga kan? Tapi ada beberapa perkara lagi. Masa akak jumpa dia di hospital, dia pesan supaya kita hidup bersama dengan harta peninggalan yang diserahkan kepada kita berdua. Tapi yang akak hairan kenapa surat wasiat tu lain isinya?"

Wajah Farizah mula berubah, tetapi Anisah tahu dia cuba melindungi apa yang terdetik di fikirannya.

"Satu lagi yang buat akak pelik, peguam tu berani cuba peluk pinggang kau kan? Tapi yang buat akak terkejut, kau macam tak kisah... macam dah biasa dengan dia." Provokasi Anisah memuncak.

Farizah sudah tidak dapat membendung perasaan lagi. Anisah tahu perempuan itu sedar tembelangnya sudah pecah.

"Kau memang hebat Anisah. Kau memang hebat! Hebat mengalahkan detektif. Kau nak tahu apa yang berlaku sebenarnya?" Farizah bangun sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap. Kemudian dia berpaling ke arah Anisah.

"Segala-galanya bukan rancangan aku, tetapi idea gila Feroz. Untuk pengetahuan kau, Ferozlah bekas kekasih aku sebelum aku dikahwinkan tanpa kerelaan aku dengan lelaki alim bernama Hairi. Aku menyesali setiap detik berkahwin dengan dia. Aku cuba terima dia dalam hidup aku, tapi hati ini seolah-olah tertutup rapat untuk dia. Sehinggalah dia buat keputusan untuk berkahwin dengan kau. Pada mulanya aku nampak peluang untuk aku tinggalkan dia, tapi rupa-rupanya dia masih menaruh harapan supaya aku berubah."

Anisah hanya mendengar dengan teliti.

"Kerana tertekan, aku pergi berjumpa dengan Feroz. Aku rasa bahagia bila bersama Feroz. Seolah-olah semua derita dalam hidup aku yang terpenjara ini hilang bila aku bersama dia. Akhirnya dia memberi aku cadangan yang akan melepaskan aku dari belenggu hidup ini. Kau tahu macam mana Hairi boleh sakit?"

Anisah tidak menjawab. Sebaliknya dia merenung wajah Farizah dengan tajam.

"Feroz yang suruh aku beri ubat kepada Hairi. Bahan itu ada di pasaran gelap dan masih belum ditemui oleh pakar perubatan ketika ini. Kau tahu bagaimana wasiat tu boleh berubah? Oh ya, aku terlupa nak beritahu kau. Feroz memang seorang peguam dan ini semua adalah rancangan dia. Tak payahlah kau fikir untuk bawa kes ini ke mahkamah. Feroz memang dah mahir dengan semua selok-belok yang ada. Dia pasti menang."

"Tergamak kau buat semua ni Farizah?! Kau sanggup bunuh suami kau sendiri, sedangkan dia sentiasa mengharapkan kau jadi seorang isteri yang baik."

"Isteri yang baik? Bagaimana aku nak jadi isteri yang baik kalau aku tak sukakan dia? Dan dia sanggup belenggu aku dengan ikatan perkahwinan bukan seperti yang aku inginkan. Kau nak tahu tak? Masa Feroz beri cadangan gila ni, aku takut. Aku takut dosa. Aku takut kena tangkap. Aku takut macam-macam lagi. Tapi bila rancangan ni berjaya, aku dah tak rasa apa-apa lagi. Sebaliknya aku rasa bebas. Aku rasa bahagia. Aku rasa tenang."

"Kau sedar tak apa yang kau cakap ni Farizah?! Bawa mengucap! Bawa bertaubat!" Anisah seperti tidak percaya perempuan yang melafazkan kata-kata itu adalah Farizah, bekas madunya sendiri.

"Untuk pengetahuan kau, aku sedikit pun tak rasa kehilangan Hairi sekarang. Dan untuk pengetahuan kau juga, rumah ni sekarang milik aku. Jadi aku harap kau janganlah fikir aku nak kongsi rumah ni dengan anak-anak kau yang ramai dan menyusahkan tu. Aku minta kau berambuslah secepat mungkin. Bila aku balik pagi esok, aku nak tengok rumah ni kosong. Dah tak ada lagi muka-muka kau dan anak-anak kau yang menyemak dalam rumah ni. Bye Anisah!..."

"Kau akan menyesal atas segala perbuatan kau Farizah. Aku bersumpah, kau tak akan hidup tenang dengan apa yang dah buat! Kau akan terima balasannya nanti!" Anisah melepaskan perasaan yang berbuku di dada.

Farizah ketawa kecil sambil mengatur langkah ke pintu. "Ada aku kisah?!"

Anisah dilanda kesedihan yang amat sangat selepas dia kehilangan Ustaz Hairi. Tetapi itu tidaklah seteruk bala yang sedang melanda Farizah. Perempuan itu telah kehilangan nalurinya sebagai seorang insan akibat mengejar jelaan impian yang penuh pedaya. Dia sudah hilang dalam kekalutan dirinya kerana menurut telunjuk hawa nafsu dan akhirnya tewas dek bujukan iblis yang penuh kedurjanaan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku