ATUK
BAB 2: Anggota Ghost Facer tiba di destinasi
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Disember 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
651

Bacaan






MEREKA tiba di Bandar Awara tepat jam 2.00 petang. Kesemua mereka turun dari kereta masing-masing dan merasai sendiri suasana di bandar itu. Angin sepoi-sepoi bahasa rakus menampar pipi mereka. Masing-masing terasa keseramannya. Bandar Awara cukup sunyi dan sepi sekali.

Hanya mereka sahaja yang berada di tengah-tengah bandar dan di hadapan mereka terbentang pula bangunan usang yang bentuknya memanjang dan membulat. Bangunan itu hanya setingkat sahaja dan kelihatan seolah-olah bernyawa serta sedang beringas memerhatikan kehadiran mereka. Kaki masing-masing bagaikan terpasung melihat bangunan yang tersergam kukuh itu.

Nurhirmawaty sedikit terganggu dengan suasana itu. Dia dapat merasakan sesuatu yang tidak enak. Namun dia mendiamkan diri demi tugasan yang diamanahkan kepada mereka. Dia pernah cuba mencari maklumat berkaitan bandar ini di internet tetapi tidak dijumpai. Bandar ini seolah-olah tidak wujud. Gadis ini agak teliti berbanding anggota-anggota yang lain. Dia sanggup bersengkang mata untuk mencari jawapan kepada sesuatu yang menambat hatinya.

“Zid, bangunan ni dulu bangunan apa, ya?” soal Nurhirmawaty inginkan gambaran yang jelas tentang bangunan yang menyeramkan itu. Dia benar-benar berasa tidak selesa.

“Aku tak pasti. Ada yang cakap ia adalah asrama jururawat. Ada juga yang cakap dulu, di sini rumah penjagaan orang-orang tua lelaki. Ada pulak yang cakap, sini makmal pembedahan dan dulunya sebuah hospital,” jelas Azidi. Dia sendiri tidak dapat mencari di dalampenyelidikan yang pernah dibuatnya.

“Antara banyak-banyak tu yang mana satu betul?” soal Nurhirmawaty lagi sambil memandang tepat ke wajah Azidi.

“Tak ada jawapan yang pasti. Maaf,” ujar Azidi sambil menjungkitkan bahu.

Nurhirmawaty hanya mengangguk lesu. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati. Dia dapat merasakan kunjungan mereka kali ini bukan sebarang kunjungan tetapi akan berlaku sesuatu yang mereka sendiri tidak pernah menduganya.

“Aisy, nak aku settingkan peralatan kita ke? Agak-agak kita akan mulakan tugasan pada malam ni jugak ke?” tanya Sodiqin kepada Aisy Yumni.

Dia tahu bagaimana jejaka itu bekerja. Walaupun penat menyelubungi diri mereka, ia bukan alasan untuk mereka bermalasan. Mereka hanya akan berehat setelah tugasan mereka tamat. Saat itulah tidur merupakan nikmat yang terindah pada diri mereka.

Shoot. Aku rasa malam ni kita dah boleh mula. Kita akan berehat dulu sebelum kita memulakan tugasan. Kita berehat di sini saja sebab sepanjang perjalanan ke sini tadi aku tak nampak sebarang hotel di bandar ni. Harap-harap di dalam bangunan tu ada bekalan air dan letrik,” ujar Aisy Yumni.

Seperti yang dijangka, Aisy Yumni tidak akan menangguhkan tugasan mereka.

Sodiqin memahami sikap bos mereka lalu terus masuk ke dalam kenderaan dan mula memasang peralatannya sebelum beberapa kamera dipasang di dalam bangunan usang itu.

“Zid, siapa yang hantar emel jemput kita ke sini?” soal Nurhirmawaty kembali. Perasaan bimbang menyelinap di hatinya sejak tiba di Bandar Awara ini.

“Kita menerima surat, ingat? Bukannya emel,” jelas Azidi membetulkan fakta.

“Maafkan aku. Selalunya kita terima emel. Aku terlupa kali ni kita menerima surat. Siapa penghantarnya?” Nurhirmawaty membetulkan fakta.

“Dato Adiff,” ujar Azidi, ringkas sahaja jawapannya.

“Mana Dato Adiff sekarang? Sepatutnya dia mengalu-alukan kedatangan kita sebagaimana kes-kes kita sebelum ni. Sedikit sebanyak kita harus diberi maklumat berkaitan bandar ini dan bangunan misteri ini khususnya. Sunyi sepi aje aku tengok tempat ni, macam hanya kita saja yang berada di sini,” bicara Nurhirmawaty kepada Azidi.

“Aku tak pasti sama ada Dato Adiff sendiri akan datang ataupun orangnya yang akan datang. Kita tunggu ajelah,” balas Azidi, tidak mempunyai jawapan yang pasti.

“Kenapa aku rasa lain macam aje tempat ni? Takkanlah kita saja penghuninya? Macam dalam cerita hantu yang cukup menyeramkan. Zid, kau yakin ke ni tempatnya?” tanya Murazean seakan-akan tidak selesa berada di situ.

Tiba-tiba mereka terdengar bunyi berkeriut. Pintu pagar bangunan usang yang terkunci dengan mangga itu terbuka dengan sendirinya membuatkan mereka terperanjat. Manakala Murazean pula terjerit kecil. Tersirap darahnya dengan aktiviti paranormal yang menyambut kedatangan mereka sebelum mereka memulakan sebarang penyiasatan lagi.

Jeritan Murazean mengundang ketawa yang tidak dapat ditahan-tahan lagi oleh Sazrin. Si Sotong ini sememangnya kaki mengusik tidak kira di mana pun mereka berada. Itulah yang sering membuat Nurhirmawaty melenting dengan sikaptidak serius Sazrin. Manakala Murazean pula terus terdiam dan menjeling geram kepada Sazrin.

“Takkan kau takut kot Eyanz? Bukan ke kau yang minta agar pengalaman kita kali ni betul-betul menyeramkan. Baru mangga terbuka kau dah takut? Macam mana kalau roh-roh di sini muncul depan kau?” soal Sazrin dengan gaya lembut-lembut sambil membuat mimik wajah dan suara yang cukup mengerikan.

“Haa... mungkin apa yang kau harapkan akan menjadi kenyataan kali ni, Eyanz. Bersedialah untuk menerokai alam yang lebih seram,” sambung Sazrin masih lagi dalam gaya Holloweennya sehingga Nurhirmawaty menyiku perut jejaka lembut itu. Terjerit kecil Sazrin dibuatnya.

“Kau ni tak reti jaga mulut ke? Sedap-sedap mulut kau aje nak cakap apa pun. Hormatlah sikit tempat orang,” marah Nurhirmawaty dalam nada yang masih lagi terkawal.

“Lain kali mulut tu jangan celopar sangat. Kita tak tahu tempat ni tempat apa. Jangan nak mengundang kemarahan mereka yang terlebih dahulu tinggal di sini,” tegur Aisy Yumni.

“Maaf,” ujar Sazrin mula mengunci mulutnya. Ketawa yang meletus tadi juga sudah dimatikan dengan segera.

“Zid, mereka tahu ke kita nak datang hari ni?” tanya Edinur melurus pandangan ke arah Azidi setelah agak lama mendiamkan diri.

Tidak ada seorang pun daripada mereka yang berani melangkah ke arah bangunan usang yang sudah sedia menerima kehadiran tetamunya yang bertujuh itu walaupun mata masing-masing masih tidak lepas dari memandang ke arah bangunan itu. Seakan-akan ada daya tarikan untuk mata mereka menjelajah setiap inci bangunan usang itu dari luar.

“Atuk tahu nak. Atuk yang jaga tempat ni. Mari nak, atuk tunjukkan keadaan di dalam bangunan usang ni,” ujar satu suara yang tiba-tiba muncul.

Terjerit kecil kesemua mereka yang berada di situ dengan kemunculan atuk secara tiba-tiba. Tiada derapan langkah kakiyang kedengaran di corong telinga masing-masing. Tetapi dengan tiba-tiba sahaja seorang lelaki tua sudah berada di hadapan mereka. Masing-masing mengurut dada.

Si Sazrin yang kaki mengusik juga turut menjerit sama sambil bibirnya merungut, “Choy... choy...” Sotong sungguh!

Itu agaknya yang dirasakan di dalam benak setiap anggota kumpulannya. Misteri sungguh kehadiran atuk itu yang tiba-tiba muncul di antara mereka. Tambahan pula apabila atuk itu tersengih seakan-akan menjolok keseraman terus ke jantung mereka. Setiap anggota Ghost Facer memegang dada masing-masing. Agaknya adrenalin ketakutan masih belum surut sepenuhnya.

“Terkejut? Maafkan atuk nak, buat kamu semua terkejut. Atuk tak berniat pun. Atuk tengok kamu semua khusyuk sangat dengan bangunan usang tu sampai atuk datang tak ada seorang pun yang sedar,” ujar atuk itu bersuara lagi.

Masing-masing tidak mampu bersuara kecuali mengukir senyuman sahaja. Manakala mata atuk itu terhenti ke arah Azidi. Pandangannya amat mendalam ketika melihat Azidi sehingga mengundang kehairanan di benak masing-masing. Kenapa? Mereka tidak tahu.

Mungkin ada sesuatu yang menarik pada Azidi sehingga mata atuk itu melekap terus ke arahnya. Seketika kemudian, sebuah senyuman terukir mekar di bibir atuk itu seolah-olah mengandungi seribu makna sebelum matanya menyorot ke arah anggota Ghost Facer yang lain pula.

“Mari masuk nak,” ajak atuk itu.

Dia menyuruh mereka masuk ke dalam bangunan usang itu agar mereka mendapat gambaran sebenar sebelum memulakan penggambaran menjejaki paranormal untuk episod rancangan mereka seterusnya dan yang terakhir bagi musim itu.

Rancangan Menjejak Paranormal ini mendapat rating yang tinggi di stesyen televisyen tempatan membuatkan mereka tidak pernah berputus asa untuk terus menjejak paranormal walaupun kadangkala mereka diganggu. Akantetapi, gangguan yang mereka alami setakat ini tidaklah menakutkan sehingga boleh mencederakan ahli kumpulan Ghost Facer.

“Zid, atuk tu kenal kau ke? Atau kau kenal atuk tu?” tanya Murazean apabila dia melihat pandangan atuk itu kepada Azidi lain macam sahaja gayanya.

Pertanyaan itu meletus ketika Aisy Yumni, Sazrin dan Edinur telah melangkah dahulu bersama-sama atuk itu untuk masuk ke dalam bangunan usang yang berada di hadapan mereka. Manakala Azidi, Murazean dan Nurhirmawaty pula masih jauh ketinggalan di belakang. Jadi memudahkan Murazean mengutarakan soalan cepumas buat Azidi.

“Mana ada. Kau mamai ke apa? Bila masa pula kami pernah bertemu? Merepek ajelah kau ni,” kata Azidi, menyangkal apa yang dikatakan oleh Murazean.

“Kalau dia tak kenal kau, kenapa dia tengok kau semacam aje seolah-olah ada sesuatu yang menarik perhatian dia pada kau?”

“Betul tu Zid, aku pun perasan juga. Seolah-olah dia mengenali kau dah lama. Kau orang ni ada rancangan apa-apa ke yang kami tak tahu? Kau jangan buat pasal Zid. Entah-entah kau nak penuhi permintaan Eyanz untuk menjadikan penyiasatan kali ni menyeramkan?” tembak Nurhimawaty.

Terhenti langkah kaki Azidi. Mencerlung marah Azidi memandang mereka berdua. Tambahan lagi apabila Murazean sudah tersengih-sengih.

“Hei, kau orang ni merepek apa hah? Kau jangan buat spekulasi macam-macam boleh tak Hirma? Aku tak kenal atuk tu. Manalah aku tahu yang Dato Adiff bawakan atuk tu untuk kita. Aku pun pelik juga dengan gaya pandangan atuk tu. Takkan aku nak tanya macam-macam. Biarlah dia nak tengok aku atau tak. Hisy!” ujar Azidi lalu melangkah dengan lebih laju lagi setelah menamatkan segala telahan mereka yang tidak benar tentang dirinya.

Nurhirmawaty dan Murazean masih tersengih-sengih. Jarang sungguh Azidi hendak marah-marah begitu. Kinimereka yakin Azidi tidak terlibat dalam sebarang rancangan untuk menjadikan penyiasatan mereka lebih havoc. Dengan senang hati mereka menerima tugasan kali ini.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku