ATUK
BAB 3: Penerangan Terhadap Kes Yang Akan Disiasat
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Disember 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
622

Bacaan






MATA Nurhirmawaty menjelajah setiap inci yang ada di dalam bangunan itu setelah masuk ke dalamnya. Hatinya berdebar-debar sahaja. Dia berasa tidak berapa enak namun perasaan itu masih cuba disembunyikan. Bangunan itu seolah-olah sudah lama terbiar. Ada juga usaha memasukkan eletrik dan air di dalam bangunan ini, namun kerja-kerja pengubahsuaian seakan-akan tidak dapat dilakukan. Berada di dalam bangunan ini tidak ubah seperti berada di dalam bangunan berhantu sahaja lagaknya. Entah-entah bangunan ini memang dihuni mahkluk halus dan hantu yang menjadi penginapnya.

Astaghfirullahalazim. Jauh benar fikiran aku tersasar. Maafkan aku ya ALLAH, getus hati Nurhirmawaty. Dia segera beristighfar panjang setelah membenarkan ion-ion negatif mengalir di mindanya sebentar tadi. Jauh benar minda Nurhirmawaty menelaah sesuatu yang tidak pasti. Sepatutnya dia tidak boleh berbuat begitu sedangkan mereka masih belum memulakan sebarang penyiasatan lagi. Satu hal lagi,anggota Ghost Facer tidak tahu bagaimanakah bentuk gangguan terhadap mereka yang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di situ. Tiada gambaran kerana tiada maklumat yang mereka dapat.

Nurhirmawaty menghampiri Aisy Yumni dan Azidi yang berada bersama dengan atuk tadi. Dia hanya mendengar sahaja soalan yang diajukan oleh ketua mereka itu sambil masih lagi memerhatikan keadaan di sekelilingnya.

“Apa sejarah bangunan ini atuk?” tanya Aisy Yumni sebagaimana soalan lazim di dalam siri rancangan mereka.

“Atuk sendiri tak pasti sejarah bangunan lama ini tetapi apa yang atuk tahu, bangunan ini dahulunya merupakan sebuah hospital. Hospital apa tidak dapat dipastikan,” jelas atuk itu.

“Adakah aktiviti paranormal yang sering berlaku di sini? Bolehkah atuk tunjukkan kami tempat-tempat di mana aktiviti paranormal itu aktif?” tanya Aisy Yumni lagi.

Manakala Azidi hanya mendiamkan dirinya. Aisy Yumni sendiri hairan dengan sikap sahabatnya itu. Azidi tidak pernah berkelakuan seperti itu sebelum ini.

“Boleh. Mari atuk tunjukkan pada kamu semua,” ujar atuk itu terus bergerak menuju ke ruang tamu bangunan lama itu.

“Di ruang tamu ini mereka yang datang untuk mengubahsuainya mendakwa sering melihat bayangan orang tua. Ada satu kes di mana mereka melihat seorang tua sedang duduk di kerusi usang ini sambil menonton televisyen yang tidak terpasang. Apabila mereka menegurnya, orang tua itu hilang tiba-tiba,” jelas atuk itu dengan terperinci sambil menunjukkan kerusi usang di mana bayangan orang tua itu kelihatan.

“Wah, menarik! Jarang sangat ada roh yang sudi menjelmakankan dirinya,” ujar Murazean yang menyampuk secara tiba-tiba.

Aisy Yumni dan Nurhirmawaty menjeling ke arah Murazean. Murazean kembali tersedar akan kesilapannya lalu mengunci mulutnya.

“Mari kita naik tangga ke atas. Sebenarnya bangunan ini hanya setingkat aje. Tetapi ada beberapa anak tangga yang memisahkan ruang tamu dengan bahagian atas yang merupakan bilik-bilik kosong. Bangunan ini bentuknya memanjang dan membulat. Jika kita pusing pun akan kembali ke tempat yang sama iaitu di ruang tamu ini,” jelas atuk itu menunjukkan bilik-bilik kosong kepada mereka.

“Apakah pula kes yang berlaku di bilik-bilik kosong ni?” tanya Azidi pula setelah sekian lama mendiamkan diri.

“Mereka yang datang ke sini untuk membaik pulih mendakwa, roh-roh orang tua kelihatan cukup banyak. Ada kalanya mereka seolah-olah dipaksa melakukan sesuatu di luar kemahuan mereka. Sebaik aje terlepas daripada cengkaman orang-orang tua itu, mereka terus melarikan diri dan tidak kembali lagi. Oleh sebab itulah kerja-kerja membaik pulih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Tiada siapa yang berani datang semula setelah melalui beberapa peristiwa di sini,” jelas atuk itu lagi dengan terperinci.

“Bangunan apa ni sampai banyak roh-roh orang tua yang muncul?” soal Nurhirmawaty apabila naluri ingin tahunya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.

“Atuk sendiri tak pasti. Mungkin bangunan ini merupakan hospital yang menempatkan orang-orang tua. Mungkin? Mari kita ke tandas pula,” ajak atuk itu.

Tandas itu seakan-akan tandas asrama yang dibina cukup banyak sekali. Mereka tidak tahu kenapa tandas seumpama itu dibina. Jika benar bangunan ini merupakan sebuah hospital, maka memang logik banyak tandas-tandas yang disediakan.

“Di dalam tandas-tandas ini mereka mendakwa sering melihat paip air terbuka sendiri walaupun tiada sesiapa di dalamnya. Mereka jugak mendakwa, kaki mereka seakan-akan dilibas sesuatu walaupun tidak ada apa-apa di sini. Kemasukan air baru aje dilakukan oleh Dato Adiff. Dengarcerita Dato Adiff ingin mendirikan sebuah pasar raya kecil di sini sebelum membangunkan rumah-rumah yang berdekatan bandar ini,” jelas atuk itu berkenaan aktiviti paranormal yang sering berlaku kepada pekerja-pekerja pembaik pulih.

“Mari kita ke dapur pula,” ajak atuk, membawa mereka turun semula, namun dengan pantas Nurhirmawaty menahan langkah kaki mereka. Mereka yang berada di situ memandang kehairanan ke arah Nurhirmawaty.

“Kenapa Ir?” tanya Aisy Yumni ingin tahu kenapa gadis itu menghalang mereka turun.

“Pintu yang berkunci tu pintu apa? Ia seolah-olah bahagian yang memisahkan ruangan ini dengan ruangan di sebelah sana. Tiada aktiviti paranormal ke yang berlaku di sana?” soal Nurhirmawaty memanah soalan maut itu kepada atuk yang kelihatan keruh air mukanya.

“Jangan sesekali masuk ke sana. Mungkin tiada gangguan yang berlaku di bahagian itu. Ingat pesan atuk,” ujar nada suara atuk itu tiba-tiba berubah sehingga meremang bulu roma Nurhirmawaty yang mendengarnya.

Bukan itu sahaja, malahan pandangan atuk itu juga amat tajam memanah tepat ke arahnya. Nurhirmawaty berasa tidak enak sekali.

“Mari,” ajak atuk itu sambil memberikan senyuman yang agak menyeramkan.

Nurhirmawaty menggosok-gosok pangkal tengkuknya.

“Di dapur ini mereka sering mendakwa seolah-olah ada satu kuasa yang memaksa mereka minum air kuning. Tidak tahu sumber air kuning itu dari mana. Mungkin air paip yang sudah berkarat. Itu aje aktiviti paranormal yang berlaku di bangunan ini. Atuk amat berharap agar kamu semua dapat membuktikan sesuatu sama ada bangunan lama ini harus dibangunkan ataupun tidak,” ujar atuk itu sambil tersenyum memandang ke arah mereka semua.

“Insya-ALLAH atuk, kami akan siasat dan mencari seberapa banyak bukti untuk dipersembahkan kepada Dato Adiff nanti. Beri kami beberapa hari untuk menyelesaikan kesini,” ujar Aisy Yumni lalu berjabat tangan dengan atuk itu sebelum atuk itu berlalu pergi dari situ.

Atuk itu mengorak langkah mahu keluar dari bangunan usang itu, tetapi Nurhirmawaty juga melangkah seiring dengan atuk itu sehingga menimbulkan kehairanan di benak atuk dan memaksa atuk itu memberhentikan langkah.

“Kenapa?” tanya atuk itu sambil memandang Nurhirmawaty.

“Atuk, bangunan ini memang tak pernah terjaga ke? Lusuh benar saya melihat keadaan di dalamnya seolah-olah menyimpan seribu satu rahsia. Betul ke atuk tak tahu apa-apa tentang sejarah bangunan ini atau atuk sengaja menyembunyikannya daripada kami semua?” soal Nurhirmawaty.

Pertanyaannya bagaikan dibawa angin lalu apabila atuk di sebelahnya sudah tiada. Masa bila atuk itu pergi, tidak pula Nurhirmawaty sedar. Baru sahaja matanya menjelajah semula keadaan di dalam bangunan, atuk di sebelahnya juga turut lenyap. Hairan sungguh Nurhirmawaty dibuatnya.

Eh, mana atuk ni pergi? Terus lesap. Pelik! Siapakah dia yang sebenarnya? Hati Nurhirmawaty terdetik. Dia menarik nafas panjang.

“Hirma, jom kita pasang peralatan kita cepat sebab malam nanti dah nak mula penyiasatan. Aku tak nak berlama-lama di sini. Tempat ni nampak betul-betul menyeramkan. Tak sama dengan tempat-tempat yang pernah kita pergi sebelum ni. Aku tak selesalah,” ujar Murazean terkocoh-kocoh menuju ke arah Nurhirmawaty yang berseorangan ketika itu sambil sesekali dia menggosok-gosok pangkal lehernya.

“Aku pun rasa benda yang sama. Tapi...” Kata-kata Nurhirmawaty yang terhenti itu memancing reaksi Murazean.

Murazean membuat pusingan 90 darjah berpaling kepada Nurhirmawaty. “Tapi apa?”

“Bukan permintaan kau ke nak penyiasatan kali ni lebih seram? Aku rasa mereka sedang tunaikan permintaan kaulah Eyanz,” ujar Nurhirmawaty, galak mengacah Murazean.

“Kau minta aku jangan celopar tapi kau celopar tak apa? Sudahlah. Jom buat kerja,” ujar Murazean, malas mahu melayan kerenah Nurhirmawaty yang ternyata sengaja mahu menakut-nakutkan dirinya.

Seketika kemudian, Nurhirmawaty mendapatkan Aisy Yumni yang sedang memasang kamera di tandas. Mereka akan merakam aktiviti-aktiviti yang terjadi di dalam tandas ini. Azidi pula sedang memasang kamera di bilik-bilik kosong. Edinur memasang kamera di ruang dapur dan Sazrin pula sedang memasang mini DV di ruang tamu. Murazean juga telah selesai tugasnya memastikan alat hubungan komunikasi mereka berfungsi dengan baik. Masing-masing tekun memasang peralatan berdasarkan lokasi yang atuk itu sebut tadi di mana terdapat aktivi-aktiviti paranormal.

“Aisy, Aisy tak rasa lain macam ke dengan jejak paranormal kita kali ni?” tanya Nurhirmawaty sambil membantu Aisy Yumni menyelesaikan kerja-kerjanya.

“Lain macam... macam mana?” soal Aisy Yumni kembali.

“Ir rasa tak sedap hatilah. Ir rasa seakan-akan ada sesuatu yang bakal berlaku pada kita,” ujar Nurhirmawaty melahirkan rasa tidak enak yang menyelimutinya sejak tadi.

“Tak ada apa yang lainnya Ir. Penyiasatan kita pasti sama dengan tempat-tempat lain yang pernah kita siasat. Selesai kerja, kita baliklah. Aisy yakin kita tak akan ambil masa yang lama selesaikan tugasan kita kali ni,” balas Aisy Yumni cuba memujuk Nurhirmawaty.

“Aisy, atuk tadi mana? Tiba-tiba sahaja dia lesap?” soal Nurhirmawaty inginkan kepastian sama ada Aisy Yumni nampak atau tidak atuk tadi keluar dari bangunan itu.

“Entah. Kami pun tak perasan masa bila dia keluar. Kali terakhir kami nampak dia dengan Ir tadi, kan?” soal AisyYumni sambil menatap wajah Nurhirmawaty yang cukup lembut dan cukup menenangkan hatinya.

“Ya. Dia dengan Ir tapi lepas tu dia lesap. Macam dibawa angin,” adu Nurhirmawaty.

“Dibawa angin? Merepek ajelah. Dah, jangan fikir yang bukan-bukan. Sekejap lagi dah nak malam ni. Kita harus bersedia dari segi mental dan emosi untuk melakukan tugasan yang diamanahkan. Ya?” pujuk Aisy Yumni lalu melangkah untuk meninggalkan bangunan itu.

“Aisy... Kerja kami dah selesai,” ujar Sazrin dan Edinur melaporkan pada Aisy Yumni.

“Bagus! Sekarang kita jumpa Diq pulak. Tanya dia sama ada video di dalam van kita tu berfungsi dengan baik ataupun tak,” ujar Aisy Yumni, mengajak mereka semua keluar dari bangunan usang itu sebelum mereka memulakan tugas sedikit waktu lagi.

“Diq, macam mana dengan rakaman kita nanti? Semuanya okey ke?” soal Azidi kepada Sodiqin yang tekun memastikan kamera-kamera yang dipasang menepati kehendak mereka dan para penonton dapat melihat dengan jelas akan aktiviti paranormal yang akan mereka rakamkan sebentar nanti.

“Semuanya beres. Kita ada beberapa kamera yang telah dipasang di dalam bangunan tu. Kamera 1 di bahagian ruang tamu yang jelas memperlihatkan keseluruhan ruang. Kita juga ada kamera mini DV yang akan membuat rakaman tambahan. Kamera 2 di pasang di dapur untuk melihat bagaimana air berwarna kuning itu muncul. Kamera 3 di bilik kosong. Kamera 4 di tandas yang akan merakam seluruh aktiviti sekiranya benar dengan apa yang didakwa. Penataan bunyi semuanya dalam keadaan baik,” ujar Sodiqin memberi laporan kepada Azidi dan kesemua mereka yang berada di dalam van itu.

“Bagus Diq. Sekarang kita boleh berehat dan solat. Selepas itu kita akan mulakan tugasan kita,” ujar Aisy Yumni memberi arahan terakhir sebelum menjelang malam.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku