ATUK
BAB 4: Siapa Yang Bawa Van?
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Disember 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
602

Bacaan






DIQ, kau jangan merayap pula. Pantau segala pergerakan kami di dalam bangunan lama tu. Kuasa elektrik rasanya cukup untuk rakaman kali ni. Kita bernasib baik kerana ada bekalan air dan elektrik,” arah Aisy Yumni bagi memastikan segala kerja rakaman mereka pada malam itu berjalan lancar. Dia tidak mahu ada cacat cela ketika penyiasatan bermula.

“Rakam setiap penjuru sudut yang kami lalui. Jangan tidur,” pesan Azidi pula sebelum memasuki bangunan usang itu.

“Beres bos. Jangan risau, kerja rakam-merakam ni serah saja pada saya,” balas Sodiqin yang sentiasa bersemangat jitu memberikan jaminan.

“Kau tak payahlah masuk ke dalam. Cukup pantau kami dari luar pagar bangunan ni,” pesan Edinur pula kepada Sodiqin. Sekali lagi Sodiqin menganggukkan kepalanya.

“Tak apa ke kalau saya tak masuk ke dalam?” soal Sodiqin inginkan kepastian daripada Azidi.

Entah kenapa dia sendiri terasa berat hati hendak masuk ke dalam bangunan usang itu.

“Tak apa. Asalkan ada kuasa elektrik yang cukup, itu sudah memadai untuk rakaman kita kali ni. Kalau tak cukup, kau nampak soket kat luar tu?” tanya Azidi menunjuk ke arah soket kuasa elektrik yang berada di luar bangunan usang itu kepada Sodiqin.

Sodiqin mengangguk.

“Bawa masuk van dan dapatkan kuasa eletrik di sana. Faham?” sambung Azidi semula.

“Faham bos!” jawab Sodiqin menunjukkan ibu jarinya kepada kumpulan mereka.

Aisy Yumni, Azidi dan Edinur tersenyum senang. Mereka yakin Sodiqin mampu menjalankan tugas dengan baik seperti rakaman yang dilakukannya sebelum ini.

Sodiqin mula memerhati pergerakan mereka di dalam bangunan usang itu melalui kamera-kamera yang dipasang siang tadi. Ketika asyik melihat pada rakaman yang sedang dipantaunya, tiba-tiba dia terasa van mereka sedang bergerak dengan amat perlahan sekali. Sodiqin tersentak. Hatinya berdebar tiba-tiba. Ritma jantung tidak sekata. Apakah ini hanya ilusinya atau van mereka benar-benar dipandu oleh seseorang dan sedang dibawa masuk ke dalam kawasan bangunan itu melalui pagar yang telah sedia terbuka luas.

“Takkanlah van ni berjalan sendiri? Kejap aku tengok anggota kumpulan aku ada di dalam atau ada yang nak main-mainkan aku,” ujar Sodiqin melihat pada kameranya yang berada di dalam van itu dan ternyata setiap anggota Ghost Facer masih berada di dalam sana.

“Kalau mereka berada di dalam bangunan usang tu, siapa pula yang bawa van ni?” Teka-teki masih bermain di minda Sodiqin.

“Entah-entah mereka saja pause kamera tak untuk main-mainkan aku,” ujar Sodiqin tidak puas hati lalu melihat kembali skrin kamera di dalam van mereka.

“Psiko. Tak guna betul. Aku tak nampak pun dia dalam kamera ni. Dia pesan kat aku jangan masuk. Alih-alih dia yang bawa van ni masuk,” ujar Sodiqin sambil dadanya berombak kencang menahan geram yang melanda hatinya bagaikan banjir kilat sahaja.

“Hei! Siapa yang bawa van ni?” jerit Sodiqin, bersuara lantang untuk menyedarkan Edinur bahawa dia tidak gentar dengan apa yang cuba jejaka itu lakukan.

Sebenarnya dia ingin mengikut permainan yang diaturkan oleh Edinur buat dirinya.

“Hei! Jangan main-mainkan aku boleh tak? Berhenti gerakkan van ni!” Sekali lagi Sodiqin menjerit lantang.

“Psiko, aku tahu kau sengaja nak dajalkan aku, kan? Berhentilah oii! Aku tak takutlah! Kau ni melampau betul!” jeritnya lagi. Amat lantang.

Jika ada orang yang berdekatan, sudah pasti akan terkejut mendengar jeritan Sodiqin ketika itu. Beberapa detik berlalu. Tiada sesiapa yang menyahut panggilan Sodiqin. Si pemandu yang disangkanya Edinur hanya membatukan diri.

Sodiqin sudah tidak tahan lagi dengan permainan seram itu lalu sekali lagi dia menjerit ke arah pemandu van yang sengaja ingin menakutkan dirinya.

“Sudahlah Psiko. Berhentilah dari menakutkan aku. Cara kau tak berkesan, okey!” Semakin lama semakin geram Sodiqin dibuatnya.

“Diq, kau panggil aku ke?” Tiba-tiba suara Edinur muncul di walkie talkieSodiqin menyebabkan jejaka itu menjerit kecil akibat terkejut.

Pantas Sodiqin melihat kembali ke arah skrin kameranya yang berada di hadapan. Muka Sodiqin tampak sangat pucat. Kalau bukan Edinur yang memandu van mereka ini, siapa pula yang sedang memandu? Sodiqin masih lagi terasa gerakan van yang sedang dinaikinya.

“Kau... kau... ada di dalam ke?” tanya Sodiqin dengan suara tersekat-sekat.

“Iyalah aku ada di dalam. Aku tengah periksa sekali lagi kamera yang kita pasang tadi. Aku nak penyiasatan kita ini berjalan lancar. Kenapa kau jerit nama aku?” tanya Edinur kehairanan.

“Tadi kau pergi mana, aku tak nampak pun dalam skrin?” Sodiqin masih ingin mencari kepastian.

“Aku ada di tandas betulkan kamera. Kenapa? Lain macam aje aku tengok kau ni?” tanya Edinur juga merasa pelik dengan sikap Sodiqin seakan ada sesuatu yang telah terjadi kepadanya.

“Sotong mana Sotong? Pastikan dia dengan kau orang di dalam sana,” ujar Sodiqin masih tidak puas hati. Dia tahu pasti antara mereka berdua yang ingin memain-mainkannya.

“Yuhuu... aku di sini. Kenapa kau cari aku? Rindu aku eh?” Tiba-tiba Sazrin muncul di sebelah Edinur.

“Tak kuasa aku nak rindukan kau! Kejap lagi aku datang balik. Aku ada hal,” Sodiqin tidak membuang masa lagi lalu dia terus terjun keluar dari dalam van itu. Dia mahu memastikan sama ada van itu benar-benar bergerak dengan sendiri atau itu hanya mainan ilusinya sahaja.

Sebaik sahaja Sodiqin berada di tanah, sekali lagi dia terkejut dalam kehairanan kerana van mereka kini betul-betul berada di halaman bangunan itu. Muka Sodiqin ternyata kelihatan amat pucat sekali. Sodiqin menggaru kepalanya yang sedikit gatal akibat peluh yang memercik ke seluruh anggota badannya.

“Apakah?” ujar Sodiqin perlahan dan tidak dapat meneruskan ayatnya. Dadanya berombak kencang. Dia cuba mengatur nafasnya sebaik yang mungkin.

“Allahuakhbar! Apa yang terjadi sebena

rnya ni? Bagaimana van ni boleh bergerak sendiri sedangkan mereka semua berada di dalam? Aku ingatkan Psiko atau Sotong nak main-main. Rupanya aku tersalah sangka.” Sodiqin bermonolog sendiri sambil mengesat peluhnya yang semakin merenik. Sekali lagi dia menarik nafas panjang. Air liur yangmenuruni rengkungnya bagaikan berpaku. Sukar sekali hendak mengalir ke dalam rengkungnya.

Mata Sodiqin menjelajah ke seluruh kawasan bangunan usang itu. Tiba-tiba matanya terpaku pada pintu pagar yang bermangga. Setahunya, pintu pagar itu tadinya terbuka elok, kenapa kini bermangga pula? Sodiqin harus mencari jawapannya.

Sodiqin berjalan dengan amat berhati-hati menuju ke pintu pagar bangunan usang yang bermangga itu lalu cuba membuka mangganya namun dia tidak berjaya. Pintu pagar itu seolah-olah sudah lama tertutup dan tidak pernah terbuka. Jika begitulah teorinya, bagaimana pula mereka berjaya masuk ke dalam sebentar tadi? Ini cukup mengelirukan dan mencelarukan fikiran Sodiqin. Sekali lagi helaan nafas yang amat panjang dilepaskan.

“Pelik betul. Bagaimana pintu pagar ni bermangga sedangkan tadi terbuka luas? Siapa yang menguncinya? Atuk tu? Takkanlah... Siapa pula yang pandu van tadi? Aduh! Kenapa aku rasa lain macam saja jejak paranormal kali ni? Hati aku tak sedap betul,” ujar Sodiqin sendiri. Dia terasa mahu pergi sahaja dari situ namun dia terikat dengan tugasan yang diamanahkan kepadanya.

Sodiqin terfikir sesuatu lalu dia mengatur langkah kakinya menghala ke pintu utama bangunan usang itu. Dia ingin menyertai rakan-rakannya yang berada di dalam. Kali ini dia tidak mahu menunggu di luar. Dia mahukan teman sekiranya dia terpaksa berjaga di luar. Tangan Sodiqin memulas tombol pintu bangunan usang itu. Tetapi tiba-tiba tidak boleh dibuka.

“Eh, pintu utama ni tak boleh buka! Siapa yang menguncinya sedangkan tadi aku tengok terbuka luas? Kenapa aku tak perasan benda ni semua?” Hati Sodiqin dipalu debar rasa yang tidak enak sekali. Debaran yang amat kuat terus bergendang di dadanya. Sekali lagi Sodiqin menelan liurnya yang terasa berpaku. Dia cuba mengatur corak nafasnya yang berterabur.

“Cuba sekali lagi Diq, kau pasti boleh masuk ke dalam,” Sodiqin cuba menenangkan dirinya sendiri lalu mencuba sekali lagi memulas tombol pintu itu. Ternyata ia berkunci. Langsung tidak boleh dibuka. Begitu juga dengan pintu-pintu masuk yang terdapat pada bangunan ini. Semuanya terkunci rapat.

“Sah! Pintu ni semua memang terkunci. Ya ALLAH siapa pula yang mendajalkan kami ni? Bagaimana semua pintu masuk ke dalam bangunan ni terkunci? Kenapa aku rasa tak sedap hati? Ya ALLAH, janganlah sesuatu terjadi pada kami semua. Sabar Diq. Sabar,” ujar Sodiqin cuba memujuk dirinya dan bermuhasabah seketika.

Sodiqin tidak berputus asa. Dia cuba pula untuk membuka tingkap bangunan usang itu namun sekali lagi dia tidak berjaya. Semua ruang-ruang untuk melepaskan diri seolah-olah terkunci rapat. Bangunan usang itu seolah-olah bernyawa dan tidak membenarkan mereka keluar dari situ. Sodiqin memejam matanya rapat-rapat untuk seketika. Nafasnya ditarik panjang kemudian dihela keluar. Beberapa kali dia melakukan hal demikian untuk menenangkan dirinya.

“Mudah-mudahan semuanya baik-baik saja. Cepatlah habis tugasan ni. Aku nak keluar dari sini. Tak sanggup aku berlama-lama di sini,” ucap Sodiqin masih lagi memujuk dirinya sebelum melangkah masuk semula ke dalam van untuk memantau pergerakan rakan-rakannya yang berada di dalam bangunan usang itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku