ATUK
BAB 5: Murazean Ambil Semangat
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Disember 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
582

Bacaan






PENYIASATAN

Bangunan usang di Bandar Awara.

9 malam.

“DIQ, kau nampak kita orang tak? Diq!” Murazean memanggil buah hatinya dengan bersungguh-sungguh apabila Sodiqin tidak menjawab panggilannya. Walaupun mereka berpasangan namun tiada panggilan manja yang digunakan. Mereka lebih gemar memanggil dengan panggilan ‘kau’ dan ‘aku’. Itu kemesraan bagi mereka jika ada yang mempersoalkan tentang panggilan yang sering mereka guna. Lain pasangan, lain pula caranya.

“Ya, ya, aku nampak. Mana yang lain?” tanya Sodiqin sedikit cemas.

Dia takut apa-apa terjadi pada Murazean. Dia tidak mahu Murazean cedera sedikit pun kerana dia sangat sayangkan gadis itu. Sodiqin cuba menyembunyikan apa yang dialaminya sebentar tadi dari pengetahuan Murazean. Dia juga tidak akansesekali memberitahu mereka bahawa dia sekarang berada di halaman bangunan usang yang pintu pagarnya terkunci kejap.

“Kau nampak ke apa yang aku tengah buat ni?” tanya Murazean sekali lagi kerana dia merasakan ada yang tidak kena pada Sodiqin.

“Ya, aku nampak. Tapi takkan kau seorang aje di ruang tamu? Bukan ke selalunya kau orang ditugaskan berdua?” tanya Sodiqin tidak sedap hati.

“Apa yang aku sedang buat?” tanya Murazean. Lain yang ditanya, lain yang dijawabnya.

“Kau pegang EMF meter, kan? Kau buat pembacaan di sana ke?” tanya Sodiqin kembali.

“Pandai pun. Aku sedang buat pembacaan pada EMF meter ni sama ada wujud entiti di sini ataupun tidak. Yang lain pula ada di tempat yang ditetapkan. Sekali sekala lakukan seorang diri, apa salahnya Diq. Barulah dapat feel gitu,” ujar Murazean masih mahu bersenda walaupun rakaman sudah bermula.

Feel sangatlah. Berani pulak kau seorang ya? Selalunya penakut bukan main lagi,” usik Sodiqin sudah mula selesa membalas gurauan daripada Murazean.

“Kali ni aku nak buktikan yang aku bukan penakut. Mula-mula dulu iyalah aku mengaku aku memang penakut tapi bila dah lama buat kerja ni, semangat aku semakin kental tau. Aku yakin, sebarang entiti yang ada di sini pasti akan berkomunikasi dengan aku,” ujar Murazean begitu yakin sekali dengan kata-katanya. Tiada rasa gentar yang menyelirat di dalam diri Murazean ketika itu. Apa yang ada ialah semangat waja.

“Jangan berani sangat. Aku risaukan kau aje. Kalau rasa tak sedap hati, terus dapatkan yang lain tau,” pesan Sodiqin lagi.

“Iyalah sayang,” balas Murazean sambil tersengih-sengih.

“Eh, kau jangan panggil aku sayanglah. Gelilah telinga aku dengar. Buang tabiat ke apa?” ujar Sodiqin mempamerkan reaksi gelinya.

Murazean yang mendengar suara Sodiqin hanya ketawa geli hati kerana dia dapat membayangkan bagaimana wajah Sodiqin ketika ini.

“Ada ke pula cakap aku macam tu. Eh Diq, kau okey ke ni?” tanya Murazean kembali apabila dia mendengar seakan ada yang tidak kena dengan nada suara Sodiqin.

“Aku okey. Kenapa kau tanya?” soal Sodiqin cuba mengawal suaranya agar tidak kelihatan terlalu cemas.

Dia tahu, Murazean sangat cekap menganalisa dirinya apabila ada sesuatu yang tidak kena.

“Tak adalah, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan suara kau. Cemas semacam kenapa? Semuanya okey kan, di luar sana?” soal Murazean yang memang pintar menangkap mood seseorang itu. Tiada siapa yang boleh menyembunyikan sebarang perasaan daripada gadis ini.

“Di luar ni semuanya okey. Kau jangan risau sangatlah. Cepat bereskan kerja di dalam, boleh kita keluar dari tempat ni secepat yang mungkin. Angin malam di sini buat aku meremang aje,” balas Sodiqin yang masih lagi menyembunyikan apa yang berlaku.

“Yalah. Aku pun tak sabar nak habiskan tugasan ni,” ujar Murazean sudah mengembalikan semangatnya semula setelah berbual dengan Sodiqin.

Begitulah dirinya yang harus berbual dengan kekasih hati terlebih dahulu sebelum meneruskan penyiasatan sesuatu kes yang diamanahkan kepada mereka.

“Eyanz, aku nampak Hirma macam tak duduk setempat. Ada aje tempat yang dia nak pergi. Cara apa pula dia gunakan kali ni? Peliknya aku tengok. Bukan macam kebiasaan,” tanya Sodiqin yang perasan akan tugasan yang dilakukan oleh Nurhirmawaty agak berlainan daripada kebiasaan.

“Alah Diq, Hirma tu biasalah. Naluri ingin tahu dia amat kuat. Kau kan tahu bagaimana dia bekerja. Jangan risaulah. Tahulah dia jaga diri,” balas Murazean.

“Eh Diq, tempat ni agak besar juga tau. Aku rasa antara banyak-banyak tempat yang kita pergi, tempat ni paling uniksekali. Aku dapat jangkakan, rakaman kali ni pasti meletup. Penonton mesti suka dan rating rancangan kita pasti akan naik tinggi,” ujar Murazean sudah membayangkan siri kali ini akan mendapat sambutan ramai.

“Meletup, meletup juga tapi kau tu kena hati-hati. Dah banyak kau buang masa ni. Pergi sambung kerja kau semula. Nanti marah pula si Aisy dan Zid,” kata Sodiqin seolah-olah menghalau Murazean agar menyambung tugasnya semula. Dia tidak mahu prestasi kerja Murazean menurun gara-gara mereka menjalinkan hubungan cinta.

“Baiklah Diq. Eh, rakaman ni tak payah siarkan. Nanti lain pula jadi ceritanya. Aku nak ambik semangat aje ni sebelum betul-betul mula. Okey Diq, aku nak sambung kerja aku,” kata Murazean meminta diri setelah puas berbual dengan Sodiqin.

“Yalah aku tahu. Nanti aku tapis. Semoga berjaya,” ucap Sodiqin meniupkan semangat buat Murazean.

Murazean menunjukkan ibu jarinya sebelum kembali serius dengan tugasnya. Sengaja dia minta menyiasat seorang diri pada malam itu untuk mengundang roh-roh yang tidak tenteram agar berkomunikasi dengan dirinya. Sepatutnya dia bersama dengan Nurhirmawaty tetapi atas kehendak dirinya sendiri, maka mereka berdua berpecah. Nurhirmawaty di bahagian lain, Murazean pula di bahagian lain.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku