Kekasihku anak bos!
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1846

Bacaan






Bab 2

Muadz Hazami membrek keretanya berberapa kali apabila melalui kesesakan lalu lintas. Dia membebel sendiri apabila terpaksa menempuh jalan yang begitu sibuk. Geram dengan kesibukan tersebut, Muadz Hazami memecut keretanya apabila berpeluang berbuat demikian. Tiba-tiba sebuah skuter yang berada di hadapan ditempuhnya. Mujurlah pelanggaran itu tidak sebegitu kuat.
Seorang gadis menjerit kecil sebelum berpaling kepada Muadz Hazim. Bibirnya diketap kemas. Belum sempat dia bersuara, kereta itu laju meninggalkan dirinya yang masih dalam keadaan terpingga-pingga.

“ Lelaki gila!” sungut Ellysa Qairina. Dia cepat-cepat berlalu apabila dihon beberapa kali oleh pemandu lain. Bayangan wajah lelaki sombong itu kurang jelas di ruangan matanya. Tanpa senyuman dan tanpa kata maaf membuatkan lelaki itu dicop sebagai manusia sakit jiwa! Tiada perasaan!
Ellysa Qairina sampai di sebuah pusat membeli belah. Pantas dia menghubungi Juliza Damia yang menunggu di situ. Sesekali dia memandang sekeliling. Tiba-tiba matanya terpandang sebuah kereta BMW berada di tempat parking kereta.

“ Sah! Kereta lelaki gila tu! Siaplah kau!” Ellysa Qairina pantas mengambil sebatang pen yang berada di dalam beg tangannya. Dia kemudian menulis sesuatu di atas bonet kereta. Habis calar kereta lelaki itu dikerjakannya. Belum sempat dia berlalu, seseorang menepuk bahunya dengan kuat.

“ Kau buat apa Ellysa?” Juliza Damia memandang dengan hairan. Ellysa Qairina yang terkejut kerana disergah berubah wajah. Dia mengurut dadanya apabila melihat gadis itu. Kus semangat!

“ Tak ada apa. Aku tengok kereta ni cantik! Jom..kita masuk! Aku nak cari bajulah.” Ellysa Qairina menarik tangan Juliza Damia. Gadis itu tertoleh-toleh melihat kereta mewah di belakangnya.

“ Betul kau tak buat apa-apa?” Juliza Damia was-was. Lain macam pulak minah ni!

“ Aku nak buat apa? Jomlah! Banyak cekadak pulak kau ni!” Ellysa Qairina mula tidak senang hati. Janganlah Juliza nampak! Kalau tak, mesti dia panggil aku dajjal! Nasiblah..

****

Muadz Hazami beriringan dengan Quezairy sambil mencuci mata. Sesekali pandangan nakal mereka menjengah perempuan-perempuan seksi yang berada di situ. Tak sesuai! Sempat Muadz Hazami memberi pandangan. Dia membelek-belek baju yang berada di hadapannya. Kemudian, dua helai t’shirt diambil dan dihulurkan kepada Quezairy yang turut leka memilih.

“ Kau dah dapat belum? Dah dapat, tolong bayarkan untuk aku,” Muadz Hazami menghulurkan sejumlah wang kepada Quezairy. Lelaki itu masih mencari tanpa mempedulikan kata-kata Muadz Hazami. Dia ralit mencari baju yang sesuai untuknya.

“ Apa kau kata Muadz? Kau nak belanja aku ke?” Quezairy mencapai sehelai baju yang rasa sesuai dengannya.

“ Bayarlah untuk kau sekali!” Muadz Hazami berlalu dan duduk di atas kerusi berhampiran. Matanya meliar melihat orang ramai yang lalu lalang di pusat membeli belah itu. Tidak lama kemudian Quezairy datang dengan senyuman sambil menunjukkan plastik yang berada di tangannya.

“ Aku punya empat helai..Nah kau punya!” Quezairy menghulurkan satu beg plastik kepada Muadz Hazami.

“ Kau tu pantang aku belanja. Ambil kesempatan!” Muadz Hazami bangun dan berjalan ke hadapan. Tiba-tiba matanya ternampak seorang gadis yang berada tidak jauh di hadapannya. Pandangannya lama melekat kepada gadis tersebut. Entah kenapa ada rasa debar di dalam dada. Adakah ini cinta? Uh, mustahil!

“ Cinta akan hadir tanpa diduga! Ia ibarat bunga yang sedang mekar berkembang di taman. Kau ibarat kumbang yang mula tersangkut pada kecantikannya!” Quezairy tergelak kecil dengan kata-katanya sendiri. Muadz Hazami menjeling sekilas sebelum mencebik. Kenyataan itu tidak sepatutnya ditujukan untuknya.

“ Banyaklah kau cinta! Itupun sekali pandang. Silap oranglah, kalau kau ingat aku macam tu! Sekarang, kau tengok ek!” Muadz Hazami berjalan pantas dan melanggar gadis tersebut. Sepantas kilat gadis itu jatuh ke atas lantai. Matanya tidak sempat menangkap wajah yang sengaja mendajalkannya.

“ Awak ni buta ke?” Ellysa Qairina menjerit kuat. Lelaki yang berpaling darinya seakan menyembunyikan wajah. Sombong dan berlagak! Ellysa Qairina mendengus keras. Dia mencari kelibat Juliza Damia. Kakinya terasa sedikit sakit. Mungkin terseliuh! Quezairy yang melihat pantas menutup muka dan menghampiri Muadz Hazami yang bersahaja.

“ Kenapa kau langgar dia? Kau sengaja cari nahaslah Muadz!” Quezairy masih menutup mukanya dari dilihat gadis di belakang mereka. Simpati pula dia melihat gadis itu yang masih belum berdiri.

“ Tempat ni luas! Kau tu yang ambil jalan aku!” Muadz Hazami menyerang balas. Quezairy kelihatan terpingga-pingga. Sawan ke apa mamat ni! Dia yang langgar, sekarang nak cari salah orang! Memang sengaja nak cari nahas!

“ Awak ni sombong dan berlagak kan? Bukannya nak minta maaf!” Ellysa Qairina benar-benar panas. Dia cuba mencuri pandang dua lelaki di hadapannya itu. Kemudian dia mengaduh kecil. Denyutan di kakinya membuatkan dia tidak dapat bangun dengan sendiri.

“ Minta maaf? Dengan perempuan? Silap besarlah!” Muadz Hazami bersuara sombong. Dia menjeling Quezairy yang berwajah pucat seraya mencebik.

“ Kalau ya kau tak suka perempuan, jangan jadikan aku mangsa! Kau ingat kau hebat sangat?” Ellysa Qairina benar-benar geram. Ingin ditonyohnya muka lelaki sombong itu. Entah jin mana yang merasuk pun dia tidak tahu.

“ Memang kau dah jadi mangsa aku! Perempuan skuter kan?” sindir Muadz Hazami tanpa perasaan bersalah. Ellysa Qairina mengetap bibir ketap-ketap. Tidak lama kemudian, kelihatan Juliza Damia berlari anak mendapatkan mereka. Hairan dia melihat Ellysa Qairina yang terduduk di atas lantai.

“ Apahal ni Ellysa? Siapa lelaki dua orang ni?” Juliza Damia cuba melihat dua jejaka di hadapannya itu. Kedua-duanya seakan mengelak dari mempamerkan wajah mereka.

“ Kalau kau nak suruh aku minta maaf, bodyguard aku akan lakukan! Nak duit pun boleh!” Muadz Hazami berlalu meninggalkan Quezairy yang terpingga-pingga.

“ Erk..sorry..” Quezairy ingin berlalu.

“ Kau pun sama kan? Aku akan..” Juliza Damia cuba menarik kolar baju lelaki di hadapannya itu. Pantas Quezairy berlari untuk menyelamatkan diri. Dia mendapatkan Muadz Hazami yang ketawa terbahak-bahak.

“ Kau ni sawan ke apa? Mujur aku tak dikaratenya budak dua orang tu. Kau pun satu, kata tak suka perempuan, tak suka cinta-cinta ni! Kononnya cinta boleh bawa ke neraka! Tapi tadi tu..” Quezairy membebel tanda protes dengan sikap temannya itu.

“ Bila masa aku jatuh cinta? Kalau aku jatuh cinta, aku sambar budak tu. Bukannya aku langgar! Dahlah,jom balik! Malas aku nak jumpa minah dua orang tu! Sakit mata!” Muadz Hazami keluar dari pusat membeli belah dan mendapatkan kereta mewah miliknya. Tiba-tiba matanya membutang luas melihat kesan calar pada bonet kereta.

“ Siapa punya kerja ni? Gila ke apa?” jerit Muadz Hazami sambil memandang sekeliling. Quezairy hanya mampu menggelengkan kepalanya. Siapa yang berani membuat kerosakan pada harta orang lain? Tak ke gila namanya!

“ Aku kalau jumpa lelaki tu, aku lanyak muka dia dengan lesung batu. Dahlah langgar satu hal, minta maaf pun tidak!” Elleysa Qairina mendapatkan skuternya dengan menahan sakit di kaki. Juliza Damia hanya mampu tersenyum mendengar bebelan gadis itu.

“ Muadz, perempuan tu!” ucap Quezairy sambil melindungkan mukanya dengan tangan.

“ Naiklah kereta! Kau datang tadi dengan teksi kan?” balas Muadz Hazami acuh tak acuh saja bunyinya.

“ Yalah teksi! Kereta aku masuk bengkel!” balas Quezairy sambil duduk di sebelah Muadz Hazami. Sesekali dia mencuri pandang kepada dua gadis yang berada tidak jauh dari mereka.

“ Kau tutup muka, duduk diam-diam!” arah Muadz Hazami sebelum memecut keretanya dan membunyikan hon dengan kuat apabila mendekati dua gadis itu. Hampir pitam Ellysa Qairina dan Juliza Damia apabila disergah sebegitu. Sempat mereka melihat kereta mewah meninggalkan kawasan itu.

“ Dasar gila!” sumpah Ellysa Qairina sambil menarik nafas panjang dan melepaskan dengan keluhan yang berat. Juliza Damia hanya mampu menggelengkan kepalanya. Tiada adab!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku