Kekasihku anak bos!
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1662

Bacaan






Bab 3

Ellysa Qairina memasuki rumahnya dengan kaki yang berjengket. Sakit kakinya menyebabkan dia mengaduh beberapa kali. Ellysa Qairina meletakkan beg plastik sebelum duduk di atas kerusi. Kakinya dilunjurkan ke atas meja kaca. Kelihatan sedikit bengkak di bahagian buku lali kaki kirinya. Pantas dia mengurut perlahan seraya membebel sendiri. Panas hatinya masih belum hilang dengan sikap lelaki yang dianggap kurang ajar. Sudahlah dia dilanggar sesuka hati, boleh pula lelaki itu memarahi dirinya. Sakit jiwa ke apa !

“ Macam nilah agaknya lagak orang kaya! Baru ada duit sikit, kereta mewah, poket tebal, buat orang lain macam tak ada hati dan perasaan! Siaplah kau, kalau aku jumpa sekali lagi. Aku tonyoh-tonyoh muka kau!” Ellysa Qairina membebel lagi. Dia menutup mata rapat-rapat sambil cuba membayangkan raut wajah lelaki itu. Namun kehampaan jelas terpamer di wajahnya. Lelaki itu hanya tahu mencari pasal tanpa menunjukkan wajahnya yang sebenar.

“ Apahal muka Lysa masam je mak tengok. Gaduh dengan Juliza ke?” Puan Hana yang datang dari dapur mula serkap jarang. Ellysa Qairina menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia memuncungkan mulut ke arah kakinya yang terasa sakit.

“ Kenapa dengan kaki?” Puan Hana menarik kaki anak gadisnya seraya membelek perlahan. Kelihatan sedikit merah dan bengkak di kawasan buku lali Ellysa Qairina.

“ Tadi, masa Lysa dan Juliza beli barang dekat satu pasar raya tu, ada sorang mamat ni, main langgar je Lysa sampai jatuh. Dahlah Lysa jatuh, dia boleh marah-marah Lysa. Dia kata Lysa ni buta tak nampak bila berjalan. Dia kata, kalau nak suruh minta maaf, cakap dengan bodyguard dia. Tak ke angin Lysa dibuatnya,” Ellysa Qairina seakan mengadu.

“ Sikit je ni. Mak sapu minyak panas, hilanglah nanti!” Puan Hana bangun dan mengambil minyak panas di atas rak televisyen. Kemudian dia menyapu minyak tersebut di kaki kiri Ellysa Qairina seraya mengurut perlahan-lahan.

“ Orang kaya ni memang sombong kan mak?” soal Ellysa Qairina perlahan. Air mukanya berubah riak. Rasa sedih bermukim di dada.

“ Tak semua..” balas Puan Hana singkat.

“ Tapi yang langgar Lysa ni memang tak ada perasaan. Mentang-mentang anak orang kaya, dia boleh buat apa saja yang dia suka. Kalau Lysa jumpa sekali lagi, tahulah nasib dia!” Ulas Ellysa Qairina dengan geram. Puan Hana tergelak kecil. Anak gadisnya itu ada juga sifat kerasnya.

“ Tak baik berdendam. Biarkan dia! Anggap dia tak sengaja.” Puan Hana memberi nasihat. Ellysa Qairina mngetap bibir sebelum menganggukkan kepalanya.

“ Ayah mana mak?” Lysa tak nampak pun dari tadi.” Ellysa Qairina sempat bertanya sebelum mengaduh kecil. Rasa berdenyut di kakinya cukup terasa. Apalah malang nasibnya berjumpa lelaki tidak cukup sifat pada hari itu. Tak suka perempuanlah konon! Agaknya perempuan sekeliling pinggang! Orang kaya, bukannya boleh dipercaya.

“ Mana lagi kalau bukan bawa teksi. Ayah Lysa tu bukan tahu duduk diam. Cari rezeki selagi mampu katanya,” Puan Hana seakan bersungut. Risau dengan suaminya yang sudah separuh abad. Selepas pencen dari askar, terus minta jadi pemandu teksi. Tak boleh duduk diam katanya!

“ Okeylah tu mak. Ayah tu rajin! Mak patut bersyukur dapat suami macam ayah tu. Bertanggungjawab! Sekarang, Lysa nak masuk bilik, kemudian nak mandi. Nanti Lysa tolong mak masak untuk makan malam. Okey!” Ellysa Qiarina tersenyum lebar seraya bangun. Hilang sedikit rasa nyilu di kakinya.

“ Betul nak tolong ni?” Puan Hana seakan menduga.

“ Yalah mak..Takkan Lysa bergurau pulak!” Balas Ellysa sambil mengucup pipi emaknya sebelum berlalu ke bilik. Ingatannya tiba-tiba beralih kepada lelaki itu. Dia mengerutkan dahi apabila memikirkan lelaki tersebut.

“ Dasar lelaki sombong!” Getus Ellysa Qairina sambil mencapai tuala yang berada di palang katil dan bergegas ke bilik air.

****

Setelah meletakkan kereta ke bawah garaj, Muadz Hazami pantas keluar dari perut kereta. Dia merenung keretanya yang tercalar di atas bonet. Matanya sekejap kecil sekejap dibesarkan. Hidungnya kembang kempis menahan kemarahan yang disimpan semenjak tadi lagi. Berani betul manusia yang mencalar keretanya sesedap rasa. Puas berdiri, Muadz Hazami duduk mencangkung sambil mengetap bibir. Dia menutup matanya rapat-rapat.

“ Berani betul, berani betul! Kalau aku dapat orang tu, aku siat-siat kulit dia. Ingat kereta aku ni kereta second hand ke apa! Nak baiki ni, mana ada duit! Minta dengan mama?? Aduh..” Muadz Hazami memicit kepalanya tanpa menyedari bibik Sarti di muka pintu. Wanita 40-an itu mengendap-ngendap sebelum mendapatkan anak majikannya itu.

“ Encik Muadz, Encik Muadz kenapa? Bibik nampak encik Muadz bagaikan sakit kepala gitu! Encik Muadz mahu saya bantu?” soal bibik Sarti sambil tersenyum malu-malu. Sebatang bulu ayam di tangannya dihayun-hayun ke kiri dan ke kanan. Naik berbulu pula Muadz Hazami melihatnya.

“ Bibik, boleh bibik tolong saya?” soal Muadz Hazami sambil tersenyum lebar. Dia mendekatkan dirinya kepada bibik Sarti yang cepat-cepat menganggukkan kepalanya. Merah padam muka bibik Sarti apabila anak bujang Dato’ Zahari itu merenungnya dengan senyuman.

“ Encik Muadz mahu bibik tolong apa ya??” Bibik Sarti tidak sabar ingin tahu. Bibirnya semakin lebar dengan senyuman.

“ Bibik masuk, buat kerja bibik. Masak untuk makan malam..Jangan sibuk nak kacau saya buat kerja!” Jerkah Muadz Hazami dengan geram. Terkejut beruk bibik Sarti mendengarnya. Dia mencebik sebelum mendengus keras tanda menyampah. Pantas dia berlalu meninggalkan Muadz Hazami yang merenung keretanya sekali lagi.

“ Ni mesti kerja budak skuter tu! Yes..mesti dia! Muka je nampak lembut, tapi hati berkarat!” Sumpah Muadz Hazami dengan geram. Belum sempat dia bersuara, kedengaran hon kereta dari Pak Abu selaku driver kepada papanya, Dato’ Zahari. Pantas Muadz Hazami menelan air liur. Pasti sekejap lagi bom atom akan meletup jika ayahnya melihat kereta tersebut.

“ Erm..tak keluar ke hari ni?” soal Dato’ Zahari sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Muadz Hazami yang berada di belakang turut mengikuti langkah papanya itu. Mereka dua beranak duduk di atas kusyen yang empuk. Sempat Dato’ Zahari menjeling anak bujangnya yang tersengih lebar tanpa suara.

“ Muadz baru je balik! Tadi keluar dengan Quezairy. Papa, Muadz nak cakap sikit ni!” Muadz Hazami tersenyum pula. Rasa gemuruh di dalam dada apabila berhadapan dengan orang tua itu. Walaupun lelaki separuh abad itu rapat dengannya, namun sikap tegas Dato’ Zahari membuatkan dia merasa segan.

“ Nak cakap apa?” soal Dato’ Zahari sambil memberi tumpuan kepada Muadz Hazami. Terkulat-kulat Muadz Hazami untuk menjawabnya. Dia bangun dari kusyen dan berjalan ke hulu ke hilir sebelum menjeling ayahnya yang asyik memandang.

“ Muadz nak pinjam sepuluh ribu! Boleh?” lancar kata-kata Muadz Hazami. Dia menarik nafas lega apabila berjaya mengungkapkan kata-kata tersebut. Dato’ Zahari merenung anak bujangnya dalam-dalam. Bibik Sarti yang membawa air kopi panas berwajah serius. Sakit hatinya dengan sikap Muadz Hazami sebentar sahaja tadi. Pantas air tersebut diletakkan ke atas meja sebelum mempersilakan mereka minum. Kemudian dia berlalu ke dapur untuk meneruskan kerjanya.

“ Sepuluh ribu? Nak buat apa? Nak kahwin?” soal Dato’ Zahari bertubi-tubi.

“ Kahwin? Mana cukup sepuluh ribu papa! Muadz nak baiki kereta. Nak cat baru, tukar radio baru, tayar baru..apa-apalah! Janji semuanya baru,” balas Muadz Hazami dengan penuh berharap. Dia kembali duduk merenung Dato’ Zahari yang termenung.

“ Muadz dah dua bulan, habis belajar! Jom kerja dengan papa. Papa tak nak Muadz buang masa!” Tekan Dato’ Zahari sambil mencapai secawan kopi. Dia menghirupnya perlahan. Aroma kopi itu cukup menyelerakan.

“ Muadz malas lagi nak kerja. Kalau kerja pun, mustahil dengan papa. Muadz nak cari kerja lain! Tapi..tolonglah, sepuluh ribu..boleh?” Muadz Hazami masih memujuk. Datin Zahara yang mendengar dua beranak itu berborak, datang dari arah bilik. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Muadz Hazami memang seorang yang boros!

“ Jangan terlalu memilih Muadz! Kerja je dengan papa,” sampuk Datin Zahara dengan geram. Anak bujangnya itu hanya tahu menghabiskan duit sahaja. Berjalan ke sana ke mari tanpa hala tuju. Entah keluar dengan perempuan pun mereka tidak tahu. Bila ditanya, cinta is nonsense!
Datin Zahara merenung wajah anak bujangnya. Muadz Hazami hanya tersengih lebar. Dia melurut rambutnya beberapa kali.

“ Kat pejabat tu, ada kerja kosong! Payah papa nak cari orang. Muadz kerja je dengan papa. Okey?” Dato’ Zahari menekankan suaranya. Muadz Hazami meraup muka. Payah betul nak bagi alasan! Yes..Quezairy! Dia tersenyum secara tiba-tiba.

“ Tentang kerja papa tak payah risau! Ni, Quezairy yang belajar sama Muadz ketika di luar Negara sedang cari kerja! Muadz kasihanlah tengok dia mama, papa. Adik beradik ramai! Keluarga susah! Kalau papa tak keberatan, papa ambillah Quezairy tu. Dapat juga papa pahala.” Muadz Hazami mencipta alasan. Raut wajahnya kelihatan begitu sedih apabila membicarakan tentang kesusahan Quezairy.

“ Muadz pula? Malas nak kerja?” Datin Zahara cepat-cepat menyampuk. Dia pasti Muadz Hazami bercakap bohong.

“ Bukan malas mama. Muadz nak cari kerja tempat lain! Nak berdikari. Bolehlah papa! Sepuluh ribu je!” Muadz Hazami masih berharap. Dato’ Zahari mendengus perlahan sebelum menganggukkan kepalanya. Sepantas itu Muadz Hazami melompat gembira sebelum menarik muka melihat bibik Sarti yang mencuri pandang.

“ Nanti suruh Quezairy pergi pejabat. Jangan lupa bawa sijil sekali.” Dato’ Zahari bangun untuk masuk ke bilik. Sekejap lagi azan maghrib akan berkumandang. Datin Zahara turut mengekori langkah suaminya. Malas dia melayan perangai anak bujangnya itu. Entah bila akan berubah!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku