Kekasihku anak bos!
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1382

Bacaan






Bab 4

Ellysa Qairina sampai awal ke pejabat. Dia pantas mencari kelibat Juliza Damia. Nyata gadis itu sudah berada di tempat duduknya. Tanpa salam, belakang Juliza Damia ditepuk dengan kuat diiringi gelak tawanya apabila melihat gadis itu melatah secara tiba-tiba.

“ Lysa...kau nak aku sawan ke apa?” Juliza Damia mengurut dada. Dia menjeling Ellysa Qairina dengan pandangan tajam. Gadis itu hanya bersahaja sebelum tersenyum lebar.

“ Erm..dah baik ke kaki kau tu?” Juliza Damia melihat kaki Ellysa Qairina sekilas.

“ Dah okey dah! Mak aku yang tolong urutkan. Orang lain yang buat salah, orang lain yang jadi mangsa!” Omel Ellysa Qairina sambil mencebik tidak berpuas hati. Dia memandang sekeliling. Masih ada staf yang belum sampai. Kelibat Dato’ Zahari selaku majikan mereka juga tidak nampak lagi batang hidungnya.

“ Dah tu, takkan nak suruh mamat tu urutkan! Kalau suruh pun, aku yakin takkan punya dia nak buat semua tu. Dah kata anak orang kaya! Sombonglah..apa lagi..” ucap Juliza Damia dengan geram. Ellysa Qairina hanya mampu menjungkit bahu sebelum berlalu ke tempat duduknya.
Jam di dinding sudah jam 9.00 pagi. Semua pekerja telah sampai ke pejabat. Ellysa Qairina menyiapkan kerjanya yang masih tertunggak. Sesekali dia mendengus kecil. Entah kenapa hatinya tidak senang. Kemudian matanya melihat jari manis kanannya. Sebentuk cincin terhias cantik di situ. Cincin yang menandakan dia secara rasminya telah menjadi tunangan orang. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, Ellysa Qairina merasakan dia bukan kepunyaan sesiapa! Hampir tiga bulan tiada berita daripada Irwan Hanif yang masih menuntut di luar Negara. Tiada panggilan telefon, mesej atau surat yang dikirimkan. Hanya kesepian di pihak lelaki itu mahupun di pihaknya sendiri. Irwan Hanif bagaikan tiada dari dulu sehingga kini. Pertunangan itu diterima apabila pihak lelaki datang melamar dirinya. Tanpa menolak, Ellysa Qairina menerima apabila kedua orang tuanya bersetuju. Cukup mudah dan ringkas!

“ Ellysa, nanti petang, ada pekerja baru masuk ke sini. Awak tunjukkan tempat duduk dia. Gantikan tempat Mirza. Apa yang dia tidak tahu, awak tunjukkan. Saya sibuk sekarang!” ujar Dato’ Zahari dengan senyuman. Pantas Ellysa Qirina menganggukkan kepala. Mujur majikannya itu tidak menyedari dirinya yang sedang melamun sebentar tadi. Jika tidak, pasti dia sendiri mendapat malu. Berangan je aku ni! Ellysa Qairina menggelengkan kepala beberapa kali sebelum menyambung kerjanya.

****

“ Kau lupa kau tunang orang?” Juliza Damia seakan menjerit. Pantas dia menutup mulut apabila beberapa orang memandang kepadanya. Ellysa Qairina hanya menganggukkan kepala seraya merenung cincin di jari.

“ Dah lama dia tak call aku. Tapi yang peliknya, aku sikit pun tak rasa sedih. Aku rasa aku bukan milik sesiapa. Maksud aku, bukan tunangan orang! Aku tak pasti, aku boleh jatuh cinta atau tidak pada dia.” Ellysa Qairina berterus terang. Air di hadapannya disedut lama. Orang ramai yang datang menjamu selera di restoran itu dipandang sekilas. Juliza Damia mencebik lama. Hairan juga dengan perhubungan seperti itu. Tanpa cinta, sebuah hubungan boleh berputik! Entah berkembang mekar atau tidak , dia sendiri tidak tahu.

“ Kau tak rasa dia ada orang lain? Sorry aku cakap, dia tu dah lama kat luar Negara! Mana tahu sangkut kat minah saleh ke. Tak pun, kawan tempat dia belajar. Kalau tak, mustahil dia boleh lupakan kau.” Juliza Damia memberi pandangan. Ellysa Qairina hanya mendengar separuh hati. Jika benar, gembirakan dia?

“ Yang tu aku tak tahu,” balas Ellysa Qairina perlahan. Hatinya merasa terdera dengan hubungan seperti itu.

“ Eh, kau jumpa lagi tak mamat yang langgar kau tu?” Juliza Damia tiba-tiba menukar topik perbualan. Malas dia berbicara tentang tunangan temannya itu.

“ Mana ada! Malaslah aku nak ingatkan lelaki senget sebelah tu! Dahlah, makan cepat. Waktu rehat dah nak habis ni. Lagipun, petang ni ada pekerja baru nak datang. Bos suruh aku yang handle!” Balas Ellysa Qairina seraya menyedut airnya yang masih berbaki.

“ Siapa?” soal Juliza Damia kedengaran teruja.

“ Entahlah! Tak ada pulak aku tanya bos,” Ellysa Qirina menjawab singkat. Dia merenung Juliza Damia yang begitu berselera menikmati makan tengaharinya. Setelah selesai, mereka membayarnya di kaunter.

“ Tentang lelaki yang kau cakap tu, dia memang anak orang kaya! Tapi oleh kerana dia anak orang kaya yang berlagak, aku dah bagi hadiah pada kereta kesayangan dia tu. Sekarang, agaknya tengah meroyan!” Ellysa Qairina tiba-tiba bersuara.

“ Maksud kau?” Juliza Damia tidak faham.

“ Aku dah calar bonet kereta dia dengan pen. Padam muka dia!” Ujar Ellysa Qirina dengan senyuman lebar. Juliza Damia kelihatan melopong mendengar kata-kata temannya itu. Berani betul minah ni! Sama-sama sawan dengan lelaki tu gamaknya! Alahai..kalaulah dijodohkan, alangkah bagusnya.

****

Quezairy membulatkan matanya luas-luas. Hidungnya kembang kempis mendengar penerangan Muadz Hazami. Terasa ingin dikungfunya lelaki yang tersenyum lebar di hadapannya itu. Ada ke patut kisah hidupnya direka cipta sedemikian rupa.

“ Ala..aku cakap kau orang susah. Apa salahnya! Lagipun, kau ingat senang nak kerja kat pejabat papa aku tu!” Muadz Hazami menjeling sekilas Quezairy yang mencuka.

“ Aku orang susah? Adik beradik aku ramai? Aku dengan abang aku dua beradik je, Muadz! Tentang kerja, bila masa aku menganggur! Tu kerja kat Shah Alam tu, gaji aku cecah Rm4000 tahu! Kerja dengan papa kau, silap haribulan Rm1000. Kau jangan macam-macam Muadz!” Quezairy benar-benar bengang. Payah berkawan dengan lelaki sengit macam ni!

“ Ala..bolehlah! Aku yakin, gaji kau lagi mahal kat situ. Nanti aku pujuk papa aku. Sekarang kau siap! Papa aku suruh kau masuk kerja hari ni tahu!” Balas Muadz Hazami acuh tak acuh sahaja bunyinya. Sekali lagi Quezairy terperanjat beruk. Mamat ni buat lawak ke apa!

“ Hari ni? Baru sekarang kau cakap! Kerja sana aku tak berhenti lagi, sekarang terus masuk kerja tempat baru? Pukul berapa?” soal Quezairy dengan geram. Pantas Muadz Huzaimi melihat jam di tangannya.

“ Dalam pukul 3.00 petang!” Jawab Muadz Hazami acuh tak acuh sahaja bunyinya.

“ 3.00 petang? Sekarang 2.10 minit! Malaslah aku nak layan kau ni Muadz!” Quezairy memasuki perut keretanya. Muadz Hazami tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

“ Yalah! Yalah! Kau menang. Tapi kalau gaji aku murah, aku tak akan kerja ofis papa kau tu! menyusahkan je!” Omel Quezairy dengan hati yang panas. Muadz Hazami tersenyum puas sebelum menunjukkan ibu jarinya kepada lelaki itu. Selesai! Getusnya perlahan.

****

Quezairy terjenguk-jenguk kepalanya di muka pintu pejabat Dato’ Zahari. Seseorang melangkah menuju kepadanya dengan senyuman. Sepantas kilat lidahnya terasa beku. Wajahnya kelihatan pucat tidak berdarah. Seakan ada hantu merenung di hadapannya. Quezairy tercegat di situ tanpa suara.

“ Encik, boleh saya bantu?” Ellysa Qairina melayang-layangkan jari jemarinya. Quezairy tersedar sebelum menganggukkan kepalanya beberapa kali. Dia teragak-agak untuk bersuara.

“ Dato’ suruh saya datang sini.” Quezairy bersuara perlahan.

“ Ooo..awak mesti pekerja baru tu kan? Masuklah! Saya tunjukkan tempat duduk awak!” Ujar Ellysa Qairina dengan ramah. Quezairy melangkah masuk ke dalam pejabat. Dia melemparkan senyuman paksa kepada staf yang berada di situ.

“ Pekerja baru ek?” Juliza Damia bertanya seraya merenung lelaki di hadapannya itu. Ellysa Qiarina menganggukkan kepalanya sedangkan Quezairy membutangkan matanya sebelum menelan air liur yang tersekat di kerongkong.

“ Ini tempat awak! Apa sahaja yang awak tidak tahu, bolehlah tanya saya atau sesiapa sahaja yang ada kat sini. Oh ya, siapa nama awak?” soal Ellysa Qairina dengan mesra.

“ Quezairy! Quezairy bin Azman!” Quezairy menyambung kata-katanya. Matanya sempat melihat sebuah meja kosong di tepi mejanya. Entah tempat duduk siapa tak tahu! Ellysa Qiarina pula menganggukkan kepala sebelum berlalu ke tempat duduk.

“ Lysa!” Panggil Juliza Damia seakan berbisik.

“ Apa dia?” soal Ellysa Qairina sambil berpaling kepada gadis itu.

“ Hensemlah mamat tu!” Balas Juliza Damia dengan senyuman penuh makna. Ellysa Qairina hanya mencebik dengan sikap temannya itu. Sesekali dia memandang Quezairy yang hanya menundukkan kepala.

“ Kau ejaslah dia! Sesuai sangat untuk kau.” Ellysa Qairina tergelak kecil. Juliza Damia masih memandang lelaki di belakangnya itu. Memang hensem! Getusnya perlahan. Quezairy yang perasan diperhatikan hanya tersenyum tawar. Habislah kau kali ni Quezairy! Muadz Hazami, mati kau aku kerjakan! Apa yang kau buat ni? Kau nak aku mati ke! Quezairy tidak senang duduk. Terasa begitu lambat masa berputar. Pasti berita yang akan dibawanya ini adalah berita yang terhangat dan tergempar.

Kring..kring..telefon Quezairy berbunyi kuat. Pantas nama Muadz Hazami dilihat di kaca telefon. Quezairy mengetap bibir dan menekan butang hijau dengan geram.

“ Amacam okey tak?” suara Muadz Hazami kedengaran ceria.

“ Kau campak aku ke kandang harimau ke Muadz?” soal Quezairy dengan suara yang keras.

“ Aik! Lain macam je bunyinya. Kau okey tak ni? Papa aku marah kau ke?”

“ Ni lebih dari tu! Kau memang..” Quezairy mengangkat mukanya apabila seseorang berdiri di hadapannya. Kelihatan Dato’ Zahari menjungkit kening dengan wajah yang serius. Quezairy tersengih lebar sebelum bangun mengadap majikannya itu.

“ Masuk bilik saya sekejap!” Arah Dato’ Zahari dengan tegas.

“ Baik Dato’!” Balas Quezairy dengan patuh. Dia kembali merenung telefonnya dengan geram sebelum melekatkannya di telinga.

“ Kau okey tak ni?” suara Muadz Hazami kedengaran jelas.

“ Aku okey kau tanya? Aku KO sekarang ni!” Talian diputuskan oleh Quezairy. Dia bergegas ke bilik Dato’ Zahari. Pantas pintu diketuk sebelum dia diarahkan masuk. Ruang bilik yang sederhana besar kelihatan kemas dan bersih. Bau haruman lavender turut mengisi ruang bilik tersebut.

“ Duduk!” Arah Dato’ Zahari kepada Quezairy yang masih tercegat di hadapannya. Lelaki itu kelihatan kemas dan segak. Sesuai benar jika berkawan dengan Muadz Hazami. Anak bujangnya itu tidak senang berkawan dengan lelaki selekeh. Tiada standard katanya.

“ Ya Dato’!” Quezairy tersenyum bagai dibuat-buat. Badannya terasa berpeluh walaupun bilik lelaki separuh abad itu begitu nyaman dan sejuk.

“ Panggil je saya uncle. Quezairy kawan baik kepada Muadz Hazami kan? Boleh tolong uncle pujuk dia untuk bekerja di sini?” soal Dato’ Zahari tanpa bertapis-tapis. Quezairy mendecit perlahan. Payah rasanya untuk memujuk anak Dato’ Zahari yang tidak suka mendengar arahan! Lelaki itu bukan suka mengikut telunjuk sesiapa.

“ Saya akan cuba uncle!” Balas Quezairy tidak pasti sebenarnya.

“ Terima kasih. Untuk permulaan, Uncle akan bayar gaji untuk Quezairy sebanyak RM 2500. Jika prestasi Quezairy okey, Uncle akan tambahkan lagi. Setuju?” Dato’ Zahari melempar senyum. Nyawa Quezairy bagaikan tersekat. Dia menelan air liurnya yang terasa tersekat di kerongkong. Rm 2500?? Apa aku nak makan! Alahai..Muadz Hazami, mati kau aku kerjakan!

“ Tapi Uncle…” Quezairy hilang punca untuk bersuara. Gaji itu terlalu rendah jika hendak dibandingkan dengan gaji di tempat dia bekerja sekarang.

“ Uncle tahu bayaran untuk permulaan tu terlalu banyak untuk awak, Quezairy! Tapi, Uncle simpati dengan kehidupan Quezairy sekeluarga. Apapun, Uncle harap, Quezairy kerja dengan rajin! Itu yang penting!” Tekan Dato’ Zahari mula kedengaran serius. Quezairy menganggukkan kepalanya bagaikan burung belatuk. Entah bagaimana untuk dia berterus terang dengan lelaki separuh abad itu.

“ Terima kasih uncle. Jika dah tak ada apa-apa, saya keluar dulu.” Quezairy bangun dengan lemah. Air matanya seakan ingin mengalir. Ingin rasanya dia menumbuk Muadz Hazami sehingga lumat. Sampai di muka pintu matanya tiba-tiba bertentangan dengan Juliza Damia. Pantas dia tersenyum lebar sebelum duduk di tempat duduknya. Pandangan gadis itu masih melekat kepadanya. Entah kenapa Quezairy merasa berdebar di dalam dada. Alahai..aku jatuh cinta ke! Mustahil! Tiada cinta untuk satu minit seperti mana kata-kata Muadz Hazami. Ah, Muadz Hazami bukan betul sangat! Berlagak je lebih! Sumpah Quezairy di dalam hati.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku