Kekasihku anak bos!
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1070

Bacaan






Bab 9

Petang itu Muadz Hazami terjenguk-jenguk dari dalam kereta di hadapan pejabat papanya. Entah kenapa hatinya tertarik mendengar cerita daripada Quezairy tentang perempuan yang dilanggarnya tempoh hari. Macam menarik! Getusnya perlahan. Tiba-tiba matanya menangkap tiga orang manusia keluar dari bangunan tersebut. Seorang lelaki dan dua orang perempuan! Lelaki itu tidak lainlah Quezairy teman baiknya. Dan dua gadis yang berada bersama Quezairy tidak lain tidak bukan adalah orang yang sama mereka jumpa di pusat membeli belah tempoh hari.

Quezairy nampak rancak berbual. Wajahnya tampak ceria dan gembira. Bercakap dengan awek katakan! Muadz Hazami merenung lama kepada gadis skuter yang asyik ketawa apabila Quezairy mengatakan sesuatu. Naik panas pula Muadz Hazami melihatnya. Cemburu? Ya dia rasa cemburu! Kenapa? Mungkin itu dinamakan cinta! No..

“ Jumpa lagi esok Quezairy. Seronok kami berbual dengan awak. Tak adalah sunyi sangat ofis tu kalau awak ada!” Tutur Ellysa Qairina dengan senyuman.

“ Jumpa awak esok ya! Jangan tak datang!” Lembut kata-kata Juliza Damia. Pantas Ellysa Qairina menyinggung bahunya.

“ Ya, jumpa esok! Hati-hati!” Pesan Quezairy sebelum berlalu untuk mendapatkan keretanya.

“ Quezairy..” panggil Muadz Hazami dengan kuat. Dia melambai lelaki itu beberapa kali. Pantas Quezairy mencari arah suara.

“ Erm..sampai sini kau cari aku! Apahal?” soal Quezairy acuh tak acuh sahaja bunyinya. Pantang benar dia jika ternampak lelaki itu. Suka benar cari pasal.

“ Tak adalah! Kau tu sibuk memanjang! Dah tak ada masa untuk aku. Lagilah sejak ada mata air dua orang tu! Lebar semacam je senyuman kau!” Muadz Hazami seakan tidak berpuas hati.

“ Bukan dua orang ya! Aku Cuma suka Juliza Damia! Cantik tak orangnya?” tanya Quezairy ingin tahu. Air mukanya berubah ceria.

“ Yang aku langgar tu?” soal Muadz Hazami.

“ Tu bukan Juliza Damia. Tu Ellysa Qairina!” Balas Quezairy.

“ Ellysa Qairina? Cantik! Secantik tuannya!” Puji Muadz Hazami tanpa sedar. Dia tersenyum secara tiba-tiba.

“ Cantik? So, kau dah tahu apa makna cinta?” sindir Quezairy sekadar menyedarkan lelaki itu. Tanpa cinta, hidup tidak akan berseri. Umpama pokok tidak berbuah!

“ Belum tahu lagi! Dahlah, jom kita minum!” Ajak Muadz Hazami seraya menghidupkan enjin kereta.

“ Aku rasa tak laratlah! Aku nak balik! Ni Muadz, kau kerjalah kat sini! Ada juga aku kawan. Aku tak kisah kau jadi bos aku sekalipun! Aku rela. Lagipun..kasihanlah dekat papa kau tu! Dia minta aku pujuk kau kerja dengan dia. Kau tak kasihan ke?” Quezairy seakan memujuk. Muad Hazmai merenung Quezairy sekilas. Kemudian dia tersenyum sebelum menganggukkan kepalanya tanda setuju.

“ Tapi..aku tak janji! Mana tahu, papa aku tak perlukan pekerja lagi. Sekarang, aku nak balik! Ajak minum kau tak nak! Banyak alasan!” Getus Muadz Hazami dengan geram. Dia mendengus perlahan tanda protes.

“ Sorry bro! Aku betul-betul penat ni!” ujar Quezairy serba salah. Badannya benar-benar terasa letih.

“ Okey tak apa. Aku gerak dululah! Lain kali kita minum! Time tu, jangan kau tolak pulak!” Balas Muadz Hazami seraya menarik pintu kereta.

“ Kau jangan merajuk pulak dengan aku!” Sempat Quezairy bersuara sebelum Muadz Hazami meluncurkan keretanya. Dalam perjalanan Muadz Hazami sempat masuk ke sebuah butik untuk mencari sesuatu. Selesai membeli, Muadz Hazami meneruskan perjalanannya. Tanpa dipaksa bayangan gadis skuter bermain di ruangan mata.

****

Seusai tiba di rumah, Muadz Hazami mengerutkan dahinya apabila melihat mama dan papanya merenung dengan tajam. Bibik Sarti yang turut berdiri di situ memandang Muadz Hazami dengan pandangan redup. Pantas Muadz Hazami menjungkit kening kepada bibik Sarti. Bibik Sarti pantas memuncungkan mulutnya kepada Datin Zahara dan Dato’ Zahari.

“ Kenapa?” soal Muadz Hazami tanpa suara. Hanya mimik mukanya yang dapat dibaca oleh wanita itu.

“ Katrina!” Balas bibik Sarti seakan berbisik. Dia kemudian memandang ke tempat lain apabila dijeling oleh Datin Zahara. Muadz Hazami mendecit perlahan. Pasti pasal perempuan tak cukup kain tu! Banyak bawa masalah! Muadz Hazami menyumpah di dalam hati sebelum duduk berhadapan dengan mama dan papanya.

“ Muadz, Mama nak tanya ni!” Tutur Datin Zahara sedikit keras. Dato’ Zahari hanya memandang seraut wajah anak bujangnya yang bersahaja.

“ Ya mama..mama nak tanya apa?” soal Muadz Hazami selembut mungkin.

“ Bibik! Bibik cakap apa kesalahan Muadz Hazami! Saya dan Dato’ nak dengar!” Kasar tutur kata Datin Zahara. Bibik Sarti terkebil-kebil sambil memandang Muadz Hazami yang membulatkan mata kepadanya. Aduh! Apa mahu cakap! Pasti Encik Muadz marah nanti!

“ Bibik!” Sergah Datin Zahara geram. Sempat pula orang gajinya itu mengelamun.

“ Iya Datin..Kesalahannya Encik Muadz kerana menghalau Cik Katrina sama teman-temannya Datin.” Bibik Sarti menelan air liur apabila Muadz Hazami memandang lama kepadanya.

“ Lagi??” tekan Datin Zahara tidak berpuas hati.

“ Lagi..Encik Muadz buat begitu kerana Cik Katrina marah sama saya. Saya tersiram Cik Katrina ketika siram pokok bunga,” bibik Sarti berterus terang. Datin Zahara mengetap bibir. Mengapa Muadz Hazami harus masuk campur!

“ Kenapa bibik buat macam tu? Bibik tahu tak, kerana perkara ni, saya dan Dato’ mendapat malu. Orang tua Katrina tu kawan baik saya dan Dato’! Sepatutnya, bibik minta maaf dengan dia.”

“ Saya sudah minta maaf sama Cik Katrina, Datin! Tapi Cik Katrina terus marah-marah. Encik Muadz bilang, Cik Katrina yang salah! Bukan saya!” Bibik Sarti bersuara tegas. Hilang rasa takutnya sebentar sahaja tadi. Muadz Hazami tergelak kecil sebelum berwajah serius apabila dijeling oleh Datin Zahara.

“ Sebab? Kenapa Katrina yang salah? Dia tetamu kita. Sebagai tuan rumah, kita wajib menghormati tetamu. Takkan tu pun bibik tak tahu!” Ulas Datin Zahara. Dato’ Zahari hanya menggelengkan kepalanya. Malas untuk masuk campur sebenarnya!

“ Mama, Muadz nak tanya boleh tak?” sampuk Muadz Hazami sambil tersenyum.

“ Apa dia?” Datin Zahara tidak senang melihat senyuman anak bujangnya itu. Banyak muslihatnya!

“ Sebagai tetamu, patut ke dia datang bertandang ke rumah orang tanpa memberi salam? Datang secara tiba-tiba dengan pakaian tak senonoh! Patut ke?” soal Muadz Hazami sambil merenung wajah bersih Datin Zahara. Wanita separuh abad itu hanya mencuka tanpa membalas.

“ Jangan kerana mama sukakan dia, adat dan budaya hilang begitu sahaja! Tadi, dia marah-marah Pak Abu! Cakap kasar dengan bibik! Mama rasa Katrina tu yang betul? Okeylah! Muadz dah letih, Muadz nak masuk bilik!” Muadz Hazami bangun untuk berlalu. Bibik Sarti tersenyum simpul. Di dalam hati dia mengutuk sebenarnya. Macamlah Encik Muadz tidak pernah berkasar sama saya!

“ Erm..ni Muadz belikan mama kain. Untuk bibik pun ada.” Beg plastik dihulurkan kepada mereka. Bibik Sarti tersenyum lebar.

“ Papa punya tak ada?” soal Dato’ Zahari setelah lama mendiamkan diri.

“ Papa punya lain kali! Ni kes perempuan!” Bisik Muadz Hazami sambil tersenyum lebar.

“ Encik Muadz ingat sama bibik! Terima kasih!” Ucap bibik Sarti sambil mengeluarkan sehelai tudung dari beg plastik. Muadz Hazami berlalu dari situ untuk ke bilik. Dia menarik nafas lega kerana terlepas dari bebelan mamanya.

“ Salah saya ke bang?” Datin Zahara kelihatan serba salah. Cerita yang didengar daripada Katrina tidak sama seperti yang didengarnya sebentar sahaja tadi. Kata Katrina, bibik Sarti sengaja mencurah air kepadanya.

“ Tulah! Lain kali siasat dulu! Awak suka marah dia sesuka hati. Tengok tu, awak dapat hadiah lagi. Awak tak kasihan ke si Muadz tu? Lagipun, Katrina tu bukannya boleh dipercaya sangat!” Ujar Dato’ Zahari menyalahkan Katrina pula.

“ Betul tu Datin!” Sampuk bibik Sarti sambil menganggukkan kepalanya. Dia kemudian mengenakan tudung di tangannya ke atas kepala.

“ Bibik! Jangan menyampuk! Pergi buatkan kopi!” Arah Datin Zahara dengan jelingan tajam. Bibik Sarti pantas menutup mulut dan bergegas ke dapur. Dia menyanyi kecil sambil memeluk tudung pemberian Muadz Hazami. Encik Muadz baik juga hatinya! Bisik bibik Sarti sambil tersenyum lebar

****

Lewat malam, Ellysa Qairina masih terkebil-kebil di atas tilam. Entah kenapa matanya payah sekali untuk dipejam. Wajah tunangannya bermain di mata. Entah apa khabar dia sekarang! Sihat ke? Sakit ke? Kenapa lama tak call aku? Ellysa Qairina berbisik sendiri. Atau betul kata Juliza Damia. Mungkin Irwan Hanif terpaut kepada perempuan lain ketika di sana. Mungkin juga tersangkut kepada minah saleh bermata biru! Jika benar, apakah perasaannya? Adakah suka kerana terlepas dari perhubungan yang terasa begitu hambar. Bagaimana pula maruahnya sebagai seorang perempuan? Diambil dan dibuang sesuka hati. Ya, Irwan Hanif yang memulakan perhubungan itu. Irwan Hanif yang memaksa orang tuanya datang melamar! Dan Irwan Hanif yang perlu membuat keputusan tentang hubungan mereka.

“ Hanif, kau dah lupakan aku ke? Kalau betul, kenapa kau tak berterus terang?” Ellysa Qairina bersuara sendiri. Penat dia memikirkan hubungan mereka yang entah bila akan berakhir. Dia kemudian mendengus kasar. Kain selimut ditarik dan bantal peluk dipeluk dengan kemas. Matanya terkebil-kebil memandang dinding sebelum dia terlena akhirnya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku