Kekasihku anak bos!
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1073

Bacaan






Bab 12

Dua hari Muadz Hazami tidak senang duduk. Ingatannya kepada Ellysa Qairina semakin kuat. Bayangan gadis itu seakan melekat terus di mata. Bayangan skuter gadis itu turut menghantui mimpinya. Tak boleh jadi! Parah ni! Muadz Hazami keluar dari bilik tidur. Dia mencari kelibat papanya. Bayangan lelaki separuh abad itu tiada di situ. Kemudian, Muadz Hazami ternampak Pak Abu yang sedang memotong daun pokok yang mula meliar.

“ Pak Abu!” Laung Muadz Hazami di muka pintu. Pantas Pak Abu berpaling sambil mengesat peluh yang membasahi mukanya. Dia menghampiri Muadz Hazami yang sedang menunggu.

“ Ya Encik Muadz. Ada apa Pak Abu boleh tolong?” Pak Abu merenung Muadz Hazami yang kelihatan tergesa-gesa.

“ Papa mana?” soal Muadz Hazami pantas.

“ Ooo..Dato’ pergi pejabat dah. Kenapa Encik Muadz?” soal Pak Abu dengan hairan. Lain benar perangai lelaki muda itu. Bukannya Muadz Hazami tidak tahu rutin harian papanya! Muadz Hazami mendecit perlahan. Dia mengetuk dahinya seakan berfikir.

“ Tak apalah Pak Abu!” balas Muadz Hazami sambil berlalu masuk ke dalam rumah. Dia memasuki dapur dan mengambil air mineral di dalam peti sejuk. Kemudian dia membuka tudung saji untuk melihat hidangan tengahari. Matanya membutang luas apabila melihat hanya dua botol kicap yang tergolek di situ. Muadz Hazami mengetap bibir ketap-ketap. Perutnya tiba-tiba pula berkeroncong hebat

“ Bibik memang nak kena! Suka buat kerja main-main!” Muadz Hazami melilau mencari bibik Sarti. Kelibat orang gajinya tidak kelihatan. Entah pergi melencong ke mana! Ni lah kalau bagi muka! Buat kerja sesedap hati!

“ Bibik…” jerit Muadz Hazami seraya menyising lengan bajunya. Dia mencari bibik Sarti serata rumah. Pak Abu yang mendengar hanya menggelengkan kepala. Anak majikannya itu sekejap sejuk, sekejap panas! Macam-macam! Fikir Pak Abu sebelum tersengih sendiri.

“ Bibik…” laung Muadz Hazami lagi sambil melangkah ke muka pintu. Belum sempat dia meneruskan lontaran bom atomnya, kelihatan Datin Zahara dan bibik Sarti tercegat di situ. Kemudian sengihan bibik Sarti menyakitkan hati Muadz Hazami yang tengah panas.

“ Apa ni Muadz terjerit-jerit macam orang sawan ni!” Datin Zahara memandang anak bujangnya dengan geram.

“ Bibik, bibik pergi mana? Saya lapar ni! Nak makan!” Tekan Muadz Hazami tanpa menghiraukan kata-kata Datin Zahara. Bibik Sarti mencebik melihat raut wajah Muadz Hazami yang tegang. Tak mesra alam langsung!

“ Mama dan bibik pergi makan kat luar. Datin Zainab pun ada sekali. Nak ajak Muadz, tidur sampai tak ingat dunia!” Belebel Datin Zahara sambil berlalu memasuki rumah. Bibik Sarti turut mengekori majikannya itu.

“ Makan kat luar dengan bibik? Kenapa bawa bibik sekali?” soal Muadz Hazami tidak berpuas hati. Bibik Sarti meluru ke dapur mendengar pertanyaan lelaki muda itu. Malas dia mendengar bebelan Muadz Hazami yang menyakiti hatinya.

“ Saja! Sesekali bawa bibik apa salahnya. Yang Muadz tak puas hati tu kenapa? Asyik nak cari salah bibik je!” Datin Zahara mengelengkan kepala sambil duduk di atas sofa. Kerenah anak bujangnya itu sentiasa menyakitkan jiwa.

“ Masalahnya, ada ke patut bibik tu letak botol kicap bawah tudung saji! Makanan langsung tak ada! Siapa tak naik angin! Bibik tu memang saja nak kenakan Muadz!” tutur Muadz Hazami dengan geram. Datin Zahara yang mendengar kata-kata anak bujangnya tergelak kuat. Seronok dia mendengar berita tersebut. Bagus bibik! Muadz ni kena diajar juga! Asyik makan, tidur! Itu sahaja yang dia tahu. Kerja malas!

“ Mama..mama janganlah bagi muka sangat kat bibik tu! Nanti naik kepala!” Tokok Muadz Hazami tanpa menghiraukan gelak tawa Datin Zahara. Dia duduk di sebelah mamanya dengan wajah yang mencuka. Mulutnya terkumat kamit tanpa mengeluarkan suara.

“ Yalah! Dah pergi dapur, mama dah bungkuskan nasi untuk Muadz. Lain kali, jangan asyik membuta je!” Balas Datin Zahara sambil berlalu meninggalkan Muadz Hazami yang terkebil-kebil.

“ Jaga kau, bibik!” Getus Muadz Hazami dan meluru ke dapur. Dia membuat mimik muka tidak berpuas hati dan menayangkannya kepada bibik Sarti. Wanita itu hanya bersahaja tanpa perasaan takut.

“ Sila makan Encik Muadz ya!” Bibik Sarti menuang jus oren untuk Muadz Hazami. Lelaki itu hanya menunjukkan muka tidak berpuas hati. Mungkin masih sakit hati dengan perbuatannya meletakkan botol kicap di bawah tudung saji tanpa sarapan.

“ Bibik, simpan balik botol kicap ni! Tak pasal-pasal saya mengamuk nanti.” Muadz Hazami menarik kerusi dengan kasar. Dia menjeling bibik Sarti yang mengambil kembali botol kicap dan menyimpannya di dalam peti. Kemudian wanita itu berdiri tegak di hadapannya dengan raut muka serius.

“ Encik Muadz, boleh bibik tanya satu perkara?” soal bibik Sarti sambil tersenyum. Geli hatinya dengan tindakannya sendiri.

“ Apa dia?” soal Muadz Hazami seraya menyuap nasi ke mulut. Malas dia melayan pembantu rumahnya itu. Sudahlah perutnya tengah meragam kelaparan, boleh pula wanita itu hendak berteka teki dengannya!

“ Boleh ke kita berkasar dengan orang yang lebih tua daripada kita? Apa hukumnya Encik Muadz?” bibik Sarti tersenyum sinis. Dia yakin soalannya kena pada tempat dan waktunya.

“ Bibik rasa?” soal Muadz Hazami kembali. Dia mendengus kasar. Malas dia menjawab soalan tersebut. Dia tahu, dia yang bersalah sebenarnya.

****

Katrina menari mengikut rentak lagu yang dipasangnya dengan kuat. Lagu dangdut nyanyian Mas Idayu memenuhi ruang biliknya yang bersepah. Ketukan pintu yang bertalu-talu membuatkan dia menutup radio serta merta. Pantas dia membuka pintu dengan wajah yang dibasahi peluh.

“ Katty, kenapa pasang radio kuat-kuat! Sekarang kan waktu zohor. Azan baru je lepas!” tekan Datin Zainab sambil mencuri pandang bilik anak gadisnya yang bersepah. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Macam tongkang pecah!

“ Katty bersenamlah mummy! Okey, Katty tahu bilik Katty bersepah. Bibik mana? Bibik…” laung Katrina seraya berlari menuruni anak tangga. Datin Zainab hanya menggelengkan kepala dengan sikap anak daranya itu. Keras kepala! Dia turut ke tingkat bawah apabila melihat Katrina memarahi bibik Nara. Air muka bibik Nara kelihatan berubah apabila dimarah bertubi-tubi oleh Katrina.

“ Cik Katty bagitahu bibik, jangan usik barang dalam bilik Cik Katty. Sebab tu bibik tak kemaskan pakaian Cik Katty.” Bibik Nara terketar-ketar untuk memberi jawapan. Katrina bercekak pinggang dan mengetap bibir dengan geram.

“ Sekarang saya beri arahan! Pergi bersihkan bilik saya sekarang! Selagi bilik tu tak kemas, bibik jangan pandai-pandai nak goyang kaki!” Katrina mengarah sesedap rasa. Bibik Nara menganggukkan kepalanya sambil berlalu. Datin Zainab menggelengkan kepalanya. Tidak wajar Katrina memarahi pembantu rumah mereka seperti itu.

“ Mummy pergi mana cantik-cantik ni?” soal Katrina sambil duduk di atas sofa. Dia mengambil remote televisyen untuk mencari siaran yang menarik.

“ Mummy baru balik makan dengan Datin Zahara. Mummy nak ajak Katty, Katty tidur lagi.” Datin Zainab turut duduk di atas sofa.

“ Erm..anak bujang dia yang berlagak tu ikut ke?” soal Katrina acuh tak acuh sahaja bunyinya. Dia merenung kaca televisyen yang menyiarkan filem Senario The Movie di Tv3. Sesekali dia mengelap peluhnya yang bermain di dahi.

“ Kenapa Katty cakap macam tu pada Muadz? Dengar kat Datin Zahara kan tak elok! Dah, Katty pergi mandi. Mummy tengok berpeluh-peluh tu!” Arah Datin Zainab. Katrina merenung wajah cantik wanita separuh abad itu. Dia mencebik apabila Muadz Hazami dibela oleh orang tuanya. Lelaki kurang ajar macam tu perlu dihormat! Taklah!

“ Muadz tu, lebih kurang ajar daripada Katty tahu Mummy! Perasan bagus! Tengoklah nanti, Katty akan pastikan dia tu sujud juga di kaki Katty nanti! Mummy tengoklah!” Ujar Katrina sambil berlalu dengan hati yang puas. Datin Zainab mendengus perlahan. Payah benar diajak berbincang! Hanya tahu mengikut perasaan! Argh..stress!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku