Kekasihku anak bos!
Bab 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1073

Bacaan






Bab 13

Hari merangkak senja. Irwan Hanif bersiul sambil melambung kunci kereta memasuki rumah. Belum sempat dia melangkah ke bilik, kedengaran suara Encik Razak berdehem beberapa kali. Puan Aleeza yang melipat baju di hadapan televisyen memandang Irwan Hanif yang berubah wajah. Pantas anak bujangnya itu melabuhkan punggung di atas kerusi. Berhadapan dengan ayahnya! Wajah tegang Encik Razak dipandang sekilas. Tiada langsung segarit senyuman di bibir orang tua itu. Irwan Hanif benar-benar merasa rimas.

“ Hanif dari mana?” soal Encik Razak sedikit keras. Dia merenung Irwan Hnaif dengan pandangan tajam.

“ Hanif baru balik jumpa kawan,” balas Irwan Hanif bersahaja.

“ Kawan atau perempuan?” tekan Encik Razak lagi. Puan Aleeza merenung anak bujangnya dalam-dalam. Siapa sangka anak bujang mereka yang penuh adat dan budaya berubah sikap sekelip mata.

“ Perempuan tu namanya Irna Arina! Hanif jumpa dia.” Irwan Hanif berterus terang. Panas juga apabila aktivitinya diambil tahu oleh orang tuanya. Merah padam muka Encik Razak dengan pengakuan berani anak bujangnya itu.

“ Bukan Ellysa Qairina? Sejak bila perempuan tu wujud dalam hidup Hanif? Macam mana dengan Lysa? Apa janji Hanif pada dia?” soal Encik Razak bertalu-talu. Puan Aleeza bangun dan duduk di sebelah Irwan Hanif. Jari jemari anaknya digenggam kemas.

“ Jangan buat Ellysa macam tu Hanif! Apa mak dan ayah nak jawab dengan mak cik Hana dan Pak cik Zarul? Hanif tak rasa bersalah ke?” soal Puan Aleeza pula. Irwan Hanif menatap wajah emaknya. Air mata wanita itu bergenang dan jatuh ke pipi.

“ Mak, Hanif dah tak cintakan Lysa! Mana boleh Hanif kahwin dengan dia! Lagipun, Hanif tahu, Ellysa tak akan marah! Dia bukannya cinta Hanif pun!” Jawab Irwan Hanif mencari alasan.

“ Hanif yang buat onar, Hanif pula pandai cari alasan? Tiga tahun bukan masa yang singkat Hanif! Lysa tu setia pada Hanif. Kenapa Hanif buta kerana perempuan tu! Apa yang Hanif belajar di luar negara tu? Cari perempuan!” Jerkah Encik Razak mula hilang sabar. Menggeletar tubuhnya menahan marah dengan sikap Irwan Hanif yang mementingkan diri sendiri.

“ Ayah, Hanif dah tak sukakan dia! Dia kena terima hakikat yang dia tidak sepadan dengan Hanif. Irna Arina tu belajar tinggi macam Hanif! Dia lebih layak jadi menantu ayah!” tekan Irwan Hanif dengan kasar.

“ Kurang ajar kau Hanif!” Satu tamparan melekat di pipi Irwan Hanif. Terkejut Puan Aleeza melihat tindak balas suaminya itu. Lelaki itu bercekak pinggang dengan wajah yang bengis.

“ Kau tahu tak Lysa tu anak kawan mak dan ayah kau! Kau juga yang tergilakan dia dulu! Sekarang, berani kau cakap dia tak setaraf dengan kau? Anak tak sedar diuntung!” Encik Razak mengurut dada. Pantas Puan Aleeza memegang suaminya.

“ Hanif nak putus! Untuk pengetahuan mak dan ayah, pak cik Zarul tu dah tahu dah Hanif ada perempuan lain! Dia suruh Hanif bawa mak dan ayah untuk putuskan pertunangan tu! Lepas ni, jangan paksa Hanif kahwin dengan Ellysa Qairina! Nama dia pun, Hanif tak nak dengar!” Balas Irwan Hanif sambil berlalu ke bilik. Encik Razak bersandar ke kerusi. Matanya merah menahan rasa sakit di hati. Dia mengucap berkali-kali agar hilang bebanan yang ditanggungnya saat itu. Zarul, aku minta maaf! Encik Razak menutup mata rapat-rapat.

“ Sabarlah bang. Kita marah dia sekarang, dia tak akan dengar! Hati dia dah ada orang lain. Bukan lagi Ellysa! Sudah-sudahlah tu!” Ujar Puan Aleeza seraya memandang suaminya. Dia memegang erat tangan lelaki itu dan menarik nafas panjang dan mengeluh perlahan.

“ Abang malu pada Zarul dan Hana!” bisik Encik Razak antara dengar dan tidak. Puan Aleeza termenung buat seketika. Macam-macam hal! Getusnya sendiri sambil bangun apabila azan maghrib kedengaran di udara. Dia mengajak suaminya untuk mengerjakan solat bersama-sama.

****

“ Hanif dah balik?? Bila?” terluncur soalan itu dari mulut Ellysa Qairina apabila diberitahu oleh Encik Zarul tentang kepulangan Irwan Hanif. Dia yang menyuap nasi ke mulut terhenti secara tiba-tiba mendengar khabar itu.

“ Bila bang? Saya tak dengar pun khabar tentang Hanif! Aleeza tu, tak adalah pula bagitahu saya. Kalau tak, dia yang sibuk bercerita.” Puan Hana memandang Ellysa Qairina yang menunggu jawapan daripada Encik Zarul. Air muka gadis itu kelihatan sedikit ceria.

“Hanif ada bagitahu Lysa?” soal Puan Hana ingin tahu. Ellysa Qairina menggelengkan kepalanya perlahan. Irwan Hanif langsung tidak menghubunginya untuk menghantar sebarang pesan.

“ Dua hari lepas. Dia naik teksi abang dari KLIA. Katanya dia sibuk mengulangkaji pelajaran. Tu tak ada masa nak hubungi kita!” Perlahan tutur kata Encik Zarul seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Air mukanya nampak muram dan tidak berseri.

“ Kenapa bang? Macam ada masalah je?” Puan Hana tidak sedap hati. Encik Zarul memandang Ellysa Qairina yang merenung tajam kepadanya. Tiada guna dia menyembunyikan sikap dan tingkahlaku Irwan Hanif. Bangkai gajah jika disorok, pasti diketahui juga akhirnya! Baunya pasti akan terhidu jua!

“ Hanif..dia ada perempuan lain!” Tutur Encik Zarul perlahan. Dum..Ellysa Qairina terasa ingin pitam mendengarnya. Tiga tahun dia menunggu dalam kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, akhirnya begitu mudah lelaki itu berpaling tadah. Cukup senang dan cukup mudah! Segala janji yang ditemerai kini terlerai sudah dengan kecurangan! Kecurangan dari pihak Irwan Hanif sendiri!

“ Mana ayah tahu?” soal Ellysa Qairina dengan keras. Anak matanya mula berkaca. Puan Hana mengeluh perlahan. Hati manusia cepat benar berubah! Dulu, Irwan Hanif yang merayu untuk memperisterikan anak gadisnya. Kini..semudah itu anak gadisnya dibuang!

“ Masa Hanif naik teksi ayah, perempuan tu ada sekali. Agaknya, sama-sama belajar kat sana. Ayah dengar, diorang nak bertunang tak lama lagi!” tokok Encik Zarul.

“ Budak tu dah gila ke apa? Berapa kali dia nak bertunang? Lysa ni, dia nak campak kat mana?” bentak Puan Hana mula beremosi. Ellysa Qairina menggigit bibir. Air mata mula bermain di kolam matanya. Terhina? Itulah yang dia rasai saat itu. Ketika cinta berkobar-kobar, sanggup merentasi apa jua halangan, lautan luas, gunung yang tinggi, bara api dan segalanya kononnya atas nama cinta! Kini, tanpa sebarang kesalahan dipihaknya, Irwan Hanif boleh berubah sekelip mata.

“ Mungkin esok lusa, dia akan datang untuk putuskan pertunangan. Ayah harap Lysa sabar dan berlapang dada. Anggaplah Lysa dan Hanif tiada jodoh.” Encik Zarul tenang selaku ketua keluarga. Ellysa Qairina mula menunduk. Dadanya seakan ingin pecah mendengar berita tersebut. Patutlah dia merasa tidak sedap hati. Rupanya Irwan Hanif bermain kayu tiga di belakangnya!

“ Tapi bang, Hanif yang lamar Lysa! Dia yang beria-ria. Sekarang..Lysa yang jadi mangsa. Memang kita yang salah sebab terima pinangan tu!” Balas Puan Hana dengan geram. Ellysa Qairina menarik tangan emaknya secara menggenggam kemas. Air matanya mula jatuh membasahi pipi.

“ Lysa okey mak! Mak dan ayah jangan risau. Ini yang terbaik untuk Lysa. Lebih baik Lysa ditinggalkan sebelum kami berkahwinkan? Hati yang mudah berubah, mustahil boleh menjadi pasangan yang setia kan? Soal Ellysa Qairina bangun dan meminta izin untuk masuk ke bilik. Puan Hana dan Encik Zarul hanya mampu memandang sesama sendiri. Selera mereka turut hilang melihat kesedihan di wajah anak gadis mereka.

“ Nanti abang jumpa Razak. Pasti dia terkejut dengan keputusan Hanif tu!” Encik Zarul mencelah kesunyian yang melanda mereka secara tiba-tiba. Puan Hana hanya menganggukkan kepala. Malas untuk ambil pusing lagi tentang perkara itu. Jika kata putus sudah diberi, tiada guna lagi mereka membunyikan gendang! Semuanya sudah tidak berguna lagi.

****

Di dalam kamar tidur, Ellysa Qairina menangis teresak-esak. Walaupun tiada cinta di hatinya untuk Irwan Hanif, tali pertunangan telah mengikatnya dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Tiada sesaat pun dia menoleh untuk mencari lelaki lain. Tidak walaupun sekali! Ellysa Qairina membelek jari manis kanannya. Sebentuk cincin terhias indah di situ.

“ Awak adalah anugerah TUHAN untuk saya. Saya yakin, awaklah penyeri hidup saya hingga ke syurga!” Tutur Irwan Hanif sambil menatap wajah Ellysa Qairina.

“ Terima kasih Hanif! Saya akan setia sedaya upaya saya. Cincin ni menjadi saksi yang saya dah jadi tunangan orang!” Balas Ellysa Qairina dengan senyuman.

“ Dan orang yang bertuah itu adalah saya kan? Tunang kepada Ellysa Qairina yang manis dan cantik!” Irwan Hanif mengeyitkan matanya. Ellysa Qairina tersenyum mendengar pujian itu.

Tut..tut..pesanan masuk menyedarkan Ellysa Qairina dari lamunan. Itulah kata-kata Irwan Hanif sebelum berangkat ke London untuk meneruskan pengajian. Semuanya hanya palsu! Getus Ellysa Qairina seraya mencapai telefon miliknya.

- Cik kak, dah tidur ke? – Juliza Damia

- Belum lagi. Kenapa? – Ellysa Qairina

- Tak ada apa! Saja aku nak ganggu kau! Tidurlah..Esokkan kerja- Juliza Damia

- Yalah..aku nak tidurlah ni! Assalamualaikum…- Ellysa Qairina

- Waalaikumussalam…- Juliza Damia

Ellysa Qairina membalikkan tubuhnya ke atas tilam. Dia menutup mata bagi menghilangkan resah di hatinya. Hari ini aku tunangan orang! Esok lusa, aku jadi bekas tunang orang! Aduhai…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku