Kekasihku anak bos!
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:
(13 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4784

Bacaan






Bab 15

Seawal jam 8.00 pagi, Quezairy telah sampai ke pejabat. Matanya melirik ke arah meja Ellysa Qairina. Kemudian matanya menangkap pandangan Juliza Damia kepadanya. Pantas gadis itu menunduk apabila reaksinya disedari. Dia berpura-pura menyusun fail yang berada di atas meja sambil mengumam sendiri.

“ Lambatlah pula Lysa ni! Biasa datang awal!” Rungut Juliza Damia tanpa menyedari Quezairy yang berdiri di tepi mejanya.

“ Sibuk nampak..” lembut sapaan Quezairy. Juliza Damia tersentak dan tersenyum lebar sambil mendongak kepalanya. Dia merenung seraut wajah tampan Quezairy sebelum lelaki itu berdehem beberapa kali.

“ Eh, awak! Tak adalah sibuk sangat. Ada apa yang boleh saya tolong?” soal Juliza Damia menutup malu. Gatal betul aku ni! Kang dia dah perasan!

“ Nak tanya boleh?” Quezairy tersenyum melihat Juliza Damia yang kelihatan gelabah.

“ Tanya? Boleh! Nak tanya apa?” soal Juliza Damia sambil tersenyum lebar.

“ Erm…Ellysa tu dah bertunang ke belum? Dengan siapa?” meluncur soalan itu dari mulut Quezairy. Juliza Damia kelihatan terpana. Mulutnya seakan beku untuk bersuara. Lelaki itu bertanya tentang Ellysa Qairina, bukan Juliza Damia! Alahai…

“ Awak??” Quezairy mengetuk meja beberapa kali. Juliza Damia menarik muka sedih sambil menjeling Quezairy sekilas.

“ Kenapa awak tanya? Tanyalah Lysa sendiri.” Juliza Damia menyusun barang-barang yang berada di atas mejanya walaupun tidak bersepah. Kemudian kedengaran seseorang memberi salam. Ellysa Qairina melangkah masuk dengan wajah yang muram. Tanpa menegur Juliza Damia dan Quezairy, dia melabuh duduk di atas kerusi.

“ Kenapa tu?” tanya Quezairy seakan berbisik. Juliza Damia hanya menjungkit bahu. Dia merenung wajah muram Ellysa Qairina. Pasti ada masalah! Getus Juliza Damia sendiri. Kemudian dia menjungkit kening kepada Quezairy yang masih tercegat di situ.

“ Apa??” soal Quezairy tidak faham.

“ Pergilah buat kerja! Jangan curi tulang!” Arah Juliza Damia sedikit keras. Quezairy membutangkan matanya sebelum tergelak kecil. Comel! Getusnya sendiri sebelum berlalu ke tempat duduknya. Kemudian dia mengeluh perlahan. Penyiasatan masih belum berjaya!

****

Ketika makan tengahari di sebuah restoran berdekatan pejabat, Ellysa Qairina memusingkan straw yang berada di dalam gelas beberapa kali. Pandangannya jauh ke jalan raya yang sesak dengan kenderaan bertali arus. Air mukanya yang tidak ceria dapat dihidu oleh Juliza Damia semenjak dari tadi lagi. Entah apa masalah, temannya itu hanya mendiamkan diri. Enggan bercerita!

“ Kau ada masalah ke Lysa? Cakaplah dengan aku, mana tahu aku boleh tolong.” Juliza Damia seakan memujuk. Sekilas mata Ellysa Qairina memandang gadis itu. Dia mengetap bibir sebelum kolam matanya dihiasi air yang jernih. Perlahan dia menganggukkan kepala, mengiakan soalan Juliza Damia.

“ Irwan Hanif, dia minta putuskan pertunangan kami.” Ellysa Qairina menitiskan air matanya saat itu. Pantas dia menyapu manik jernih itu agar tidak dinampak oleh mata lain. Berkali-kali dia menepis air mata yang semakin lebat menuruni pipi.

“ Lysa, aku minta maaf! Aku tak tahu. Kenapa secara tiba-tiba? Bila dia balik KL?” soal Juliza Damia ingin tahu. Wajah muram Ellysa Qairina direnung dengan rasa simpati. Sesekali dia melihat sekeliling kalau-kalau ada yang mencuri pandang kepada mereka.

“ Dah hampir seminggu! Dia ada orang lain. Tak lama lagi diorang akan bertunang!” Ujar Ellysa Qairina sambil menggigit bibir.

“ Bertunang? Jadi, kau ni siapa dengan dia?” soal Juliza Damia dengan geram.

“ Dia dah tak sukakan aku. Sebab tu dia campak aku sesuka hati! Masa nak, dipuja, tak suka, dibuang macam sampah. Aku, rasa terhina Juliza..” adu Ellysa Qairina. Dia mengambil beberapa helai tisu untuk mengesat air matanya. Juliza Damia menarik nafas panjang dan melepasnya dengan keluhan yang berat. Dia turut terasa kelukaan itu! Pasti ianya cukup dalam. Cukup untuk membuatkan hempunya hati merintih kecewa. Mudah benar sebuah perhubungan terputus hanya kerana hati yang rapuh dalam kesetiaan. Sanggup pula membina mahligai bahagia disaat ada insan lain yang tercalar hatinya.

“ Patutlah tidak terbuka hati kau untuk menyintai dia, Lysa. Kesetiaan kau yang membuatkan perhubungan kau dan Hanif berpanjangan sampai sekarang. Hanif tu kata cintakan kau, tapi hati dia boleh berubah! Sedangkan kau, tanpa cinta, kau masih boleh setia. Memang lelaki tu tak sedar diuntung!” Tekan Juliza Damia dengan marah. Ellysa Qairina termenung buat seketika. Mungkin betul kata-kata Juliza Damia. Jika cintanya kepada Irwan Hanif tinggi melangit, pasti dia akan lebih kecewa. Mungkin juga dia lebih merana kerana cinta!

“ Mungkin betul cakap kau tu. Sebaik-baik perancangan, perancangan ALLAH adalah yang terbaik. Aku akan cuba untuk lupakan semua benda ni! Aku nak fokus pada kerja!” Ujar Ellysa Qairina dengan yakin. Air matanya tidak lagi menitis. Senyuman manis pula yang menghiasi wajahnya saat itu.

“ Macam tulah! Buat apa kita nak menangis kerana orang yang tak sayang pada kita? Buang masa kan! Erm…Lysa, tadi..Quezairy tanya aku, kau dah bertunang belum! Siap tanya kau bertunang dengan siapa. Aku jelous tahu!” Juliza Damia tiba-tiba mengalih topik cerita.

“ Quezairy? Dia tanya macam tu?” soal Ellysa Qairina kelihatan tercegang. Kenapa tiba-tiba pulak mamat tu tanya aku bertunang ke belum! Dia suka aku? Mustahil!

“ Iyalah! Aku cakap dengan dia, tanyalah sendiri. Bila aku suruh sambung kerja, boleh pulak dia tergelak! Entah apa yang lucu pun tak tahu!” Juliza Damia mencebik.

“ Dia tahu kau cemburu tu! Dahlah, jom dah masuk waktu kerja. Nanti bos bising!” Ujar Ellysa Qairina seraya bangun diikuti Juliza Damia. Mereka bergegas meninggalkan restoran untuk masuk semula ke pejabat.

****

Tidak jauh dari pejabat Dato’ Zahari, kelihatan Muadz Hazami merenung Ellysa Qairina yang berjalan pantas memasuki bangunan pejabat. Wajah manis gadis itu sentiasa bermain di matanya sejak akhir-akhir ini. Kemudian dia menghubungi Quezairy setelah kelibat gadis itu hilang dari pandangannya.

“ Quezairy..” pantas Muadz Hazami memanggil apabila panggilan telefonnya dijawab oleh lelaki itu.

“ Apa hal kau telefon ni?” kedengaran suara Quezairy acuh tak acuh saja bunyinya. Penat dia melayan lelaki itu. Suka sangat memberinya arahan. Kalau dibayar gaji, bolehlah dia mengadap arahan lelaki itu setiap hari! Ini tidak, banyak sangat songehnya!

“ Kau dah buat apa yang aku suruh?” soal Muadz Hazami kedengaran serius. Dia ingin tahu maklumat tentang Ellysa Qairina secepat mungkin. Jika tidak, hatinya tidak senang dan tenang.

“ Apa yang kau suruh? Aku lupa la!”

“ Pasal Ellysa Qairina! Kau ni kenapa? Muda-muda dah hilang ingatan!” Muadz Hazami melepas kata tanpa bertapis.

“ Oo..pasal Lysa. Aku tengah siasatlah ni! Tadi aku tengok muka dia monyok semacam je! Nanti aku dah habis siasat, aku bagitahu kau! Jangan risau!” balas Quezairy seakan berbisik.

“ Siasatlah cepat sikit! Nantikan terlambat, aku juga yang makan asap!” Balas Maudz Hazami dengan geram. Dia mendecit perlahan tanda tidak berpuas hati. Risau di hatinya jika gadis itu telah berpunya. Dia juga yang akan merana atas nama cinta.

“ Maksud kau, kau dah jatuh cinta betul-betullah dengan minah ni? Hebat! Apa kata, kau datang je kerja kat sini? Kau kan bos!” Saran Quezairy seakan menghasut.

“ Tengoklah nanti.. Okleylah! Jangan lupa info pada aku!” Arah Muadz Hazami sebelum memutuskan panggilan. Kemudian dia merenung lama pejabat papanya itu. Kerja atau tidak? Aduhai..apa papa cakap nanti! Kalau kerja, kerja apa yang papa akan beri. Erm…mungkin sebagai bos! Bertuahlah!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku