Kekasihku anak bos!
Bab Bab 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1625

Bacaan






Bab 17

Kehadiran Encik Razak dan Puan Aleeza pada hari itu membuatkan hati Ellysa Qairina menjadi sebu. Air matanya cepat benar mengalir. Kehadiran mereka kali ini bukan untuk berbincang tentang perkahwinan atau hubungan yang bakal mengeratkan lagi hubungan kedua pihak. Kehadiran mereka hanyalah untuk memutuskan ikatan yang masih belum terputus. Putuskan pertunangannya dan Irwan Hanif! Puan Hana dan Encik Zarul menyambut kehadiran mereka dengan senyuman. Tetamu adalah wajib dilayan sebaiknya. Apatah lagi tetamu itu adalah jiran sekampung yang amat rapat sehingga sekarang. Mereka tidak bersalah sama sekali. Irwan Hanif yang bersalah kerana menabur janji semanis madu. Dia yang memulakan perhubungan dan dia yang mengakhiri perhubungan tersebut.

“ Maafkan kami Zarul. Kami tak sangka begitu sekali sikap Hanif. Kalau ikutkan kami, kami tak bersetuju dengan keputusan dia. Dia yang nak bertunang dengan Lysa, sekarang dia pula yang buat perangai! Kami malu sangat-sangat Zarul.” Encik Razak bersuara kesal. Puan Aleeza yang berada di sebelah Puan Hana menangis teresak-esak.

“ Dahlah! Bukan salah kauorang pun! Dah Hanif tak suka Lysa dah, nak buat macam mana. Aku dengan Hana tak salahkan kamu berdua. Yang putus, putuslah! Jangan kita pula bermasam muka. Lagi pun, aku tahu Lysa boleh terima semua ni.” Encik Zarul menenangkan perasaan mereka walaupun hatinya turut terkilan dan kecewa. Besar harapannya dapat berbesankan kawan baiknya itu. Namun apa boleh dibuat, perancangan ALLAH adalah yang terbaik! Mungkin jodoh Ellysa Qairina dengan lelaki lain. Lelaki yang lebih baik daripada Irwan Hanif.
Ellysa Qairina menganggukkan kepalanya mendengar kata-kata Encik Zarul. Dia menitiskan air mata seraya melempar senyum kepada Puan Hana yang merenung kepadanya. Pantas wanita separuh abad itu memeluknya dengan erat. Air mata mereka berhemburan disaksikan mereka yang ada.

“ Maafkan makcik, Lysa! Makcik tak sangka Hanif sanggup buat Lysa macam ni!” Esakan Puan Aleeza semakin kuat.

“ Mak cik dan pak cik tak salah! Lysa terima semua ni dengan hati yang terbuka! Mungkin Lysa tak layak untuk Hanif!” Suara Ellysa Qairina kedengaran dalam tangisan.

“ Dahlah Leeza. Kami tak salahkan kamu berdua pun! Anggaplah mereka tak ada jodoh! Hanif tu pun, kami dah anggap macam anak sendiri. Kamu berdua janganlah salahkan dia. Tertekan dia nanti.” Puan Hana seakan memujuk. Ellysa Qairina bangun dan masuk ke dalam bilik. Sebentuk cincin berada di tangannya dihulurkan kepada Puan Hana. Semakin kuatlah wanita itu menangis.

“ Makcik, Lysa pulangkan cincin ni kembali. Beri pada Hanif. Cakap pada dia, Lysa minta maaf kalau Lysa ada buat salah selama ni! Lysa doakan Hanif dapat perempuan yang jauh lebih baik daripada Lysa!” Ucap Ellysa Qairina sebelum berlalu kembali ke dalam bilik. Air matanya semakin lebat dan tumpah membasahi pipi. Dia kini telah bebas sebebasnya dari insan bernama Irwan Hanif. Biarlah lelaki itu mencari kebahagiaannya sendiri. Bahagia setelah melukakan hatinya yang setia!

****

Di halaman rumah, Irwan Hanif menunggu kepulangan orang tuanya. Besar harapannya agar pertunangannya dan Ellysa Qairina berakhir secepat mungkin. Malas dia melihat Irna Arina yang yang sentiasa meragui kesetiaannya. Cintanya kepada gadis itu terlalu dalam. Mustahil dia mampu kehilangan Irna Arina yang begitu sempurna di matanya. Tidak lama kemudian, kelihatan kereta milik ayahnya masuk ke halaman rumah. Tergesa-gesa Irwan Hanif mendapatkan mereka dengan senyuman.

“ Dah selesai ayah?” soal Irwan Hanif bagaikan tidak sabar untuk mengetahuinya. Wajah sembap Puan Aleeza tidak dihiraukan. Air muka Encik Razak yang kelihatan tegang juga tidak menggugat perasaan ingin tahunya.

“ Puas hati kau kan? Malukan ayah dan mak! Apa jenis manusia kau ni Hanif! Tak ada perasaan langsung!” Jerkah Encik Razak dengan menggempal tangannya menahan geram.

“ Apa yang mak dan ayah nak malu? Memang kami tak ada jodoh! Ayah kena terima hakikat tu!” Ujar Irwan Hanif tanpa merasa bersalah.

“ Memang kau ni tak kenang dek untung! Kurang ajar punya anak!” Marah Encik Razak sampai kemuncaknya. Satu tamparan diberikan kepada Irwan Hanif. Hampir terbalik lelaki itu ke belakang. Pantas Puan Aleeza menarik suaminya. Risau sesuatu yang lebih buruk akan berlaku.

“ Apa yang pakcik Zarul tu buat sampai ayah sanggup pukul Hanif! Baik sangat ke dia!” Jerit Irwan Hanif sambil menyapu bibirnya yang berdarah. Seumur hidup dia tidak pernah dipukul oleh orang tuanya. Tapi kerana keluarga Ellysa Qairina, dia mendapat habuan itu. Cukup mudah!

“ Pakcik Zarul dan makcik Hana kamu tu yang bantu ayah ketika kamu nak sambung belajar ke luar negara tu! Pakcik Zarul sanggup jual tanah kebun dia untuk tolong ayah! Kamu tanya apa kebaikan dia? Kenapa kau tak tanya apa kebaikan kamu yang kamu buat untuk mak dan ayah?” tanya Encik Razak sambil berlalu memasuki rumah. Puan Aleeza hanya menganggukkan kepalanya apabila Irwan Hanif meminta kepastian.

“ Berubahlah Hanif! Jangan jadi anak derhaka!” Tekan Puan Aleeza seraya meninggalkan Irwan Hanif yang tercegang. Anak derhaka?? Irwan Hanif meraut mukanya. Bukan itu niatnya! Tidak, bukan itu yang dia ingingkan! Apa yang dia mahu saat itu ialah memiliki Irna Arina. Adakah itu salah! Ya ALLAH..Irwan Hanif terduduk. Kesal!

****

Setelah puas menangis, Ellysa Qairina membuka laman facebooknya. Pantas dia mengedit semula statusnya. ‘ Single’ selepas memadamkan perkataan ‘ got engaged’. Kemudian dia menarik nafas panjang-panjang dan melepaskannya perlahan.

“ Aku kena kuat! Irwan Hanif bukan diciptakan untuk aku!” Ellysa Qairina bersuara sendiri. Dia kemudian mengambil album yang berada di dalam laci. Gambar pertunangan dengan Irwan Hanif dilihat satu persatu. Senyuman lelaki itu ternampak tulusnya saat itu. Cinta yang diinginkan akhirnya menjadi miliknya tanpa sebarang bantahan.

“ Lysa..Lysa…” kedengaran Puan Hana memanggil Ellysa Qairina dari luar. Pantas Ellysa Qairina bangun dan membuka pintu bilik.

“ Ada apa mak?” soal Ellysa Qairina sambil menatap wajah emaknya.

“ Mak risau kalau Lysa tak okey! Lysa okey tak ni?”

“ Lysa okeylah mak. Mak jangan risau! Lysa boleh terima semua ni. Sekarang Lysa nak berehat. Tenangkan fikiran! Mak jangan fikir bukan-bukan.” Ellysa Qairina melempar senyum. Puan Hana menganggukkan kepala seraya meninggalkan anak gadisnya yang melangkah masuk semula ke bilik.

“ Alhamdulillah..Lysa boleh terima semua ni!” ucap Puan Hana ke ruang tamu. Dia menarik nafas lega seraya mendapatkan Encik Zarul yang sedang menonton televisyen.

“ Erm..macam mana?” soal Encik Zarul.

“ Lysa okey bang! Mujur dia tak buat perkara bukan-bukan.” Puan Hana duduk di sebelah suaminya. Dia merenung kaca TV. Hatinya mula tenang. Setenang-tenangnya!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku