Kekasihku anak bos!
Bab Bab 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Disember 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
419

Bacaan






Bab 18

Malam itu, Muadz Hazmai tidak senang duduk. Sekejap dia bangun, sekejap dia duduk macam cacing kepanasan. Dato’ Zahari dan Datin Zahara yang melihat gelagat anak bujang mereka mengelengkan kepala. Entah apa yang difikirkan sehingga begitu sekali lagaknya. Bibik Sarti yang asyik melipat baju turut mencuri pandang. Geli hatinya! Sempat dia mengetawakan Muadz Hazami sebelum menutup mulut apabila mendapat jelingan maut lelaki itu.

“ Apa bibik gelak-gelak! Bibik tengok saya tengah buat lawak ke?” soal Muadz Hazami sambil menggaru kepalanya.

“ Dah Muadz tu ke hulu ke hilir macam orang nak beranak. Tak ke pening bibik tengok! Muadz kenapa? Ada masalah ke?” tanya Datin Zahara sambil menepuk peha suaminya yang asyik melihat televisyen.

“ Abang pun dari tadi tengok Muadz tu! Entah apa yang difikirnya. Nak kata fikir pasal kerja, belum ada kerja! Entah-entah, nak kahwin kut!” Selamba tutur kata Dato’ Zahari. Muadz Hazami tersengih sendiri.

“ Ha tu, tengok! Memang nak kahwin dah anak awak ni!” Ucap Datin Zahara apabila melihat gelagat Muadz Hazami. Pantas anak bujangnya itu duduk di tepinya.

“ Sebenarnya Muadz..” Muadz Hazami termenung buat seketika.

“ Sebenarnya apa!” Tekan Datin Zahara seraya merenung wajah tampan anak bujangnya itu.

“ Muadz nak kerja! Boleh tak?” soal Muadz Hazami kedengaran perlahan. Dato’ Zahari pantas memberi respon. Anak nak kerja! Baguslah!

“ Nak kerja? Okeylah tu! Kenapa nak minta izin mama dan papa pula ni. Janji kerja tu, kerja halal. Tak kisah kerja apapun.” Dato’ Zahari gembira dengan berita yang didengarnya. Muadz Hazami tersenyum lebar. Ada peluang! Tunggulah Ellysa Qairina!

“ Erm…Muadz nak kerja dengan papa!” ujar Muadz Hazami.

“ Kerja dengan papa? Mana boleh! Dah tak ada jawatan kosong! Muadz juga cakap nak cari kerja lain. Nak berdikari kan?” balas Dato’ Zahari tanpa mempertimbangkan permintaan anaknya itu. Muadz Hazami menelan air liur. Dah tak ada jawatan kosong? Mana boleh jadi!

“ Apa ni bang..Muadz nak kerja tu! Takkan dengan anak nak berkira.” Datin Zahara hairan dengan sikap suaminya. Syarikat besar pasti ada jawatan yang sesuai untuk anak lelakinya itu. Paling-paling tidak bekerja sebagai pembantu dalam syarikat.

“ Dah tak ada kosong! Yang ada cuma budak pejabat! Hantar surat, buang sampah, buat air! Takkan Muadz nak!” Tekan Dato’ Zahari cuba mencuri reaksi Muadz Hazami. Lelaki muda itu membulatkan matanya seraya menunduk.

“ Budak pejabat pun boleh papa..” tutur Muadz Hazami seakan mengalah. Terkejut beruk Dato’ Zahari dan Datin Zahara. Apa sudah jadi pada anak teruna mereka. Sakit ke?

“ Okeylah! Kalau Muadz setuju, ada syarat-syaratnya. Pertama, Muadz perlu memakai pakaian seragam yang syarikat sediakan, kedua kena pakai motor Pak Abu, ketiga tentang gaji! Gaji Muadz untuk permulaan RM800. Jika prestasi Muadz okey, papa akan fikirkan untuk naikkan gaji Muadz.” Dato’ Zahari yakin Muadz Hazami akan menolak. Anaknya telah terlalu lama hidup dalam kemewahan tanpa bersusah payah. Mungkin tiba masanya, Muadz Hazami perli diajar untuk hidup berdikari.

“ Apa ni bang! Apa kata staf abang nanti!” Datin Zahara kelihatan risau. Macam tak logik syarat-syarat yang diberi. Mustahil Muadz Hazami akan terima. Anak bujangnya itu sudah terbiasa dengan kesenangan hidup.

“ Kalau macam tu, Muadz setuju je!” Jawab Muadz Hazami tanpa berfikir panjang. Apa yang ada di kepalanya saat itu hanyalah gadis bernama Ellysa Qairina. Dato’ Zahari tersenyum sambil menadah tangan.

“ Apa dia papa?” soal Muadz Hazami dengan hairan.

“ Kunci kereta!” balas Dato’ Zahari selamba.

“ Kunci kereta? Dah tu Muadz nak guna apa? Takkan habis kerja Muadz dan kena guna motor Pak Abu juga!” Muadz Hazami mulai cuak dengan sikap papanya. Pantas lelaki berumur itu menganggukkan kepalanya. Datin Zahara semakin bingung dengan sikap mereka berdua.

“ Muadz kenapa ni? Terdesak sangat ke nak kerja?” soal Datin Zahara ingin tahu.

“ Ala..anak awak nak kerja. Baguslah tu!” Balas Dato’ Zahari pantas.

“ Yalah bang! Tapi takkan budak pejabat! Malulah kita nanti. Si Muadz ni pun satu, entah apa penyakit pun tak tahu! Dah buang tabiat ke apa.” Datin Zahara menggelengkan kepala. Belajar tinggi-tinggi, cari kerja main-main! Aduhai, baik jadi orang gaji kat rumah! Lagi mahal gajinya.

“ Encik Muadz mahu kerja ya? Seronok bibik dengar!” Sampuk bibik Sarti yang memasang telinga. Muadz Hazami tersenyum sinis. Pantang betul jika pembantu rumahnya masuk campur. Menyibuk! Fikirnya.

“ Muadz nak ke mana-mana, tak boleh bawa kereta lagi. Gaji muadz kecilkan? Nanti nak isi minyak, duit tak cukup! Pakai motor Pak Abu. Pak Abu bukan pergi mana-manapun. Kalau Pak Abu ada hal, dia boleh guna kereta.” Dato’ Zahari menyambung percakapan yang terputus.

“ Yalah! Muadz setuju. Tapi papa jangan bagitahu diorang semua ni Muadz anak papa! Seganlah Muadz nanti.” Muadz Hazami tiada pilihan. Bisikan hatinya untuk mendapatkan cinta Ellysa Qairina semakin kuat. Dia berlalu meninggalkan orang tuanya dengan hati yang gembira. Esok, aku akan jumpa kau, Ellysa Qairina! Tunggu!

****

Di luar rumah, Ellysa Qairina menatap ke dada langit. Malam yang tenang dihiasi bulan dan bintang menambahkan lagi keindahan alam ciptaan TUHAN. Angin yang sepoi-sepoi bahasa menyapa tubuhnya yang dibaluti baju tidur. Kesejukan cukup terasa! Ellysa Qairina menutup mata dengan kemas. Bayangan Irwan Hanif yang melambai pergi jelas di matanya. Senyuman dan gelak tawa lelaki itu hilang sekelip mata. Tiba-tiba Ellysa Qairina teringatkan sesuatu. Pantas dia membuka mata.

“ Memang kau dah jadi mangsa aku! Perempuan skuterkan?”

“ Minta maaf? Dengan perempuan? Silap besarlah!”

Ellysa Qairina teringatkan kata-kata lelaki itu secara tiba-tiba. Siapa dia? Suara yang penuh dengan kebencian dan keegoan. Lagaknya bagaikan Kuala Lumpur ini milik dia seorang! Sombong dan berlagak! Ellysa Qairina berkira-kira sendiri.

“ Lysa, masuk dalam. Dah lewat malam ni! Esok kerjakan?” panggil Puan Hana menyentak lamunan Ellysa Qairina terhadap lelaki itu.

“ Ya mak! Kejap lagi Lysa masuk.” Cepat-cepat Ellysa Qairina menyahut panggilan emaknya. Dia merenung sekali lagi ke dada langit sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Matanya juga telah mengantuk. Esok nak kerja! Tidur lagi bagus! Getus Ellysa Qairina seraya membalikkan diri ke atas tilam. Tidak lama kemudian, dia terlena selena-lenanya!



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku