VIRAL
Genre: Lucu
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 22 Januari 2016
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)
1603

Bacaan






Manisah baring terlentang di atas katil dengan senyuman lebar di bibir. Usai sahaja solat Zohor pada pukul 3.30 petang tadi tanpa sempat berdoa dan berwirid, dia terus mencapai telefon bimbit yang berada di tepi katil. Tidak senang solatnya apabila mendengar notifikasi yang masuk beberapa kali di facebooknya. Jika diikutkan hati mahu sahaja dia berhenti solat dan terus mengintai skrin telefon bimbit untuk mengetahui siapakah yang “like” gambar yang baru dimasukkannya sebentar tadi. Pasti ramai yang suka gambar profile baru aku tu…, bisik hati Manisah. Kembang kuncup hidungnya apabila membayangkan perkara itu. Oleh itu, apabila telekung ditanggalkan sahaja, dia terus terletang di atas katil.

Senyuman Manisah bertambah lebar apabila melihat sudah 20 orang yang “like” gambar profile barunya. Semakin kembang hatinya apabila ada yang memuji-muji kecantikan wajahnya.

Manisah terus menaip “terima kasih…, tak adalah…biasa-biasa saja.” Merendah diri konon sedangkan perasaan sukanya dia dengan pujian itu sukar digambarkan. Keluar sekejap dari laman facebook, Manisah terus membuka aplikasi kamera 360. Dengan keadaan baring terlentang, dia mengambil gambar selfiedengan menunjukkan tanda “peace” beserta muncung “duck”. Setelah membuat “filter” beberapa kali bagi menghilangkan segala jeragat dan bekas jerawat di wajah, dia terus mengeposkan gambar tersebut di facebook dengan kenyataan “muka baru lepas solat Zohor…., tak sempat nak mekap2….natural beauty je kan.”

“Manisah!!!!”

Hampir terlepas telefon bimbit di tangannya apabila tiba-tiba jeritan nyaring kedengaran dari luar biliknya. Terduduk Manisah dengan jantung yang berdegup kencang.

“Ya mak. Orang kat dalam bilik ni la…,” sahut Manisah sambil mengurut dada. Nasib baik aku muda lagi…, kalau tak dah lama semput dengar suara Tarzan tu…, bebel Manisah.

“Kau buat apa berkurung dalam bilik tu dari tadi ha? Dari tadi aku suruh basuh pinggan kat dapur tu, kau cakap nak solat Zohor. Ni dah dekat satu jam tak keluar-kelaur, lama benor ke kau wiridnya?” jerit Salmah lagi. Kain baju yang baru sahaja diangkat dari penyidai di luar rumah dilonggokkan di atas sofa di ruang tamu. Dia duduk di sofa PVC yang sudah pecah-pecah permukaannya kerana sudah dimakan usia. Peluh yang berminyak di muka dilapkan dengan hujung baju kurung kedahnya. Nafas Salmah turun naik dengan laju. Akibat tubuh yang berisi, cepat sahaja dia penat walaupun hanya beberapa langkah sahaja yang diperlukan untuk sampai ke tempat yang hendak dituju. Hendak diharapkan anak dara seorang tu, alamatnya reput lah kain-kain tu semua di ampaian.

“Manisah oiii….!!! Jerit Salmah lagi apabila Manisah masih tidak keluar dari bilik. Perasaan marah sudah menguasai dirinya. Ada di rumah pun menyakitkan hati…, tapi kalau tak ada di depan mata, lagilah dia risau.

“Aku panggil dari tadi, dah dekat sepuluh minit tak keluar-keluar lagi ni. Apa yang kamu buat dalam bilik tu? Pengsan ke?” Sekali lagi Manisah membebel. Jam sudah menunjukkan pukul 4.30 petang. Sikit lagi suaminya akan balik dari pejabat. Banyak lagi kerja-kerja rumah yang masih belum disiapkannya.

Terjengul muka berkerut Manisah di muka pintu bilik.

“Bising lah mak ni…, nak rehat kejap pun tak boleh,” bebel Manisah kemudian terus berjalan menghentak kaki menuju ke dapur.

“Sekejap apa nya. Dari sejak pagi rehatnya tak cukup-cukup? Aku ni kat rumah ni dah macam-macam kerja aku buat. Dari depan rumah sampai lah ke dapur. Yang kamu tu asyik la mengadap telefon tu. Kalau dengan mengadap telefon tu semua kerja siap tak apa jugak. Tak ada lah aku nak bising,” marah Salmah lagi.

‘Ye la…ye la…” Manisah menjawab. Tangannya sudah mula memegang span basuh pinggan. Pinggan-pinggan yang penuh berlonggok di dalam sinki diambilnya satu persatu kemudian disabun. Baru selesai tiga biji pinggan, Manisah membasuh tangannya. Dia mengelap tapak tangannya ke tepi seluar jeans yang dipakai. Manisah berjalan perlahan-lahan ke pintu dapur. Dia mengintai kelibat emaknya. Dia pasti emak sudah masuk ke dalam bilik kerana bebelannya sudah tidak kedengaran. Manisah ketawa kecil apabila melihat emaknya sudah tertidur di sofa.

Terkocoh-kocoh dia kembali semula ke sinki. Telefon bimbit yang berada di dalam poket seluar dikeluarkan. Beberapa keping gambar pinggan yang berlonggok di dalam sinki dan gambar tangan kanannya yang sedang memegang span yang bersabun dirakamkan. Sambil mengintai-ngintai ke pintu bilik…, bimbang jika emak tiba-tiba pula muncul di situ, Manisah terus membuat posting ke facebook dengan caption “aktiviti di rumah. Menolong madam besar membasuh pinggan. Anak rajin…macam ni lah kan. Senang nak dapat pahala…, berbuat baik saja dengan kedua ibu bapa…”

“Ha!!! Aku suruh basuh pinggan dari tadi, tak habis-habis lagi?”

Terkejut betul Manisah apabila tiba-tiba sahaja emaknya sudah tercegat di dapur. Entah bila orang tua itu sudah berada di situ, Manisah langsung tidak sedar. Nasib baik la telefonnya tidak terlepas dari tangan, jika tidak menangis lah dia sebab kena beli telefon baru. Mana dia nak cari duit tengah-tengah bulan macam ni. Yang lebih memeritkan…, tak dapatlah dia nak mengemaskinikan status nya di facebook, twitter, Instagram dan whatsapp nanti. Boleh gila dibuatnya….

“Mak ni kan…, cuba lah jangan main sergah-sergah macam ni. Ada elok anak mak ni boleh hidup sampai 70 tahun, terus kojol je sekarang,” rungut Manisah. Telefon bimbit terus disumbatkan semula ke dalam poket seluar. Dengan perasaan geram, span yang berbuih terus ditonyoh ke pinggan yang kotor.

“Tengok tu. Bila aku cakap mula la merampus. Mulalah tunjuk perangai. Hisshh.., tak faham lah aku anak-anak sekarang ni,” bebel Salmah lagi.

“Habis tu macam mana nak faham. Zaman mak dengan zaman Isah jauh beza. Sekarang ni semua pakai online mak. Nak kaya sekarang ni senang. Kita ambik gambar cantik-cantik…letak video yang menarik. Kalau jadi viral, kita boleh jadi famous mak. Silap-silap pengarah filem nampak terus dia offer Isah jadi pelakon. Mak tak suka ke anak mak ni jadi pelakon popular?” Manisah cuba menjelaskan supaya emaknya faham.

Berkerut-kerut dahi Salmah mendengar kata-kata Salmah. Direnungnya wajah Manisah dan dipandangnya tubuh Manisah atas dan bawah berkali-kali.

“Kenapa mak tengok Isah macam tu? Apa? Mak tak yakin Isah akan jadi jadi famousnanti ya. Mak tunggu lah mak…, nanti Isah akan buktikan pada mak yang Isah akan viral satu hari nanti. Mak tunggu lah.” Isah menjungkitkan keningnya. Dia cuba menyakinkan emaknya bahawa dia akan berusaha untuk melaksanakan impiannya.

“Bukannya mak tak percaya…tapi kalau muka dan badan kau tu macam Emma Maembong ok lah jugak. Tapi kalau kulit muka pun macam bulan…, badan pun berat dekat 80 kilo…mak takut kau layak jadi pelakon sambilan je nanti.” Salmah bersuara kemudian terus melangkah menuju ke bilik air.

“Mak!!! Mak ni langsung tak berfikiran positif. Anak mak sendiri pun mak nak kutuk!!” terjerit Manisah apabila mendengar kata-kata emaknya.

“Sudah! Jangan nak berangan. Kuruskan badan tu dulu, licinkan kulit muka tu dulu baru nak pasang angan-angan mat jenin. Pinggan tu basuh dulu. Ni dah dekat sejam baru 3 biji pinggan je siap. Lepas ni masukkan kain dalam mesin basuh,” laung Salmah dari pintu bilik air. Malas dia hendak melayan angan-angan tak sudah si Manisah.

Manisah mencebik bibir lagi. Gegaran dari telefon bimbit tanda ada notifikasi yang masuk membuatkan jiwa Manisah tidak tenang. Hendak dilihat, bimbang pula emaknya muncul pula tiba-tiba macam tadi. Maklumlah…, naluri seorang ibu ni memang hebat. Oleh itu Manisah kuatkan semangatnya untuk menghabiskan juga pinggan-pinggan kotor di dalam sinki itu walaupun peluh sudah menitis di dahinya kerana menggeletar menahan gelora jiwa yang tidak tenteram.

“Mak…, Isah dah masukkan baju dalam mesin basuh semua. Semua kerja dah beres,” laung Manisah semasa berjalan pantas menuju ke ruang tamu. Salmah yang pada masa itu sedang rukuk terperanjat ya amat mendengar suara Manisah yang kuat. Nasib baik tidak terbatal solatnya kerana boleh tahan juga latahnya apabila dia dikejutkan secara tiba-tiba.

“Anak bertuah…, terkejut aku dibuatnya,” rungut Salmah apabila dia selesai memberi salam.

“Haram la dia nak jenguk aku kat bilik ni dulu sebelum melaung macam tu. Haisshhh…,” sambung Salmah lagi.

“Mah!!!” wajah Rosli yang terjengul secara tiba-tiba di pintu bilik membuatkan Salmah tidak dapat lagi menahan latahnya.

“Oh Mah! Kau Kat mana Mah! Kau kat mana! Aku kat sini Mah...aku kat sini…” Berkali-kali Salmah melatah kerana terlampau terkejut. Rosli yang melihat hanya menggeleng kepala. Dia tidak merasakan perkara itu lucu lagi kerana memang sudah terbiasa dengan keadaan isterinya itu.

“Hishh awak ni Mah. Saya tegur sikit dah melatah. Kenapa yang pintu depan rumah tu ternganga macam tu aje. Buatnya masuk pencuri ke tadi,” tegur Rosli. Dia kemudian pergi ke ruang tamu semula dan duduk menghadap televisyen.

Salmah segera membuka telekung. Sejadah dilipat dan diletakkan sahaja di atas katil. Selepas menyikat rambut yang hampir memutih, dia keluar dari bilik. Salmah duduk di sebelah suaminya yang sedang menonton televisyen.

“Abang nak air kopi ke?” tanya Salmah.

“Boleh jugak,” jawab Rosli pendek. Salmah bangun semula dari kerusi tetapi sebelum dia pergi, Rosli bertanya lagi.

“Mana Isah dengan Man? Senyap je rumah ni?”

“Isah biasalah…, dalam bilik. Man keluar jumpa kawan katanya tadi. Ada nak bincang pasal projek sekolah,” jawab Salmah kemudian dia terus ke dapur.

Tidak sampai lima minit, Salmah datang semula ke ruang tamu dengan menatang dulang berisi satu teko, dua cawan dan sepiring pisang goreng. Perlahan-lahan dia meletakkan dulang itu di atas meja kopi di hadapan mereka.

“Panggillah Isah minum sekali. Apa dibuatnya asyik berkurung dalam bilik tu. Dia dah dapat kerja ke belum? Dah dekat sebulan habis belajar…, tak ada ke dapat mana-mana kerja?” tanya Rosli sambil tangannya mencapai goreng pisang yang sudah suam.

“Entah le.., tapi katanya tadi kat saya…, dia nak buat video jadi apa ke…. Haa…“viral”. Terkial-kial Salmah menyebut perkataan yang baru pertama kali didengarnya tadi.

Terlopong mulut Rosli mendengarnya.

“Viral? Apa yang nak diviral kannya?” tanya Rosli.

“Entahlah….abang tahu ke viral tu apa bang? Hisshhh.., saya ni manalah faham bahasa orang sekarang ni. Dia kata pasal online semua ni,” sambung Salmah lagi.

Viral tu…, bila apa-apa gambar ke…, video ke yang diorang post kan kat laman sosial macam facebook, twitter atau Instagram ke tiba-tiba jadi popular, ramai yang suka sampai berpuluh-puluh ribu orang yang share ke….,” jelas Rosli mengikut fahamannya sendiri.

“Ooo…, tu yang Isah kata tadi dia nak jadi popular kot-kot ada pengarah filem nak ambik dia jadi pelakon ke nanti…” Panjang sahaja muncung Salmah apabila dia sudah faham apa yang dijelaskan oleh suaminya tadi.

Rosli pula hampir tersedak kopi apabila mendengar kata-kata isterinya. Hendak ketawa pun ada.

“Isah nak jadi pelakon filem?” tanya Rosli lagi. Cawan di tangan terus diletakkan semula ke atas dulang.

“Nak pegang watak apa? Heroin?” tanya Rosli lagi sekadar mengusik. Salmah turut tersengih mendengar pertanyaan suaminya.

“Isah!!!” panggil Rosli dari sofa. Oleh kerana tiada jawapan dari dalam bilik, Salmah terus bangun mengetuk pintu bilik anak daranya itu. Isah yang sedang berselfie siap dengan solekan muka agak tebal dan bertudung kepala terkejut bukan main. Hari ini sahaja sudah tiga empat kali dia terkejut dengan sikap emaknya yang tiba-tiba sahaja mengetuk pintu atau menegurnya.

“Ya mak! Ada apa? Isah tengah kemas kain baju dalam almari ni. Berselerak sangat,” laung Manisah dari dalam bilik. Nasib baik pintu biliknya berkunci. Jika tidak, tentu dia yang malu sendiri apabila emak melihatnya bersolek sakan dan bertudung lengkap tetapi pakaian hanya T-Shirt lengan pendek dan berkain batik. Nama pun selfie…..cukuplah hanya nampak wajah sahaja kan...lagipun, aplikasi kamera 360 hanya boleh cantikkan wajah sahaja dan bukan boleh kuruskan tubuh yang gempal.

‘Macam tak percaya pulak aku tiba-tiba dia rajin sangat nak kemas bilik…’ Salmah berbisik sendiri.

“Ni ha…, abah kau panggil. Tinggal dulu kain-kain tu. Abah kau ada benda nak tanya,” jelas Salmah. Beberapa kali dia memulas tombol pintu tetapi berkunci.

Manisah cepat-cepat mengambil tisu kemudian mengelap semua solekan di wajahnya. Tudung kepala terus dicabut dan dibaling sahaja ke atas katil. Kain batik yang hampir terlondeh kerana banyak sangat berposing tadi diikat semula dengan kuat.

“Ya abah…, dah lama abah balik? Isah tak dengar pun bunyi motor abah,” sapa Isah apabila dia sudah duduk di sofa. Rosli hanya mengangguk.

“Habis tu mana nak dengar kalau dah duduk dalam bilik aje,” perli Rosli kemudian mengerling wajah isterinya. Salmah hanya mendiamkan diri. Malas dia hendak menyampuk kalau suaminya mahu bertanya. Mengunyah pisang goreng di depannya lagi sedap…, fikirnya.

“Isah lipat kain la abah. Baju-baju Isah banyak yang tak berlipat tu,” jawab Isah.

“Hai…, dah dekat sebulan balik rumah ni, tak habis-habis lagi kemas baju? Selama ni Isah buat apa? Buat video nak jadi viralke?” tanya Rosli diikuti dengan sindiran tajam yang memang terus menusuk ke kalbu Isah. Sekejapan itu juga Isah menoleh ke arah emaknya yang asyik mengunyah pisang goreng. Salmah pura-pura tidak mendengar. Matanya terus memandang ke arah skrin televisyen.

“Abah bukannya nak melarang anak-anak abah ni dari berfacebook…, masuk laman sosial ni semua. Memang abah tak nafikan di zaman sekarang ni semua benda kebanyakannya dah guna online. Nak beli barang pun semuanya orang order atas talian aje. Tetapi berpada-pada la. Pandai-pandai lah bahagikan masa. Jangan lah sampai terlalu asyik sangat dengan benda tu sampai semua kerja tak jadi.., sampai tanggungjawab diabaikan. Ni abah tengok, solat pun lambat semua sebab terlampau asyik sangat menghadap telefon tu. Telefon tu ayah beli untuk kemudahan berkomunikasi. Senang nak berhubung antara kita. Tapi nampaknya Isah dah salah gunakan kemudahan ni.” Rosli menasihati Manisah kerana apa yang dibimbangkan selama ini mula menjadi kenyataan. Kemudahan internet dan keasyikan melayari laman sosial sudah menjadi masalah besar yang perlu diberi perhatian segera. Sekiranya dibiarkan, hubungan kekeluargaan mungkin boleh tergugat. Hubungan suami isteri boleh goyah dan komunikasi antara ahli keluarga boleh menjadi semakin digin.

“Isah faham tak apa yang abah nak sampaikan ni? Isah sedar tak kesan dan akibat kalau terlalu asyik sangat dengan laman sosial ni terutamanya facebook?” tanya Rosli dengan memandang wajah anak gadisnya itu. Isah hanya mengangguk. Nasib baik dia tidak membawa telefon bimbitnya bersama ke ruang tamu…, kalau tak masak aku kena bebel lama lagi, bisik hatinya.

“Sekarang ni abah tengok Isah dah tak mesra macam dulu. Telefon bimbit tu tak lepas dari tangan sampai tengah makan pun nak pegang. Komunikasi dah kurang sebab banyak menghadap telefon. Itu sebab abah tak nak belikan Man tu telefon bimbit. Abah dah nampak dah kesan negatifnya…, contoh terdekat Isah ni.” Rosli menyambung lagi luahan hatinya. Biar Isah marah dia sekarang dari dia menyesal melihat anaknya lebih jauh terasing dari keluarga mereka. Isah hanya tunduk mendengar. Dia tidak berani menjawab sementelah dia cukup faham pantang larang abahnya itu.

“Faham tak?” tanya Rosli lagi dengan nada suara agak keras. Panas juga lah hatinya melihatkan Manisah yang langsung tidak bersuara. Hanya kepalanya terhangguk-hangguk mengalahkan orang Jepun.

Manisah menelan liur. Dia menyeringai memaparkan barisan giginya yang tidak berapa putih.

“Ya ya…, Isah faham ayah,” jawab Manisah dengan tangan kanan diangkat seolah-olah bersumpah.

Terbeliak biji mata Salmah melihatkan tindakan anaknya itu. Nasib baik lah dia sudah habis mengunyah pisang goreng. Jika tidak mahu tercekik dibuatnya. Salmah pula kecut perut untuk melihat reaksi suaminya. Suaminya sedang serius menasihati, boleh pulak anak dara seorang ni buat gurauan yang tidak kena tempat. Salmah menarik nafas lega apabila melihat suaminya hanya menggeleng kepala. Agaknya pertambahan umur telah menambahkan kesabaran di hati lelaki yang pada satu masa dulu sangat panas baran ini.

“Kamu ni Isah. Main-main pulak. Kamu ingat betul-betul apa yang ayah cakap ni. Sudahlah…, ayah nak mandi, solat Asar.” Rosli terus bangun setelah selesai menasihati anaknya yang memang tidak makan saman itu.

“Ayah…, kalau posting Isah viralnanti…, kita satu keluarga akan famous ayah.” Sempat lagi Manisah berkata sebelum bapanya sampai ke pintu dapur. Salmah terus mencubit peha Manisah kemudian membulatkan matanya tanda memberi amaran supaya anak gadis itu diam. Rosli hanya diam tidak menjawab. Malas dia hendak melayan angan-angan Minah Jenin itu.

Berkerut dahi Manisah menahan pedihnya kesan cubitan semut api emaknya. Digosoknya peha yang pedih dengan mulut muncung itik.

“Apa ni mak.., salah ke Isah cakap tu,” rungut Manisah.

“Kau ni memang tak reti bahasa kan Isah. Ayah kau nasihat elok-elok, kau main-main pulak.”

“Apa main-mainnya mak. Isah serius ni. Mak ni tak pernah nak sokong apa yang Isah nak buat. Mak tunggulah nanti…,” bebel Isah lagi kemudian terus bangun untuk masuk ke biliknya.

“Isah oiii…, duit tak akan datang bergolek kalau tak bekerja. Setakat kau ambik gambar golek-golek atas katil, hantar gambar dalam internet semua lepas tu makan tido makan tido kat rumah ni…, ALLAH pun berat nak bagi rezeki, tau tak? Daripada kamu duduk menghadap internet tu tengok benda yang bukan-bukan, baiklah cari kerja. Dapat jugak lah mak ni duit sikit nak beli barang kemas,” jawab Salmah dengan perasaan yang geram.

Manisah malas hendak menjawab. Dia terus masuk ke bilik dan menutup pintu. Telefon bimbit yang berada di atas katil terus dicapainya. Seperti biasa dia menerjah aplikasi facebook dahulu. Ada banyak notifikasi yang masuk. Manisah monyok apabila notifikasi yang masuk kebanyakannya mesej-mesej dari ahli-ahli grup yang disertainya. Sudah lebih tiga jam dia menghantar posting yang terakhir tetapi hanya 2 likesahaja yang dia dapat.

Manisah merenung sendiri gambarnya yang sedang terbaring di katil.

‘Tak cantik ke gambar aku ni? Puas aku edit bagi putih melepak, licin mulus kulit muka aku ni…,’ keluh Isah sendiri. Dia kecewa.

‘Bila lah posting-posting aku nak viral ni? Tak ada ke sapa-sapa yang berminat nak ambik aku jadi model tudung diorang ke?’ Isah mengeluh lagi. Dia baring menelentang di atas katil dengan lengan melintang di dahi.

‘Tak pun…, ada lah anak orang kaya yang jatuh cinta dengan aku ke dan berkenan nak ambik aku jadi isteri. Merasa lah aku jadi isteri jutawan…dapat jugak hidup senang.” Angan-angan Manisah semakin lama semakin berkembang dengan pelbagai teori. Dia mengangankan bermacam-macam kemungkinan jika postingnya menjadi viral di laman sosial sehingga akhirnya dia tertidur dengan mimpi indah.

“Memori daun pisang….basah baju kita…basah hati kita….” Manisah dan Imran berpusing-pusing menari di dalam hujan dengan penuh rasa cinta dan sayang. Manisah berteduh di bawah pelepah pisang yang dipegang oleh Imran untuk memayungkan mereka dari hujan yang turun dengan lebat.

Salmah merenjiskan lagi air ke muka Manisah yang sedang tidur tersengih-sengih. Geram sungguh hatinya apabila anak daranya itu membuta walaupun sudah pukul 7.30 malam. Sudah puas diketuknya pintu bilik namun tidak juga dibuka. Nasib baik pintu lupa dikunci, terus Salmah menerpa masuk dan memang menggelegak darahnya apabila melihat tubuh gempal itu sedang sedap tergolek tidur.

Oleh kerana renjisan air tidak berjaya membangunkan Manisah, Salmah terus membuka penutup spray kemudian terus menuangkan air ke atas muka Manisah. Kali ini cubaannya berjaya. Terkocoh-kocoh Manisah bangun.

“Mak!!!! Apa ni!!!!” Menjerit Manisah apabila dia tersedar. Dia bermimpi rupa-rupanya. Banjir besar di dalam mimpinya tadi rupanya disebabkan air yang dijirus oleh emaknya sendiri.

“Berangan…, lepas tu tidur…mimpi yang bukan-bukan. Apa nak jadi kau ni hah??? Tidur sampai Maghrib. Kalau tak kejut.., tak bangun. Ini ke perangai nak jadi menantu orang kaya?” bebel Salmah lagi.

“Mak!!! Isah memanglah sesuai jadi menantu orang kaya sebab Isah tak payah buat semua kerja. Semua orang gaji yang buat!!!” Kata-kata Manisah membuatkan Salmah rasa hendak ketuk saja kepalanya dengan spray di tangannya biar otak Manisah cepat berhubung dan boleh berfikir dengan lebih baik.

“Ya Allah…, apa lah nak jadi dengan kamu ni Isah. Nak kata tak pandai, kamu belajar sampai diploma. Kalau mak ni ye la…, belajar pun sampai Tingkat 1 je…” Salmah sudah malas hendak melayan kerenah anaknya itu. Dia mengurut dada. Penat rasanya bercakap dengan orang yang tak cukup matang.

Dua minggu kemudian….

“Mak.., Isah nak keluar pergi pasar malam ni,” laung Manisah dari laman rumah. Dia sudah siap mengenakan helmet. Enjin motosikal juga sudah dihidupkan.

“Ingat barang-barang yang mak pesan tadi,” balas Salmah dari ruang tamu. Dia mengelap tangan dengan hujung baju kurung kedahnya selepas selesai membasuh pinggan di dapur.

“Iya lah....,” jawab Manisah kemudian terus menunggang motosikal keluar dari pagar rumah. Beg tangan yang dibawa diletakkan di dalam raga motorsikal tetapi telefon bimbit diletakkan di dalam poket seluar jeansnya. Bukan apa…, senang dia hendak merasa kesan “vibrate” jika ada notifikasi yang masuk ke telefon bimbitnya nanti.

Sebentar tadi sebelum dia naik ke atas motor, dia sempat mengemaskinikan status terkininya iaitu

“Malam ni pasar malam. Perut lapar…, tapi nak makan apa ek?”

Tetapi Manisah geram lah pulak apabila ada pulak seorang lelaki ni yang menjawab postingnya dengan kata-kata yang menyakitkan hatinya.

“Itupun nak tulis kat fb ke?”

Memang kurang asam betul mamat tu…, bisik hati Manisah bebal. Dia terus menjawab.

“Hei awak. Ni akaun saya. Suka hatilah saya nak update apapun. Kalau awak tak suka, sila unfriend ok?”

Belum sempat lelaki itu hendak menjawab, Manisah terus “unfriend”lelaki tersebut. Dia tidak mahu komen-komen negatif akan merosakkan reputasinya di facebook nanti.

Sedang menunggang, jiwa Manisah tidak tenteram apabila tetelfon bimbitnya “vibrate” beberapa kali. Tidak sabar menunggu hingga sampai ke pasar malam, Manisah terus berhentikan motornya di tepi jalan. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya untuk memeriksa notifikasi yang masuk. Tesenyum panjang dia apabila melihat ramai pula yang sukakan postingnya tadi dan ramai yang “reply” memberikan cadangan padanya apa yang patut dibeli di pasar malam.

“Ooiiii!!!!” Manisah tidak sempat berbuat apa-apa apabila telefon bimbitnya tiba-tiba diragut dari belakang oleh dua orang lelaki bermotorsikal. Manisah yang sangat terkejut dengan apa yang berlaku tidak dapat mengawal motosikalnya…, lalu dengan dia dan motosikalnya tercampak ke dalam longkang besar di kiri jalan. Selepas itu Manisah tidak sedar apa yang berlaku.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Manisah membuka matanya perlahan-lahan. Serta merta itu juga rasa sakit yang sangat kuat menerjah masuk ke fikirannya.

“Adooiiii!!! Sakitnya!!!!” jerit Manisah dengan kuat. 

"Ooiii...aduh sakitnya di sini, sakitnya di sini!!!" Salmah yang sedang tersengguk-sengguk kerana mengantuk di tepi katil sangat terkejut dengan reaksi tiba-tiba Manisah. Apa lagi...peel melatahnya terus tidak dapat dikawal. Terus dia berjoget mengikut lagu "Sakitnya Tuh Di sini" sambil meletakkan tapak tangan kanannya ke bahagian dada kiri. Bahunya terjongket-jongket seperti menari. Isah yang dalam keadaan yang masih sakit terlopong melihatkan aksi emaknya. Serba salah... hendak gelak, rasa sakit itu lagi kuat dari rasa lucu melihat aksi emaknya itu.

"Haissh kamu ni Isah. Mati aku dibuatnya," marah Salmah selepas dia dapat mengawal diri. Letih dirasakannya apabila terjoget-joget tadi. Jika tidak difikirkan keadaan Manisah yang sakit sekarang, mahu saja dia menampar mulut itu supaya diam. 

"Isah ni sakitlah mak...," rengek Manisah.

“Isah…, sabar nak. Tapi Alhamdulillah kau dah sedar,” pujuk Salmah kemudian mengusap wajah Manisah. Kasihan pulak hatinya melihatkan keadaan Manisah sekarang. Dengan muka yang bercalar balar dan kaki kanan yang tergantung selepas disimen akibat patah selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihempap pula oleh motor.

“Mak…, apa kena dengan kaki Isah ni mak?” tanya Manisah dengan perasaan takut. Adakah dia akan cacat seumur hidup? Kalau cacat…, musnahlah impiannya selama ini untuk jadi popular.

“Doktor kata patah dan retak tapi boleh baik semula Isah. Cuma kena ambil masa…,” pujuk Salmah lagi.

“Telefon Isah mana mak?” tanya Manisah dengan wajah yang sedih. Meruap jugaklah darah Salmah apabila Manisah masih lagi ingatkan telefon bimbitnya walaupun sudah terlantar begini gara-gara telefon bimbit itu juga.

“Ni yang aku marah ni. Sebab telefon tu lah kau terlentang macam ni tau tak? Tak sabar-sabar lah nak sampai kat pasar malam tu untuk tengok telefon tu. Telefon tu dah kena ragut sebab sikap cuai Isah ni lah…,” bebel Salmah panjang lebar. Tidak tahan lagi rasanya dengan sikap Manisah yang tidak habis-habis dengan angan-angan untuk menjadi popular di laman sosial.

Keesokannya…..

“Isah…, hajat kamu nak jadi “viral” dah tercapai. Nah, tengok ni.” Rosli meletakkan suratkhabar Sinar Harian hari itu di atas peha anaknya. Isah yang tidak tahu apa-apa tercengang-cengang namun dia mengambil juga suratkhabar itu. Matanya terbeliak membaca tajuk berita yang terpapar.

“GARA-GARA HENDAK MENGEMASKINIKAN STATUS DI LAMAN FACEBOOK DI TEPI JALAN, REMAJA DIRAGUT PEMUDA BERMOTOSIKAL….

Isah menutup wajahnya dengan suratkhabar tersebut. Dia malu. Mesti ramai kawan-kawannya membaca berita itu…..Ini bukan berita yang Manisah mahukan untuk jadi VIRAL!!!!!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku