Satu
Satu
Genre: Lucu
Kategori: Novelet
Paparan sejak 26 Januari 2016
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)
504

Bacaan







‘ Aku ingin berhenti. Usah kau mencari lagi. Aku sudah bosan melayani karenah mu.

Yang benar.

Dollah’

Seman membaca baris-baris ayat itu dengan mata sedikit kuyu. Perasaan sayu menghambur di dada. Kolam matanya seraya berair. Menakungi airmata pilu. Sedih. Berulang kali tulisan tangan itu dibaca. Tanda titik huruf i berupa bulat kecil itu menjadi pengenalan empunya tulisan. Seman kenal benar. Itu tulisan sahabatnya, Dolah. Pasti.

“aku ingin berhenti”

Usai membaca ayat pertama, Seman mengerut dahi kehairanan. Setahu dia, insan bernama Dolah mempunyai semangat yang cekal. Jarang benar dia mengalah. Biar badai melanda, semangatnya setegap bukit Maxwell. Kenapa tiba-tiba Dolah mahu berhenti? Seman masih ingat ketika mereka mula-mula memutuskan kata sepakat. Hanya dia yang teragak-agak. Perasaan sangsinya membelenggu akal sendiri. Dia tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk melaksanakan projek itu.

“aku rasa tidak boleh, Dollah” Seman meluahkan rasa apabila Dollah selesai menerangkan projek usahama itu. Dolah menjeling Seman. Sedikit jengkel dengan kata-kata Seman tadi.

“Jiwa mu kecil. Tidak sepadan dengan badan yang gemuk macam badak. Tapi hati macam tikus” Tempelak Dollah sambil menyuap bihun ke mulut. Berdecap-decip bunyi terkeluar dari mulutnya tika menikmati bihun goreng berkuahkan kuah laksa buatan mak Minah. Memang sedap kuah laksa hasil air tangan mak Minah. Tidak hairanlah warungnya menjadi sebutan ramai. Pengunjung yang datang sentiasa bertali arus. Jika lambat, tiada kerusi meja yang kosong.

“Bukan masalah badak atau tikus, Dollah. Tapi duit modal. Kau ada duit sebanyak itu?” Seman mempertahankan diri. Tuduhan Dollah baginya agak berat walaupun dia tahu Dollah tidak berniat untuk mengecilkan hatinya. Dollah memang begitu. Cakapnya lepas. Lasernya menikam. Sebab itu dia tidak mempunyai ramai kawan. Tiada siapa yang tahan menerima kutukan Dollah yang menghiris. Tapi tidak pada Seman. Sahabatnya yang tidak ambil peduli tentang itu.

Kenapa Dollah ingin berhenti? Walhal dia sendiri yang memulakannya?. Seman bingung. Alunan lagu senandung semalam bergelintang di ruang bilik kecil. Menerobos ke telinga. Terus ke hati. Mengusik jiwa Seman. Dulunya jiwa Seman kecil. Pesimis. Namun Dollah bijak menghasut. Memaksa secara halus. Akhirnya dia berubah menjadi seorang yang optimis. Berjiwa besar dan berkeyakinan tinggi. Seman meneruskan bacaan ayat kedua.

“Usah kau mencari lagi”.

Kini Seman semakin bingung. Kemana Dollah menghilang? Adakah dia kembali ke daerah asal?. Seman pasti Dollah tidak akan kembali ke daerah yang membuangnya dahulu. Bagaimana boleh dilupakan kisah fitnah itu? Seman tidak boleh melupai wajah Dollah yang membengkak dengan benjol di sana sini gara-gara dibelasah orang di daerah tadi. Seman tahu bukan Dollah yang menerobos masuk ke bilik Kak Luna janda anak tiga itu. Seman tahu benar.

Walaupun Kak Luna kerap memakai kebaya senteng. Jalannya melenggok. Mata dan kepala lelaki yang melihat turut ikut membuai mengikut buaian lenggokkan kak Luna. Bukan seorang. Bukan dua. Malahan setiap lelaki termasuk imam benjol dahi.

Seman tahu dan yakin bukan Dollah yang membuat onar begitu. Malah peristiwa itu bukanlah benar-benar berlaku. Ia Cuma rekaan Kak Luna. Dollah tidak mampu membela diri. Kepercayaan orang di daerah itu tertumpah sepenuhnya kepada Kak Luna. Meskipun ia lancung.

Jika bukan ke daerah asal, kemana Dollah pergi? Pastinya ke suatu tempat yang Seman sendiri tidak pernah sampai.

Seman meneruskan bacaan;

‘Aku sudah bosan melayani karenah mu.’

Karenah apa? Seman tertanya-tanya dalam benak. Segala jawapan dicari. Namun dia buntu. Akalnya tidak mampu lagi memikirkan punca. Seman termanggu. Dia membaca baris ayat itu berulang-kali. Entah ke bilangan berapa dia tidak mengira.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku