KALAU AKU KAYA
Teaser
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Februari 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
41

Bacaan






DIA BUKAN BUAYA DARAT

“Err… Encik Kuan! Kita… kita lari dari siapa sebenarnya?” gugup Wardah bertanya. Dan bila lelaki itu berpusing mengadapnya dengan wajah yang begitu tegang, langkah Wardah terhenti. Tidak jadi mahu mendekat.

“Dari siapa lagi? Dari jantan buaya darat tu lah! Saya tak sangka, awak ni mudah sangat mesra dengan lelaki juga ya? Dengan lelaki yang awak tak kenal pun, bukan main ramah awak berbual. Semua perempuan sama saja! Pantang didekati lelaki!” Zakuan mendengus kasar lalu berpaling dari gadis yang selalu buat darahnya panas. Hanya Tuhan yang tahu betapa menggelegak hatinya dengan kehadiran satu-satunya lelaki yang sangat mencabar kejantanannya.

“Encik Kuan! Jangan tuduh saya sembarangan ya. Saya kenal Encik Rayyan. Dia bukan buaya darat macam yang Encik Kuan sangka. Dia tu budiman, dalam diam-diam dia bantu Rumah Sakinah Warrahmah. Baru sekarang dia muncul, nak bantu kami bina Kompleks Sakinah Warrahmah pula. Salahkah saya berbual dengan orang yang baik budi macam dia?”

Kata-kata Wardah benar-benar menyentak sekujur tubuh Zakuan. Bagaimana dia tahu semua tentang Wardah? Dia hanya mampu mengetap gigi menahan amarah dari meledak sehingga bergerak-gerak rahangnya. Dengan pandangan mata yang mencerun, dia melangkah mendekati gadis yang teramat naif dan lurus bendul itu.

“Jadi… awak pun rupanya jenis perempuan yang mudah dibeli? Bila lelaki tabur duit, bijak memuja memuji, awak datang serah diri, begitu?”

Tanpa sedar, telapak tangannya dihayun dan … pang! Pipi lelaki yang bermulut lancang itu tepat mengena sasarannya. Seluruh diri Wardah menggigil menahan marah.

Tak pernah! Tak pernah orang menghinanya sampai begitu sekali. Serentak itu, air jernih berjatuhan dari tubir matanya. Dia memang yatim piatu, memang hidup bergantung dengan belas ehsan manusia tetapi dia hidup bermaruah, tidak meminta-minta. Tak pernah terlintas di hatinya untuk menggadai maruahnya dan melangkau batas syariat Tuhan.

“Saya memang orang susah, Encik Kuan! Saya yatim piatu. Sama dengan adik-adik saya. Saya dan adik-adik saya tak menagih simpati sesiapa. Tapi siapa kami nak halang orang dari berbuat kebajikan sebab itu dipandang tinggi oleh Tuhan. Kami ada Tuhan, Encik Kuan! Kami tak perlu gadai maruah untuk hidup! Walau macam mana susah sekali pun…”

Suara Wardah tenggelam dalam sebak. Tak tertahan rasa sakit dalam dada dengan penghinaannya. Tidak betah untuk terus berdiri di hadapan lelaki yang sangat angkuh itu, Wardah berpaling lalu melangkah. Dia tak pasti hendak ke mana. Yang penting, dia mahu pergi jauh dari lelaki itu. Lukanya teramat dalam dan menghiris. Airmatanya tidak mahu berhenti menitis walau puas dia cuba menahannya.

“Wardah!” Lengannya dipaut lagi. Ya Allah! Lelaki ini memang tak akan faham agaknya!

“Lepaskan saya! Awak tak faham ke? Jangan sentuh saya lagi! Kalau tidak, saya jerit!”

Wardah merentap lengannya sekuat hati. Mahu saja rasanya dia menumbuk muka lelaki itu kalau penamparnya belum cukup untuk mengajarnya.


************

Novel ini sudah terbit dalam bentuk Ebook dan Versi cetak.

Whatsapp 011-20503481 untuk memilikinya. Stok Terhad.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku