REPLIKA CINTA
Bab 1 - Taman Hati
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 09 Februari 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
514

Bacaan






Helaan yang lemah mengiringi langkah yang dirasakan longlai tak bermaya. Urat dan nadi semakin kuat berdenyut di merata anggota badan. Bukan fizikal sahaja yang kepenatan, malah minda juga merintih keletihan. Sejak dari pagi tadi, ruang pejabat agak sibuk dengan ragam manusia yang punyai pelbagai urusan. Terkadang urusan dunia dilebihkan dan diutamakan berbanding keperluan mengisi bekalan ke akhirat. Itulah umat manusia akhir zaman.

Afiffudin memicit kepalanya yang sesak dengan pelbagai tekanan yang dialami. Udara nyaman di luar bangunan dihirup sepuasnya. Langsung tidak sama dengan udara di dalam pejabat yang berbaur dengan hembusan para pekerjanya yang cepat melenting apabila diuji dengan sedikit kesukaran dan kepayahan. Segala rasional dalam tindakan mudah hilang tatkala amarah mula menguasai jiwa yang sering dibisik nafsu dan syaitan.

Sekali lagi Afiffudin menghela nafasnya. Kali ini lebih kuat dan dalam. Bukan dia mengeluh dengan cabaran yang melanda diri. Dia sekadar cuba melepaskan segala tekanan agar hilang bersama udara yang dihembuskan.

Anak matanya mengerling pada jam di tangan. Harga jam itu sederhana sahaja. Perihal mahal atau murah sebenarnya terletak pada soal pengurusan masa. Apalah gunanya jam bertitah intan permata, andai masa sering dipersia. Apalah guna jam berharga puluhan ribu, jika solat sering ditangguh ke akhir waktu.

Sudah pukul 5.30 petang. Lafaz syukur meniti di bibir Afiffudin yang agak kekeringan. Solat Asar sudah selesai disempurnakan di salah sebuah bilik di pejabat. Dia memilih untuk melaksanakan kewajipan tersebut dengan segera kerana bimbang sekiranya dia terlewat tiba di rumah. Risau jika lebuhraya nanti penuh sesak dengan pelbagai kenderaan yang berpusu-pusu mahu ke destinasi masing-masing. Takut sekiranya dia tidak sempat tiba di rumah jika malaikat Izrail datang menjemput nyawanya ketika dia dalam perjalanan. Sesungguhnya kematian itu tidak akan dilewatkan atau dipercepatkan hatta sesaat sekalipun.

Setelah meletakkan beg di tempat duduk belakang kereta, Afiffudin masuk ke ruang pemandu. Akan tetapi, tangannya seperti dikunci dengan rantai yang besar dan berat. Tiada upaya untuk memandu di saat seperti ini. Jiwa dan tubuh Afiffudin mahukan ketenangan dan kerehatan buat seketika.

Afiffudin akur. Dia melangkah keluar dari perut kereta lalu mengunci kenderaanya itu semula. Langkah diatur tanpa hala tuju. Kedamaian yang dicari. Tetapi apakah ada matlamat yang mahu dituju itu di tengah kota yang penuh pancaroba ini?

Lelaki ini menyusuri jalan demi jalan, lorong demi lorong, sebelum langkahnya terhenti sebaik sahaja anak matanya tertancap pada sekumpulan kanak-kanak yang berlari dengan girangnya. Kepalanya ditolehkan ke suatu kawasan.

Rupa-rupanya dia kini berdiri di sebelah sebuah taman permainan yang berdekatan dengan beberapa buah bangunan rumah flat. Keriangan dan kegembiraan yang terpancar di wajah kanak-kanak yang bermain di situ bagaikan menarik kaki Afiffudin untuk singgah ke sana buat sementara waktu. Mungkin kedamaian yang dicari ada di taman itu.

Afiffudin melabuhkan punggungnya di atas sebuah bangku yang berwarna merah. Senyuman tergaris indah di bibirnya. Segala keresahan yang membenani fikiran bagaikan melayang pergi. Hati Afiffudin melagukan melodi indah tatkala matanya terpesona dengan keriangan kanak-kanak itu yang berkeliaran di sana sini.

“Kejarlah!”

“Siap engkau nanti!”

“Haha! Tak dapat tangkap!”

Sesekali Afiffudin tertawa sendirian menyaksikan gelagat lucu mereka. Satu persatu wajah kanak-kanak itu ditatap. Suci sekali wajah mereka. Gelak tawa mereka bagai menghiburkan seluruh pelusuk dunia.

Namun Afiffudin kembali membisu dalam keriuhan suasana. Rasa sayu spontan mencengkam emosi tatkala terpandang pada kelibat ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang turut tersenyum ceria di samping mereka. Perlahan-lahan Afiffudin mengalihkan tapak tangannya ke dada, bagaikan menahan perit yang menghiris jiwa.

Sunyinya taman hati ini. Tiada seri, tiada indah, tanpa warna-warni bungaan yang mekar. Merahnya ros yang berduri, jatuh layu berserakan di lantai. Kembangnya kekwa yang kekuningan, hanya tinggal satu kenangan. Bunga-bunga cinta yang pernah mekar suatu ketika dahulu sudah menguncup layu.

Nun di langit sana, pelangi segan hendak melemparkan warna-warni cerianya. Redup sahaja suasana. Mentari menghilang entah ke mana. Bulan pula masih belum bersedia. Awanan kelam masih menyangka dialah raja di ruang angkasa.

Mendamba sentuhan dan belaian manja daripada halusnya tangan seorang wanita yang bernama isteri? Itukah cinta ke firdausi yang kelam di hati ketika ini? Afiffudin masih tercari-cari sinarnya. Bukan dia sengaja membiarkan langit mendung terus menyelimuti jiwa dan sanubari. Dia tahu lembaran baharu harus dibuka dengan kadar yang segera. Tetapi … .

Cinta? Ah! Mengapa dikau masih menggetar raga? Hadirlah dikau dengan sempurna. Janganlah dekati aku jika sekadar berpura. Aku ini masih berduka lara. Bisanya masih jelas terasa. Jadilah dikau penawar yang menyembuh luka. Bukan racun yang memuntahkan segala harapan dan setia. Afiffudin bermonolog sendirian.

Pagar hati Afiffudin roboh kembali. Bukan taufan kecewa yang melanda, akan tetapi hanyalah tiupan bayu rindu yang menegur kalbu. Fikirannya kembali kusut.

Petir dan kilat sabung menyabung, tingkah meningkah, bagaikan pertengkaran yang tiada sudah. Nampaknya hujan akan turun.

Keseronokan kanak-kanak yang bermain sebentar tadi bertukar takut. Masing-masing menjerit lalu berlari mendapatkan ibu bapa masing-masing. Tempat perlindungan segera dicari. Titisan hujan mula menyentuh bumi.

Afiffudin membuka langkah. Keluhan nan berat dilepaskan bagai awan membebaskan air yang sarat dikandungnya. Sejuk dan dingin. Sedingin angin yang menyapa ke muka. Sejuknya menggigit hingga ke tulang. Tubuh Afiffudin menggigil. Dipeluk tubuhnya seerat mungkin. Jaket nipis yang dipakai tidak mampu membekalkan haba yang secukupnya.

Afiffudin terasa hatinya juga dingin daripada kehangatan kasih sayang seorang teman. Tiadalah sehingga ke paras beku yang mampu mengubah jiwanya menjadi kaku. Tiadanya teman di hati bukan penamat bagi hidup yang sementara ini.

Cinta pada Yang Maha Esa menggagahkan kaki Afiffudin untuk terus berdiri, kuat mengharungi detik penuh mencabar sebelum ini. Noktah kehidupan tidak perncah dicari, biarpun dilambung gelora di alam realiti. Afiffudin percaya lorong kehidupannya diuji kerana dirinya semakin disayangi. Berulang kali bibir memujuk hati, bahawa hikmah tersembunyi disebalik segala ketentuan Ilahi.

Hujan yang turun renyai sebentar tadi bertukar rentak. Semakin garang, semakin lebat. Afiffudin mengambil keputusan untuk menggunakan jalan alternatif untuk kembali semula ke keretanya. Kakinya melangkah ke sebatang jalan yang agak jarang digunakan oleh orang ramai. Mungkin disebabkan kedudukannya yang tersorok di celahan bangunan, menimbulkan kerisauan akan kemungkinan jenayah yang bakal berlaku. Beberapa buah kereta lama diparkir di tepi jalan. Kelihatan kenderaan tersebut seperti sudah lama ditinggalkan oleh pemiliknya. Suasana di jalan tersebut agak menyeramkan.

“Tolong! Tolong!” Tiba-tiba Afiffudin terdengar jeritan seorang wanita meminta pertolongan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku