REPLIKA CINTA
Bab 4 - Nasrul Haq
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 09 Februari 2016
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1368

Bacaan






Usai menunaikan solat fardu Asar, Afiffudin bersiap-siap untuk melawat remaja yang ditemuinya semalam yang kini sedang terlantar di katil hospital. Perasaan ingin tahunya melangit tinggi. Walau apa jua masalah yang remaja itu hadapi, dia berazam mahu memperbetulkan semula keadaan.

Mungkin tugasan itu kelihatan berat dan bukannya mudah, lebih-lebih lagi mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Tetapi Afiffudin akan tetap mencuba untuk memahami permasalahan remaja berkenaan.

Enjin kereta dihidupkan. Diiringi dengan doa, Afiffudin memulakan perjalanannya. Cuaca hari ini nampaknya cerah. Tiada tanda-tanda hujan akan turun dengan lebatnya seperti semalam. Semoga pertemuan pada hari ini memberi kesan yang mendalam buat dua jiwa yang sepi daripada kasih sayang.

Ruang parkir di kawasan hospital agak sesak pada waktu itu. Mungkin kerana ramai pelawat yang datang ketika ini bagi memanfaatkan waktu melawat yang akan berakhir pada pukul 7.30 petang. Tetapi Afiffudin tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan ruang melatakkan kenderaan. Mujur ada sebuah kereta yang berada tidak begitu jauh dengan Afiffudin yang mahu bergerak keluar.

Perasaan berdebar-debar semakin terasa sebaik sahaja seorang jururawat memaklumkan kepada Afiffudin akan nombor wad yang dihuni oleh remaja semalam. Menurut jururawat itu juga, remaja berkenaan sudah sedarkan diri seawal pagi tadi lagi. Afiffudin menaiki sebuah lif ke tingkat tiga.

Setibanya Afiffudin di wad yang dimaksudkan, matanya terus bertembung dengan renungan remaja itu. Tetapi remaja berkenaan pantas mengalihkan pandangan seolah-olah dia baru ternampak seseorang yang cukup dibencinya. Perlahan-lahan Afiffudin menghampiri remaja itu.

“Assalamualaikum dik,” tegur Afiffudin.

Remaja berkenaan tidak terus menjawab. Dia menjeling Afiffudin seketika sebelum bibirnya bergerak perlahan menjawab salam yang diberikan. Pandangannya dilemparkan ke tempat lain. Dia berpeluk tubuh, seakan-akan tidak menyukai kehadiran Afiffudin di situ.

“Biar abang perkenalkan diri abang terlebih dahulu. Nama abang, Afiffudin. Tapi adik boleh panggil Afif saja,” ujar Afiffudin tanpa mensyaratkan panggilan ‘abang’ pada dirinya.

Dia sudah maklum, remaja sekarang lebih gemar memanggil seseorang dengan panggilan nama sahaja biarpun berbeza umur. Afiffudin tidak begitu kisah akan hal yang sedemikian, asalkan rasa hormat antara satu sama lain masih terpelihara. Kemudian, dia menyambung lagi.

“Nama adik ni, Nasrul Haq kan? Macam mana keadaan Nasrul hari ni?” tanya Afiffudin. Jururawat yang ditemuinya sebentar tadi yang memberitahu.

Nasrul menghela nafas dalam-dalam sebelum merenung wajah Afiffudin dengan renungan yang tajam.

“Abang ni siapa? Kenapa sibuk nak tahu pasal diri saya? Oh, abang ni polis ya? Nah, garilah tangan saya ni. Lepas tu bawalah saya ke penjara,” kata Nasrul dengan angkuh sambil menghulurkan kedua-dua belah tangannya kepada Afiffudin.

Afiffudin tersentak dengan respons yang ditunjukkan oleh Nasrul itu. Tetapi senyuman tetap diukirkan. Biarpun tindakan Nasrul itu kelihatan sedikit kasar, tetapi rasa hormat dalam dirinya masih menebal. Dia masih membahasakan dirinya sebagai ‘saya’ dan memanggil Afiffudin dengan gelaran ‘abang’.

“Abang bukannya seorang polis. Tujuan abang datang ke sini adalah semata-mata nak melawat keadaan Nasrul. Semalam Nasrul tak sedarkan diri dan kelihatan seperti sangat tenat. Syukur alhamdulillah, hari ni Nasrul dah sedar semula,” ujar Afiffudin dengan nada yang selembut mungkin.

Akan tetapi, Nasrul masih belum serasi dengan Afiffudin. Renungan tajamnya masih berbisa.

“Abang tak payahlah nak berlakon baik kat depan saya. Saya tahu bila saya sudah sembuh nanti, abang pasti akan menghantar saya ke balai polis atas kesalahan yang telah saya lakukan semalam. Betul?” herdik Nasrul.

Afiffudin menggeleng. Dia benar-benar berharap agar hati Nasrul ini umpama ketulan nasi yang sudah keras. Biarpun keras, ianya akan kembali lembut setelah direndam dengan air. Janganlah pula hati Nasrul ini sekeras batu.

“Nasrul, kenapa Nasrul fikir macam tu?” tanya Afiffudin ringkas. “Abang benar-benar risau pasal diri Nasrul.”

“Abang ni tentunya bergurau, kan? Heh, risau konon. Semalam abang bukan main bersungguh-sungguh lagi nak mengejar dan menangkap saya sampai saya hampir pengsan sebab terlalu penat berlari,” ujar Nasrul selamba.

“Itu adalah tanggungjawab abang untuk membantu orang lain yang ditimpa kesusahan!” celah Afiffudin dengan pantas. Suaranya ditinggikan sedikit.

Nasrul terdiam. Pandangan penuh kebencian masih berapi di anak matanya. Tiada dialog yang muncul antara mereka berdua buat sementara waktu. Nasrul membuang pandangannya ke luar tingkap.

“Tanggungjawab? Huh, orang dewasa memang suka berpura-pura,” ujar Nasrul perlahan, tetapi masih boleh didengari oleh Afiffudin.

“Kalau abang suka berpura-pura seperti apa yang Nasrul katakan, abang tak tahulah di mana Nasrul berada sekarang ni,” sinis Afiffudin.

Nasrul kembali menoleh ke arah Afiffudin.

“Maksud abang?”

Afiffudin menarik nafas perlahan-lahan lalu menghembusnya keluar. Dia memegang erat bahu Nasrul.

“Atas rasa tanggungjawab itulah, abang berusaha untuk membawa Nasrul ke hospital. Walaupun abang tak mengenali Nasrul, biarpun abang tahu Nasrul baru melakukan jenayah, abang tetap menggagahkan diri abang untuk membantu Nasrul mendapatkan rawatan. Jika bukan atas rasa tanggungjawab, abang dah membiarkan saja Nasrul terbaring di tepi jalan tu,” ujar Afiffudin.

“Tapi abanglah punca saya jatuh pengsan! Abang tahu tak?” balas Nasrul seakan menjerit. Matanya sudah berkaca-kaca.

“Kenapa Nasrul menyalahkan abang pula? Kenapa Nasrul tak salahkan diri sendiri? Sedangkan segala-galanya berpunca daripada Nasrul. Nasrul yang memilih jalan yang salah dengan menyamun seorang wanita tua. Tergamak Nasrul buat macam tu?” soal Afiffudin kembali.

Nasrul terdiam sepi. Afiffudin pula menggeleng kerana mungkin percaturannya sudah salah. Dia terlalu ikutkan emosi. Dia sepatutnya bermain dengan psikologi untuk melembutkan hati seorang remaja seperti Nasrul itu.

“Kalau abang datang ke sini untuk memberi ceramah, abang balik jelah. Saya tak sudi nak mendengarnya. Sekiranya abang mahu saya ditangkap oleh pihak polis, abang telefonlah mereka secepat mungkin. Tak perlulah abang risaukan pasal diri saya lagi. Tak ada siapa di dunia ini yang risaukan diri saya,” keluh Nasrul. Air matanya mengalir di pipi.

Afiffudin membisu sebentar. Dia merapati Nasrul lalu mendakap erat bahu remaja berkenaan. Nasrul cuba untuk menolak, tetapi Afiffudin semakin kuat mendakapnya.

“Tidak, masih ada yang menyayangi Nasrul. Abang tahu, Allah masih sayangkan Nasrul. Sebab itulah, Nasrul masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi-Nya ini. Allah masih memberi peluang kepada kita untuk menebus kembali kesalahan yang pernah kita lakukan sebelum ni.”

Nasrul serta-merta menjadi kaku dalam dakapan itu.

“Nasrul, abang minta maaf sekiranya kata-kata abang mengguris perasaan Nasrul sebentar tadi. Abang benar-benar tak sengaja. Apa yang abang cuba lakukan, adalah bukti bahawa abang sangat risau akan keadaan Nasrul,” jelas Afiffudin.

Nasrul tidak memberikan sebarang respons. Cuma, hatinya dipanah dengan perasaan sayu dan hiba yang luar biasa tatkala mendengar rayuan kemaafan daripada insan yang tidak dikenalinya itu.

Mengapa pula Afiffudin yang meminta maaf padanya? Bukankah luahan perasaan dia sebentar tadi lebih menyakitkan hati? Nasrul mengangkat mukanya. Sinar keikhlasan jelas terpancar di wajah Afiffudin. Belum pun sempat Nasrul membuka mulut, Afiffudin kembali menyambung bicaranya.

“Apa yang dah terjadi pada Nasrul? Di mana ibu dan ayah Nasrul? Abang akan cuba hubungi mereka untuk menyatakan bahawa anak mereka ni selamat. Lebih baik kita maklumkan kepada mereka dengan segera. Mereka mesti berasa sangat bimbang sekarang ni,” ujar Afiffudin.

Nasrul cuba untuk menahan air matanya daripada jatuh berderai lagi.

“Tak perlulah bang. Saya ni anak yatim piatu. Ibu dan ayah saya sudah lama meninggal dunia,” beritahu Nasrul. Dia mengetap bibir. Emosinya tidak jelas.

Ya Allah, rupanya kehidupan Nasrul ni jauh lebih sukar daripada apa yang aku sangkakan. Tabahkan hati beliau ya Allah, bisik hati Afiffudin sebaik sahaja mendengar pengakuan Nasrul sebentar tadi.

Kini, kolam matanya pula yang digenangi dengan air mata.

“Jadi, dengan siapa Nasrul tinggal sebelum ni?” tanya Afiffudin lagi.

Nasrul berasa gusar untuk menjawab pertanyaan tersebut. Tetapi entah mengapa, dia merasakan hatinya akan berasa lebih tenang sekiranya dia berterus terang akan kisah hidupnya yang sebenar. Lantaran itu, Nasrul membuka setiap helaian derita yang terkandung dalam kisah hidupnya.

Sejak kematian ibu dan bapa, Nasrul tinggal bersama dengan bapa saudaranya. Namun, bapa saudaranya adalah seorang kaki judi dan kerana itulah juga, isteri kepada bapa saudaranya itu melarikan diri suatu ketika dahulu. Nasrul telah dipaksa untuk berhenti belajar bagi mencari pekerjaan. Duit yang Nasrul perolehi dirampas oleh bapa saudaranya untuk pergi berjudi. Bukan itu sahaja, Nasrul sering didera dan dipukul oleh pakciknya itu.

Nasrul menunjukkan kesan parut dan luka di badan akibat penderaan yang ditanggung olehnya selama ini. Disebabkan terlalu tertekan dan tidak tahan lagi untuk meneruskan kehidupan bersama bapa saudaranya, Nasrul tekad untuk melarikan diri.

“Sudah tiga hari saya hidup terbiar di jalanan. Saya tak ada wang dan perut pula berasa sangat lapar. Saya ada meminta pertolongan daripada orang awam, tapi tiada siapa pun yang pedulikan saya. Sebab itulah, saya terpaksa mencuri untuk mendapatkan wang,” terang Nasrul yang tersedu-sedan. Air matanya berserak kembali.

Ternyata Afiffudin juga gagal untuk menghalang air matanya daripada gugur. Patutlah Nasrul jatuh pengsan semalam. Dia sudah lama tidak menjamah makanan. Kemudian, terpaksa berlari dengan kudrat yang tinggal sekerat pula.

Afiffudin berasa simpati dengan ujian yang dihadapkan oleh Allah ke atas Nasrul. Tetapi Afiffudin tahu, Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan Dia tahu bahawa hamba-Nya itu cukup kuat dan cekal untuk menghadapinya. Dalam diam, Afiffudin mengagumi ketabahan Nasrul.

“Nasrul dah makan hari ni?” tanya Afiffudin.

Nasrul mengangguk.

“Sudah bang. Tengah hari tadi ada seorang jururawat yang beri saya makan,” beritahu Nasrul. Afiffudin menarik nafas lega.

Afiffudin mengerling pada jam di tangannya. Nampaknya beberapa minit sahaja lagi, waktu melawat akan tamat. Dia tidak sangka dapat meluangkan masa dengan begitu lama bersama Nasrul. Afiffudin meminta diri untuk pulang ke rumah.

“Nasrul, abang kena balik dulu. Insya-Allah, esok abang akan datang melawat Nasrul lagi. Ingat pesan abang ya, jangan lupa makan ubat yang doktor beri, berehat secukupnya dan yang paling penting, jangan tinggalkan solat lima waktu kerana selepas setiap solat itu, adalah antara waktu yang paling mustajab untuk kita memohon doa pada Allah. Luahkan segala isi hati dan perasaan Nasrul itu pada Yang Maha Esa. Insya-Allah, hati Nasrul akan menjadi tenang,” nasihat Afiffudin.

Nasrul hanya menjawab dengan anggukan. Dia menyeka air matanya yang masih belum kering. Tangan yang dihulur oleh Afiffudin disambut dengan penuh hormat.

“Abang! Sebelum abang pergi, Nasrul ada satu soalan,” ujar Nasrul.

“Apa dia?” balas Afiffudin pendek.

Nasrul terdiam sebentar. Soalannya ini dirasakan agak berat untuk diajukan. Tetapi mahu tidak mahu, dia perlu mendapatkan jawapannya juga.

“Nanti bila doktor dah benarkan Nasrul untuk keluar daripada wad, abang nak bawa Nasrul pergi ke mana? Nasrul tak mahu kembali ke rumah pakcik Nasrul! Tolonglah, jangan bawa Nasrul ke rumah yang macam neraka tu! Nasrul dah tak tahan lagi kena dera. Nasrul lebih sanggup tinggal di penjara,” luah Nasrul dengan suara yang tersekat-sekat.

Afiffudin tersenyum. Dia menepuk-nepuk bahu Nasrul dengan mesra, bagaikan mahu menenangkan jiwa yang dilanda gelora.

“Nasrul jangan bimbang, abang tak akan membawa Nasrul ke dua-dua tempat tu. Bukan rumah pakcik Nasrul dan bukan juga ke balai polis,” ujar Afiffudin.

“Jadi, abang nak bawa Nasrul pergi mana?” tanya Nasrul yang kehairanan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku