Hanya NamaMu
Tiga Puluh Dua
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2016
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
422

Bacaan






Tubuhnya diperosok ke satu sudut. Duduknya dalam keadaan menggigil sambil memeluk lutut. Air matanya tiada mahu berhenti mengalir seolah empangan air mutiara itu sudah pecah lalu menumpahkan seluruh isinya. Dalam kesamaran anak telinganya dapat mendengar suara-suara berbaur kemarahan di bawah sana. Mendengar itu membuat dia dihimpit ketakutan yang teramat.

“Dasar anak tak guna. Aku bagi duit suruh belajar bukan buat benda tak senonoh!” marah Encik Najib dengan penuh emosi. Suaranya bergema umpama ngauman sang raja rimba yang bisa meluluh jantung si kancil.

“Kita kahwinkan aje, ayah,” cadang Akmaludin, anak sulung Encik Najib dan Puan Salwati. Puan Salwati mendengus kasar.

“Kalau dia hendak dah lama ibu kahwinkan. Ni dia tak hendak.”

“Huh, dasar anak tak sedar diuntung. Tahu nak malukan keluarga aje!” tambah Encik Najib lagi. Marahnya benar-benar sampai ke tahap maksima kala ini. Kes anak bongsunya yang ditangkap khalwat pasti akan sampai ke telinga jiran tetangga dan sahabat handai. Di mana nanti hendak diletakkan mukanya? Tentu malu duduk semeja dengan ahli perniagaan yang lain. Ah, hati menjerit marah. Tidak sanggup membayangkan diri menjadi bahan umpat keji masyarakat sekitar.

“Dahlah tu ayah...ibu. Benda dah jadi nak buat macam mana,” pujuk Salehudin. Dalam menghadapi musibah ini hanya dia yang masih mampu menenangkan diri sedang ahli keluarga yang lain bagai sudah hilang kewarasan akal. Nasib baik dia cepat-cepat mengarahkan Aiman naik ke bilik jika tidak tentu tubuhnya menjadi bahan sepak terajang Akmaludin dan Encik Najib. Isterinya turut mengangguk.

Akmaludin menjeling tajam adiknya yang duduk bertentangan. Dalam keadaan seperti ini pun Salehudin mahu mereka bersabar? Tidak sedarkah Salehudin tentang impak yang bakal diterima kesan daripada peristiwa hitam ini? Maruah keluarga sudah tercemar. Tiada cara yang dapat menghilangkan palitan malu tersebut.

“Buat malu keluarga aje!” bentak Puan Salwati kegeraman. Sakit hatinya apabila mengenangkan perkara yang telah berlaku. Selepas ini entah bagaimana dia dapat menghadapi ahli persatuan wanita yang dianggotai. Dia ke hulu hilir memberi khidmat nasihat kepada kaum ibu supaya menjaga anak-anak. Alih-alih anak sendiri yang bermasalah. Puan Salwati bingung.

“Pengajian dia macam mana?” soal Salehudin setelah keadaan mulai tenang. Tiada lagi suara-suara kemarahan dan bentakan. Ayah dan ibunya pun sudah duduk tenang di atas kerusi.

“Macam mana lagi. Kena buang universitilah!” jawab Akmaludin dengan kasar. Geram pula dia melihat Salehudin yang bersikap tenang. Mendengar jawapan abangnya Salehudin pantas beristighfar panjang. Sejenak dia memandang isterinya yang diam membisu. Mastura menggeleng perlahan. Dia faham dengan isyarat yang diberi suami. Kedua mereka tahu cita-cita Aiman. Andai dia dibuang universiti cita-citanya juga akan turut musnah. Aduh, simpati menjalar.

“Kenapa?” soal Puan Salwati. Pelik dengan sikap anak menantunya.

“Habis, Aiman macam mana pula?” tanpa menjawab soalan ibunya Salehudin mengajukan soalan tentang Aiman.

“Nak macam mana lagi. Duduk ajelah kat rumah ni. Habiskan beras!” jawab Akmaludin acuh tak acuh. Rentak bicaranya masih seperti tadi, kasar.

“Hish, kalau Mal dapat budak lelaki tu Mal belasah sampai lunyai” tutur Akmaludin tiba-tiba. Dia berang kerana tidak berkesempatan bertemu dengan Adi Zafri kerana hanya kedua ibubapa dan Salehudin yang pergi ke Johor untuk berjumpa dengan pengurus kolej.

“Buat apa nak belasah anak orang? Tu yang kat atas tu patut kena. Takkan jadi benda macam ni kalau Aiman tahu jadi diri...jaga maruah,” balas Puan Salwati. Sifat keibuanya mulai luntur. Dia meletakkan sepenuh kesalahan di bahu Aiman. Puan Salwati percaya semua perkara berpunca dari sikap Aiman sendiri.

Bicara sang ibu membuat semua yang ada terdiam membisu. Akmaludin mendengus kasar. Salehudin hanya diam beristighfar. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-hambaNya. Kitalah ebagai manusia yang sering menzalimi diri sendiri. Mastura memaut lengan suaminya. Dia sendiri risaukan nasib yang bakal dihadapi oleh adik iparnya. ‘Semoga Aiman tabah menghadapi dugaan ini,’ doa Mastura dalam hati.

Encik Najib bingung. Kemarahan yang tadi meluap bagai lahar gunung berapi mulai reda. Dijeling seketika anak tangga menuju ke tingkat atas. Entah bagaimana nasib anak gadisnya kelak. Puan Salwati bungkam. Dia takut menghadapi hari esok apabila jiran tetangga tahu. Di mana hendak disorokkan mukanya nanti?



Aiman tergerak bangun apabila kesejukan malam membalut tubuh. Suasana sekitaran gelap-gelita. Hanya silauan lampu jalan yang masuk ke ruang bilik dari jendela yang terkunci. Lampu bilik tidak dinyalakan. Rupanya dia tertidur di atas lantai setelah penat menabur airmata. Kesan mutiara jernih diseka perlahan. Dia berdiri mendekati daun pintu. Telinga dipasang mengintai. Di bawah sana tidak terdengar sebarang bunyi waima putaran kipas di siling. Aiman menduga kedua abangnya sudah pulang ke rumah masing-masing manakala ibubapanya telah hanyut dibuai lena.

Dikerling seketika jam di atas meja. Hampir dua pagi. Pegangan tangannya di tombol pintu dilepaskan. Belakang badan disandarkan pada pintu dan secara perlahan dia terduduk di situ. Fikirannya kosong. Rambutnya yang panjang melepasi bahu dibiar lepas bebas dan menggerbang kusut masai tidak terurus. Lutut dipeluk erat seolah dengan berbuat demikian hati akan menjadi tenang. Pandangan dihalakan ke hadapan. Sekali pandang dia tidak ubah seperti orang yang tidak berakal yang tidak terurus hidupnya.

Mengapa dirinya diperlaku sedemikian? Apa salahnya? Mengapa Tuhan menghukumnya dengan mengirim musibah ini? Mengapa? Tuhan tidak adil. Dia tidak meninggalkan solat, tidak berfoya-foya dan sentiasa menjaga tutur katanya. Lantas, mengapa dia diseksa sebegini? Padahal masih banyak manusia di luar sana yang terang-terangan melanggar perintah Allah SWT. Mengapa tidak mereka saja yang dihukum? Mengapa? Mengapa harus dia?! Anak mata memandang ke arah luar jendela. Langit terang dengan cahaya rembulan. Indah bagi insan yang mahu menghargai.

Hati menjerit sayu. Menyalahkan takdir yang telah ditetapkan malah lebih parah apabila menyalahkan Sang Pencipta yang mengatur kejadian di langit dan di bumi. Aiman tidak redha. Jiwanya sakit. Mata hatinya buta ditutup api kemarahan. Sungguh benarlah api kemarahan itu tiupan sang iblis yang mahu melihat manusia kufur dan menjadi makhluk hina yang ingkar.

Manusia mudah lupa. Lupa bila kesenangan, kemenangan dan kemewahan diberi. Lupa pada Pemberi Nikmat. Apabila nikmat tersebut ditarik semula mereka mulai menyalahkan takdir Yang Maha Kuasa. Tiada sekelumit kesedaran tersemat di hati. Terfikirkah mereka bahwa setiap apa yang dilalui di dunia ini merupakan ujian dari Ilahi? Kesenangan itu ujian, kemewahan itu ujian. Malah kebahagiaan itu juga merupakan sebahagian daripada ujian Allah SWT. Buangkan sangkaan tentang ujian yang datang hanyalah dalam bentuk musibah atau pun bencana agar hati lapang menghadapi hari-hari.

* * * * *



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku