Mat Lidi vs Cik Kak Lempeng
Bab 10
Genre: Keluarga
Kategori: Novelet
Paparan sejak 19 Februari 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
189

Bacaan






Din menyikat rambutnya yang ikal setelah disapu sedikit gel rambut. Baru lah segak bergaya, tetapi terfikir juga Din, siapalah yang mahukan dirinya yang serba kekurangan ini. Tambahan pula kawan-kawan di tempat kerjanya juga kesemuanya lelaki. Hai, kalau macam ni, memang sampai ke tua la diri tak laku-laku lagi-lagi bekerja dengan bergelumang segala jenis minyak motor. Ada ke mana-mana gadis manis yang mahu pandang? Tiba-tiba Din teringat lirik lagu Cari Jodoh nyanyian kumpulan Wali Band. Fuh, tangkap leleh pagi-pagi.

Apa salahku apa salah ibuku

Hidupku dirundung pilu

Tak ada yang mau dan menginginkan aku

Tuk jadi pengubat pilu

Tuk jadi penawar rindu

Lalala…

Sempat lagi Din menyanyi sambil dirinya masih di hadapan cermin. Setelah memastikan dirinya sudah kemas, Din keluar dari bilik dan melihat sekeliling untuk mencari kelibat ibunya kerana kebiasaannya sebelum melangkah ke tempat kerja, Din akan bersalam dengan ibunya terlebih dahulu. Din tidak mahu terus meninggalkan rumah begitu sahaja, dan itu yang dilakukan oleh Din supaya lebih mendapat keberkatan hidup.

Din melangkah pula menuju ke bilik ibunya yang tertutup kerana kelibat ibunya tiada di ruang tamu. Din mengetuk perlahan-lahan tetapi tidak pula kedengaran suara ibunya dari dalam bilik. Hati Din mula cuak. Kebiasaannya setelah beberapa kali mengetuk pintu, akan kedengaran suara ibunya tetapi kali ini berbeza pula.

“Mak, mak ok tak kat dalam tu?” Tanya Din sambil mengetuk pintu berkali-kali. Risau pula Din apabila panggilannya tidak bersahut. Pelbagai andaian buruk mula menerjah di fikiran Din.

“Din..” kedengaran suara Fatimah dari dalam tetapi kedengarannya agak lemah.

“Mak, Din masuk ye.” Din sempat meminta izin sebelum membuka daun pintu.

Apabila pintu sudah terkuak, Din lihat ibunya terbaring di atas katil dengan muka yang pucat. Terkejut Din melihatkan keadaan ibunya itu lalu terus menghampiri ibunya yang masih memandang kepadanya.

“Mak, kenapa ni? Mak sakit ke?” Din mula gelabah.

Din memegang dahi ibunya, sedikit panas.

“Mak dah makan ubat pagi ni?” Tanya Din lalu segera mengambil bekas ubat yang selalunya diletakkan di atas kepala katil. Kebiasaannya segala ubat-ubatan ibunya yang dibawa balik dari hospital akan diletakkan di dalam bekas tersebut dan diletakkan di tempat yang mudah dicapai dan dilihat.

Din terus membuka bekas ubat tersebut dan Din terkejut apabila melihat bekalan ubat ibunya sudah habis. Serta merta Din teringat appointment hospital yang perlu dihadiri ibunya. Mungkinkah sudah terlajak tarikh? Segera Din membuka laci di mana tempat ibunya menyimpan buku kecil yang tercatat tarikh appointment seterusnya. Dan seperti yang telah dijangkakan dari awal, tarikh itu sudah terlepas. Din menggeleng kepala tanda kesal.

“Kenapa mak tak ingatkan Din ambil ubat? “ Din terasa kesal kerana terlupa mengenai hal tersebut.

“Mak kesiankan kamu. Mak tak nak susahkan kamu.” Jawab Fatimah dengan nada sayu.

Din menepuk dahi. Tidak pula terdetik di hatinya ibunya itu telah menyusahkan dirinya. Apalah sangat sekadar mengambil ubat, bukannya perlu memproses ubat. Kalau memproses ubat, Din sendiri akan surrender.

“Dah la, jom mak ikut Din pergi hospital. Pasal kerja tak apa, Din bagitahu Mamat nanti.” Arah Din sebelum sempat Fatimah untuk berkata apa-apa.

Sebaik sahaja Din dan Fatimah tiba di hospital, mereka disajikan dengan gelagat manusia yang pelbagai. Ada yang datang menaiki teksi, ada juga yang berkenderaan sendiri. Seperti biasa, Din terpaksa berpusing-pusing berkali-kali untuk mencari tempat parking yang kosong. Memang fenomena seperti itu sudah lumrah. Siapa yang cepat dia yang dapat. Setelah memakan masa hampir lima belas minit mencari parking, akhirnya rezeki berpihak kepada mereka. Din membetulkan kedudukan kereta kancil merah miliknya yang telah banyak menyumbang jasa kepadanya selama ini. Walaupun kereta kancil itu dibeli secara second hand, tetapi Din bersyukur kerana dengan kereta itu jugalah dia boleh membawa ibunya ke mana-mana termasuk ke hospital.

“Mak nak duduk atas kerusi roda ke?” Tanya Din apabila sudah sampai di hadapan pintu hospital walaupun Din sendiri sudah tahu jawapan ibunya itu.

“Tak payah. Mak ada kudrat lagi nak berjalan.” Jawapan Fatimah memang sudah dapat dijangka oleh Din.

Memang itulah jawapan yang akan diberikan oleh Fatimah kerana baginya selagi dia masih boleh berjalan, selagi itulah dia akan menggunakan kudrat kedua-dua kakinya itu. Din terpaksa akur dengan kemahuan ibunya tetapi dalam masa yang sama memimpin tangan ibunya supaya ibunya tidak terjatuh jika dilanggar oleh orang yang lalu lalang.

Din meninjau sekeliling dan mencari mana-mana tempat duduk yang masih kosong. Mujur masih ada lagi insan berhati mulia yang sudi memberikan tempat duduk kepada ibunya apabila melihat keadaan Fatimah yang sudah tua. Din sendiri tidak sanggup melihat orang tua yang terpaksa berdiri lama lalu Din terus sahaja berdiri sambil bersandar di dinding. Sambil-sambil tu boleh juga Din cuci mata.Hehe..

Sementara menunggu nombor giliran, Din mengambil telefon bimbitnya dan mendail nombor rakan baiknya, Mamat. Ya, Mamat lah kawan baiknya yang banyak menolongnya ketika dia dalam kesusahan walaupun Mamat sendiri bukanlah dari golongan berada. Ketika Din kekurangan duit untuk membeli kereta Kancil merah kira-kira empat tahun lepas, Mamat jugalah insan yang sudi menghulurkan wang kepadanya untuk mencukupkan jumlah duit yang masih kurang di tangan Din dan Din sangat menghargai kebaikan Mamat.

Kali ini juga dia mahu meminta tolong Mamat untuk memberitahu tauke mereka bahawa dia agak lewat tiba di bengkel. Bukannya dia sengaja ponteng kerja, baginya hal ibunya lebih mustahak. Jika terjadi apa-apa kepada ibunya ketika dia tiada di rumah, siapa juga yang susah. Din tahu Mamat seorang yang boleh diharap, tetapi jika tauke masih juga bising-bising, nampaknya Din tiada pilihan lain selain berhenti. Memang agak sayang juga

“Tak ada line la pulak.” Din berasa sedikit geram kerana terpaksa ke hulu ke hilir mencari line telefon yang agak teruk.

“Din, mak nak pergi tandas sekejap.” Fatimah bangun dari tempat duduknya dan berjalan perlahan-lahan menuju ke luar pintu.

Din sekadar mengangguk lalu terus berusaha mencari line. Mahu sahaja Din melempar handphonenya itu ke dalam tong sampah, baru puas hati. Apa guna ada handphone kalau tak boleh guna di tengah-tengah emergency ni? Din terus ke hulu ke hilir sambil matanya terus memandang skrin handphonenya sehingga secara tiba-tiba dia telah terlanggar seseorang di hadapannya sehingga handphone yang berada di tangannya terjatuh lalu terburai.

Sorry, sorry..” kedengaran satu suara meminta maaf.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku