Mat Lidi vs Cik Kak Lempeng
Bab 12
Genre: Keluarga
Kategori: Novelet
Paparan sejak 19 Februari 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
265

Bacaan






You are fired!” jerit Tauke Ong cukup membuatkan telinga Din berdesing. Fired? Maksudnya..diberhentikan! Terasa bagai mahu pengsan Din mendengarkan perkataan keramat itu daripada mulut majikannya. Dalam beberapa minit Din diam tidak berkata apa-apa. Dipandangnya wajah Mamat yang juga kelihatan sayu. Dia tahu Mamat juga tidak menyangka Tauke Ong nekad membuat keputusan seperti itu pada hari ini.

Fikiran Din ligat menerawang mencari alasan untuk melembutkan hati Tauke Ong, kalau boleh dia tidak mahu berhenti. Lagipun, jika dia diberhentikan, bagaimana dia mahu menyara hidupnya dan juga ibunya di rumah? Serta merta Din teringatkan ibunya yang tersenyum di rumah, terasa mahu gugur ketika itu juga air mata di pipi Din tetapi disebabkan masih mahu menjaga nilai kemachoan dalam diri, Din cuba juga bertahan. Dia tidak mahu dilihat lemah.

“Bos, mak saya tak sihat bos. Kasihanilah saya.” Din cuba memujuk Tauke Ong tetapi apabila melihatkan wajah majikannya yang serupa seperti singa tidak makan setahun itu, sedikit sebanyak membuatkan hati Din sedikit kecut dan harapannya bakal hancur berkecai.

“Bos, kasihanilah dia bos. Lagipun sebelum ni pun kerja dia bagus. Dia bukan sengaja datang lewat bos.” Mamat pula cuba memujuk Tauke Ong tetapi reaksi Tauke Ong tetap seperti tadi.

Mamat memandang Din dan Din mengangkat bahu lalu menghela nafas. Tak apalah jika memang rezekinya di sini setakat ini sahaja. Apa mahu buat? Sudah suratan.

“Kalau mak you tak sihat, kenapa you tak bagitahu sama saya? Sama Mamat? You punya perangai buat macam bengkel ni you yang punya!” balas Tauke Ong tetapi suaranya sedikit kendur.

“Bukan saya tak nak bagitahu bos tapi…” serta merta wajah Cik Kak Lempeng muncul di fikirannya. Adui, disebabkan perempuan itu la hal ni jadi macam ni!

“Tapi apa?” jerkah Tauke Ong cukup membuatkan Din terkejut.

Amboi, mentang-mentang dia bos, sesedap rasa je dia nak jerit-jerit tengking-tengking orang macam ni. Huh, sabar..sabar..sabar itu kan separuh daripada iman. Din mengusap-ngusap dada yang mula panas. Dahla dia masih panas dengan perangai Cik Kak Lempeng tadi, sekarang ni pula dia dimarahi Tauke Ong pula. Semua ini gara-gara perempuan itu la. Siapla Cik Kak Lempeng, kali ni bila aku jumpa kau, tau la apa aku nak buat. Aku jual terus motorsikal kau tu biar sampai kau tak boleh pergi sekolah dan kau pun kena diberhentikan macam aku ni! Din sempat memarahi Cik Kak Lempeng di dalam hati tetapi raut muka Din yang penuh geram itu disedari Tauke Ong dan juga Mamat. Mamat menyiku lengan Din.

“Tapi disebabkan ada sorang perempuan gila ni kacau saya, terus jadi macam ni.” Lancar sahaja mulut Din berkata-kata sehingga membuatkan Mamat yang mendengar juga tersentak.

“You jangan main-main sama saya dengan alasan tak masuk akal macam ni.” Tauke Ong menjeling Din. Sememangnya dia cukup tidak gemar pekerjanya mempermainkannya seperti ini.

“Betul bos. Kalau tak percaya..” Din meraba-raba poket seluarnya dan mengeluarkan handphonenya yang sudah seperti hidup segan mati tak mahu itu. “Tengok, handphone ni dah rosak. Sebab tu saya tak boleh contact bos atau Mamat.” Sambung Din dengan penuh bersemangat. Mana la tahu hati Tauke Ong terbuka untuk memberinya peluang sekali lagi.

Tauke Ong terus memandang tajam ke arah Din. Melihatkan pandangan majikannya seperti itu, hati Din yang pada mulanya kembang seperti bunga kembang di pagi hari terus menjadi kecut semula. Kali ini Din redha, apa nak jadi, jadilah!

*****

“Macam tu ke ceritanya?” Mulut Hana terlopong sebentar mendengarkan cerita Azlin. Terfikir juga Hana, bagaimana Azlin dan Mat Lidi boleh bertembung pada hari yang sama seperti berjanji pula. Entah-entah..

“Ni senyum-senyum ni kenapa pulak?” Azlin cukup tidak berkenan dengan reaksi Hana yang senyum tiba-tiba setelah usai dia menceritakan sesuatu. Pasti ada sesuatu yang difikirkan Hana.

“Bukan apa la kan…Orang lain la kata kan, bukan aku ye..Orang lain ada kata yang biasanya kalau dah selalu bertembung gaduh-gaduh manja kan, selalunya ada jodoh.” Secepat kilat Azlin mencubit peha Hana sehingga membuatkan Hana mengaduh.

“Jodoh, jodoh.jodoh. Dah tak ada perkataan lain ke nak fikir. Aku memang tak suka la dia tu. Tolong la. Gaduh manja kau kata? Aku dengan Mat Lidi tu bukan tahap gaduh manja tapi gaduh sampai nak terlungkup dunia tau tak!” bersungguh-sungguh benar Azlin memarahi Hana tetapi Hana tetap juga ketawa. Geli hati Hana mengenangkan tingkah laku kebudak-budakan antara kawannya ini dengan Mat Lidi. Ada sahaja isu pergaduhan yang timbul. Kan bagus kalau mereka berdua berdamai, berbaik. Tak payahla nak masam-masam muka lagi. Buat penat tenaga je marah-marah.

“Dan kau ada terfikir tak yang kes aku jatuh motor ni ada kaitan dengan dia?”

“Eh kenapa pulak?” Hana mengerut dahi. Apa kena mengena pula dengan Mat Lidi? Hana menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Kau ni kan, aku bagi klu sikit dah blur. Ye la, entah-entah memang dia sengaja rosakkan motor aku masa kau tolong aku bawak motor ni ke bengkel hari tu.” Jawab Azlin berterus terang.

“Tak baik la tuduh macam tu. Kau ingat tak kes dulu tu yang kau ada tuduh dia tapi sebenarnya bukan dia punya angkara. Kan dah malu sendiri. ” Marah Hana cuba menyangkal dakwaan Azlin. Hana sendiri sebenarnya tidak terfikir seperti yang difikirkan oleh Azlin ketika ini walaupun perang saudara sering meletus antara kawannya itu dengan Mat Lidi. Tak mungkin Mat Lidi seteruk itu.

Azlin mendengus apabila Hana tidak berpihak kepadanya malah mengungkit hal dulu yang turut terpalit nama Mat Lidi. Ah, tentang hal itu bukan seratus peratus salahnya, kata-kata Hana tadi seolah-olah meletakkan kesalahan terus di atas bahunya. Azlin memeluk tubuh dan berpaling daripada memandang Hana. Hana pula tahu bahawa Azlin sedang terasa hati ketika ini.

“Dahla marah-marah Azlin oi..nanti muka tu berkerut dah tak lawa dah. Kau ni dah makan ke belum?” Tanya Hana cuba menukar topik.

Hana tahu jika isu ini terus dibincangkan, sampai ke sudah Azlin menarik muka masam dan muncung sedepa.

“Dah, makan maggi.” Jawab Azlin acuh tak acuh.

“La, maggi je ke?” Hana nyata terkejut dengan jawapan Azlin.

“Yela, tak ada selera aku nak makan hari ni.” Walaupun masih dalam keadaan masam mencuka, Azlin masih juga membalas pertanyaan Hana.

“Ala, kesiannya dia. Dahla, jom kita makan kat luar. Sambil-sambil tu jom aku hantar kau ke klinik sekali. Sempat lagi ni kita nak singgah klinik. Cepat, jom solat Maghrib dulu.”

“Malas la.” Nampaknya Azlin tidak berminat dengan pelawaan Hana yang tulus ikhlas itu.

“La, nanti masuk angin perut tu. Kaki tu pulak bengkak baru tahu.” Hana sedikit risau dengan keadaan Azlin.

“Biarla, aku malas nak buat apa-apa. Aku nak tidur.” Azlin bangun dari kerusi dan berjalan terhincut-hincut menuju ke dalam biliknya. Hana menggeleng kepala melihatkan kedegilan Azlin.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku