Bintang Ayumi
Bab 22
Genre: Fantasi
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Mac 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
253

Bacaan






Ayumi masih setia berdiri di tepi jalan. Sedikit pun tidak bergerak. Otaknya masih tidak mampu berfungsi dengan baik. Insiden yang berlaku sebentar tadi dimana dirinya hampir dilanggar oleh sebuah kereta masih menghantui dirinya. Air matanya sudah lama kering. Hanya meninggalkan bekas sahaja. Ayumi berisghtifar berkali-kali di dalam hati. Cuba mengembalikan ketenangan di dalam hatinya.

Ayumi mula mengorakkan langkahnya. Lambat-lambat langkah di atur. Hatinya masih kecut. Bagai terasa maut dekat dengannya. Namun dia berpegang pada satu, ajalnya masih belum tiba. Jika tidak, pasti dia telah “disapu” oleh sebuah kereta yang juga dipandu dalam keadaan laju ketika itu. Masih tergiang-giang suara lelaki yang memarahi kerana kecuaiannya walaupun pemandu lelaki itu turut bersalah dalam kejadian itu. Jika pemandu lelaki itu tidak memandu dalam keadaan laju, pasti Ayumi mahupun pemandu lelaki itu masih sempat untuk mengelak. Dek kerana ketika itu dia kaget dengan kejadian menakutkan itu, dia terus mengakui salahnya tanpa sempat mempertahankan dirinya.

Ayumi berhenti di bawah sebatang pokok. Ingin mengelakkan dirinya daripada terkena sinaran matahari yang panas itu. Ayumi mengelus lembut. Dia ingin segera pulang. Fikirannya berkecamuk. Matahari yang memancar panas dan terang juga menambahkan kekusutan pada dirinya. Dengan sepenuh hati, Ayumi cuba menguatkan kembali semangatnya yang lumpuh sebentar tadi. Dipandang kiri dan kanan berkali-kali. Dia ingin menyeberangi ke seberang jalan untuk menuju ke rumahnya. Setelah dipastikan tiada sebuah kenderaan yang lalu ketika itu, segera dia melintas dengan penuh berhati-hati.

Hari ini dia kurang bernasib baik. Kepenatan berjalan jauh untuk menemui Amira untuk memohon pertolongan masih belum hilang. Ditambah pula dengan sikap Amira yang acuh tidak acuh itu juga menambahkan rasa kecewa di dalam hatinya. Kejadian sebentar tadi yang hampir meragut nyawanya menjadikan hati Ayumi bertambah rawan. Ayumi cuba menahan tangis di dalam hati. Tiada sesiapa yang memahami dirinya termasuk Amira dan Puan Salmah

*********************

Hamdan memperlahankan pemanduannya apabila semakin menghampiri rumah majikannya. Sabrina yang duduk dibahagian belakang hanya diam membisu sepanjang perjalanan. Fikirannya jauh menerawang. Terpancar rupa kurang enak pada air mukanya. Hamdan mengangkat tangan sebagai isyarat kepada pengawal yang menjaga pintu pagar utama untuk membenarkan mereka masuk. Terpampang papan tanda tertulis Villa De Amour di atas pintu gerbang pintu pagar masuk. Hamdan memandu terus sehingga ke halaman rumah. Dipakir kereta tidak jauh dari pintu masuk utama rumah. Belum sempat Hamdan hendak keluar dari perut kereta untuk membuka pintu Sabrina, gadis itu terlebih dahulu keluar tanpa sepatah kata. Gadis itu melulu masuk ke dalam rumah.

Seorang penyambut wanita yang berdiri di tepi pintu masuk untuk menyambut kepulangan Sabrina ditolak keras. Sabrina berjalan pantas menuju ke kamar tidurnya. Diatur langkah pantas mendaki anak-anak tangga menuju ke bahagian tingkat atas. Pintu biliknya dibuka kasar sebelum menutup dengan kuat. Kedengaran pintu bilik dikunci dari sebelah dalam. Sabrina mencampak beg tangannya di atas lantai. Kasut yang dipakai juga dicampak merata-rata. Sabrina berjalan mundar mundir sambil mengigit kukunya. Anak matanya bergerak ke sana sini. Hatinya cemas takutkan sesuatu. Pelbagai persoalan mula menghimpit dirinya. Sabrina memegang kepalanya yang berat berfikir sesuatu yang besar. Sabrina tidak tahan. Anak matanya terhenti pada bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katilnya. Dicapai bantal itu sebelum dicampak mengikut rasa hatinya. Sabrina menjerit kuat melampiaskan rasa yang terbuku dihatinya. Perasaan takut, kecewa, marah dan cemas bercampur menjadi satu.

Dia terduduk lemah. Air matanya mengalir lesu mengikut lekuk pipinya. Sungguh dia tidak menyangka kejadian hampir setahun berlalu itu mula mencarinya. Sedaya upaya dia cuba melupakan kejadian itu. Namun pada hari ini, kejadian itu bangkit mengejarnya. Sabrina duduk memeluk kakinya. Terbayang wajah sayu gadis itu diruang fikirannya. Pandangan gadis itu benar-benar menganggu emosinya. Sabrina mengenggam kuat rambut kepalanya. Dia yakin pada malam kejadian itu, gadis itu telah mati. Dia sendiri telah memeriksa nadi gadis itu. Dia sendiri yakin gadis itu sudah terputus nyawa. Dia sendiri yang telah menguburi gadis itu. Dia benar-benar yakin.

“kau tidak bersalah Sabrina. Bukan salah kau pada malam itu. Perempuan itu yang bersalah.” Bisik Sabrina pada dirinya sendiri. Cuba menenangkan hatinya yang gundah gulana.

“aku benar-benar pasti perempuan itu sudah mati sebelum aku tanam dia. Tapi bagaimana perempuan itu masih hidup? Apakah benar perempuan yang aku lihat tadi adalah perempuan yang sama?” soal Sabrina sendirian.

Sabrina menelan liurnya. Sumpah dia benar-benar berasa ketakutan. Bimbang jika rahsia yang dia simpan terbongkar sehingga memusnahkan masa depannya. Tidak sanggup dia membayangkan seandainya perkara itu terjadi. Sabrina mengharapkan keajaiban berlaku memulihkan semula segala yang telah terjadi.

“arrghhhhhhhhhhhhhhhhhhhh………” Sabrina menjerit sehingga dihujung suaranya.

**************************************

Pejabat utama Garuda Land Sdn Bhd

Tuan Ibrahim William Smith termenung jauh. Melemparkan pandangan jauh mengenangkan tanah kelahirannya. Terlayar kembali memori indahnya ketika kecil dahulu. Ternampak jelas wajah-wajah yang cukup dirinduinya. Wajah kedua ibubapanya masih terukir jelas diminda. Hampir 20 tahun dia meninggalkan tempat kelahirannya. Kali terakhir dia menjejakkan kakinya di England ketika dia berumur 29 tahun. Sewaktu dia membawa hajat ingin memperisterikan seorang wanita melayu yang beragama islam. Kedua ibubapanya menentang keras perhubungan itu termasuk kaum kerabatnya. Perbezaan agama menjadi faktor utama hubungannya mendapat tentangan keras. Mereka memaksa dia membuat pilihan sama ada memilih wanita yang dicintai atau keluarga. Jika dia berkeras memilih cinta, kedua orang tuanya tidak teragak-agak membuangnya daripada keturunan keluarga Smith. Jika dia memilih keluarga, dia harus mengorbankan cinta hatinya. Tuan Ibrahim William Smith memejamkan matanya. Cuba menahan air matanya dari jatuh berderai. Tidak tahu mengapa hari ini dia terasa rindu pada keluarga dan tanah kelahirannya.

Bunyi ketukan di daun pintu mengejutkan Tuan Ibrahim William Smith dari menungannya. Dia segera menyeka air mata yang mula terbit dihujung matanya. Dilihat daun pintu bilik pejabatnya sebelum memberi arahan masuk.

“Come in”. arah Tuan Ibrahim William Smith pendek. Dia berdeham beberapa kali untuk menghilang rasa kesat di kerongkongnya. Terjengul wajah pembantu peribadinya, Saidin dibalik pintu. Lelaki muda yang berusia awal 30-an itu melemparkan senyuman manis pada Tuan Ibrahim William Smith.

“Tuan Ibrahim, jam sudah pukul 5:15 petang. Tuan lupakah janji Tuan untuk makan malam bersama isteri dan anak gadis Tuan dirumah?” soal Saidin berdiri tegak di hadapan meja Tuan Ibrahim William Smith.

“Ya Allah, saya terlupa. Banyak perkara yang harus saya ingatkan sehingga terlupa janji pada isteri saya.” Ngeluh Tuan Ibrahim William Smith.

“Tidak mengapa Tuan. Masih awal lagi. Sempat kita tiba di Villa sebelum pukul 8:00 malam.” Ujar Saidin cuba menenangkan Tuan Ibrahim William Smith. Tidak mahu majikannya bermuram kerana perkara kecil itu. Tuan Ibrahim mengangguk senang mendengar kata-kata Saidin. Segera dia bangun lalu mencapai kot yang tersangkut di penyangkut baju yang terletak di hujung dinding pejabatnya. Beg bimbitnya dibiar dibawa oleh Saidin.

Mereka berdua berjalan beriringan menuju keluar bangunan Pejabat. Kelihatan sebuah kereta jenama Mercedes Benz telah sedia menunggu kedatangan mereka di hadapan bangunan Pejabat. Pemandu kereta tersebut segera keluar membuka pintu belakang sebelah kiri apabila melihat Tuan Ibrahim William Smith semakin hampir. Lelaki berusia awal 50-an itu membolos masuk ke dalam perut kereta diikuti pembantu peribadinya. Setelah kereta bergerak beberapa minit di atas jalan raya, tiba-tiba Tuan Ibrahim William Smith bersuara memecahkan kesunyian.

“tiba-tiba saya teringin hendak menunggang kuda. Saya rindukan Gunner.” Ujar Tuan Ibrahim William Smith namun matanya masih terarah di luar tingkat.

“Jika begitu, kita masih mempunyai masa untuk singgah sebentar dibangsal kuda sebelum makan malam.” Beritahu Saidin sambil memandang wajah majikannya. Tuan Ibrahim mengangguk kepala tanda bersetuju dengan cadangan pembantu peribadinya.

******************

Bangsal Kuda, Villa De Amour

Bangsal kuda yang terletak dibelakang Villa De Amour kelihatan sedikit meriah berbanding sebelumnya. Hari ini bangsal kuda itu menerima kunjungan daripada tuan mereka, iaitu Tuan Ibrahim William Smith yang hadir bersama pembantu peribadinya, Saidin. Lelaki yang berusia awal 50-an itu kelihatan gembira sekali saat bertemu dengan kuda kesayangannya, Gunner. Kelihatan dua orang penjaga kuda sedang berada dalam keadaan bersiap sedia di luar kandang kuda yang diberi nama Gunner. Tuan Ibrahim William Smith kelihatan begitu asyik membelai-belai kepala dan tengkuk Gunner. Kuda pecut yang bertubuh tegap itu tampak senang dengan belaian itu. Seoalah-olah gembira menerima kunjungan mengejut daripada tuannya. Hampir dua bulan mereka tidak bertemu disebabkan faktor kesibukkan kerja Tuan Ibrahim William Smith yang tidak menentu namun kuda pecut itu mengenali bau yang terbit dari badan Tuan Ibrahim William Smith. Mengetahui lelaki separuh abad itu tuannya yang sebenar.

“Kelihatan Gunner sungguh sihat sekali”. Puji Tuan Ibrahim William Smith lancar bertutur bahasa melayu. “Kalian menjaganya dengan bagus sekali. Terima Kasih.” Ucap Tuan Ibrahim William Smith beserta senyuman manis diwajahnya.

“Sudah menjadi tanggungjawab kami, Tuan Ibrahim.” Ucap salah seorang penjaga kuda itu. Tuan Ibrahim William Smith mengangguk berpuas hati. Pada hari itu, Tuan Ibrahim William Smith berhajat ingin menunggang kuda kesayangannya, Gunner. Jadi dia telah bersiap sedia memakai sepersalinan yang lengkap untuk menunggang kudanya. Dia berterima kasih kepada Saidin kerana sentiasa bersiap sedia menyediakan keperluannya walau tanpa disuruh. Dia kagum dengan kecekapan Saidin menguruskan jadual kerja dan keperluan peribadinya.

“persiapkan Gunner. Aku mahu menunggangnya hari ini.” Arah Tuan Ibrahim William Smith sebelum melangkah keluar dari kandang kudanya. Salah seorang penjaga kuda itu memasuki kandang untuk mempersiapkan Gunner manakala seorang lagi penjaga kuda mengekori Tuan Ibrahim William Smith keluar daripada bangsal.

Beberapa minit kemudian, Gunner dibawa keluar. Kelengkapan untuk menunggang Gunner telah siap dipakai. Kepala Gunner telah dipasang dengan Head Bridle manakala badannya telah dipasang Saddle bagi memudahkan Tuan Ibrahim William Smith menunggang dan mengawalnya. Tuan Ibrahim William Smith mengusap lembut leher Gunner sebelum menaiki belakang badan Gunner. Tuan Ibrahim William Smith menepuk bahagian tepi paha Gunner menggunakan kaki sebagai isyarat untuk bergerak. Tali khas yang diikat pada Head Bridle untuk mengawal Gunner dipegang kemas.

Tuan Ibrahim menunggang Gunner di sebuah gelanggang khas yang dibina untuk menunggang kuda. Tuan Ibrahim Smith William mengawal Gunner dengan baik sekali. Minat dan hobinya menunggang kuda menjadikan dia tidak jemu untuk berlatih menjadi penunggang kuda yang handal. Tuan Ibrahim William Smith memacu laju kudanya apabila sudah mendapat rentaknya. Selama sejam lebih Tuan Ibrahim William Smith menghabiskan masa bersama kuda kesayangannya.

Setelah kelelahan, Tuan Ibrahim William Smith memberi isyarat kepada Gunner untuk memperlahankan lariannya. Penjaga kuda milik Tuan Ibrahim William Smith yang setia menanti diluar gelanggang mendekati Gunner. Head Bridle yang menyarungi kepala Gunner ditarik dengan cermat supaya kuda itu tidak meronta tetapi menuruti. Setelah tiba diluar bangsal, Tuan Ibrahim William Smith turun dengan penuh berhati-hati sambil dibantu oleh Saidin yang setia menunggunya di tepi gelanggang.

Tuan Ibrahim William Smith menanggalkan sarung tangannya sebelum mencapai sebotol air minuman yang dihulur oleh Saidin. Di teguk air minuman itu sehingga tinggal separuh.

“sudah pukul berapa Saidin?” soal Tuan Ibrahim William Smith sambil matanya memandang kea rah dada langit yang semakin gelap.

“sudah pukul 7:15 minit malam Tuan. Saya rasa eloklah kita beredar tuan. Hari semakin gelap.” Beritahu Saidin sambil menundukkan sedikit kepalanya. Tuan Ibrahim mengangguk setuju. Tuan Ibrahim William Smith segera mendekati pekerja yang bertugas menjaga Gunner.

“Saya pulang dahulu. ” beritahu Tuan Ibrahim William Smith kepada pekerja bawahannya sebelum berlalu pergi meninggalkan bangsal kuda. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke Villa De Amour. Tuan Ibrahim menghentikan langkahnya sebaik sahaja tiba di belakang bangunan Villa De Amour. Dilihat wajah Saidin yang berminyak dan keletihan.

“Kamu boleh pulang ke rumah kamu Saidin. Kita berjumpa esok di Pejabat.” Ujar Tuan Ibrahim William Smith sambil tersenyum kecil.

“Baiklah… saya minta diri dahulu tuan. Jumpa esok.” Akur Saidin meminta diri. Anak mata Tuan Ibrahim William Smith mengekori langkah Saidin sebelum kelibat pemuda itu hilang di balik bangunan. Tuan Ibrahim William Smith melangkah masuk melalui pintu belakang dibahagian dapur. Dia tersenyum saat matanya terlihat wajah manis isterinya, Rosalia yang sibuk menyediakan juadah makan malam di dapur. Wanita itu terkejut apabila menyedari Tuan Ibrahim William Smith berdiri tegak di belakangnya.

“Hello my love.” Ucap Tuan Ibrahim William Smith lalu merangkul pinggang isterinya Rosalia. Puan Rosalia menarik muka masam namun membiarkan sahaja rangkulan suaminya.

“Sudah berapa kali Ros bilang, jangan sergah Ros begitu. Kalau Ros tengah pegang penumbuk lesung batu, mesti sudah benjol kepala abang tu kena ketuk.” Bebel Puan Rosalia. Tuan Ibrahim William Smith tersenyum.

“abang tidak kisah. Abang tahu Ros tidak akan tergamak ketuk kepala abang dengan penumbuk lesung batu. Ros kan sayang abang.” Jawab Tuan Ibrahim William Smith manja sambil mengesel-gesel hujung hidungnya ditengkuk isterinya. Puan Rosalia meremang bulu roma.

“Hish… buang tabiat betul abang ni. Gelilah. Sudah, pergi mandi dan solat maghrib. Sebentar lagi makan malam.” Arah Puan Rosalia lalu mencubit pinggang Tuan Ibrahim William Smith sedikit kuat. Lelaki itu mengadu sakit.

“baiklah Madam Rosalia. Your order is under my command.” Ujar Tuan Ibrahim William Smith lalu meleraikan rangkulannya. Sebelum dia melangkah pergi meninggal Puan Rosalia, satu kucupan pantas singgah dipipi Puan Rosalia. Lelaki berusia awal 50-an itu mencicit melarikan diri. Tidak mahu menerima cubitan maut dari isterinya lagi. Puan Rosalia mengetap bibir geram dengan kelakuan kanak-kanak suaminya itu. Kadang-kala ulah suaminya mengalahkan kanak-kanak berusia 10 tahun. Ada sahaja usikan nakal setiap hari dari suaminya. Puan Rosalia tersenyum apabila mengenangkan tingkah nakal Tuan Ibrahim William Smith yang ramai tidak tahu. Sesiapa yang tidak mengenali rapat lelaki itu, pasti mereka akan beranggapan suaminya itu seorang yang tegas dan sukar berkawan. Wajah suaminya yang kelihatan garang itu pasti membuat sesiapa yang memandang sedikit berasa gerun walaupun pada hakikatnya suaminya itu seorang yang mudah mesra dan suka bergurau. Puan Rosalia mengeleng sambil tergelak kecil sebelum menyambung kembali tugasnya yang tergendala sebentar tadi.

****************************************

Sabrina mengetap bibirnya. Dilihat dirinya di dalam cermin. Wajahnya kelihatan pucat tidak bermaya. Matanya kelihatan sedikit bengkak. Kedengaran keluhan berat dilepaskan. Sabrina segera mencapai bekas bedaknya. Disapu dengan cermat diseluruh wajahnya. Dia ingin kelihatan segar. Kelopak matanya yang bengkak kerana menangis ditutup dengan garisan celak mata. Bibirnya yang berwarna pucat disapu dengan pewarna bibir. Menjadikan bibir itu kelihatan mungil. Rambutnya yang panjang diikat “side pony” menyerlahkan lagi kemanisan wajahnya. Setelah berpuas hati dengan solekan diwajahnya, Sabrina melangkah kea rah almari bajunya. Dicapai sehelai “dress” labuh berwarna biru lembut lalu disarung di tubuhnya. Dibelek-belek dirinya dicermin. Dia ingin kelihatan elok dimata kedua orang tuanya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Sabrina segera melangkah keluar dari biliknya. Dia menuruni anak tangga dengan penuh berhati-hati.

Jelas kedengaran suara kedua ibu bapanya diruang makan. Sabrina mempercepatkan langkahnya. Tidak mahu ditegur lambat oleh ibunya. Bibirnya menggulumkan senyuman sebaik sahaja melihat wajah Tuan Ibrahim William Smith dan Puan Rosalia.

“Ibu… papa.. I’m here.” Ujar Sabrina manja sebaik sahaja menghampiri kedua ibubapanya. Puan Rosalia yang ketika itu asyik berbual dengan Tuan Ibrahim William Smith menoleh. Bibirnya tersenyum apabila anak gadisnya itu merangkul lehernya manja.

“Tengok abang. Sudah besar panjang pun masih nak peluk-peluk ibu macam tu”. Perli Puan Rosalia sambil membuat mimik muka garang. Tuan Ibrahim tergelak suka apabila melihat kedua beranak itu berdebat manja.

“Ibu ini ada sahaja tidak kena dimatanya.” Rungut Sabrina sambil mengetap bibirnya.

“Ibu bukan apa…kamu itu sudah besar panjang. Sudah boleh berumahtangga dah. Kalau kamu masih suka peluk-peluk ibu macam tu, bagaimana kamu hendak hidup berasingan dari ibu?” ujar Puan Rosalia ingin menang. Sengaja tidak mahu mengalah dengan anak gadisnya.

“Apa susah, Rina ajak bakal suami Rina tinggal sekali dengan kita dirumah ini. Senang. Tak perlu Rina dengan bakal suami Rina keluar duit mencari rumah untuk berteduh.” Jawab Sabrina selamba. Mencerlung mata Puan Rosalia pabila mendengar jawapan bersahaja Sabrina.

“Bolehkan papa? Nanti Ibu boleh tolong jagakan anak-anak Rina. Boleh Rina pergi melancong dengan suami Rina keluar negara.”Sabrina mengenyit mata nakal pada Tuan Ibrahim William Smith. Lelaki itu mengeleng kepala. Ada sahaja ulah nakal anak gadisnya itu menyakat Puan Rosalia. Sabrina mengekek suka apabila melihat mata Puan Rosalia membulat.

“Amboi..amboi.... sukanya dia mengenakan ibu ye.” Tutur Puan Rosalia geram lantas menghadiahkan cubitan manja di perut anak gadisnya itu. Sabrina mengaduh sakit. Tuan Ibrahim William Smith tergelak melihat wajah Sabrina berkerut menahan sakit. Sebelum Sabrina, dia terlebih dahulu menerima cubitan sayang itu. Boleh tahan juga sakitnya.

“Nakal betul anak ibu ni.” Ujar Puan Rosalia geram.

“Aduh.. aduhh… sakit ibu. Sakitttt…” ngadu Sabrina tidak tahan. Puan Rosalia melepaskan cubitannya apabila melihat wajah Sabrina berkerut menahan sakit. Gadis itu mengusap-ngusap tempat bekas cubitan Puan Rosalia. Berbisa sungguh rasanya.

“Mari makan.. nanti sejuk lauk-lauk masakan ibu ini. Sabrina bukan mahu bantu ibu di dapur pun.” Ngomel Puan Rosalia lantas bangun mengambil mangkuk nasi. Sabrina tersengih mendengar omelan ibunya. Mengakui kesilapannya yang jarang sekali turun ke dapur membantu ibunya. Sabrina mengambil tempat duduk berhadapan dengan Puan Rosalia manakala Tuan Ibrahim duduk ditengah diantara Puan Rosalia dan Sabrina.

Masing-masing leka menghayati makanan masing-masing. Tuan Ibrahim William Smith berselera menikmati masakan kampung isterinya. Semenjak dia memperisterikan Puan Rosalia sejak 20 tahun yang lalu, selera tekaknya berubah sama sekali. Dia sangat menyukai makanan melayu terutama sekali ulam-ulaman yang dicicah dengan sambal belacan.

“Ibu beritahu papa yang hari ini kamu bertemu dengan Permaisuri Zawiyah? Betul kah?” soal Tuan Ibrahim William Smith ingin tahu. Sayur ulam dikunyah dengan cermat.

“Betul papa. Tuanku menghantar surat jemputan makan tengah hari bersama dia. Macam-macam perkara kami bualkan papa.” Beritahu Sabrina sebelum menyuap nasi ke dalam mulutnya.

“Bermacam perkara? Berkenaan apa?” soal Tuan Ibrahim William Smith semakin berminat ingin tahu. Wajah Sabrina dipandang.

“Berkenaan dengan masa depan Sabrina dan putera kesayangannya.” Ujar Sabrina lantas menghentikan suapan dimulutnya. Puan Rosalia dan Tuan Ibrahim William Smith saling berpandangan antara satu sama lain. Terpancar tanda tanya diwajah mereka.

“Tuanku berniat ingin menyunting Rina sebagai calon isteri untuk putera kedua tuanku iaitu, Tengku Rayyan.” Beritahu Sabrina jujur. Terpancar keterujaan diwajahnya. Tuan Ibrahim William Smith terbatuk akibat tersedak mendengar berita mengejut itu.

“Tuanku ingin berjumpa dengan papa dan ibu. Kata tuanku, sudah sekian lama dia berkenan dengan Rina sejak papa bawa berjumpa pertama kali dengan tuanku. Tuanku ingin berbincang dengan lebih mendalam mengenai perkara ini. Tuanku berharap papa dan ibu dapat menetapkan masa yang sesuai untuk perjumpaan secara enam mata dalam masa terdekat ini. Papa dan ibu rasa bagaimana?” soal Sabrina sungguh teruja. Terlupa terus dia mengenai kejadian siang tadi.

Tuan Ibrahim William Smith terkedu. Begitu juga Puan Rosalia. Kedua-dua mereka saling memandang antara satu sama. Tidak menyangka dengan perkhabaran mengejut itu. Mereka melihat Sabrina yang ketika itu sedang tersenyum kepada mereka.. Sabrina satu-satunya anak gadis mereka. Satu-satunya puteri mereka. Segala kemahuan puteri mereka, mereka akan cuba penuhi. Jarang mereka berkata “tidak” kerana tidak mahu melihat puteri mereka merajuk menarik muka.

Tuan Ibrahim William Smith melepaskan keluhan berat. Dipandang wajah Sabrina sedalam-dalamnya. Hatinya mengeluh berat.

****************************************************



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku