CINTA KUASA TINGGI
(BAB 35)
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 November 2012
Budak penghantar surat + minah motor + selamba badak = Que Dia seorang yang selamba. Semua yang bersangkutan dengan motor, dia suka. Dia tidak pernah kisah apa orang lain kata. Tapi, bila melibatkan keluarga, dia menjadi selemah-lemah manusia. Soal hati? Mana dia reti. Minah motor tak fikir sangat semua itu.
Penilaian Purata:
(45 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
30614

Bacaan






BAB 35

SEJAK beberapa hari yang lalu, setiap petang pasti hujan akan turun. Lebat. Sudah musim hujan agaknya. Tapi, ini baru bulan berapa? Hmm... Hujan sekarang ini, sudah tidak mengikut musim sebenarnya. Bila hendak hujan, hujan hingga berlarutan seminggu, dua. Bila cuaca panas, akan panas hingga terhidrat segalanya. Panas yang kering tetapi tidaklah sampai kemarau. Lapisan ozon juga sudah semakin menipis. Itu, semua orang tahu, kan? Itulah! Sesuka hati melakukan aktiviti yang menjejaskan lapisan ozon tanpa memikirkan kesannya pada bumi dan penduduknya. Jadi, tanggunglah akibatnya.

Que termenung sambil duduk di atas motornya. Helmet diletakkan di atas tangki minyak. Kedua tangan diletakkan di atas helmet sambil menongkat dagu. Santai. Tapi, hati risau sebenarnya. Sudah hampir satu jam dia duduk termangu di situ menanti hujan teduh. Kalau tidak teduh sekali pun, reda sedikit rintiknya, sudah cukup baik. Boleh dia redah. Jika lebat begini, sangat membahayakan. Dengan jalan yang licin. Huh! Tidak mahu mengambil risiko. Itu belum termasuk dapat mandi percuma dengan air lopak. Kenderaan besar bukan ambil kira penunggang motor seperti dia. Main langgar saja lopak tanpa fikir yang akan terkena tempiasnya adalah insan-insan seperti Que. Kesian, kan?

“Nak balik?”

Que pantas menoleh pada insan yang bertanya. El tersenyum lawa membalas pandangannya. Dia juga tersenyum.

“Tak. Baru nak masuk kerja,” jawabnya selamba.

El ketawa lepas. Que masih selamba.

Sudah tahu, lagi mahu tanya. Takkan tidak tengok sekarang sudah pukul berapa. Sudah lewat petang, kan? Isy! Dia ini... Ada karang yang kena penampar Jepun. Bikin panas! Eh! Sentap tidak tentu pasal, kenapa? Geramkan hujan yang tidak berhenti, orang yang bertanya pula yang kena tempiasnya.

“Jom saya hantar. Hujan lebat ni.”

Apa kes baik benar bos seorang ini? Sejak dua menjak ini, sudah berubah sedikit perangainya. Agaknya, sebab tidak lama lagi Que akan jadi adik iparnya kot. Dia sedang belajar untuk menerima Que seadanya. Hmm...

Thanks but no thanks,” Que menolak sopan.

“Jual mahal pulak!”

Aik! Tadi baru sekejap elok saja. Ini, sudah ada unsur-unsur provokasi. Cakap sudah ada ‘tulang’ walaupun lidah tidak bertulang. Menyesal puji dia. Tarik baliklah kata-kata pujian tadi. Hati sudah tidak ikhlas memberi.

“Dah tu? Takkan nak jual murah pulak! Ingat saya tak ada nilai, ke?”

Isy! Gaya sentap pula. Tindakan luar kawalan, okey. Geram! Dia inilah. Dalam baik mesti mahu kenakan orang juga.

El tersenyum meleret. Cis kek betul!

“Sebab awak ada nilailah saya suka awak. Err... Maksud saya, semua orang suka awak.”

Semakin melebar senyumannya.

Eleh! Buat-buat tersasul pula. Kalau suka, cakap sajalah suka. Eii... Menyampahnya tengok senyuman dia. Terlebih gula! Bahaya!!! Que hanya membalas dengan jelingan.

“Tak baik marah-marah macam ni, Que.”

Eh! Bagi jelingan manja macam tadi, kira marah, ke?

“Laa... Siapa marah? Saya tengah bergelak ketawa ni. Ha! Ha! Ha! Tengah bersuka ria ala-ala kanak-kanak Ribena. Tak nampak? Kalau ikutkan hati, rasa nak redah aje hujan ni. Mesti lagi macam kanak-kanak riang, kan?”

“Janganlah buat macam tu. Demam karang. Mari, saya hantar.”

“Tak apalah, bos. Saya ada janji dengan kawan-kawan. Nak jumpa mereka.”

El mengangguk.

“Kenapa tak telefon Ray. Suruh dia ambil dan hantar awak.”

“Saya tak suka menyusahkan sesiapa.”

“Sesiapa tu, awak maksudkan siapa? Ray? Saya? Keluarga awak? Atau kawan-kawan serumah awak? Kalau awak demam sebab redah hujan ni, akan tetap menyusahkan sesiapa yang awak maksudkan itu jugak, kan? Jadi, susah ke, tak susah ke, apa salahnya kalau saya hantar. Pada saya, tak menyusahkan pun. Niat saya hanya nak menolong. Awak tu staf saya, tanggungjawab saya juga. Dari awak duduk kat sini entah sampai pukul berapa hujan akan berhenti, lagi bahaya. Dibuatnya hujan sampai malam, macam mana? Kawasan ni dah sunyi, Que. Ray pun tentu risau kalau dia tahu.”

Aduh! Sudah mula bersyarah pula ustaz seorang ini. Kalau hendak tolong, tolong sajalah. Tidak perlulah hendak libatkan nama adik dia. Saja hendak Que rasa serba-salah namanya itu. Malas betul hendak banyak cakap. Risau terbongkar pula rahsia yang dia pendam nanti. Tidak pasal-pasal, segalanya makin rumit dan berserabut.

El sudah duduk santai di tembok bersebelahan dengan tempat Que memarkir motornya. Dia memang dari tadi sudah duduk di atas motornya. Hanya menunggu hujan teduh, atau reda sedikit, berdesuplah dia pergi.

“Eh! Bos tak nak balik, ke? Baliklah. Dah lewat ni, kan? Tak payah risaukan saya. Tahulah saya jaga diri.”

“Awak macam menghalau saya aje.”

Memang pun! Tapi, takkanlah Que hendak nak mengaku pula. Berkias bahasa, sudahlah. Dia tidak selesa sebenarnya ‘berdua-duaan’ begitu. Timbul gosip liar nanti, dia juga yang susah. Glamer mak tidak pasal-pasal!

“Bukan menghalau. Kata tadi, tempat ni dah semakin sunyi. Karang, tak pasal-pasal kena tangkap basah pula kita. Berdua-duaan macam ni.”

“Dah hujan, memanglah basah.”

Bergurau pula dia... Isy! Isy! Isy! Geleng kepala tiga kali, serentak dengan sebutan ‘isy!’ itu, ya.

“Saya seriuslah bos...”

El tersenyum hambar. Manjanya dia cakap gaya begitu sambil menunduk. Hati sudah mula dijentik rasa rindu. Tiba-tiba dan tiada petanda. Bahagianya jika dia jadi Ray.

“Kenapa? Kalau betul kita kena tangkap basah pun, saya ni tak layak ke untuk jadi pasangan awak.”

“Sesiapa pun layak jadi pasangan saya tapi tak semua orang boleh jadi suami saya. Ada kriteria dan ciri-ciri tertentu yang saya titik beratkan.”

El mengerutkan kening. Agak kelam untuk mengerti apa yang Que katakan. Memilih juga Si Que ini rupanya. Dia belum kenal siapa El sebenarnya.

“Apa maksud awak? Saya lebih dari mampu, Que. Saya berkedudukan. Ada pekerjaan yang menjamin. Ekonomi yang kukuh. Saya ada segala-galanya. Tak kurang sikit pun.”

Que pandang El sekilas. Wajah lelaki itu tegang. Dia sudah berdiri tegak sambil bercekak pinggang di sisi Que. Ikatan tali lehernya juga sudah dilonggarkan. Panas agaknya, walaupun hujan masih lebat. Hati dia yang panas rasanya. Terbakar dengan kata-kata Que yang seakan memperkecilkan dirinya. Itu yang dia rasa. Maksud sebenar Que, bukan begitu. Dia sudah salah mengerti akan maksud yang tersirat.

“Hmm... Memang bos ada segalanya. Saya tahu tu. Cuma, penyeri hidup aje yang belum ada. Bos patut cari isteri cepat-cepat. Supaya ada orang yang menjaga bos nanti. Taklah sunyi hidup bos.”

“Mana awak tahu hidup saya sunyi?”

Que menjongket bahu.

“Saya agak aje.”

“Sebab tu saya tanya, saya ni tak layak ke untuk awak?”

Que tersenyum pahit.

“Bos jangan salah faham. Bukan itu maksud saya. Maksud saya yang sebenar, bos terlalu sempurna untuk saya. Saya hanya pekerja bawahan. Budak penghantar surat aje. Takkan bos sanggup nak berpasangan dengan saya. Saya lebih selesa dengan lelaki yang biasa-biasa. Yang bersederhana tapi boleh membimbing saya ke jalan yang lebih baik dan diredai. Lagipun, saya ni bakal adik ipar bos. Dah lupa, ke?”

Giliran El pula tersenyum pahit. Sangat pahit untuk menelan kenyataan yang satu itu. Lebih pahit dari hempedu.

“Saya tak lupa. Saja nak uji awak...” Dia berjeda. “Awak tahu apa pekerjaan Ray?”

Que menggeleng. Kemudian, dia hanya menunduk memandang helmetnya yang menjadi tempat dia meletakkan tangan. Melihat bias wajahnya dalam samar hasil dari pantulan cahaya ke atas warna hitam metalik helmetnya. Bebayang yang tidak jelas. Begitulah juga masa depannya kini. Tidak jelas dan samar.

El menjongket kening. Biar benar! Sudah hampir dinikahkan pun masih tidak tahu apa pekerjaan bakal suaminya. Pelik. Takkanlah Si Que ini tiada inisiatif langsung untuk ambil tahu mengenai semua itu. Lagi pelik.

“Awak tak pernah tanya?”

“Tak,” jawabnya sambil menggeleng.

Comelnya dia buat begitu. Macam kanak-kanak riang Ribena!

“Awak nak tahu apa pekerjaan dia?”

“Hmm... Kalau bos tak kisah nak bagi tahu. Tapi, sama ada tahu atau tidak, kehidupan kami sudah ditentukan.”

“Okey... Raif El Arash, your groom-to-be...” El berjeda. Dia menghela nafas dalam kepayahan. Rasa sesak dadanya mengungkapkan itu. Hatinya bagai terhiris oleh kata-kata sendiri. Sangat terhiris. “...he’s an computer engineer. Dia lebih hebat dari saya, by all means. Saya hanya makan gaji. Dia ada syarikat sendiri yang dibangunkan dengan rakan kongsinya. Business dia agak memberangsangkan. Agak kencang. Selalu dapat projek yang besar. Saya percaya dia mampu jaga awak sebaiknya.”

Raif El Arash? Pergh! Nama dia sikit punya cun! Kalah nama bos.

Que tersenyum hambar.

“Saya dengan dia, bukan kenal sangat pun sebelum ini. Kalau terserempak pun, hanya berbalas pandang dan senyum aje. Malam kejadian tu, kali pertama saya betul-betul berbual dengan dia. Saya pun tak tahu macam mana saya boleh senang-senang ikut dia. Memang itu salah saya. Tapi, saya memang tidak melakukan apa-apa yang mungkar dengan dia. Saya tahu halal dan haram, tapi saya lalai. Saya alpa. Saya tahu kami tetap bersalah. Bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, tetap haram. Hukum tetap hukum. Walaupun niat saya hanya nak membantu, nak menolong, niat tak menghalalkan cara. Benda dah jadi... Saya yang khilaf. Saya akui kesilapan saya. Begitu juga Ray. Kami dipaksa bernikah, saya reda. Demi papa saya. Begitu juga Ray. Dia reda, demi keluarganya sedangkan kami rasa ini bukan satu keputusan yang tepat buat kami. Kami memperjudikan masa depan kami sebenarnya. Tapi, dia yakinkan saya bahawa segalanya akan berjalan lancar. Kami mengikat janji dengan beberapa syarat. Mungkin ada hikmahnya. Allah Maha mengetahui. Saya pasrah...”

“Que...” datar saja suara lelaki itu. Ada kesayuan mengiringi.

Que tersenyum pahit. Langsung tidak dipandangnya wajah lelaki itu. Dia tidak kuat sebenarnya. Jiwanya meronta-ronta untuk meluahkan segala isi hati, tapi dia tidak mampu untuk berbuat begitu. Perlu ada batasnya. Dia mesti meletakkan garis penghalang. Demi misinya, dia tidak boleh terlalu mengikut perasaan. Tidak boleh terlalu terbuka dalam segala hal.

El semakin sedar kini. Benar kata Ray. Que bukan seorang perempuan lepas laku dan sosial. Dia ada dunianya yang tersendiri. She’s one of her kind. Dia tidak pernah peduli apa orang lain anggap tentang dirinya. Tapi, dia juga tidak mampu berbuat apa-apa jika tanggapan yang kurang elok terus mengekori setiap langkahnya. Jalan yang dia pilih, kehidupan yang dia lalui, itu merupakan hak mutlaknya. El ingin sangat percaya. Terlalu ingin percaya tapi masih ada sejalur sangsi yang merintangi. Apa pun, dia tetap pasti Ray tidak akan menipu dirinya mengenai apa jua yang berkaitan dengan Que.

Parents saya agak konservetif dalam hal-hal sebegini. Mereka sangat menjaga apatah lagi bab yang bersangkutan dengan hukum-hakam agama. Mereka paksa awak bernikah dengan adik saya bukan kerana mereka tidak percayakan awak berdua. Tapi, mereka tidak mahu perkara ini berulang lagi. Mereka mahu awak berdua bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Salah tetap salah tapi perbaikilah keadaan dengan cara yang sebaiknya. Masih ingat apa yang mummy saya cakap pada awak hari itu? Dia bukan salahkan awak. Dia hanya mahu awak halal di sisi adik saya dan semoga adik saya dapat seorang pendamping yang boleh melembutkan hatinya untuk berubah ke arah jalan yang lebih baik.”

Que mengangguk. Mana mungkin dia lupa. Masa itu, dia berbicara hati ke hati dengan mummy lelaki ini. Yang lain hanya diam memerhati termasuk El sendiri. Mummy lelaki ini mahu Que menjadi titik tolak untuk Ray yang agak liar, berubah. Tapi, siapalah dia. Dia bukan seorang yang kuat agama. Ilmu tidak tinggi mana. Dia ingin menolak, namun bila mummy lelaki ini berkeras sehingga merendahkan diri memohon bantuannya, dia serba salah jadinya.

Apa ertinya jika seorang ibu sanggup merendahkan martabatnya pada seorang gadis yang tidak punyai apa-apa seperti dirinya, hanya kerana mahu mengemis secebis bantuan? Ibu itu mahu anaknya menjadi lebih baik dengan adanya seorang gadis yang baik di sisinya. Baik ke dia? Ibu itu mahu dia menjadi pendorong ke arah itu. Mampukah dia? Ibu itu tanpa segan silu merintih dan merayu di depannya. Oh! Kenapa begitu? Itu tidak boleh berlaku sebenarnya. Kedudukan ibu terlalu mulia. Dan dia terus bersetuju tanpa berfikir panjang hanya kerana tidak mahu ibu itu terus meminta-minta darinya. Dia tidak mahu martabat seorang ibu jatuh hanya kerana seorang Que yang tidak punyai apa-apa.

“Saya ingat, bos. Saya ingat...” ujarnya sebak.

I’m so sorry...”

Please don’t...”

Dia bertambah sebak.

Que sudah tidak mampu meneruskan kata-katanya. Hujan di luar masih lebat. Begitu juga dengan hujan di dalam hatinya. Sama hebat. Sama lebat. Mujurlah tidak terbias secara nyata melalui deraian air mata. Biarlah hati yang menangis. Senyum tetap terukir di bibir. Biarlah jiwa bagai dicarik-carik. Dia kuatkan diri untuk menghadapinya.

Rasa sudah tidak mampu menahan sebak, dia terus sarungkan helmet ke atas kepala. Starter dihidupkan. Tanpa memandang El, dia berdesup pergi. El terpinga-pinga dengan tindakannya itu. Tidak sempat menghalang. Hanya mampu memandang Que yang semakin menjauh. Membelah jalan raya dalam keadaan hujan yang tidak sedikit pun reda. Dan yang pasti Que juga sudah ‘hujan’ sepanjang perjalanan itu. Rintihan hatinya tidak mampu ditahan lagi. Sama lebat dengan alam yang menangis.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku