JANGAN BIAR DIA MASUK - A.DARWISY
BAB 3
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Mac 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1989

Bacaan






Maya menghela nafas lega. Akhirnya mereka sampai juga di kampung Defi selepas lebih lapan jam berada di atas jalan raya. Kelihatan rumah kayu bertiang tinggi itu sudah bercahaya malap di dalamnya. Maya menilik jam di pergelangan tangannya, sudah menghampiri pukul 5.00 pagi. Barangkali, orang tua Defi sudah bangun mempersiapkan diri untuk Subuh. Lazimnya, orang tua-tua di kampung begitulah rutin mereka. Defi mengajak Maya, Laila, Rafidah dan Suraya untuk masuk ke dalam. Suraya yang masih dalam keadaan lemah, dipimpin Laila dan Rafidah menaiki tangga kayu sebelum menuju ke pintu.

Sementara Maya yang paling belakang, masih termangu di situ. Memerhatikan seni binaan rumah tradisional yang menarik perhatiannya. Defi mendekati kawannya itu. Telapak tangannya hinggap di bahu Maya membuatkan perempuan itu sedikit terperanjat.

“Maaf, kalau aku terkejutkan kau. Hmm... apa kau ralit sangat perhatikan rumah kampung aku ni, Maya?” tanya Defi yang merasakan tiada apa-apa yang istimewa pun pada rumah warisannya itu. Yalah, dia dibesarkan di situ sedari kecil. Sudah biasa menengoknya saban hari. Mungkin pada mereka yang pertama kali melihat, merasakan rumah orang tuanya itu ada nilai estetiknya tersendiri. Entahlah.

“Aku kagum dengan rekabentuknya. Tak silap aku... ini rumah perabung lima, bukan?” soal Maya semula. Matanya masih leka memerhatikan dari hujung bumbung rumah tradisional itu sehinggalah ke kaki rumah berkenaan. Sungguh, dia terpesona dengan sentuhan pertukangan etniknya.

“Haah, rumah lama ni. Orang tua aku tak pernah ubahsuai pun melainkan pada atapnya,”

“Kenapa dengan atapnya?”

“Err...tak ada apa-apalah. Jomlah, kita masuk. Esok siang-siang kau boleh tenung lagi rumah aku ni sampai terkeluar biji mata. He...he...he...” Defi menarik pergelangan tangan Maya. Riak kalut pada wajah cuba diserikan dengan senyuman melebar. Defi mengetuk pintu rumah dan melaungkan salam. Kedengaran salam suci yang diberi, bersambut dari dalam. Lembut saja suaranya.

“Ya ALLAH! Budak bertuah ni balik tak bagitahu ibu!” membulat mata Hanum apabila melihat anak daranya sudah tercegat berdiri di muka pintu. Dua anak-beranak itu berpelukan erat.

Surprise! He...he...he... Defi bawak kawan-kawan sekali ni, bu. Mereka nak duduk sini dalam dua minggu, cuti-cuti Malaysia lebih kurang macam tu. Boleh kan, bu?”

“ALLAH... apa tak bolehnya? Lagilah ibu suka! Ajak kawan-kawan masuk,” Hanum teruja bukan kepalang menyambut kepulangan Defi dan kawan-kawannya itu. Jarang-jarang sekali rumah mereka diserikan dengan tetamu, tetapi hari ini rumah warisan yang besar itu meriah dengan kehadiran Maya, Laila, Rafidah dan Suraya. Hanum memeluk batang tubuh setiap seorangnya, penuh mesra.

“Siapa yang datang tu, Hanum?” laung satu suara garau dari bilik utama. Muncul sesusuk tubuh yang sudah siap-siap berjubah putih dengan kopiah berlilit serban di kepala. Defi meluru meraih tangan ayahnya.

“Anak ayahlah, siapa lagi? He...he...he...” Defi memperlihatkan sisi manjanya. Lutfi mengukir riak gembira di wajah. Tergeleng-geleng kepalanya.

“Ayah rasa macam pagi rayalah pulak,” perli Lutfi, mengusik anak daranya yang seorang itu.

“Mentang-mentanglah Defi balik setahun sekali...” Defi menarik muncung panjang. Maya tersenyum melihat kemesraan Defi dengan kedua-dua orang tuanya. Pun begitu, senyumannya mengendur apabila seorang wanita yang sudah lanjut usianya, berkerusi roda, muncul dari belakang Lutfi. Rambutnya yang beruban putih sepenuhnya, masih basah. Berkemban dengan kain batik dan bahagian dadanya dilitupi dengan tuala putih. Barangkali baru habis mandi. Wanita itu memandang tajam ke arah mereka berempat. Maya, Laila, Rafidah dan Suraya menelan air liur. Pandangan wanita tua itu sedikit sebanyak membuatkan mereka tidak senang duduk.

“Nek... ini kawan-kawan Defi, nek...” Defi mencium kedua-dua belah pipi Nek Sirih. Nek Sirih yang sudah 80 tahun usianya.

“Kenapa kau bawak balik mereka? Itu yang pakai baju merah tu! Bawak celaka tu! Setan suka mengikut tu!” seranah Nek Sirih dengan jari telunjuknya menuding tepat ke arah Maya. Maya terkaku di situ. Lekas-lekas dia menunduk ke bawah. Tidak berani bertentang mata dengan wanita tua itu yang melihatnya seperti mahu menelan hidup-hidup.

“Nek...nek cakap apa ni?” Defi serba-salah. Walaupun dia sudah memaklumkan kepada Maya dan kawan-kawannya yang lain tentang keadaan kesihatan neneknya itu tetapi dia tetap berasa ralat. Yalah, baru sampai sudah disembur Nek Sirih. Kasihan Maya.

“Maaflah, mak mak cik ni kurang sihat sikit. Jangan ambil hati ya,” Hanum melukis garis senyum di wajah. Lekas-lekas dia menolak kerusi roda yang dinaiki Nek Sirih masuk ke dalam bilik semula. Lutfi tidak mengulas apa-apa kerana azan Subuh sudah berkumandang lunak di udara. Lelaki itu meminta diri terlebih dulu untuk ke surau.

“Kau jangan terasa tau dengan apa yang nenek aku cakap tadi,” Defi memujuk. Maya tersenyum tenang. Dia tidak ambil hati pun. Cuma sedikit gerun saja melihat tampang bengis Nek Sirih sebaik memandangnya.

“Aku okeylah. Kau kan dah beritahu aku yang nenek kau tu kurang sihat,” Defi menarik nafas lega mendengar jawapan Maya. Mujurlah Maya tidak terkesan di hati dengan seranah Nek Sirih baru sekejap tadi.

“Okeylah, mari aku bawak korang semua masuk bilik tamu. Disebabkan rumah ni besar dan ada dua bilik yang masih kosong, korang boleh pair dalam satu bilik,” Defi mendahului yang lain, mengepalai ke bilik yang dimaksudkan. Laila dan Rafidah sudah sepakat untuk sebilik. Ini bermakna, Maya dan Suraya pula di bilik tamu yang satu lagi. Defi meninggalkan kawan-kawannya untuk mengemas apa yang patut di dalam bilik masing-masing. Sebelum itu, sempat Defi menunjukkan arah kiblat di dalam bilik itu supaya mudah kawan-kawannya hendak mendirikan solat.

“Aku tak boleh solat...” jawab Suraya perlahan apabila Maya mengajaknya untuk pergi mengambil wuduk sama-sama. Maya yang sudah berada di muka pintu bilik, kembali duduk di sebelah Suraya yang masih pucat wajahnya.

“Dalam keadaan kau tak bersih macam ni, ada baiknya kau banyakkan berzikir sebagai ganti Su...” saran Maya. Suraya dilihatnya, seperti sudah melayang semangatnya. Barangkali lantaran kejadian tadi. Diingat-ingat kembali, boleh naik meremang bulu roma. Terngiang-ngiang lagi bunyi gamelan sayup-sayup di telinga. Maya membaca surah Kursi dalam hati, mahu menghindar segala macam bayangan bukan-bukan yang melegari di benaknya.

“Apa yang sebenarnya dah jadi dengan aku tadi, Maya?” Suraya memaculkan pertanyaan. Sebolehnya Maya tidak mahu menjawab soalan kawannya itu. Seram sejuk apabila mengingatkannya semula.

“Kau betul tak ingat?” tanya Maya lalu disambut anggukan kepala Suraya. Hendak tidak hendak, terpaksalah dia menerangkan apa yang telah berlaku.

“Sedar-sedar, badan aku rasa lemah sangat-sangat...” luah Suraya, melirih nadanya.

“Kami rasa... kau keteguran,”

“Keteguran?” Maya mengangguk perlahan.

“Sebelum tu, kami terdengar satu bunyi aneh. Bunyi muzik gamelan... entah dari mana. Dan tiba-tiba kau pulak seperti dirasuk sesuatu. Kau menari...”

“Aku menari?” Maya mengangguk untuk kesekian kali. Suraya membungkam. Otaknya ligat berfikir tetapi fikir rasanya tepu. Sungguh, dia tidak ingat apa-apa.

“Tak perlulah kita bercakapkan tentang hal ni lagi. Kau berehatlah. Aku nak ambil wuduk dulu,” Maya mencantas keraguan yang bertunas dalam kepala Suraya. Sebenarnya, Maya tidak mahu membangkitkan isu itu lagi. Setiap kali teringatkan kejadian aneh yang menimpa mereka sekawan beberapa jam tadi, automatik bulu romanya merinding satu badan.

“Kejap, Maya!” laung Suraya tiba-tiba.

“Kenapa, Su?”

“Walaupun aku samar-samar dengan apa yang berlaku kat aku tapi... aku ingat satu perkara!”

Suraya terdiam untuk beberapa ketika. Maya berdebar-debar tidak semena-mena. Apa lagi, Suraya? Mendesah Maya di dalam hati.

“Perempuan... perempuan tu suruh aku larang korang ke sini!” Suraya yakin. Ada suara perempuan berbisik di cuping telinganya yang memaksa dia supaya tidak meneruskan perjalanan ke bumi Kelantan ini.

“Kita dah sampai pun. Sudahlah... tak perlu kau ingat lagi,” Maya memberi kata putus. Langkah kakinya segera dihayun keluar dari bilik itu. Manakala Suraya terus-terusan termangu di situ.

Petang itu hujan turun lebat mencurah-curah. Seolah-olah alam turut bersubahat sama menggagalkan perancangan Maya dan lain-lain hendak bermain ombak di pantai. Maya memujuk hati. Tidak apalah. Lagipun hari ini baru masuk hari kedua dia di sini. Masih berbaki banyak hari lagi untuk dia bermandi air laut sepuas-puasnya. Entahlah, dia sendiri sebenarnya tidak tahu kenapa dia begitu teruja sekali hendak ke pantai. Bagaikan semangatnya diseru-seru untuk ke sana. Termenung Maya duduk di kaki tangga, menghirup bau hujan yang menyegarkan.

“Aku tak suka kau ada dalam rumah aku ni, tahu?” melengking satu suara dari belakang membuatkan Maya yang terlarut dalam khayal, tersentak sedar. Tampang garang Nek Sirih sudah berada di belakangnya. Maya tertelan air liur. Dalam pada itu, dia cuba memberanikan diri untuk bersuara. Dia teringin sangat hendak mengetahui sebab musabab wanita tua itu begitu tidak menyenangi kehadirannya di rumah tersebut.

“Ta...tapi kenapa nek? Saya ada buat benda yang nenek tak suka ke?” Tenggelam timbul suara Maya. Takut-takut dia bertanya.

“Kau bawak tulah dalam kampung ni! Disebabkan kau, satu kampung ni akan ditimpa musibah! Balik ke tempat asal kau semula! Jauhkan diri kau dari pantai! Pergi! Pergi!!!” Nek Sirih menjerit nyaring. Hanum yang sedang menyiapkan makanan petang di dapur, terburu-buru keluar. Apa lagilah yang tidak kena dengan emaknya itu? Sedari semalam, asyik Maya disumpah seranahnya. Kasihan Hanum dengan kawan anaknya itu. Tidak pasal-pasal ditempik-tempik begitu.

“Mak... kenapa jerit-jerit ni? Maya, maafkan mak cik ya. Ada baiknya Maya ke dapur, kawan-kawan pun tengah makan sekali tu. Hidangan petang, mak cik sudah siapkan,” Maya mengangguk akur. Bersegera dia angkat kaki. Gerun dia melihat cara Nek Sirih merenungnya. Sebaik berselisih, tiba-tiba saja tangannya direntap kudrat wanita tua itu. Mahu luruh jantung Maya pada ketika itu dibuatnya.

“Jangan sekali-kali kau jejakkan kaki ke pantai. Ingat tu!” Nek Sirih memberi amaran keras sebelum melepaskan genggamannya tidak lama kemudian. Kelam kabut Maya menghayun langkah ke dapur. Turun naik nafasnya. Defi yang melihat wajah pucat lesi Maya, sudah dapat mengagak. Tentu nenek mengancam kawannya itu lagi. Nek Sirih memang aneh-aneh perangainya sejak kebelakangan ini. Barangkali penyakit nyanyuknya yang semakin menjadi-jadi.

“Nenek aku marah kau lagi eh?” Maya mendiamkan diri. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

“Dia suruh aku balik KL semula,” jawab Maya perlahan.

“He...he...he... Kau janganlah ambil hati. Nenek aku tu memang camtu. Lagi-lagi rumah ni jarang-jarang ada tetamu. Dia tak dapat sesuaikan diri kut,” Defi mencipta alasan. Hakikatnya, dia sendiri pelik kerana neneknya itu hanya tidak menyenangi keberadaan Maya di rumah itu tetapi bukan kawan-kawannya yang lain. Laila, Rafidah dan Suraya tidak pula dicemuh-cemuh wanita itu. Maya seorang saja yang dicurigainya. Tidak tahu atas sebab apa.

Defi menuangkan kopi panas ke cawan kosong lalu diunjukkan kepada Maya. Laila dan Rafidah pula sedang asyik menikmati hidangan petang air tangan Hanum dan Defi. Pulut dimakan dengan kelapa yang diletak sedikit garam dan ikan rebus goreng. Suraya pun menjamah sekali meski tidak selaju Laila dan Rafidah menyuap makanan ke dalam mulut.

“Nenek kau larang keras aku pergi ke pantai. Macam dia tahu saja tujuan aku ke sini pun sebab utamanya mahu mandi air laut,”

“Nenek aku tu pernah kehilangan orang tersayang, lemas di laut...itu yang dia trauma seumur hidup,” Defi membuka cerita. Suraya terberhenti kunyah, tertarik dengan cerita yang keluar dari mulut Defi. Maya berubah riak mukanya. Patutlah, ada cerita di sebalik cerita rupa-rupanya. Tetapi apa pula kaitannya aku dengan sejarah hidup wanita tua itu? Hisy! Pelik betullah.

“Lemas di laut? Maksud kau, meninggal dunia ditelan laut?”

“Logiknya begitulah. Atuk aku dulu nelayan. Suatu hari tu, dia tak balik-balik tapi yang peliknya, perahu atuk aku tu selamat berlabuh di pantai. Cuma atuk aku saja yang tak dijumpai. Menurut cerita ibu aku, berminggu-minggu jugaklah penduduk kampung cari atuk aku sampai polis marin pun terlibat sekali dalam gerakan mencari tu,”

“Apa kesudahannya?” tanya Maya tidak sabar.

“Tak jumpa pun. Kalau hendak kata atuk aku tu lemas, tidak pula jasadnya ditemui terapung di mana-mana. Tambahan lagi, perahunya selamat mendarat. Itu yang menjadi tanda tanya satu kampung,”

“Maknanya, atuk kau ghaib macam tu aje?” Suraya pula mencelah. Defi mengangkat bahu.

“Wallahualam. Dari apa yang ibu aku ceritakan, aku simpulkan yang atuk aku tu mati lemas. Yelah, hendak penjelasan logik apa lagi kan? Mana mungkin hilang macam tu aje? Tidak masuk akallah pulak,” Defi membuat kesimpulan. Maya dan Suraya terdiam. Tiada hujah mahupun usul yang mahu diutarakan.

“Oh ye, Su! Ayah aku ada buatkan air Yasin untuk kau. Kau minumlah untuk pulihkan semangat. Malam semalam kan kau...”

“Shhh... tak mahu sebut-sebut lagilah perkara tu,” Maya menegah. Dia dan Suraya saling memandang antara satu sama lain. Defi tidak jadi melanjutkan bicara. Dia juga tidak mahu bercakap lanjut tentang kejadian itu lagi. Seriaunya tidak hilang lagi.

“Alhamdulilah...kenyang...” Rafidah yang kuat makan itu bersendawa lepas. Buruk laku sungguh. Serta-merta perhatian semua orang tertumpu ke arah Rafidah yang entahkan dengar entahkan tidak perbualan Defi, Maya dan Suraya sekejap tadi. Makan saja perempuan itu tahu.

“Boleh gemuk kami kalau lama-lama kat sini. Makan tidur makan tidur ajelah jawabnya. He...he...he...” Laila mencelah.

“Itulah. Malam tadi tidur punyalah selesa. Lagi-lagi rumah kau dekat dengan laut, syok aje tidur. Nyaman angin pantai bertiup. Kucing peliharaan kau pun siap melingkar tidur dengan kami sekali tau,” Rafidah menzahirkan rasa gembiranya. Defi tersenyum senang. Gembira kawan-kawannya, gembira jugalah hatinya. Tetapi beberapa ketika kemudian, keningnya berkerut hairan.

“Apa kau cakap tadi? Kucing?”

“Haah. Kucing bulu hitam kaki putih tu. Manja betul kucing kau tu!” Defi berjeda lama. Maya mengesan sesuatu yang tidak kena pada air muka kawannya itu.

“Rumah ni mana ada bela kucing, Rafidah. Nenek aku tu pantang ada kucing, dihambatnya keluar. Lagi-lagi nenek aku ada asma. Jiran-jiran kat sini pun tak ada yang bela kucing. Korang biar betul?” sungguh-sungguh Defi mengesahkannya.

“Tapi...” Laila dan Rafidah menelan air liur serentak. Mereka nampak sendiri kucing hitam itu bebas keluar masuk di dalam rumah itu. Dan sekejap-sekejap menggesel-gesel di kaki mereka berdua sebaik saja mereka masuk ke dalam rumah itu. Kalau bukan kucing, benda apa pula yang berdamping dengan mereka malam tadi? Laila dan Rafidah sudah seram sejuk. Batang tengkuk masing-masing sudah mengembang lain macam. Ah, sudah!



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku