KISAH SERAM MALAM JUMAAT
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 07 April 2016
Siri cerpen S.Kausari untuk Kisah Seram Malam Jumaat 1 dan 2
Penilaian Purata:
(20 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7301

Bacaan








TEKSI

Sebuah cerpen oleh Salleh Kausari

Suasana malam agak tenang. Sinaran suram cahaya lampu jalan menerangi tempat menunggu bas dan teksi. Sesekali angin malam terasa begitu mendinginkan dalam keadaan cuaca yang begitu hangat. Keadaan ekuinoks dengan mentari terpacak di atas garisan khatulistiwa memberi kesan ketara di negara seperti Malaysia.

Kelihatan dua orang gadis sedang duduk di situ dalam keadaan keresahan. Jam menunjukkan lebih pukul tujuh. Sayup kedengaran azan dari masjid yang berada lebih kurang satu kilometer dari situ. Mereka berbual tanpa mengendahkan sebuah teksi yang terparkir tidak jauh dari mereka.

Badrul hanya memerhatikan kedua-dua gadis itu dengan rasa bosan. Pintu teksi sengaja dibiarkan terbuka sedikit setelah enjin dimatikan. Azan kedengaran seperti angin yang menampar pipi tanpa meninggalkan bekas di hatinya. Mahu rasanya dia beredar ketika itu untuk mencari penumpang lain, tetapi belum tentu ada pada waktu sebegini. Dia berharap rezekinya ada pada gadis-gadis yang sedang menunggu di situ.

Dia risau memikirkan wang yang sentiasa tidak mencukupi akhir-akhir ini. Semenjak dia meminjam wang dari ceti haram atau along, keberkatan rezeki dirasakan sudah terangkat. Segalanya serba tidak mencukupi. Wang yang dipinjam hanya lima ribu untuk menguruskan pengajian anaknya di sebuah politeknik dan menjelaskan hutang. Kini sudah berganda dia bayar, tetapi hutang masih berbaki.

Dia terasa seperti sudah tidak memiiliki kehidupannya seperti dulu lagi. Segala kudrat digembleng untuk mengumpul wang bagi menjelaskan hutang. Akhir-akhir ini dia terasa seperti sukar mengingat perkara yang telah lepas. Kebanyakan masa dihabiskan ke hulu ke hilir mencari penumpang.

Dia memasang telinga mendengar perbualan gadis berdua.

"Mana Ebby ni? Dah maghrib tapi masih tak sampai-sampai lagi." Sya terasa rimas dengan baju yang mula dibasahi peluh.

"Yelah. Tadi aku call, dia tengah hantar Suzi. Takkan lama sangat. Err... kau tahu tak malam apa ni?" Nini mengipas muka dengan risalah yang diberi oleh seorang jurujual di kompleks tadi.

"Hari ni Khamis." Jawab Sya selamba. Kemudian dia dan Nini bertukar pandangan dalam diam. Seolah-olah melayan perasaan yang singgah.

"Kenapa kau tak nak naik teksi?" Nini menggosok lengan blaus lengan panjang yang dipakai. Mungkin tindakan refleks ketika roma sudah mula terapung, setelah mengetahui itu adalah malam Jumaat.

"Hish kau ni!" jerkah Sya. "Kau tak tau ke tempat ni keras?" Dia memandang sekeliling.

Kalau diikutkan hati mahu rasanya dia menunggu di dalam kompleks hingga Ebby tiba. Tetapi Ebby begitu yakin dia akan sampai sekejap lagi. Anehnya Ebby masih belum tiba walaupun tadi dia menelefon dan mengatakan dia on the way.

On the way, istilah yang selalu disalahgunakan. Masih di rumah pun tapi kata on the way. Omel sinis Sya dalam diam dengan hati yang berbuku.

"Keras? Macam mana tu?" tanya Nini naif.

Sya mula tarik muka. Bercerita tentang perkara mistik dalam keadaan seperti ini bukan sesuatu yang bijak. Apatah lagi pada malam Jumaat. Dulu ada yang menegurnya agar jangan percaya pada benda-benda tahyul dan khurafat. Contohnya tentang kejadian seram pada malam Jumaat. Tapi hakikatnya memang banyak kejadian menyeramkan pada malam seperti itu.

Mungkin iblis dan konco-konconya sengaja ingin menakutkan manusia supaya mengurangkan amal ibadat pada malam yang istimewa itu. Apabila diselubungi ketakutan, nak bangun tahajud pun takut. Usahkan tahajud, nak bangun buang air pun takut. Sya masih ingat pesan datuknya suatu masa dulu.

"Kawan ayah aku drebar teksi. Eqbal nama dia. Masa datang ke rumah, aku selalu dengar cerita tentang pengalaman dia. Ada sekali tu dia ambil penumpang dari tempat ni. Perempuan, muda lagi. Masa tu malam Jumaat, lebih kurang pukul sebelas malam. Dia tak ada terfikir benda bukan-bukan. Dia cuba ajak perempuan tu berbual. Tapi perempuan tu senyap je. Tiba-tiba dia terbau wangi. Macam bau bunga kemboja bercampur kapur barus. Lama kelamaan bau tu bertukar macam bau bangkai. Dia pun mengintailah kat cermin pandang belakang. Muka perempuan tu dah berubah. Rambut dia panjang menggerbang dengan mata merah terbeliak. Dia tak tahu nak buat apa. Terus dia baca ayat kursi, tapi tunggang-langgang. Dia ulang ayat akhir tu berkali-kali. Lama-lama bau tu hilang, tapi masih melekat kat tekak. Dia tengok belakang perempuan tu dah tak ada."

"Eiii kau ni! Kenapa cerita benda macam ni malam-malam? Seram aku!" Nini beremosi.

"Tadi kau juga yang tanya kan? Nak marah aku pulak." Sya buat muka sentap.

Nini membisu setelah disergah. Agak lama baru dia bersuara. "Aku pun pernah dengar juga cerita kat tempat ni. Ada budak perempuan kena halau keluarga dia lepas semua tahu dia mengandung anak luar nikah. Dia tak tahu nak ke mana. Dia lepak kat stesen ni. Malam tu dia kena rogol kat sini. Mayat dia kena campak dalam semak tu."

Sya terkedu mendengar.

Tadi dia yang beria-ia marah aku cerita benda seram. Takutlah, apalah. Ini dia pulak yang bercerita. Heran bin ajaib betul. Hati Sya terasa digeletek.

"Orang kerja kat kompleks pun ada cerita. Ada yang ternampak budak lelaki tunggu kat sini sorang-sorang. Orang yang jumpa dia tanya kat mana orang tua dia. Tapi budak tu diam je. Bila dia orang berpaling tempat lain, lepas tu tengok lagi sekali, budak tu dak tak ada. Macam dah hilang dalam sekelip mata." Sambung Nini.

Giliran Sya pula yang terasa bulu romanya menegak. Tapi dia buat endah tak endah.

Pelik. Makin seram makin seronok pulak bercerita benda-benda macam ni. Ada feel. Bisik hati Sya. Dia tersenyum sendirian. Mujurlah Nini tidak perasan.

Badrul yang memerhatikan sambil mendengar perbualan kedua gadis itu mula terasa bosan.

Beria-ia aku tunggu kat sini dengan harapan dia orang berdua ni nak tumpang teksi. Tapi nampak gaya minah berdua ni macam tak berminat je. Dia menggeleng kesal.

"Aku ada satu cerita lagi." Kata Sya sambil menjeling jam tangan. Ebby masih belum tiba dengan Kancil putih miliknya. Dalam diam dia merungut kerana terpaksa menunggu di situ. Mujurlah perbualan hangat dengan Nini mampu membuatkan dia lupa akan seksa menunggu buat seketika.

Sya memulakan cerita. "Kau ada dengar tak kisah sorang lagi pemandu teksi kat stesen ni?"

"Belum. Apa cerita dia?" Nini teruja.

"Ada pemandu teksi mati kena bunuh kat sini." Sya bercerita dengan ekspresi muka begitu teruja.

"Hah! Ye ke? Padanlah orang kata tempat ni keras. Macam-macam kejadian berlaku. Dahlah ada perempuan kena rogol dan bunuh. Pemandu teksi pun ada yang mati kat sini. Yang budak lelaki tu pulak entah apa cerita dia." Nini terasa kedinginan buat seketika. Apa yang dia dengar menyebabkan dia terasa seram tiba-tiba.

"Itu yang buat aku heran. Dah ada dua kes pembunuhan kat tempat ni. Seolah-olah tempat ni macam… dahagakan darah." Sya begitu beria-ia. Sejurus selepas kata-katanya, dia terasa angin halus menampar pipi.

"Tapi kau nak tahu tak apa yang lagi menyeramkan?" tanya Nini.

"Apa dia?" Sya langsung tidak menghiraukan angin yang berhembus tiba-tiba tadi.

"Awek macam kita ni dah tahu tempat ni keras, tapi berani bercerita benda-benda seram. Mana ada orang lain berani lepak kat sini. Kita je. Pelik kan?" Nini tersenyum sumbing.

"Ha'ah kan?" Sya tersengih memikirkan perkara itu. Semakin seram, semakin teruja rasa ingin berkongsi cerita tentang alam mistik dan paranormal. "Berbalik pada cerita pasal pemandu teksi tu. Dia..."

Badrul sudah bosan tahap gaban. Dia mula menghidupkan enjin teksi dan bergerak perlahan di hadapan gadis berdua dengan harapan mungkin mereka akan berubah fikiran dan menahan teksinya.

Melihat teksi itu, Sya dan Nini berpandangan dengan mulut terlopong.

"K-k-kau nam-n-nampak tak?" Sya terbeliak.

Nini tidak bersuara. Dia hanya mengangguk seperti burung belatuk.

Tanpa berkata walau sepatah lagi, mereka bingkas bangun dengan tubuh menggigil dan beredar menuju ke kompleks. Wajah mereka berdua pucat lesi.

Mereka tidak berkata walau sepatah sepanjang perjalanan ke kompleks. Hanya ketika cahaya lampu jalan sudah mula terang benderang dan muzik dari kedai CD mula bergema baru mereka memulakan perbualan.

"Apa yang kau nampak tadi?" tanya Sya seperti inginkan kepastian.

"Teksi tu tiba-tiba muncul. Lepas tu tak ada pemandu dalamnya." Nini seperti hendak menangis kerana ketakutan. Wajahnya masih pucat kerana kekurangan darah.

"Aku rasa itulah dia teksi yang Pak cik Eqbal ceritakan. Betul kata orang. Mulut jangan celupar. Terus muncul depan mata." Sya terasa tangannya masih menggigil di luar kawalan.

"Habiskanlah cerita kau tadi. Aku nak tahu." Desak Nini.

Sya cuba mengawal perasaan yang berubah secara mendadak tadi. Setelah reda dia menghela nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Dia terasa semakin tenang.

"Kisahnya macam ni. Pak cik Eqbal kenal dengan drebar teksi tu. Kata dia namanya Badrul kalau aku tak silap. Dia ni mangsa along. Sampai kerja siang malam nak cari duit bayar hutang. Satu malam dia dapat banyak duit sebab dia berbual dengan kawan bapak aku tu. Entah macam mana ada yang tahu, terus dia kena samun. Leher dia kena kelar sampai darah membuak-buak kat tempat duduk pemandu. Dekat nak subuh baru orang jumpa mayat dia kat tempat tadi tu."

"Ya Allah! Kesiannya. Ngeri aku dengar." Nini terasa sebak mendengar cerita Sya. "Bermakna yang kita nampak tadi tu teksi dialah."

"Hmm... entahlah. Kalau ikut ustaz kata, orang dah mati rohnya terus akan masuk dalam kubur. Bergantung pada amalan, sama ada kena azab atau tak. Tapi, ada juga roh yang tergantung kat dunia ni. Entahlah. Roh ni urusan Tuhan. Dia aje yang tahu." Jawab Sya.

"Tapi kan... untunglah roh yang berdosa kalau tergantung kat dunia ni. Tak kena azab kan?" Idea Nini tiba-tiba.

"Wallahua’lam. Bagi aku, roh tergantung di dunia ni pun dah dikira azab juga. Kat dunia terawang-awang. Mungkin juga ada yang perasan masih hidup lagi, sampai tak sedar sebenarnya dah mati. Bagi aku itupun dah cukup azab. Entahlah."

Belum sempat mereka menyambung perbualan, telefon Sya berdering. Panggilan dari Ebby.

"Sya sorry... aku dah sampai awal tadi tapi tak jumpa jalan." Suara Ebby di talian.

"Kau ni mengarut ke apa? Dah banyak kali kau ke sini tapi tak pernah sesat. Takkan kali ni sesat pulak." Sya memandang Nini yang cuba meneka perbualan rakan berdua.

"Itu yang aku hairan. Aku sampai kat jalan tu dalam pukul tujuh. Tiba-tiba aku hilang punca. Aku berpusing-pusing sampai banyak kali."

Sya terasa bulu roma tengkuknya terapung hingga terasa merengsakan.

Ebby menyambung. "Sekarang ni aku ada kat tempat menunggu bas dengan teksi depan kompleks. Kau kat mana?"

Sya terbeliak. Melihat keadaannya Nini turut teruja ingin mengetahui perbualan mereka berdua.

"Ebby, aku rasa lebih baik kau blah dari situ sekarang jugak. Kita jumpa kat kompleks ni."

"Kenapa?" Ebby tidak puas hati.

"Jangan tanya banyak Ebby. Kau drive sekarang masuk kat kawasan parking kompleks. Aku dengan Nini tunggu kau kat tangga warna kuning."

"Tapi..."

"Ebby, please... datang sini sekarang jugak!" Sya menunjukkan riak cemas.

Selepas tamat panggilan, Nini memegang bahu Sya yang kelihatan seperti dalam keadaan risau yang amat sangat.

Mereka hanya mampu menunggu Ebby tiba bersama memori kejadian yang berlaku tadi. Hanya setelah melihat kereta Kancil putih di depan mata mereka, baru Sya terasa lega.

Melihat Ebby terjenguk-jenguk mencari mereka, idea nakal singgah di otak Sya.

“Nini, kita menyorok belakang pokok ni.” Sya menarik tangan Nini.

Nini yang terpinga-pinga akur. “Kenapa ni?”

“Shhh…” kata Sya sambil mendail telefon.

“Helo,” suara Ebby di pembesar suara telefon.

Sya tersenyum melihat Nini yang terpinga-pinga. Kemudian dia mengintai melihat Ebby yang tercari-cari.

“Kau kat mana ni?” tanya Ebby.

“Ooo… kau tipu aku eh. Kau tak kata pun kau bawak Suzi sekali. Tadi kata nak hantar dia dulu. Sekarang siap bawa anak buah dia lagi.” Sya sengaja ingin ‘mengantoi’ Ebby.

“Hoi perempuan! Kalau nak buat lawak janganlah malam-malam macam ni okey. Seram aku tau tak!” Ebby sentap.

Nini dan Sya berpandangan sambil mengekeh ketawa. Mereka masih belum pasti apa yang berlaku.

“Tak payah nak berlakonlah. Habis yang duduk sebelah kau tu siapa? Dengan budak kat belakang tu. Eleh… nak berlakon konon.” Sya menahan geli hati dapat mengenakan Ebby.

“Sya, aku datang soranglah. Aku dah hantar Suzi sebelum ke sini. Dia sorang je. Mana ada anak buah dia!” Ebby bengang.

Kata-kata Ebby menyebabkan Sya dan Nini berpandangan dengan mata terbeliak. Bulu roma mereka terapung setegak-tegaknya. Sya hilang kata-kata. Nini juga.

Mereka mengintai sekali lagi untuk melihat penumpang-penumpang di dalam kereta Ebby. Perempuan dan budak itu juga memandang mereka berdua dengan wajah yang pucat lesi tidak berdarah dan mata yang lebam. Kelihatan cahaya merah bernyala dari kedua-dua mata perempuan yang duduk di sebelah Ebby.

“Sya… Sya… kau kat mana ni?” Suara Ebby di telefon yang masih ditekup di telinga Sya.

Sya tidak menjawab.

“Sya.”

Selepas kejadian itu, Sya demam selama dua minggu. Nini pula demam seminggu. Ebby masih lagi berubat setelah keretanya dinaiki dua orang penumpang yang tidak diundang pada malam Jumaat di tempat menunggu bas dan teksi.

SEKIAN



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
| KSMJ2 : KARAOKE |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku